October 7, 2011

Anak-Anak Dari Bandar Baru Bangi Hyper Aktif ? Melawat Wad Kanak-Kanak Hospital Serdang

Hospital Serdang, 08 Zulkaedah = 06 Oktober (Khamis):

Oleh kerana beberapa program mendatang dan bertindih pada petang ini, maka terpaksa dilaksanakan program-program ini terlebih dahulu. Sebab itu jadual yang diatur oleh Lajnah Kebajikan bagi melawat seorang anak yang sakit di Hospital berkenaan yang sepatutnya pada jam 5.30 petang, terpaksa ditakkhirkan ke jam 6.30 petang. Tergesa-gesa petang ini Adun ke Hospital Serdang dengan ditemani saudara Harun Aminurrashid Ahli Lajnah Kebajikan.

Setiba di Lobi Hospital Serdang ramai yang menunggu ketibaan Adun yang memang lewat. Seramai 15 orang daripada kami naik ke tingkat lima – Wad Kanak-Kanak. Turut sama Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan, Ustaz Hashim AJK dan ramai lagi. Tujuan kami ke Wad Kanak-Kanak pada asalnya untuk menziarah kanak-kanak yang sakit di sini dari Seksyen Dua Bandar Baru Bangi. Anak tersebut bernama Mohd. Herman Afiq bin Mat Izan. Bapanya En. Mat Izan ada bersama ibu Mohd Herman yang menunggunya, iaitu Puan Dewaini bt.Asun. Apabila ditanya, Apakah sebab anaknya patah kaki ?

Menurut Puan Dewaini, anaknya ketika bermain dengan kawan-kawannya di padang berdekatan dengan rumahnya terjatuh dan patah kaki dan kini masuk hari ketiga berada di Hospital. Walau bagaimana menurut bapanya En. Mat Izan,

``Hari ini Mohd Hirman kelihatan ceria, berbanding dua hari sebelumnya. Mungkin sakitnya berkurangan dan sukahati melihat ramai yang datang menziarah. Keriangan makin ketara apabila menerima buah-buahtangan. Kami ditunjuk gambar x-ray yang menunjukkan tulang kaki yang patah yang sedang dipulihkan.

Walaupun tujuan asal kami ke Hospital bagi melihat Adik Mohd Hirman Afiq, tetapi melihat kepada beberapa anak yang lain berada di Wad Pesakit yang sama, maka Adun turut melawat dan bertanya keadaan penyakit. Misalnya anak yang kedua kami melihat bersebelahan Mohd Hirman dan bertanya kepada Ibu yang menjaganya. Maka diketahui nama anak berkenaan ialah Mohd Nabil bin Mohd Nahi (10). Juga dari Bandar Baru Bangi. Menurut ibunya, anaknya jatuh ketika bermain-main dengan kawan-kawan di halaman permainan di kawasan perumahannya. Beliau patah lengan tangan dan perlu rehat.

Melihat kepada kedua-dua orang anak berkenaan dari Bandar Baru Bangi, Adun bergurau,

``Nampaknya anak-anak kita di Bandar Baru Bangi ini hyper aktif, kedua-duanya jatuh dan patah kaki dan tangan !`` kata Adun.

Selepas menyampaikan cenderahati kepada kedua-dua anak. Adun berpindah ke katil anak-anak berdepan dengan kedua-dua anak yang patah, Adun dapati anak bernama Faiz Hakimi dari Puchong berbalut tangan, kerana terkena mesin kisar yang ditekannya sendiri, manakala Abdul Karim dari Sungai Merab mengalami sakit kaki.

Ini membetulkan gurauan Adun , bahawa anak-anak berkenaan hyper aktif dan menerima akibat kerana terlampau lasak dan membahayakan diri.

Cuma seorang anak perempuan iaitu Nurul Nazi Shuhada dari Raub dibawa ke sini, kerana ketiadaan pakar di sana. Anak ini menerima rawatan di sini kerana mengalami masalah kelopak mata yang turun. Pihak Doktor berusaha memulihkan matanya.

