April 3, 2008

MUNAJAT PERDANA & CERAMAH ISU-ISU SEMASA

MUNAJAT PERDANA
&
CERAMAH: PAKATAN RAKYAT, SATU PENJELASAN!

YB. Dr. Shafie Abu Bakar
(ADUN Bangi)
Ust. Tuan Ibrahim Tuan Man
(Pesuruhjaya PAS Pahang)
Ust. Idris Ahmad
( AJK PAS Pusat)
Ann Wan Seng
(Pendakwah Bebas)

Tarikh : 7 April 2008
Masa : 8.00 Malam
Tempat : Stadium MPKj Seksyen 15
Bandar Baru Bangi
PROGRAM BERMULA DENGAN SOLAT HAJAT.
SILA BAWA SEJADAH MASING-MASING
SEMUA DIJEMPUT HADIR BERAMAI-RAMAI

CERAMAH UMUM

"DASAR EKONOMI RAKYAT"
5 APRIL 2008
YB. IR. KHALID SAMAD
TAMAN BANGI INDAH, BATU 6
( Bangi Lama)
9.00 Malam
Semua dijemput hadir...

DIALOG YB DI LADANG BANGI


Bangi, 1 April 2008 : YB Dr Shafie Abu Bakar telah menghadiri satu perjumpaan dengan pekerja ladang di Bangi. Pertemuan itu bermula jam 5.30 petang dan berakhir kira-kira jam 7.00 petang. Turut sama hadir dalam dialog pertemuan itu ialah En. Arutcelvan- Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM), Mr Lau Fook Sang (Wakil Kelab Penyokong Kaum Tiong Hua) dan juga Hj. Abdul Abdul Karim (Ketua Cawangan Bangi Lama).

Ladang tersebut menempatkan 35 buah keluarga. Mereka tinggal di sana sejak tahun 1984 lagi. Kehadiran YB Dr Shafie telah sedikit banyak menggembirakan mereka. Di wajah mereka kelihatan jelas pengharapan yang tinggi agar masalah mereka segera diselesaikan. Ternyata dialog itu menemukan pelbagai masalah yang tidak pernah cuba diselesai secara serius di zaman pemerintahan UMNO/ Barisan Nasional. Beberapa masalah penting yang diadukan kepada YB Dr Shafie Abu Bakar adalah seperti berikut:

1) Majikan ladang memaksa mereka meninggalkan rumah dan ladang dengan memberika pelbagai lasan.

2) Rumah yang didiami kurang selamat kerana sungai yang merentasi ladang selalu dinaiki air. Sering kali berlaku banjir yang menyebabkan berlakunya kerosakan harta benda.

3) Rumah yang tidak sesuai dan daif.


Mereka turut menyatakan bahawa permasalahan ini sudah pun dibawa ke pengetahuan majikan ladang, bekas ADUN Bangi dan pihak MIC secara bertulis. Namun sehingga kini mereka tidak mendapat apa-apa balasan kecuali janji-janji kosong.

Dalam ucapan wakil penduduk-En Arul Krishnan, beliau memberitahu bahawa syarikat yang bertanggungjawab iaitu Golden Hope telah menghantar notis kepada mereka supaya pindah daripada ladang tersebut. Namun, jika ditakdir pindah, ke mana harus dituju. Katanya, syarikat tersebut tidak pula menjaga kebajikan mereka walaupun mereka sudah lama menghuni ladang tersebut. Tambahnya, penduduk merasakan bahawa mereka tidak dianggap penting oleh pihak syarikat dan kerajaan pimpinan Dato' Seri Khir Toyo ketika itu . “ Kami ni seolah-olah seperti habis manis sepah dibuang, katanya lagi”. Justeru mereka mengharapkan agar syarikat dapat membela mereka sebagai balasan terhadap kerja mereka di ladang tersebut.

YB Dr Shafie ketika sidang dialog itu berkata pihaknya berjanji akan membawa perkara tersebut kepada Exco Buruh dan Pekerja Ladang iaitu Kavier untuk diambil tindakan. Beliau juga berjanji sekiranya perlu, kes tersebut akan di bawa ke Kementerian Buruh dan Tenaga Rakyat.

