March 21, 2008

Salam Maulidur Rasul





Malu rasanya mengatakan cinta,

Kepada dia kekasih Allah,

Kerana dia insan mulia,

Sedangkan diriku insan biasa.



"Ya Rasulullah, terimalah kami sebagai ummatmu.. dan syafaatkan kami di akhirat kelak."

Moga cinta kami padamu terus hidup subur setiap masa.


March 19, 2008

Edaran Kad Ucapan Terima Kasih di Pasar Kajang dan Pasar Sg. Chua


Kajang, 16 Mac 2008- YB Dr Shafie Abu Bakar (ADUN BANGI) bersama-sama pasukan petugas telah sama-sama turun padang menemui pengundi bagi menyatakan rasa terima kasih beliau kepada pengundi-pengundi . Program turun padang pada kali ini diadakan di Pasar Kajang bermula jam 8.00 pagi hingga 10.00pagi dan di Pasar Sungai Chua jam 10.00pagi-11.30pagi .

Program edaran kad ucapan terima kasih ini turut disertai oleh YB. Cikgu Lee (ADUN Kajang-PKR) dan YB Dr Che Rosli (AHLI PARLIMEN Hulu Langat-PAS). Program tersebut turut disertai oleh hampir 50 orang petugas. Kesemua YB kelihatan tidak janggal untuk bersama peniaga-peniaga di pasar tersebut mendengar masalah dan luahan hati mereka.

Dalam pada itu, para petugas juga turut membuka kaunter aduan bagi menerima aduan daripada pengunjung dan peniaga pasar. Ternyata, kaunter aduan tersebut dikunjungi oleh ramai pengunjung pasar untuk membuat aduan dan juga meluahkan perasaan serta harapan supaya masalah mereka diselesaikan sesegera mungkin.

Antara aduan yang diterima ialah:
a) baik pulih infrastruktur (lampu jalan rosak, jalan rosak, longkang tersumbat dll)
b) masalah peniaga kecil yang tertindas
c) masalah alam sekitar (banjir kilat)

Lebih kurang jam 11.45 pagi ahli-ahli YB dan para petugas mula beredar dari Pasar Sungai Chua ke kedai minuman berhampiran setelah kepenatan setelah setengah hari berinteraksi dengan rakyat.

Perhimpunan Rakyat


Taman Sri Melor, 15 Mac 2008- Satu perjumpaan rakyat telah diadakan di sini sempena menyambut kemenangan wakil rakyat PAS DUN Bangi, Dr Shafie Abu Bakar. Perhimpunan rakyat ini dihadiri oleh lebih 2000 orang yang terdiri dari pelbagai kaum iaitu Melayu, India dan Cina.

Dalam perjumpaan itu YB Dr Shafie Abu Bakar turut dikalungkan bunga malai oleh kaum India sebagai tanda sokongan mereka kepada wakil rakyat baru mereka.

YB Dr Shafie yang juga YDP PAS Kawasan Serdang turut membuat ucapan penghargaan dan terima kasih kepada para pengundi dan berjanji akan menjadi wakil rakyat yang aktif memperjuangkan nasib rakyat. Beliau dalam ucapannya menyebut bahawa DUN Bangi merupakan antara DUN yang Barisan Alternatif mendapat majoriti kedua tertinggi di Selangor, iaitu 6129.

Pertemuan yang singkat itu juga memberi peluang kepada hadirin beramah mesra dengan Dr. Shafie sambil menikmati jamuan kesyukuran sempena kemenangan Pertemuan itu berakhir hampir jam 11 malam.

March 15, 2008

UCAPAN KEPADA ORANG RAMAI SEBAIK KEPUTUSAN PILIHAN RAYA DUN BANGI DIUMUMKAN

Assalamua'laikum Warahmatullah Hiwabarakatuh dan selamat sejahtera.


Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua ahli dan penyokong PAS Kawasan Serdang yang telah bekerja bersungguh-sungguh sejak tahun 2004 menyusun berbagai-bagai strategi memasyarakatkan PAS sehingga diterima baik oleh umum dengan memberikan kemenangan menawan kerusi DUN N.26-Bangi.

Juga ucapan ribuan terima kasih kepada sukarelawan dari alumni IPT dan orang perseorangan yang telah bersama menyertai jentera parti pada sebelum dan sesudah hari penamaan calon. Mereka telah memberikan komitmen yang tinggi untuk bersama turun padang menemui pengundi di seluruh daerah pada pagi, petang dan malam. setinggi-tinggi terima kasih kepada kaum Melayu yang bukan sahaja mengekalkan, bahkan meningkatkan lagi sokongan terhadap parti PAS di Bangi. saya juga amat terharu dengan sokongan dan pengharapan dari kaum India terhadap perjuangan PAS. Begitu juga kaum Cina yang secara senyap telah memberikan sokongan padu.