Setelah menyampaikan cenderahati kepada semua yang dilawat, kami memohon diri dan bertolak pulang menjelang Maghrib.

Sekian.

October 6, 2011

Mesyuarat Stanco Perumahan Tempat Sesuai Membawa Masalah Perumahan Di Bangi

Shah Alam, 06 Zulkaedah = 04 Oktober (Selasa):

Hari ini diadakan Mesyuarat Stanco Perumahan yang mana Adun Bangi menjadi salah seorang ahlinya. Mesyuarat kali ini Adun benar-benar mau menghadirinya, selain dari menghadiri sebagai seorang ahli, Adun mempunyai permasalahan perumahan yang mau dibawa ke peringkat Stanco agar diterima dan dibincangkan. Lebih daripada itu ialah mengharapkan penyelesaian.

Di Dun Bangi ada beberapa masalah perumahan yang wajar dibela. Daripada banyak masalah perumahan ini dua masalah yang Adun Bangi fikir perlu diketengahkan.

Pertama ialah masalah Projek Perumahan Terbengkalai (Apartment Kelisa Ria) di Sungai Tangkas yang melibatkan 500 unit. Projek di bawah Pemaju T.J. Plaza Sdn. Bhd.


Adun Bangi pernah mengadakan pertemuan dengan pemilik-pemilik rumah di Pejabat Adun pada Sabtu 30 Julai 2011. Sejumlah Wakil-Wakil Pemilik dilantik (8 orang) bagi membingcangkan masa depan rumah pangsa yang terbengkalai. Hingga kini belum ada pertemuan sebagai perbincangan lanjutan . Adun menerima pertanyaan melalui telefon, termasuk melalui internet yang mau tau perkembangan lanjut berikut dari pertemuan pertama diadakan.

Hari ini bila perbincangan mengenai Perumahan Terbengkalai, maka Adun membangkitkan persoalan rumah terbengkalai di Sungai Tangkas, Bandar Baru Bangi. Berdasarkan senarai projek perumahan terbengkalai sebanyak 132 projek didapati Projek Perumahan Terbengkalai - Apartment Kelisa Ria, Kampong Sungai Tangkas, nampaknya tidak tersenarai di dalam jumlah terbengkalai. Mungkin perumahan berkenaan baru diisytihar dan dikategori sebagai rumah terbengkalai mulai 16 Mei 2011.

Meskipun ketiadaan di dalam senarai Adun memohon supaya perumahan terbengkalai di Sungai Tangkas berkenaan dimasaukkan sebagai Perumahan Terbengkalai. Adun sertakan surat permohonan yang dibawa. Adun juga bertanya kemungkinan mewujudkan peruntukan sejumlah 6 juta bagi membaik pulih projek yang terbengkalai. Daripada RM6 juta, 3 juta daripadanya untuk jalan dan infrastruktur dan RM3 juta bagi memplaster bangunan. Walau bagaimana untuk mewujudkan peruntukan perlukan dana. Maka antara cara terbaik berunding dengan pihak pemaju dan pemilik bagi mendapatkan dana seperti menambahkan bayaran dari pemilik atau menjualkan kepada pemaju yang lain yang akan menyiapkan rumah terbengkalai berkenaan. Walau bagaimana dengan pengisytiharan terbengkalai pembeli-pembeli secara kolektif dapat memohon agar interest yang terus bertambah dapat dihentikan dari tonggakan bayaran. Adun juga berunding dengan YB Iskandar selaku Exco Perumahan agar dapat turun ke Bangi seterusnya ke lokasi perumahan terbengkalai di Sungai Tangkas dan menemui sebahagian dari pembeli-pembeli bagi mencari jalan mengatasi masalah terbengkalai. Perumahan berkenaan dapat dikatakan sudah 80% siap. YB Iskandar sedia turun mengikut kesesuaian masa yang akan diatur.