HIMPUNAN RAKYAT & MALAM MUNAJAT


Shah Alam, 31 Mac 2008 : Satu Himpunan Rakyat dan Munajat Perdana telah diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam. Sungguh Bersejarah! Buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia apabila Stadium yang sebelum ini hanya digunakan untuk bersukan dan berhibur penuh sesak dengan orang ramai yang hadir untuk mendengar amanat daripada pimpinan mereka.

Sungguh mengkagumkan! Buat pertama kalinya stadium ini menjadi saksi kepada solat Isya’ berjemaah dan solat hajat serta munajat perdana.

Program anjuran Parti Islam SeMalaysia (PAS) itu mendapat sambutan ribuan manusia yang hadir dari seluruh pelusuk Selangor sehingga ada yang tidak dapat memasuki stadium. Kehadiran rakyat bukan sahaja dari Negeri Selangor, malah ada yang datang dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan juga Kelantan. Sungguh syahdu melihat lautan manusia sujuk dan ruku’ kepada Allah. Jelas terpancar di wajah mereka kegembiraan yang teramat sangat dengan nikmat kemenangan Barisan Rakyat yang membolehkan program Himpunan Rakyat dan Munajat Perdana ini dilangsungkan. Majlis itu diadakan bagi menyatakan kesyukuran atas kerjasama dan persefahaman yang wujud dalam Barisan Alternatif (BA) setelah berjaya membentuk kerajaan baru di Selangor. Rombongan dari PAS Kawasan Serdang juga tidak ketinggalan meraikan sejarah ulung ini. Rombongan dengan sebuah bas bertolak sekitar jam 6.30 petang. Manakala YB Dr Shafie Abu Bakar juga turut ke sana dengan kenderaan berasingan.


Kehadiran YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang (Presiden PAS), YAB Tan Sri Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor merangkap Setiausaha Agung PKR), YB Ust Nasharudin Mat Isa (Timbalan Presiden PAS), YB Dato’ Dr Hasan Ali (Pesuruh Jaya PAS Selangor), YB Ronnie Liu (Setiausaha DAP Selangor), Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri dari PAS turut memeriahkan lagi majlis.

Program dimulakan dengan solat Isyak berjemaah dan diteruskan dengan solat hajat serta doa munajat dipimpin oleh Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang. Program diteruskan dengan persembahan dari kumpulan nasyid Islamic Voice dan In-Team. Kira-kira jam 10.00 malam ceramah dimulakan dengan dipengerusikan oleh Ustaz Sollehin Mukhyi (Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor). Ucapan pertama disampaikan oleh YB Ronnie Liu. Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pengarah program iaitu Ustaz Osman Sabran.


Sementara itu, Pesuruh Jaya PAS Selangor, Dato’ Dr Hasan Ali dalam ucapannya menyebut bahawa PAS akan berusaha sepenuhnya untuk mengurus dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Manakala dalam ucapan Ustaz Nasharudin Mat Isa pula, beliau dengan nada berseloroh menyatakan bahawa stadium ini sudah lama dibina untuk PAS.
“Sebenarnya untuk makluman hadirin, stadium ini sudah lama dibina untuk PAS namun hari ini baru kita dapat masuk. Sebagai bukti, cuba lihat kat atas, semua catnya hijau,” katanya. Selorohnya itu disambut dengan laungan takbir dan tepukan gemuruh hadirin. Dalam ucapannya juga, beliau mengingatkan wakil-wakil rakyat yang menang bahawa kemenangan ini adalah amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat nanti.


Selesai ucapan Ustaz Nasharudin, Menteri Besar Selangor pula menyampaikan ucapannya. Memulakan ucapan, beliau menyatakan bahawa tanpa hadirin tidaklah beliau menjadi Menteri Besar. Justeru, oleh kerana budi rakyat yang memilih beliau maka beliau berjanji akan membalas budi tersebut dengan menjadi wakil rakyat yang baik dan memastikan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan yang lain turut menjalan kerja dengan baik dan amanah. Katanya, beliau akan terus mendesak kerajaan pusat supaya menghapuskan undang-undang zalim seperti ISA, OSA dan AUKU. Beliau juga melahirkan rasa terima kasih kepada Tuan Guru Hadi Awang kerana memberi kepercayaan kepada beliau di mana ketika pemilihan nama MB, Tuan Guru memilih namanya seorang sebagai MB. Kepada rakyat, beliau berpesan agar tolong berikan peringatan kepada beliau dan rakan-rakannya yang lain untuk menjalankan amanah dengan baik kepada rakyat.

