March 7, 2011

Intra-Mas 6: Kejayaan Dipuncaki Jamuan Rakyat Di Padang

Kajang Utama, 01 Rabiul Akhir = 06 Mac (Ahad):

Intraksi Masyarakat antara Adun & AJK dengan rakyat berlangsung di Kajang Utama mulai Jumaat 4 – 6 Mac (Ahad). Intra-Mas Wakil Rakyat jumpa kita dipuncaki dengan Jamuan Rakyat di Padang berdekatan dengan Rukun Tetangga di sini dihadiri lebih kurang tujuh ratus orang. Menu utama ialah sate di samping nasi lemak.. Hadir di dalam majlis selain dari Adun ialah Tuan Haji Shafie Ngah Ahli MPKj selaku pengarah, Tuan Haji Azhar Imam Surau Al-Muhajirin,En- Ibrahim Martibi Ketua Rukun Tetangga, Sdr. Guna Ketua Wakil Kaum, Mejer (B) Adnan Awang dan lain-lain.


Jamuan Rakyat yang diadakan pada tengahari hari ini berikutan dari berjaya dan lengkapnya program berlangsung selama tiga hari berturut-turut di sekitar Kajang Utama.
Program-program yang berlangsung ialah:

1. Makan pagi bersama rakyat setiap pagi di kedai-kedai makan terpilih



2. Ziarah warga mas, mereka yang sakit, daif dan ziarah pemimpin-pemimpin. Jumlah yang diziarah selama tiga hari ialah 51 orang/rumah.



3. Majlis menentukan arah kiblat Surau At-Taqwa Taman Seri Mewah dibimbing saudara Jazlan, saudara Ibrahim dan Mohd Asri dari JAIS.
4. Melawat projek perumahan Kajang Dua Metro yang menampal jalan dan mengecat bumper sebelum Adun turun melawat
5. Pelancaran Kelab Berbasikal Veteran Surau Al-Muhajirin, Kajang Utama



6. Memotong dahan-dahan pokok oleh pihak MPKj




7. Acara senam robek
8. Gotong royong membersih padang berhampiran Town House dam kawasan Town House (dihadiri sama YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang).



9. Pemeriksaan kesihatan dengan kerjasama Klinik Az-Zahrah dan Darus-Shifa`



10. Buka Kaunter pendafataran pengundi, warga mas dan lain-lain



11. Berkhutbah Jumaat di Surau Al-Muhajirin
12. Jamuan Rakyat



Intra-Mas Siri 6 adalah separuh dari keseluruhan program. Buat sementara program ini ditangguh untuk penilaian dan tumpuan pada tugas-tugas yang lain dan akan disambung kembali pada masa akan datang untuk separuh kedua.
Kejayaan program amat bergantung kepada penyusunan program secara teratur, keterlibatan AJK, kerjasama dari cawangan, persatuan penduduk, surau, Rukun Tetangga, pemimpin-pemimpin setempat, ketua-ketua rumah pangsa dan penduduk setempat.

Terima kasih kepada semua.

Sekian.

March 6, 2011

Pelancaran Buku Jingga & Sambutan Tiga Tahun Pemerintahan Pakatan Rakyat

Shah Alam, 30 R. Awwal = 05 Mac (Sabtu):

Perhimpunan diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam malam ini dengan tujuan di atas yang dihadiri oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor, YB Dr. Tan Seng Giaw yang mewakili YB En. Lim Kit Siang Penasihat DAP, Datin Sri Wan Azizah Presiden Keadilan Rakyat dan YB Dato` Hasan Ali dari Pas yang juga selaku Pengerusi AJK Sambutan, YB Dato` Teng Chang Khim Speaker Dewan Negeri Selangor, YB Dato` Haji Khusrin Munawi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, para Exco, ADNS, Ahli-Ahli MPKj, Penghulu, Ketua Kampong dan pegawai-pegawai Kerajaan. Majlis diisi dengan ucapan-ucapan dan tayangan yang memaparkan tentang kejayaan pemerintahan PR selama tiga tahun dan tawaran-tawaran Buku Jingga. Kehadiran amat sederhana yang para hadirin hanya memuatkan ruangan bawah bahagian tengah. Ini disebabkan pada malam ini sebahagian besar dari tenaga PR berada di Merlimau, Melaka dan Kerdau, Pahang bagi kempen puncak dan terakhir di kedua-dua kawasan pilihanraya berkenaan yang diadakan secara serentak dan esok adalah hari membuang undi. Namun ramai yang melahirkan pendapat maklumat diterima lewat, setengahnya menerima melalui sms disaat akhir dan kurang dari publisiti. Mereka berpendapat tindakan menggembleng tenaga dan kehadiran lebih berkesan melalui parti, bukan melalui birokrasi pentadbiran.

