July 8, 2008

ISU DAN TUNTUTAN MASYARAKAT BEKAS PEKERJA LADANG BANGI



3 Julai 2008 / 29 J.Akhir 1429 H : Ladang Bangi . 2 petang

Pertemuan dihadiri oleh Exco Selangor, YB. Dr. Xavier, ADUN Bangi YB. Dr. Shafie Abu Bakar, ADUN Kajang YB Cikgu Lee , Pegawai Daerah En. Zainal Abidin, aktivitis rakyat En. Aruchetvlan, wakil Kelab Penyokong PAS Bangi En. Hari dan pemimpin masyarakat setempat.

Turut hadir ialah wakil dari Sime Darby, wartawan dari Sinar Harian dan TV3.

Masalah utama yang dihadapi mereka adalah status perumahan bekas pekerja ladang yang kini telah diambil alih oleh Golden Hope Plantation. Menurut Exco Selangor YB Dr. Xavier pertemuan akan diadakan dengan pihak Golden Hope Plantation merujuk kepada masalah penyerahan tanah dan pampasan kepada bekas pekerja ladang. Kuil yang kini terdedah kepada kecurian kerana kedudukannya yang jauh dari perumahan akan dipindah. Beliau berharap masalah jalan dan keselamatan akan diselesaikan selepas rundingan antara pihak berkuasa tempatan dengan Golden Hope Plantation.

Turut dibangkitkan ialah masalah banjir yang dialami akibat dari dasar sungai yang cetek. Mengulas mengenai masalah ini ADUN Bangi, YB Dr. Shafie Abu Bakar berkata peruntukan sebanyak 3 ribu ringgit yang dipohon bagi kerja mengorek pasir akan diluluskan. Bantuan yang lain akan disalurkan melalui persatuan penduduk. Penyelesaian ini bagaimana pun bersifat sementara kerana apa yang lebih penting ialah usaha kerajaan negeri bagi membina penempatan yang lebih teratur kepada bekas pekerja ladang tersebut. Beliau berharap melalui Dr. Xavier permasalahan ini akan diselesaikan sebaik mungkin oleh kerajaan negeri Selangor.

No comments:

Post a Comment