Isu kedua yang dibawa oleh Adun Bangi ke dalam mesyuarat beserta dengan surat dan salinan surat terdahulu yang pernah dihantar (7 Julai 2011) ialah mengenai Bantuan Kebakaran. Ini berikut dari kebakaran kedai-kedai di Pekan Bangi sebanyak 9 buah pada 20 Julai 2011 yang langsung memusnahkan kesemua 9 buah kedai. Setakat ini tiada bantuan, kecuali dalam jumlah yang kecil dari Adun Bangi dan Ahli Parlimen Serdang. Difahamkan tapak dibersihkan atas pertolongan dari MPKj dan tiada bantuan yang lain. Kami difahamkan pihak pemilik-pemilik berusaha bersendirian bagi membangun kembali kedai-kedai di atas tapak asal. Mereka mengurus sendiri mencari Pemaju dan berunding bagi membina kembali kedai-kedai yang terbakar (Adun dan Ahli Parlimen YB Teo Nie Ching cuba mencari pemaju/kontrektor. Tetapi pemilik-pemilik membuat rundingan dengan pihak yang mereka fakir bersesuaian). Walau bagaimana kita memohon pihak Kerajaan negeri melahirkan simpati dengan memberi wang pampasan, sekurang-kurangnya dapat meringankan usaha pemilik-pemilik bagi memajukan 9 buah kedai berkenaan. Tiada jawapan dalam sidang berkenaan dan kita menunggu jawapan secara bertulis kemudian berdasarkan surat yang diajukan oleh Adun dalam mesyuarat berkenaan..

Sekian.

October 5, 2011

Mereka Menyerang Kita: Tingkatkan Kesedaran Pengundi Bagi Mengalahkan Mereka

Kompleks Sukan, Seksyen 15, BBB, 04 Zulkaedah = 02 Oktober (Ahad):

Mereka meningkatkan serangan terhadap kita, pertanda dekatnya pilihanrya. Bukankah dua pemimpin BN dalam bulan September turun menyerang Selangor? Datuk Seri Najib turun menyerang di utara negeri Selangor, sedangkan pada penghujung bulan itu juga Tan Sri Muhyiddin turun menyerang di Selatan negeri Selangor, khususnya di Bangi dengan berselindung di bawah program merasmikan Hari Landscape Negara. Seminggu sebelumnya beliau juga turun ke UKM mengadakan pertemuan-pertemuan. Manakala pendukung-pendukungnya turun ke institusi-institusi tertentu mengadakan pertemuan-pertemuan.dengan penduduk setempat. Sayap Wanitanya pula secara halus berkempen menarik sokongan kaum ibu di Bangi.

Malam Kesedaran Pengundi yang diadakan pada malam ini yang dihadiri penceramah-penceramah seperti Ustaz Shafie Ngah Ketua Pas Kawasan Serdang, Ustaz Idris Ahmad AJK Pas Pusat, saudara Suhaizan Kaiat, Exco Pemuda, YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang dan YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi dan 300 hadirin dan petugas-petugas.. Malam ini ditambah maklumat bagaimana mereka menyerang kita dan perlunya dipertingkatkan kesedaran mengundi. Ceramah yang dikendalikan saudara Shukor Atan menjemput Ustaz Shafie Ngah yang mengalu-ngalukan hadirin sambil menerangkan pengambilalihan MPKj pengurusan sisa pepejal dari Alam Flora di kawasan Kajang mulai 16 Oktober hampir nanti.

YB Teo Nie Ching menganjurkan agar diubah demografi kawasan pilihanraya yang tidak seimbang dan tidak adil. Menurutnya, Serdang mempunyai jumlah kedua tertinggi bagi kawasan Parlimen di Malaysia dengan jumlah pengundi serama 108,000 (Tertinggi Kapar dengan 122,000). Kata YB Teo, bandingkan dengan Parlimen Putera Jaya yang hanya mempunyai 8,000 pengundi. Menurutnya ada 10 buah kerusi parlimen yang jumlah pengundinya melebihi 100,000 pengundi dan kesemuanya di bawah Pakatan Rakyat, sedang jumlah pengundi di kawasan BN tidak setinggi itu – Biasanya di bawah 20,000.