YB Dato` Dr. Hasan Ali di dalam ucapan alu-aluannya menyifatkan PR, khususnya di Selangor berjaya melonjakkan negeri tersebut dengan berbagai-bagai tawaran kepada rakyat seperti Mikro Kredit Luar Bandar yang dalam masa 6 bulan berjaya diberi pinjaman kepada 1,500 peminjam dengan jumlah pinjaman RM3.6 juta. Ribuan geran tanah dapat diluluskan kepada rakyat yang tidak bertanah yang selama ini berpuluh tahun mereka menunggu tidak diluluskan oleh pemerintah BN. Beliau menekankan Pas akan terus bersama dengan imej bersih. PR di Selangor menurutnya berjaya meningkatkan perkembangan dan Imej Islam di Selangor. Islam di Selangor menurutnya berhasrat menjadikan Selangor sebagai Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur maju dari segi fizikal, minda dan spiritual.

YB Dr. Tan Seng Giaw sebagai penceramah kedua menurutnya Selangor berada di atas track yang betul, tetapi banyak lagi yang perlu diperbetulkan. Menurutnya Barisan Nasional yang tak rasional membelanjakan begitu banyak duit rakyat di Merlimau dan Kerdau, Mereka cerita yang baik-baik, tetapi menyembunyikan yang buruk-buruk seperti Skandel PKPZ RM12.5 bilion. Mereka kata Buku Jingga tak dapat dilaksanakan kerana ketiadaan wang, tapi kalau dilaksanakan tak sampai jumlah RM12.5 bilion PKPZ. Perbelanjaan bagi pelaksanaan bahasa Inggeris dan metametik (PPSMI) sebanyak 5 billion, tapi hasilnya kosong. Beri subsidi gas kepada Syarikat Tenaga Swasta sebanyak RM16 billion, tetapi tak diberi kepada rakyat. Dalam rancangan Malaysia ke 9 terdapat 3,737 projek, tetapi yang berjaya hanya 1,673 yang lain tak berhasil. Berlaku pembaziran yang amat sangat. Di negeri-negeri PR perintah pelaburan meningkat terutama Selangor dan Penang. Kakitangan kerajaan makin sopan dan kecekapan lebih baik, tapi boleh dipertingkatkan lagi. Kita perlu cerdik pandai dan cari jalan tarik mereka ke negeri-negeri PR. Semua pentadbir perlu jujur dan komited dan tidak pentingkan diri. YB Dr. Tan Seng Giaw menamatkan ucapan ringkasnya dan amat berisi:

Pisang sesikat
Gulai sebelanga
Tanda muafakat
Kita bersama.

Dr.Wan Azizah dalam ucapannya menyentuh tentang pembaziran yang dilakukan oleh BN yang dikaitkan dengan sifat syaitan. PR berazam untuk mengekalkan imej bersih, demokratik, dan telus. Mempertahankan perkara 152 dan 153 Perlembagaan Negara. Mereformasi tatacara pentadbiran. Memperbaiki SPR & SPRM. Memansuh ISA dan tol. Kerjaan Pakatan Rakyat bercadang memberi elaun RM1,000 setahun bagi warga emas. Ambilalih air, promosi teknologi, membentuk masyarakat bermaklumat,, Wifi percuma, menyusun kembali Felda, royalty 20 % kepada negeri-negeri yang mengeluarkan minyak, menyekat pendatang haram, bantras rasuah dan memberi peluang bumiputera dalam pelaburan saham.

Puncak dari ucapan disampaikan oleh YAB Menteri besar Selangor yang rumusan ucapannya ialah:

• Buku jingga terjemah 3 tahun perintah = 1,000 hari akan dilaksana dalam 100 hari jika diberi mandate memerintah Negara.
• Meningkatkan kebajikan rakyat sebagai lanjutan dan polisi kebajikan yang telah dilaksanakan
• Meningkatkan komitmen merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor
• Kita naikkan gaji guru KAFA dari RM500/= kepada RM1,300/- sebulan
• Kita wujudkan Selcat untuk ketelusan
• Wujudkan Akta Kebebasan Maklumat
• Akan lancarkan Plan 3 Tahun Negeri Selangor
• Kita tingkatkan prestasi sukan negeri Selangor
• Pungut hutang Talang RM392 juta.
• Wujudkan Mikro Kredit Luar Bandar dan Bandar (Mimbar).
• Berusaha mengembalikan hak air kepada rakyat. Aset air dulu RM1,000 juta kini seharga RM10,900 juta
• Dulu SPRM selalu buru kita, kini mereka selesa dan berkawan dengan kita. Dari pendapatan RM4 juta pada masa BN, kini meningkat hasil RM40 juta dan akan meningkat lagi hasil dari pembaikan pentadbiran
• Kita labur dalam pendidikan Sekolah rakyat Agama Islam, Sekolah Cina dan Tamil RM26 juta menyebabkan MCA menjerit dan MIC berleter
• Skim Mesra Usia Mas amat berjaya. Pembaikan akan terus dilakukan. Pengumuman penting berkenaannya akan dilakukan pada 26 Mac 2011.
• Peruntukan RM3.5 juta untuk program remaja
• Pertingkatkan amalan demokrasi dan ketelusan
• Sambutan dengan berbagai program akan diteruskan

Penutup

Sambutan seharusnya bukan setakat ceramah, tetapi adakan penilai luar berwibawa beri pandangan tentang kejayaan dan kelemahan semua negeri Pakatan dan polisi pakatan dan cadangan-cadangan.
Adakan forum dan diskusi diberbagai tempat sebagai media menyampaikan maklumat dan kefahaman rakyat.
Keluarkan berbagai-bagai penerbitan termasuk buku kajian tentang pemerintahan dan polisi Pakatan Rakyat.
Cari pendekatan yang tidak membimbangkan semua kaum terhadap polisi Pakatan Rakyat.
Peringat semua pihak jangan menyentuh dan elak dari perkara yang sensitive bagi semua kaum dan tangani secara teliti jika timbul.
Adakan berbagai kursus kepada wakil-wakil rakyat dan pentadbir.
Banyakkan kegiatan ilmiah yang membuka ruang inovasi dan kreatif bagi pemerintahan dan pentadbiran.
Fikirkan pendekatan yang memberi kepuasan kepada semua kaum dan semua peringkat masyarakat.
Menghormati ugama, budaya dan cara hidup semua kaum.
Membentuk satu bangsa yang berbudaya Malaysia tulen.

Sekian.

March 5, 2011

Menteri Besar Lancarkan Mikro Kredit Bandar (MIMBAR): Apa Perlu Lebih Dari Satu Mikro Kredit ?

Klang, 28 Rabiul Awwal = 03 Mac (Khamis):

Bertempat di Dewan Taman Pendamar Indah 2, Pelabuhan Kelang YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim, Dato` Menteri Besar Selangor melancarkan MIMBAR di dalam majlis yang dihadiri Ahli-ahli Exco, Adun-adun, Dato`-Dato` Bandar, YDP-YDP PBT, pegawai-pegawai dan mereka yang diluluskan pinjaman.

Dalam ucapannya Menteri Besar menyatakan MIMBAR adalah salah satu cara Merakyatkan Ekonomi (MES) penduduk yang sebahagian besar (90%) berada di dalam Bandar. Tidak ada bank yang mau memberi pinjaman secara kecil-kecilan, kerana tidak menguntungkan. MIMBAR menolong mereka sebagai tanggungjawab sosial dengan cara workfare bukannya welfare. Kita mau semua rakyat Selangor berdikari, inovasi dan kreatif dan tidak ada yang ketinggalan dari segi pembangunan.

Menurut Menteri Besar MIMBAR bergerak di atas modal pusingan berjumlah RM20 juta hasil dari pungutan hutang (RM390 juta) dari institusi-institusi yang diabaikan oleh kerajaan sebelum dari Pakatan Rakyat. Ini adalah jumlah yang berlainan dari RM50 juta Mikro Kredit Luar Bandar yang dilancarkan lebih dari 6 bulan yang lalu. Menurut Menteri Besar adalah menggembirakan berdasrkan kepada pinjaman Mikro Kredit Luar Bandar menunjukkan prestasi memberangsangkan. 100% peminjam membayar balik. 80% peminjam adalah dari kalangan wanita yang menjalankan perniagaan dan perusahaan kecil. Menteri Besar mengingatkan kepada peminjam-peminjam bersifat amanah. MIMBAR menyalurkan pinjaman melalui PBT-PBT. Setakat ini 8 PBT yang diberi tanggungjawab, iaitu Kelang, Shah Alam, PJ, MPKj, Ampang Jaya, Sepang, Selayang dan Subang Jaya.