Kejayaan memenangi kerusi DUN Bangi dengan mojoriti yang tinggi (6192) bukanlah kemenangan PAS semata-mata. Ia adalah satu amanah dan pengharapan dari rakyat untuk merealisasikan Bangi sebagai bandar yang sejahtera, aman, berilmu dan prihatin.

Marilah kita semua bahu membahu menyusun saff mengenepikan sebarang perbezaan ideologi poliitik bekerja sebagai satu pasukan untuk merealisasikan harapan Bangi.


Dr. Shafie Abu Bakar
ADUN BANGI

1 Rabiulawal 1429
9 Mac 2008

KEPUTUSAN PRU-12 DUN N.26-BANGI

MELAYU; 65.18%, CINA: 21.5%, INDIA:13% LAIN2: 0.26%


DAERAH MENGUNDI PAS BN MAJORITI

SEKSYEN 1 1592 730 862

SEKSYEN 2 864 349 515

SEKSYEN 3 1034 422 612

SEKSYEN 4 1199 532 667

SEKSYEN 5 915 688 227

SEKSYEN 6 1561 988 573

KJG MEWAH 1634 571 713

SG.RAMAL DLM 555 620 -65

SG. RAMAL LUAR 1055 1079 -24

B. BUKIT MAHKOTA 307 167 140

UKM 274 241 33

BANGI 1274 1102 172

REKO UTARA 500 301 199

REKO SELATAN 1166 903 263

KAJANG UTAMA 724 411 313

TMN. JASMIN 735 406 329

TMN. BKT MEWAH 2092 1352 940

POS 39 131 -92

JUMLAH 17420 11104 6192


Peratus keluar mengundi: 80.27%


*Keputusan PRU-12, 2008.N.26-Bangi
Dr. Shafie Abu Bakar (PAS) Majoriti 6192

*Keputusan PRU-11, 2004. N.26-Bangi
Dr. Amran Kasimin (BN) Majoriti 3708

February 5, 2008

Ceramah Isu-isu Semasa



Turun Harga Minyak, Malaysia Tak Akan Bankrup

PEJABAT PAS SERDANG- Rabu, 7 Muharram 1429=16 Januari 2008, Saudara Ir. Khalid Samad, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor menyelar Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa jika Malaysia turunkan harga minyak, Negara akan menjadi bankrupt. Sebaliknya, beliau mendakwa kerajaan Malaysia tidak prihatin dengan nasib rakyat yang menderita dengan kenaikan harga barang.


Beliau yang baru pulang dari Asia Barat turut memberikan contoh tentang keprihatinan Negara Asia Barat yang mengeluarkan minyak seperti Malaysia, tidak menaikkan harga minyak dalam negeri. Perbezaan harga minyak dapat dilihat seprti berkut;

Negara Pengeluar Minyak Harga (per liter)
Bahrain 0.80 sen
Saudi Arabia 0.40 sen
Malaysia RM 1.92 sen

Dalam masa yang sama, Malaysia sudahpun merancang untuk menaikkan lagi harga minyak. Beliau juga menyelar kerajaan Malaysia yang bersifat dengki dengan negeri Kelantan dengan cara menutup gas yang dikeluarkan dari perut laut yang jaraknya hanya beberapa puluh kilometer dari Bachok, Kelantan, kerana tidak mahu melihat rakyat dan negeri Kelantan maju. Kerajaan Malaysia menaikkan gas tersebut di kawasan negera Thailand dan menyalurkannya dari negeri Siam ke negeri Kedah. Tindakan kerajaan Malaysia boleh diibaratkan sebagai ‘kera dihutan disusui, anak dipangkuan dibiar kelaparan’.

Beliau menggesa rakyat hari ini jangan takut untuk membawa perubahan dengan menukar pemerintahan yang ada kepada pemerintahan Barisan Alternatif.

Iktibar Dari Hijrah




BANDAR BARU BANGI- Rabu, 7 Muharram 1429=16 Januari 2008, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi menggesa umat Islam ambil iktibar dari peristiwa Hijratul Rasul S.A.W dari Makkah ke Madinah dengan menjadikannya sebagai katalis bagi meningkatkan martabat umat Islam kepada kemajuan sebagaimana yang pernah dicapai dahulu sesuai dengan firman ALLAH yang menyatakan bahawa umat Islam sebaik-baik umat yang dikeluarkan kepada manusia yang menyuruh berbuat baik dan melarang dari melakukan kejahatan.

Menurut Ustaz Nasrudin yang menyampaikan ceramahnya di Pejabat PAS Serdang, bala yang banyak berlaku di Negara kita seperti gejala rasuah, masalah moral, kenaikan harga barang dan penyelewengan dalam perjalanan undang-undang adalah akibat dari tidak memberi perhatian kepada nilai akhlak, berleluasa maksiat, ketidakadilan dari segi pengagihan ekonomi Negara, pembaziran, penyalahgunaan kuasa dan undang-undang.