Ketidakadilan juga ketara apabila majority keseluruhan pengundi bagi Pakatan Rakyat melebihi 50%, sedangkan kerusi tidak mencapai 50%. Ketidakseimbanagn ini perlu diperbetulkan. Beliau juga menyebut pembaziran pihak kerajaan yang membelanja sebanyak RM67 juta bagi penyewaan rumah dan sikap boros isteri & Perdana Menteri yang berbelanja di luar Negara.

Adun Bangi membicarakan pihak BN mau merampas Selangor, kerana kehilangan Selangor amat terasa oleh BN, lantaran Selangor menjana hasil 20% dari hasil Negara. Selangor bukan saja sumber ekonomi, tetapi sumber kuasa. Selangor mesti dirampas dari Pakatan Rakyat. Tetapi pihak BN amat merasa perit dengan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin di Selangor yang tidak ada di dalam pimpinan BN di Selangor lantaran itu kemajuan terus dicapai di Selangor. Dalam masa 6 bulan pertama 2011 Selangor menerima pelaburan luar tertinggi, iaitu RM5.2 bilion. Berbagai program yang selama ini tak pernah dilakukan oleh BN dan amat mendapat sambutan rakyat seperti Program Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor (MES) sebanyak RM465 juta, berbagai-bagai program kebajikan berjumlah RM1.1 bilion. Skim pinjaman modal kepada rakyat RM70 juta, air percuma, pinjaman Pelajaran Kerajaan negeri tanpa Bunga dan berbagai kegiatan lagi. Dari segi pengundian beliau mengingatkan jangan sampai terjadi penipuan undi oleh BN seperti berlaku di Terengganu pada tahun 2004. Pastikan syndrome Terengganu dan pengkhianatan oleh BN jangan sampai berlaku di dalam pilihanraya ke 13 nanti. Bersih amat berkesan di dalam memberi kesedaran pada pengundi, sebab itu BN bermati-matian menyekat dari berlakunya Bersih 2 yang berjaya diadakan, tetapi jika ternyata penyelewengan masih dirancang, maka ia mewajarkan berlakunya Bersih 3.

Saudara Suhaizan Kaiat, Ketua Pemuda Pas Johor dan Exco Pemuda Pusat menekankan berlaku dan wujud pengundi hantu. Beliau memberi contoh terdapat satu kad pengenalan dimiliki dua orang. Menurutnya juga ada IC clone, penawaran warga Negara yang berlaku di dalam satu setengah jam. Beliau menyebut kes Mesmah Bangladish. Beliau menyebut terdapat186,000 pengundi lahir di luar Negara yang patut diguna kod 71 dan bagi Indonesia kod 61, mengapa diguna kod lain yang tidak jelas di dalam urusan-urusan daftar pemilih yang meragukan ?

Manakala Ustaz Idris Ahmad sebagai pencermah terakhir dan mempunyai masa yang terhad membicarakan tentang BN mau memperdayakan sokongan terhadap Pakatan, Rakyat, tetapi Allah memperdaya mereka itu. Hasilnya 57% dari orang Melayu tidak lagi mempercayai BN. Anak muda menggunakan internate bagi kemudahan maklumat. Menurut Ustaz Idris semua orang perlu memahami proses pilihanraya. Masyarakat yang bersifat madani (civil) makin meningkat kesedaran dan untuk mengelak dari penipuan kesedaran ini hendaklah terus ditanam dan dikembang.

Demikianlah huraian yang disampaikan penceramah-penceramah dapat meningkatkan kesedaran pengundi dan diharap mereka menggunakan kuasa yang ada pada mereka bagi menegakkan kebenaran, demokrasi dan keadilan. Di dalam keadaan sekarang sebagaimana ditelah oleh Dr. Mahathir jika diadakan pilihanraya BN akan kalah, kita harap makin lama mereka mencari peluang makin menyempitkan peluang untuk kemenangan bagi mereka.