Sebelum dari itu YB Rodziah binti Ismail, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan yang MIMBAR diletak di bawah portfolionya menyatakan Mikro Kredit adalah antara program merakyatkan ekonomi Selangor selain dari air percuma dan hasil pasir. Menurutnya daripada 2.5 juta rakyat Selangor, 87% daripada mereka adalah tinggal di Bandar dan didapati 30% daripada mereka adalah miskin. Kemiskinan di Bandar adalah lebih ramai dari kemiskinan di luar Bandar dan lebih parah. Sebab itu kita wajar menyediakan skim MIMBAR bagi melatih mereka berdikari, menggerakkan mereka dari mengharapkan welfare kepada workfare dan terbentuk sikap berdikari, bersaing secara sihat, bersifat inovatif dan kreatif. Menurut YB Rodziah pinjaman individu ialah antara RM1,000 hingga RM5,000 bergantung kepada saiz perusahaan dan keperluan. Buat peringkat permulaan, menurut YB Rodziah seramai 102 orang dipilih dan diberi pinjaman.

Sementara itu semasa berucap mengalu-ngalu para hadirin YDP MPK Dato` Mislan berterima kasih kerana memilih Kelang sebagai tempat pertama bagi pelancaran MIMBAR. Menurutnya MPK sentiasa bekerjasama dengan semua pihak bagi menjalankan kegiatan di MPK yang mempunyai fasiliti termasuklah Dewan yang digunakan.

Gimik pelancaran dilakukan oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Menteri Besar dengan menyerahkan jorang memancing Ikan kepada Dato` Mislan YDP MPK dan diikuti dengan penyampaian Mikro Kredit yang diluluskan kepada mereka yang terpilih.

Sementara itu pelancaran Mikro Kredit MIMBAR selepas pelancaran Mikro Kredit Luar Bandar dipersoalkan. Jika dikatakan pinjaman Mikro Kredit Luar Bandar berjalan lancar, bahkan 100 peminjam membayar balik hutang. Jika kejayaan sedemikian dicapai tidakkah wajar disatukan saja kedua-dua Mikro Kredit, bahkan dari awal tidak perlu ditubuhkan MIMBER, tetapi diluaskan Mikro Luar Bandar kepada peminjam Bandar yang dikatakan lebih besar jumlah peminjam tetapi kecil peruntukan (RM 20 juta). Kedua-dua modal disatukan (berjumlah RM70 juta). Dengan ini tidak berlaku duplikasi dan dapat mengurangkan tempat operasi, menjimatkan tenaga pekerja dan mengurangkan kos penggajian. Tidak perlu pertandingan antara exco, kurangkan karinah birokrasi pentadbiran dan selamatkan peruntukan dari duplikasi dan pembaziran.

Walau apa pun kita mengharapkan Mikro Kredit yang dianjurkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat akan benar-benar berjaya dan menjadi salah satu lambing kejayaan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor.

Sekian.

March 4, 2011

Kursus Haji Dan Gotong Royong Di Sungai Ramal Luar

Sungai Ramal Luar, 23-24 Rabiul Awwal = 26-27 Februari (Sabtu –Ahad):

Selama dua hari berturut-turut Adun Bangi mengunjungi Kampung Sungai Ramal Luar. Hari pertama kunjungan pada pagi Sabtu 26 Februari bertempat di Masjid Haji Mat Saman bagi merasmikan Kursus Haji yang pertama kali diadakan di Bangunan baru masjid ini. Hadir di dalam majlis yang diadakan di dalam masjid ialah Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Dalam, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Haji Mat Saman, Tuan Haji Johan bin Hj. Mat Noh Pengurus Tabung Haji Daerah Hulu Langat, En. Anwar sebagai penyelaras Urusan Haji, Ustaz Salihin Penyampai Kursus dan para peserta kursus yang dijangka lebih kurang 100 orang, tapi bagi permulaan baru hadir lebih kurang 50 orang. Majlis pembukaan yang dipengerusikan oleh Nazir Tuan Haji Nik Pa menjemput Tuan Haji Mohd Yusof berucap mengalu-ngalukan kehadiran pegawai-pegawai dan peserta kursus. Beliau melahirkan optimis peserta akan bertambah. Menurutnya caj yang dikenakan RM50.00 adalah minimum dan pihak masjid mensubsidikan sebahagiannya. Bayaran termasuk makan pagi dan tengahari dan kursus bersifat bersiri. Beliau menyatakan bahawa kursus ini adalah merupakan antara aktiviti yang dijalankan di Masjid Haji Mat Saman .Menurut Pengerusi Tuan Haji Nik Pa bangunan lama Masjid Haji Mat Saman akan dijadikan pusat pengajian dan kegiatan ilmu yang dijalankan di Masjid Haji Mat Saman.