“Usrah perlu diperkukuhkan untuk mengikut jejak langkah Nabi Muhammad S.A.W serta pandai mempraktikkannya dalam konteks kenegaraan dan kepelbagaian kaum,” pesannya lagi.

Majlis diakhiri dengan amanat daripada Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa bukan Kerajaan BN sahaja yang mengadakan pembamgunan. Malah kerajaan yang dimurkai Allah seperti Kerajaan Firaun turut mengadakan pembangunan.


Katanya, semua orang boleh buat pembangunan tetapi tidak ada seorang pun yang boleh tunjuk jalan ke akhirat melainkan Nabi-nabi a.s. Nabi-nabi ini diturunkan bukan semata-mata untuk membawa pembangunan fizikal semata-mata malah yang lebih penting dari itu adalah pembangunan rohani dan petunjuk ke arah keselamatan di akhirat. Beliau juga menyatakan ketidakinginan PAS untuk bergabung dengan UMNO memandangkan pengalaman perit yang dialami PAS ketika bergabung dengan UMNO selepas PRU 1969. Sambungnya, PAS hanya diajak bergabung ketika UMNO hilang pengaruh namun setelah kuat, mereka menendang PAS keluar dari BN selain daripada penafian hak untuk menubuhkan cawangan di Johor dan sebaginya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kali ini, UMNO pula yang bergabung dengan Pakatan Rakyat tetapi dengan syarat UMNO buang sifat ego dan sombong mereka. Cadangan tersebut disambut dengan laungan Takbir, Reformasi dan Makkal Sakhti. Majlis ceramah tersebut berakhir sekitar jam 12 tengah malam. Wajah kepuasan jelas tergambar walaupun terpaksa berhadapan kesesakan lalulintas yang teruk.

April 2, 2008

Jamuan Rakyat Dun Bangi

Bangi, 30 Mac 2008 : Satu Jamuan Pemimpin Bersama Rakyat bagi meraikan kemenangan YB. Dr. Shafie Abu Bakar telah diadakan di perkarangan Pejabat Wakil Rakyat DUN Bangi. Jamuan ini dianjurkan sebagai tanda kesyukuran di atas kemenangan besar Barisan Rakyat dalam pilihan raya baru-baru ini. Majlis Jamuan Pemimpin Bersama Rakyat ini turut diisikan dengan beberapa sub-program iaitu Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang, Pelancaran Kelab Penyokong PAS DUN Bangi dan ucapan-ucapan daripada YB. Dr. Che Rosli Che Mat, YB. Lee Kim Seng serta YB. Teo Nie Ching. Majlis yang menyajikan lima ekor lembu, 6 ekor kambing dan 1200 ekor ayam itu mendapat sambutan hebat daripada penduduk DUN Bangi. Turut hadir membuat liputan majlis Jamuan Rakyat ini ialah NTV 7, Harakah dan Tamil Nessan.

MAJLIS ANUGERAH PELAJAR CEMERLANG

Jamuan yang bermula sekitar jam 10.30 pagi itu dimulakan dengan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang DUN Bangi. Majlis ini diadakan bagi mencapai beberapa tujuan penting. Antaranya ialah:

1) Penghargaan kepada pelajar-pelajar cemerlang di kawasan DUN Bangi.
2) Memberi galakan kepada anak-anak untuk cemerlang.
3) Melahirkan rasa prihatin masyarakat terhadap usaha melahirkan masyarakat berilmu.

Dalam ucapan YB. Dr. Shafie Abu Bakar, beliau menyatakan penghargaan dan ucapan tahniah kepada pelajar-pelajar cemerlang DUN Bangi. Beliau juga melahirkan rasa bangga dan optimis untuk menjadikan Bandar Baru Bangi sebagai Bandar Ilmu. Keyakinan yang diluahkan itu bertitik tolak daripada keadaan Bandar Baru Bangi yang dikelilingi pelbagai Pusat Pengajian Tinggi.