Beliau menyelar kerajaan yang menjadikan Hijrah sebagai perayaan bagi menobatkan tokoh Maal Hijrah tahunan, tetapi tidak berusaha menegakkan Islam. Beliau turut mengatakan bahawa kerajaan Malaysia telah banyak meniru kerajaan negeri Kelantan seperti cuti dua hari seminggu, menambah cuti bagi ibu-ibu bersalin dan cuti bagi suami. Beliau menganjurkan agar kerajaan Malaysia lebih banyak mengambil contoh negeri Kelantan yang memerintah secara Islam yang menjadikan Kelantan sebagai negeri kebajikan seperti mewujudkan Skim Gadaian ar-Rahn, Enakmen Kawalan Hiburan (1998), Bantuan Armalah, Skim Takaful Armalah, Skim Takaful Kifalah, Program Batuan Kesihatan Rakyat, rumah Dhuafat dan sebagainya. Beliau mengecam pimpinan kerajaan Selangor di bawah Khir Toyo sebagai “Menteri Penayapu” yang memalukan pegawai-pegawainya sendiri.




Negara Dilanda Musibah

Pejabat Pas Serdang: 7 Muharram 1429= 16 Januari 2008 YDP Pas Serdang Dr. Shafie Abu Bakar menyatakan awal Tahun Baru Masihi dan Hijrah memuncaknya musibah Negara dengan skandal seks Chua Soi Lek, bekas Naib Presiden MCA dan bekas Menteri Kesihatan. Skandal seks Chua yang berlaku di sebuah hotel di Batu Pahat, Johor telah menggegarkan politik tanahair dan menyebabkan Chua meletakkan semua jawatan dalam parti dan kerajaan. Tetapi cukupkah dengan perletakan jawatan sahaja sedangkan Chua sendiri mengakui, skandal yang berlaku padanya turut berlaku di kalangan ahli-ahli politik BN yang lain. Di manakah maruah politik Barisan Nasional ? Kita berharap banyak lagi skendal yang tersembunyi akan terdedah.

Sementara itu, menurut YDP Negara juga digegarkan dengan kes kebobrokan perundangan Negara yang dikenali ‘Kes Lingam-Fairuz’. Begitu sekali murahnya maruah kehakiman Negara. Perjawatan boleh ditawar menawar.

Krisis kehakiman Negara bukan suatu perkara baru, malah ianya sudahpun bermula dengan pemecatan secara kontroversi pada tahun1988 terhadap Tun Salleh Abas Bekas Ketua Hakim Negara bersama Datuk George Seah dan Tan Sri Wan Sulaiman, kes Datuk Seri Anuar Ibrahim, kes Suwandi & Azman, kes Hindraf dan perundangan Negara terus dilanda kontroversial. Jika perundangan negara boleh diperkotakkatikkan, ke mana lagi dapat rakyat mengharapkan keadilan dan pembelaan ?

PAS, Rehlah & Kebajikan


Rehlah Meningkatkan Semangat dan Jihad

SERDANG- 1 Muharram1429=10 Januari 2008, Jemaah PAS Serdang telah mengadakan Rehlah Meningkatkan Semangat dan Jihad di sebuah kawasan Rekreasi di Serdang. Sebanyak 50 keluarga dengan suami-isteri dan anak-anak masing-masing berjumlah lebihkurang 150 orang hadir mulai jam 8.00 pagi. Majlis diatur oleh pihak Lajnah Pentadbiran dan Organisasi diketuai oleh Tn Hj. Hasan Ali dan dibantu oleh En. Zakry. Pertemuan meningkatkan semangat dan jihad ini diisi dengan senaman dan taaruf.

YDP PAS Serdang menyampaikan amanat sempena dengan tahun Hijrah 2009. Beliau meminta ahli-ahli menghayati semangat hijrah dengan memperkuatkan azam dan tekad bagi berjihad di jalan ALLAH serta memohon pertolongan dan kemenangan dari ALLAH. Rehlah berlangsung sehingga jam 1.00 tengah hari dan berakhir dengan bai`ah antara ahli dan pimpinan.



Lawatan ke Rumah Bekas Ketua Muslimat Bukit Mahkota

IPOH- 3 Muharram1429=12 Januari 2008, Rombongan muslimat PAS Serdang diketuai Pn. Zuryati Yassin, Ketua Muslimat Serdang dan disertai Pn. Zaitun Abd Latiff Ketua MTD Muslimat Serdang dan Pn. Musliza Mustaffa ditemani suami masing-masing telah melawat Ustazah Aida.

Bekas Ketua Muslimat Bukit Mahkota, Serdang itu yang terlantar sakit akibat penyakit kencing manis. Beliau telah menerima rawatan di Hospital Manjung, Perak. Lawatan muslimat selain bertanya khabar dan rasa simpati, turut menyampaikan derma untuk meringankan beban yang dialami.