Adun Bangi yang berucap merasmikan kursus mengucapkan tahniah kepada semua pengikut kursus yang dimaklumkan telah mendapat tawaran menunaikan haji. Beliau menyebut, bahawa haji bagi kebanyakan orang hanya sekali seumur hidup dapat pergi ke Tanah Suci, sebab itu ianya hendaklah dikerjakan secara sebaik mungkin dan belajar serta mengikuti kursus seperti pada hari ini merupakan pendekatan terbaik mempelajari kursus haji yang akan dipraktikkan. Haji menurut Adun selaku rukun Islam kelima adalah perlangsungan dari agama Hanif (Islam) sejak zaman Nabi Allah Ibrahim yang mendoakan akan kemakmuran Makkah dan menjadi tempat kunjungan para Haji dari pelbagai ceruk rantau dunia. Ke Makkah memanglah bagi tujuan menyempurnakan rukun Islam, tetapi di samping itu para pengunjung dapat mengukuhkan keyakinan dengan mempelajari sejarah yang berhubung dengan Nabi Allah Ibrahim dan anak-anaknya Ismail dan Ishak, juga kesan sejarah yang berhubung dengan Rasulullah s.a.w. semasa kehidupan baginda di Makkah dan juga di Madinah. Adun berdoa semoga semua bakal haji insya Allah dapat menunaikan haji sebaik mungkin dan diterima sebagai Haji Yang Mabrur.

Pada pagi hari kedua Ahad 27 Februari Adun berkunjung ke Sungai Ramal Baru, Sungai Ramal Luar, kerana menyertai program gotong royong bagi membasmikan nyamuk aedes. Kehadiran ke sini, iaitu selepas Adun hadir sekejap ke Madrasah Kafa al-Hidayah Taman Seri Intan meraikan jemputan yang dibuat Pengerusinya Encik Mustafa bin Sulaiman sempena Sambutan Maulid ar-Rasul dan penyampaian Anugerah Kecemerlangan pelajar.

Hadir ke Program gotong royong di Sungai Ramal baru ini ialah Puan Nur Faezah Ketua Timbalan Pegawai Daerah, Tok Rusli bin Muhibbat Ketua Penghulu Daerah Hulu Langat, Tuan Haji Yusof bin AbdulKadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Haji Mat Saman, Pegawai-Pegawai Jabatan Kesihatn Hulu Langat dan para peserta sukarelawan yang hadir bagi bergotong royong.


Tuan Haji Mohd Yusof mengalu-alukan para hadirin dan berterima kasih kepada Pejabat Daerah dan Pejabat Kesihatan yang dapat turun menjayakan program gotong royong di Sungai Ramal Dalam. Adun Bangi pula menyatakan kerisauan tentang kedudukan Hulu Langat sebagai tertinggi dengan wabak denggi di Malaysia. Imej ini kurang baik seolah-olah mencerminkan masyarakat di Hulu Langat tidak peka dengan kesihatan. Beliau berharap dengan program yang diadakan ini merupakan salah satu usaha mengurangkan kes denggi di Hulu Langat dan terus mengurangkan bilangan kes denggi di Hulu Langat. Kempen seperti ini dan peningkatan kesedaran sivik tentang kesihatan, menurut Adun hendaklah terus menerus diadakan bagi membaiki taraf kesihatan di Hulu Langat, mengubah statistik dan imej yang tidak menyenangkan Hulu Langat.

Selepas perasmian gotong royong mencari dan membasmi tempat membiaknya nyamuk aedes dilakukan hingga ke tengahari.

Sekian.

March 3, 2011

Kami Ke Kerdau: Keadaan Seperti 1960an, BN Abaikan Pembangunan

BBB, 27 Rabiul Awwal = 02 Mac (Rabu):


Walaupun Pas Selangor tidak dikehendaki bertugas di Kerdau, Temerloh bagi pilihanraya kecil di sana, kerana telah ditugaskan ke Merlimau yang juga akan berlangsung pilihanraya kecil secara serentak (6 Mac) di kedua-dua tempat. Tetapi keinginan bersama menyaksi kehangatan kempen pilihanraya kecil di Kerdau membuat Adun dan teman-teman mengambil keputusan ke Kerdau pada pagi ini. Dengan kumpulan yang sama semasa ke Merlimau pada 23 Februari yang lepas.


