April 17, 2013

Bantuan Untuk Bina Bilik Urusan Jenazah Surau Abqari

Jalan Cerdik, Taman Universiti, 2 Jamadil Akhir 1434 = 13 April 2013 (Sabtu):

Surau Abqari, Jalan Cerdik, Taman Universiti adalah merupakan surau baharu yang mula digunakan sejak tahun 2008. Taman di sini juga baharu, dihuni beberapa tahun sebelum daripada itu. Kedudukan Taman dan surau ini agak ke dalam daripada Sungai Tangkas. Sebagai jalan pintas boleh dilalui mengikut jalan German Malaysian-Institute dan terus sampai ke Taman Universiti. Taman Universiti mempunyai sejumlah 300 buah rumah dengan penduduk lebih kurang 1,500 orang. Sejak awal penduduk berpindah mereka memerlukan sebuah surau dan tidak ada alternative surau yang lain. Sebab itu keperluan surau terawal ialah dengan mendirikan semacam bangsal yang di kelilingi dinding dan lantai sementara. Namun penduduk berusaha mencari derma bagi mendirikan Surau yang kini diberi nama dengan Surau Abqari. Mantan Adun pernah datang semasa surau ini masih bersifat bangsal. Surau sekarang dibina dengan kos RM300,000.


Mantan Adun Bangi datang untuk melawat dan menyampaikan peruntukan yang dipohon bagi pembinaan tempat urusan jenazah. Mantan Adun Bangi dan saudara Azizi tiba lebih awal di Surau Abqari dan sempat mengambil gambar surau dan juga melihat bangunan rumah jenazah yang telah didirikan dan juga mengambil gambar. Kemudian hadir dan kami bertemu dengan Pengerusi Surau Tuan Haji Zakaria, Imam Ustaz Muhammad dan kemudian hampir Maghrib, makin bertambah ramai yang datang.



Kami berhenti dari bersembang apabila Maghrib tiba dan azan dialunkan. Mantan Adun diminta mengimami solat Maghrib. Selepas wirid dan doa, diadakan sedikit upacara ringkas menyerahkan cek. Tuan Haji Zakaria mengalu-ngalukan kehadiran Mantan Adun Bangi yang akan menyampaikan peruntukan bagi pembinaan Rumah Jenazah yang Mantan Adun lihat dan diambil gambar oleh saudara Azizi tadi. Menurut Tuan Haji Zakaria, ``Kos bagi membina rumah pengurusan jenazah, ialah RM20,000.`` Tambah Haji Zakaria, ``Kita berterima kasih kepada Mantan Adun, kerana kesudiannya hadir ke majlis pada malam ini.


Dalam ucapan balas dan ringkas, Mantan Adun Bangi maklumkan, bahawa kehadiran Mantan Adun pada malam ini untuk menyampaikan peruntukan tambahan bagi menyiapkan Rumah Pengurusan Jenazah. Permohonan bagi peruntukan tambahan dibuat sejak dua bulan yang lepas.  Pada petang hari ini Mantan Adun turun bagi menyampaikan peruntukan bagi rumah Urusan Mayat, iaitu sebanyak RM3,000 sahaja. Iaitu satu jumlah yang agak sedikit, tetapi diharap dapat meringankan sedikit kos pembinaan yang berjumlah RM20,000. Mantan Adun mengatakan, ``Saya difahamkan pada malam ini ada kelas pengajaran yang akan disampaikan oleh Ustaz Musa, maka saya tidak bercakap panjang dan terima kasih kerana diberi peluang bercakap.


Selepas dari penyampaian cek RM3,000 mantan Adun Bangi memohon diri bagi menziarah tempat lain.

Sekian.

No comments:

Post a Comment