Dalam kenyataan media yang dibuat, YB. Dr Shafie Abu Bakar menyatakan bahawa galakan terhadap pelajar-pelajar meningkatkan kecemerlangan mereka di dalam pengajian telah lama dilakukan. Iaitu semasa kita menjadi ADUN Kajang (1999-2004). Katanya, Galakan dan insentif demikian terus dilakukan, walaupun kita tidak menjadi wakil rakyat (2004-2007). Sebagai contoh, kita mengadakan program `Selamat Kembali ke Sekolah` sejak 2003 dan program ini terus dilakukan. Contoh bagi tahun 2006 kita mengeluarkan peruntukan sebanyak RM5,000 bagi membantu pelajar-pelajar miskin dan cemerlang dan bagi tahun 2007 kita mengeluarkan peruntukan sebanyak RM7,000 bagi tujuan berkenaan.

Bagi tahun ini (2008) kita wujudkan program Anugerah Pelajar Cemerlang DUN Bangi. Peruntukan sebanyak RM8,000 disediakan sebagai galakan dan insentif kepada pelajar-pelajar cemerlang. Kali ini anugerah cemerlang (2008) melibatkan semua pelajar cemerlang di sekolah-sekolah menengah di DUN Bangi dan pelajar-pelajar cemerlang dari DUN Bangi yang belajar di sekolah-sekolah di luar dari DUN Bangi. Penilaian dan anugerah ialah bagi peringkat STPM dan SPM. Jumlah mereka semua ialah 68 orang. Jumlah pelajar STPM hanya 3 orang. Iaitu seorang meraih 3A dan 1B (Yoges A/P Sandra Babu) SMK Kajang Utama, Kedua 4B (Ruqayyah Ahmad) SMK Jalan Reko dan 1A, 2B, 2C (Navien Rajendran A/L Rajendran).

Bagi SPM maksimum pencapaian bagi tahun ini bagi pelajar-pelajar di sekolah-sekolah menengah di Bandar Baru Bangi ialah 13A dan paling minimum yang diberi insentif ialah 10A. (Kecuali seorang anak ibu tunggal dari Council Home 9A). Pelajar yang berjaya meraih keputusan cemerlang 13A ialah Farhana Binti Tajarudin dan Nurhafiza Binti Hassan Ganny. Kedua-duanya beroleh 12A1 dan 1A2 merupakan pelajar Maahad Hamidiah Kajang.

65 Pelajar SPM Menerima Anugerah

Pelajar-pelajar SPM yang menerima anugerah ialah sebagaimana berikut:

Sekolah Menengah Jalan 2, Bandar Baru Bangi 04 orang
Sekolah Menengah Jalan 3, Bandar Baru Bangi 06 orang
Sekolah Menengah Jalan 4, Bandar Baru Bangi 23 orang
Sekolah Menengah Jalan Reko B. Baru Bangi 04 orang
Sekolah Menengah Jalan Bukit, Kajang 09 orang
Sekolah Menengah Kajang Utama, Kajang 02 orang
Sekolah Menengah Hamidiah Kajang 17 orang
Sekolah Menengah Wilayah Persekutuan Kajang 01 orang
Sekolah Menengah Keb. Agama Labu, N. S 01 orang
Sekolah MRSM Langkawi 01 orang

Jumlah pelajar SPM 65 orang

Beliau turut mengharapkan agar dengan dengan galakan yang diberi ini, walaupun kecil, iaitu sebanyak RM100/= seorang bersama dengan 'Warqah Pengiktirafan' merupakan suntikan semangat kepada pelajar-pelajar lebih bersungguh di dalam menghadapi pelajaran mereka dan mereka akan lebih berjaya lagi pada masa hadapan.Katanya, pelajar-pelajar tersebut sebenarnya menjadi duta-duta yang membawa dan mengangkat ‘Bendera Ilmu’ bagi rakyat di DUN Bangi dan mereka juga adalah pewaris yang akan meningkatkan imej Bangi sebagai ‘Bandar Ilmu’.