Adun bersama sdr. Shahrum, Amir dan Haji Mokri bertolak ke Temerloh jam 9.30 pagi dan tiba ke Markas Utama Pas di Kerdau jam 11.30 pagi. Bertemu dengan Pengarah Pilihanraya Kecil Kerdau, Dato` Tuan Ibrahim Tuan Man (Naib Presiden Pas). Tuan Syed Abdul Hamid Adun Pas di Basrah, Saudara Mazlan Aliman Pengerusi Persatuan Anak-Anak Felda (Anak). Pegawai dari Kedutan Brunei, Saudara Sabki Naib Ketua Pemuda dan petugas-petugas pilihanraya. Di tengah kesebokan , kami tidak minta diraikan, tetapi Dato` Tuan Ibrahim meraikan kami bersama dengan tetamu seperti dari kedutaaan, Tuan Syed dan lain-lain dengan bersama minum the di warong. Kehadiran kami dengan membawa sedikit barang-barang keperluan dan sejumlah sumbngan kewangan yang kami terus sampaikan ke Ybhg. Dato` Tuan Ibrahim.

Dari pemerhatian kami Dun Kerdau adalah Dun kawasan kampong yang amat daif, terletak di pinggir kanan Bandar Temerloh dari perjalanan dari Kuala Lumpur. Rumah agak jauh antara satu sama lain. Boleh dikatakan tidak ada pembangunan, bukan saja di Kerdau, tetapi juga di Temerloh. Menurut YB Syed Hamid,


`Temerloh sebagai Satu kawasan lama seperti Kuala Lipis, tidak membangun seperti Kuala Lipis. Di Temerloh, apa lagi di Kerdau tidak ada Pusat Pengajian Tinggi, tiada maktab, tiada pejabat, tiada kilang, tiada perusahaan Yang ada Balai Polis, tetapi terbengkalai dan beberapa deret kedai dan sebuah dua Sekolah. Menurut Dato` Tuan Ibrahim,


``Penduduk di sini kurang menyedari perkembangan luar. Mereka amat sederhana dan berpuashati dengan apa yang ada. Mereka amat perlu kepada perubahan, tetapi mereka sukar berubah`` Menurutnya lagi adalah menjadi kewajipan kita menyedarkan mereka. Kearah bertindak lebih positif. Mereka memang boleh berubah. Katanya lagi,


``Kita berharap calon yang kita tawarkan kepada rakyat (En. Hasanuddin bin Salim) dapat diberi mandate, sekurang-kurangnya calon kita dapat menyedarkan rakyat dan bercakap di Dewan Undangan Negeri masalah-masalah yang dihadapi rakyat di Kerdau dan masalah yang dihadapi oleh negeri secara keseluruhan.``


Menurut saudara Mazlan Aliman Pengerusi Anak-Anak Peneroka Felda, yang turut sama berbincang,

``Di Kerdau ada 9,000 pengundi. Daripada mereka 3.000 yang tinggal di tiga Felda.`` Menurutnya , ``Dulu kita menganggap peserta-peserta Felda memberi sokongan kepada BN secara solid,`` tetapi katanya, ``Keadaan berubah`. Mereka menyedari mereka diperhamba oleh Felda. Mereka tidak diberi geran tanah dan tidak ada pemilikan dan tidak tahu di mana lokasi hak mereka. Menurutnya dari desakan yang dibuat, banyak perubahan dibuat, misalnya mendapat pertambahan imbuhan yang setempal dengan pekerjaan.


Pihak lawan dari BN menuduh, bahawa pihak Pas ketiadaan modal, tetapi tuduhan yang seperti ini tidak betul. Kita dapati isu-isu yang dibawa adalah banyak,baik pada peringkat tempatan (Dun Kerdau) yang tidak ada pembangunan. Lebih-lebih lagi pada peringkat negeri yang ketara berlaku salah laku pentadbiran dan kepincangan kewangan Misalnya,

Audit Negara menyebut:

  1. Kelemahan pengurusan yang menyebabkan kerugian kewangan negeri Pahang sebanyak RM6.20 juta.
  2. Berbagai-bagai projek sakit yang terpaksa ditender semula yang belanja mengatasi jumlah projek asal seperti PPRM Simpang Pelangai Bentong, PPRM Kg. Sei Jaya Maran, PPRM Bandar Baru Jerantut yang menyebabkan negeri kerugian sejumlah RM8.29 juta.
  3. Penyalahgunaan bahan api dan kos bayaran melampau yang melibatkan jutaan ringgit
  4. Penyelewengan projek pendidikan seperti bumbung runtuh Sekolah Kebangsaan Rentam, bumbung beberapa dewan computer dibeberapa buah Sekolah, MRSM Bentong ditutup akibat tanah runtuh.
  5. Penyelewengan pengurusan balak yang merugikan kerajaan negeri
  6. Hutang Kerajaan Negeri Pahang sebagaimana laporan Audit Negara:

Masya Allah begitu banyaknya hutang kerajaan negeri Pahang ! Sesungguhnya Kerajaan Negeri Pahang memang kaya dengan hutan dan hutang !


Selepas berada di Markas Utama Gerakkerja Pilihanraya Pas di Kerdau, kami meninjau ke seluruh kawasan DUN Kerdau yang memperlihatkan tiadanya pembangunan. Keadaan seperti pada tahun 1960an. Apa yang nampak hanya bendera-bendera BN yang dicacak sepanjang jalan. Pada masa ini barulah dibawa projek mee segera dalam mana jalan-jalan sedang ditar sebagaimana juga dilakukan di Merlimau sebagai gula-gula bagi rakyat. Kita berharap rakyat tidak terpedaya.


March 2, 2011

Membersih Dan Mengecat Surau Sempena Maulid Ar-Rasul

Bangi Indah, Pekan Bangi, 23 Rabiul Awwal = 26 Februari (Sabtu):

Satu gotong royong diadakan pada pagi ini di Surau Al-Ibtidaiyyah, Taman Bangi Indah, Pekan Bangi sempena dengan Sambutan Maulid Ar-Rasul s.a.w. Gotong royong adalah anjuran Surau dengan kerjasama mahasiswa dari Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) Malaysia dari Sungai Besi. Jumlah mereka yang hadir lebih kurang 30 orang mahasiswa dan mahasiswi serta sukarelawan dari Impact Az-Zahrah. Sejumlah yang lebih kurang sama adalah terdiri dari penduduk kampong juga lelaki dan perempuan yang diketuai oleh Tuan Haji Sukaimi selaku Pengerusi Surau. Turut hadir Tuan Haji Zakaria Ketua Kampong Bangi. Adun Bangi dijemput merasmikan gotong royong.

Pada masa ketibaan Adun mahasiswa dan mahasiswi termasuk pemuda dari kampong berkenaan bersenam robik sebelum memulakan gotong royong. Selepas senaman Adun dengan masa yang terhad berucap ringkas memuji kerjasama di antara penduduk dan mahasiswa-mahasiswi yang datang bergotong royong – antaranya bagi memenuhi keperluan ko-kurikulum pengajian di UPNM, di samping berkhidmat kepada masyarakat setempat. Ianya benar-benar memberi faedah bagi kedua pihak di samping mengeratkan hubungan kemasyarakatan. Menurut Adun, ini bukan kali pertama Adun bersama dengan mahasiswa dan mahasiswi UPNM, kerana lebih kurang setahun yang lepas juga ramai dari mahasiswa-mahasiswi UPNM datang ke Taman Seksyen 8 Tambahan Bandar Baru Bangi, menjadi anak-anak angkat kepada penduduk di sana, di samping menjalankan berbagai-bagai kegiatan berasaskan Surau Al-Mustaqim di sana, termasuk gotong royong, sukanika dan sebagainya. Adun berharap kegiatan seperti yang dilakukan di Taman Bangi Indah dan juga Seksyen lapan Tambahan BBB akan diteruskan ke kawasan-kawasan yang lain, terutama di BBB. Adun sedia bekerjasama bagi menjayakan hasrat murni dan berfaedah itu.

Sementara itu kalangan ibu bapa sebok bergotong royong membersih ayam, melapah daging dan memotong sayur bagi persediaan Maulid Ar-Rasul pada malamnya yang turut disertai oleh mahasiswa-mahasiswi. Selepas berucap Adun memulakan mengecat pagar surau secara gimik dan diikuti mahasiswa-mahasiswa. Adalah difahamkan cat-cat berkenaan adalah disponsor oleh pihak Pact Zahrah yang juga menyediakan tenaga kerja.


Semoga amalan baik dibalas Allah dengan ganjaran pahala berganda. Insya Allah.

Sekian.

