March 4, 2014

Demonstrasi Silat & Pameran Senjata Warisan Negeri Selangor

-->
Shah Alam: 29 Rabiul 1435 = 01 Mac 2014 (Sabtu):

Demonstrasi dan Pameran di atas anjuran PADAT dengan kerjasama dua persatuan silat terkenal, iaitu PESAKA Negeri Selangor dan Purba Negeri Selangor serta Majlis Bandaraya Shah Alam. Demonstrasi berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, manakala Pameran di Bangunan PADAT. Demonstrasi berlangsung selama dua hari dari 1 hingga 2 Mac 2014 dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang.


Perasmian Demonstrasi Silat dan Pameran Senjata dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor yang dihadiri antaranya Y.B. Dr. Daroyah Alwi Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi,  Dr. Shafie Abu Bakar Timbalan Pengerusi Padat, Puan Azlinda Azman CEO PADAT, En. Sulieh Presiden PESAKA, saudara Abdul Majid YDP PURBA dan para jemputan.

Ketibaan Tan Sri Khalid dihadapan bangunan PADAT disambut dan dibawa berkereta kuda ke pentas di hadapan Dataran Kemerdekaan disambut Timbalan Pengerusi dan Puan CEO di samping acara silat Selamat Datang. Dalam ucapannya Tan Sri Khalid mengucap tahniah di atas kejayaan mengadakan Demonstrasi Silat dan Pameran Senjata Warisan Selangor. Menurutnya silat sebagai warisan bagi mempertahankan diri adalah merupakan aktiviti riadah yang baik. Menurutnya seni silat diwarisi sejak zaman bahari – dari zaman Seriwijaya dari abad ke 7 hingga 14M., terakam di Candi Borobodur dan Prambanan membawalah kepada zaman kerajaan Melaka dan Riau. Antara alat senjata yang digunakan oleh pesilat ialah keris, badik, kerambit, parang, pedang, lading, tombak, lembing dan sebagainya.  Pahlawan-pahlawan terkenal dengan silat ialah Hang Tuah pada zaman kerajaan Melayu Melaka berlima saudara. Hang Tuah berguru dengan Sang Adi Putra dan Persanta Nala di Majapahit.


 Menurut Tan Sri Khalid, Persilatan perlu dipertingkatkan bukan saja sebagai warisan tapi mempopularkannya seperti dijadikan acara sukan pada peringkat Asia Tenggara. Menurut Tan Sri Khalid lagi Kerajaan Negeri Selangor sedia membantu, mempromosi dan mempopularkan seni silat yang menjadi identiti diri dan negeri. Tan Sri Khalid Ibrahim bercakap kepada khalayak yang hadir termasuklah 45 daripada pasukan silat di negeri Selangor (Di Selangor terdapat 150 pasukan silat).


Terdahulu daripada itu Y.B. Dr. Ahmad Yunus Hairi Pengerusi Padat yang ucapannya dibacakan oleh Puan Azlinda CEO mengucap terima kasih kepada Y.A. B Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim yang sudi merasmikan majlis pada hari ini. Beliau menyebut satu program yang penting pada tahun ini bahawa PADAT akan menjadi Tuan Rumah bagi Sambutan Hari Muzium Sedunia yang dijangka berlangsung pada bulan Mei nanti. Tema Sambutan pada tahun ini ialah : Muzium Collection and Connection. Sambutan juga akan diisi dengan seminar, bengkel dan lawatan. Beliau berharap Muzeum Selangor sebagai Tuan Rumah dapat menjayakan sambutan sebaik mungkin, apa lagi sambutan bersamaan dengan Tahun Melawat Malaysia 2014.
Selepas Tan Sri Khalid mengisytiharkan perasmian, beliau dianugerah sepersalinan tengkolok yang dipakaikan di majlis berkenaan.


Berikutnya 45 pasukan silat dari berbagai daerah di Selangor yang menyertai majlis mendemonstrasikan silat masing-masing secara serentak. Mereka tidak dapat mempersembahkan secara satu persatu, oleh kerana kekurangan masa, sebaliknya mereka mempersembahkannya secara beramai-ramai. Selepas itu Penulis selakau Timbalan Pengerusi turut mengiringi Y.A.B menemui pasukan pesilat satu persatu.


Selepas minum Tan Sri Mengadakan sidang akhbar dan kemudian melawat sebahagian daripada pameran yang diadakan di bawah khemah-khemah yang diadakan. Termasuk pameran ialah demonstrasi membakar & menyepuh besi dan menempa menjadikannya senjata.

Selepas daripada perasmian dan bertolak pulangnya Tan Sri Khalid Dato` Menteri Besar pasukan-pasukan silat yang datang mengadakan pertandingan silat yang diadili oleh para hakim yang dilantik. Pertandingan dan pameran berterusan hingga esok dan keputusan pertandingan juga diketahui pada keesokan harinya.


Sementara itu pameran yang lebih lama sempena dengan Demonstrasi Silat Dan Pameran ini diadakan di bangunan PADAT sendiri. Selain dari pameran ada bahagian pameran untuk jualan alat senjata. Penulis berkesempatan menyaksikan pameran berkenaan, termasuk membeli buku-buku mengenai persilatan dan senjata lama.

Sekian.

No comments:

Post a Comment