PELANCARAN KELAB PENYOKONG PAS

Pada jam 12.30 tengah hari, program diteruskan dengan pelancaran Kelab Penyokong PAS DUN Bangi yang disempurnakan sendiri oleh YB. Dr. Shafie Abu Bakar. Seramai 150 orang telah menyertai ahli Kelab Penyokong PAS. Penyerahan borang kelab penyokong PAS kaum India diwakili oleh Lethumanan A/L Govindasamy. YB Dr Shafie dalam ucapannya menyebut bahawa Kelab Penyokong PAS ini ditubuhkan untuk menjadi wadah bagi bukan Islam untuk memberikan sokongan mereka kepada PAS. Katanya, orang bukan Islam juga berhak mendapat peluang yang sama untuk berkhidmat kepada masyarakat. Ini jelas terbukti apabila PAS memberikan peluang kepada calon bukan Islam iaitu Kumutha Rahma untuk bertanding di Johor. Beliau juga berharap agar Kelab Penyokong ini menjadi “orang tengah” di dalam membantu PAS untuk mendapatkan maklumat dan aduan daripada kaum masing-masing. Malah ia juga diharapkan dapat membantu PAS untuk mengadakan program-program bagi mendekati masyarakat bukan Islam.

Turut menyampaikan ucapan pada majlis itu ialah YB Dr Che Rosli, YB Lee Kim Seng dan YB Teo Nie Ching. Dalam ucapan mereka, kesemua YB mengucapkan terima kasih kepada para pengundi kerana kesediaan mereka membuat perubahan sehingga memenangkan Pakatan Rakyat.

UCAPAN TAHNIAH DAN TERIMA KASIH

Saudara Shukor Bin Atan dan AJK pelaksana “Jamuan Rakyat”
AJK PAS Kawasan Serdang
Para penyumbang program “Jamuan Rakyat” RELA
Unit Pertahanan Awam (JPA3)
JASA Alumni
Unit Amal
Dewan Muslimat PAS Serdang
Dewan Pemuda PAS Serdang
Nisa’ Serdang


Juga jutaan terima kasih kepada yang turut sama terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam menjayakan program ini. Mohon maaf kepada semua hadirin atas segala kekurangan.

March 27, 2008

CEPAT DAN TANGKAS



















Sungai Tangkas, 27/3/08 : Cepat dan Tangkas! Itu saja ayat yang boleh diluahkan apabila melihat tindakan segera daripada JKR yang telah membaik pulih jalan rosak serta membesarkan longkang. Tindakan ini merupakan respon segera daripada pihak berkenaan terhadap kenyataan media yang dikeluarkan oleh YB. Dr. Shafie Abu Bakar.



















Menurut penduduk di kawasan tersebut, sebelum ini (ketika Barisan Nasional memerintah) laporan dan aduan telah dibuat. Namun tidak ada sebarang respon kecuali hampir PRU ke-12 baru-baru ini. Tapi kali ini, setelah kerajaan bertukar, tindakan membaik pulih keadaan tersebut dilakukan dengan begitu pantas.

SIDANG MEDIA KEROSAKAN JALAN DI KOMUTER UKM


Sungai Tangkas, 25/3/08 : Satu sidang media dibuat akibat banyak masalah dihadapi pengguna komuter UKM, Bangi dan juga penduduk Sungai Tangkas. Ianya diadakan selepas tinjauan YB Dr. Shafie Abu Bakar berikutan banjir kilat pada 23 dan 24/3/08 yang telah merosakkan jalan. Dalam sidang media yang dihadiri oleh pemberita-pemberita media Harakah, The Sun, Utusan Melayu, BERNAMA, Harian Metro, Sinar Harian, Kosmo dan beberapa lagi, YB Dr. Shafie Abu Bakar telah menyatakan beberapa masalah penting yang dihadapi oleh penduduk. Antaranya tempat letak kereta yang tidak mencukupi, ketiadaan lampu jalan, kerosakan jalan dan sebagainya.


Beliau juga menyatakan kekesalan beliau terhadap beberapa pihak terlibat yang sebelum ini tidak mengambil tindakan terhadap aduan rakyat itu. Menurut beliau, semasa beliau menjadi Wakil Rakyat Kajang pada 1999-2004, beliau telah menyuarakan permasalahan ini kepada pihak berkuasa MPKj. Namun, sehingga sekarang tidak kelihatan tindakannya. Oleh itu, katanya beliau berjanji akan memastikan pihak-pihak yang terlibat membaiki keadaan yang ada.

“Sekarang kita sudah menjadi kerajaan, jadi lebih mudah bagi kita untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya kepada pemberita.