March 1, 2011

Mengurangkan Monopoli Alam Flora Sesuai Dengan Polisi Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor

MPKj, 25 Rabiul Awwal = 28 Februari (Isnin):


Sebagaimana maklum pengurusan sisa pepejal (sampah) di PBT-PBT bukan saja di negeri Selangor, bahkan kebanyakan negeri-negeri lain dimonopoli oleh Alam Flora. Perjanjian dibuat pada peringkat Persekutuan yang mengikat negeri-negeri dengan perjanjian tersebut. Oleh kerana Alam Flora satu-satunya syarikat yang diberi hak mengendalikan sisa pepejal, khususnya di Selangor, aduan kurang diberi perhatian serius, kerana mereka tidak menghadapi saingan dan tekanan. Ketidakpuasan hati terhadap perkhidmatan urusan sisa pepejal Alam Flora selalu kedengaran dan menjadi aduan. Oleh kerana bersifat monopoli, maka tidak berlaku pertandingan dan saingan yang sihat, sebab itu perkhidmatan tidak memuaskan. Pemilihan sub-kontraktor-sub-kontrektor tidak bersifat terbuka dan cenderung kepada bersifat kroni.


Di Selangor, sejak Pakatan Rakyat memerintah negeri tersebut mulai Mac 2008, timbul desakan-desakan yang mau syarikat-syarikat lain diberi peluang mengurus sisa pepejal, tetapi hasrat mau menukar kepada yang lain tidak dapat dilaksanakan, kerana terikat dengan perjanjian yang telah dibuat oleh pihak Persekutuan dengan Alam Flora, lantaran itu biarpun Pakatan Rakyat memerintah, tetapi kontrek Alam Flora tetap dikuasai oleh pihak dari kalangan Umno=BN, mereka lebih mengaut faedah, walaupun Pakatan Rakyat yang memerintah.


Setelah tiga tahun memerintah, usaha memecahkan monopoli Alam Flora tetap dilakukan. Pihak MPSJ dan MPKj mengorak langkah membuat pendekatan mengendalikan urusan sisa pepejal secara bersendiri. Pihak MPSJ dan MPKj menubuhkan Anak Syarikat di bawah PBT masing-masing dengan seorang manager yang menjalankan pengurusan sisa pepejal. Untuk mengelak dari permasalahan buat permulaan pihak PBT akan menguasai 30% daripada urusan terlebih dahulu, manakala 70% masih diberi peluang kepada kontrektor-kontrektor lama menjalankan perkhidmatan dengan prestasi mereka dipantau dan jika tidak memuaskan tugas mereka sedikit demi sedikit akan diambil alih oleh PBT.

Di dalam konteks MPKj, seluruh kawasan di bawah MPKj dibahagikan kepada 77 zon. Bagi kawasan 30% diambil alih oleh MPKj peringkat permulaan (23 zon), pihak MPKj akan mengeluarkan modal sebanyak RM2 juta dan pihak kontrektor lama yang sedia mempunyai peralatan dan kepakaran dikehendaki mengeluarkan modal RM7 juta (Semuanya RM9 juta).


Bagi zon-zon yang diambil alih dan dikendalikan oleh MPKj, maka tender-tender akan dilakukan secara terbuka bagi memberi peluang kepada kontrektor-kontrektor kecil berkelayakan mengambil bahagian di dalam mengendalikan pengurusan sisa pepejal di bawah MPKj. Pemilihan akan diasaskan kepada kemampuan kontrektor yang memohon dari segi kewujudan modal dan kemampuan menyediakan peralatan. Misalnya lori-lori yang dapat mengangkut sampah, peralatan yang lain yang diperlukan dan tenaga kerja.


Bagi memenuhi 30% yang dikendalikan buat permulaan oleh MPKj, hampir 50 kontrektor diperlukan dan dijangka memberi peluang pekerjaan kepada ratusan pekerja. Ini adalah merupakan usaha awal bagi memecahkan monopoli Alam Flora yang dilakukan oleh pihak Persekutuan. Inilah masalah selama ini yang membelenggu PBT kerajaan Negeri terikat dengan perjanjian yang dibuat melalui kerajaan Persekutuan. Keadaan seperti ini juga berlaku pada pengurusan air yang diswastakan kerajaan Umno-BN sebelum ini yang tidak mudah diselesaikan, kerana terikat dengan perjanjian dan modal yang diperlukan bagi mengambil alih dan memerdekakan kedua-dua urusan kepada hak dan pemilikan rakyat. Usaha tetap dilakukan bagi mengembalikan kedua-duanya kepada rakyat sesuai dengan slogan Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor.


Sekian.