Sekian.

October 4, 2011

Melimpahkan Kasih Sayang Pada Keluarga Dan Rakan

Atas nama mesra dan kasih sayang
Berakar dalam diri dan hati
Faktor menggerak kami
mengukur perjalanan
Merentas sempadan
Bagi beberapa pertemuan
Melimpahkan kasih sayang.
















Pertama di Hospital Kuantan
Sengaja singgah di perjalanan
menemui adik ipar keuzuran
Yang bertongkat membilang tapak
Dengan cakap kehilangan rentak
Di sini adalah rumah keinsafan
Betapa fananya kehidupan
Melihat jejaran pesakit
Memerlukan rawatan
Mengembalikan kesihatan
Menceriakan kehidupan.

Atas dasar kasih sayang
bersama arus waktu
Kami ditolak angin rindu
Meneruskan kunjungan di perjalanan
Pada rakan menunaikan Haji
Bakal bertolak esok hari
Tiada kata lebih bermakna
Daripada selamat menunaikan Haji
Berharap Haji Mabrur bila pulang nanti.
















Sebuah perjalanan seharian
Cukup letih tapi tiba penuh kepuasan
bersama malam melabuhkan diri di kediaman
Sebelum esok kembali menziarah
Ibu dan bapa saudara di Tebing Tembah
(Dijemput berjumaat menyampaikan Khutbah)
Satu-satunya adik kandung dari Dungun
Bersama suaminya datang berkunjung
Bermesra sekian lama tak jumpa
Menatang kasih sayang melimpah.


Shafie Abu Bakar,
Kuantan – Paka,
01 Zulkaedah 1432
29 September 2011.

October 3, 2011

Pentingnya Negara Mempunyai Pemimpin Mencintai Ilmu: Nik Nazmi Dengan Ide Dan Penulisan Ikon Bagi Generasi Muda

Shah Alam, 04 Zulkaedah = 02 Oktober (Ahad):

Adanya di dalam sebuah Negara atau negeri ulama atau intelektual yang memandu pimpinan dan masyarakat kepada jalan benar beradasrkan keilmuan adalah satu kemestian, tetapi jika di kalangan pemimpin itu sendiri yang mencintai ilmu, bahkan menulis buku, ianya merupakan pertanda yang baik, bahawa pemimpin berkenaan adalah mereka yang berfikir. Lebih dari itu dapat dilihat ke arah mana misi dan visi yang mau dibawa masyarakat.

Di dalam pimpinan Negara kita pernah ada dan masih ada pemimpin yang menulis contoh Mahathir Mohamad dengan Malay Dilemma (sekadar mengambil satu contoh), Abdul Hadi Awang Fiqh Al-Harakah (2 jilid), Nik Abdul Aziz Nik Mat Bunga Kebahagiaan, S. Husin Ali Two Faces, Mujahid Yusof Menuju Pas Baru, Pakatan Rakyat Selangor menerbitkan The Road To Reform dan ramai lagi pengarang yang menghasilkan tulisan yang mencerminkan pemimpin berfikir dan ada visi dan misi yang mau dibawa yang mungkin diterima dan dikuti atau disanggah.

Demikianlah pada hari ini saya antara mereka yang menghadiri jemputan lebih kurang 100 orang yang dijemput menghadiri Pelancaran buku dikarang oleh Nik Nazmi Nik Ahmad berjudul Coming of Age – sebuah tajuk yang besar dan dipersoalkan apakah kandungannya mampu mendukung tajuk berkenaan atau apakah ianya lebih bersifat bombastic dari kandungan yang dibawa. Majlis pelancaran pada tengahari ini walaupun jumlah jemputan terhad, tetapi dihadiri tokoh-tokoh terpenting. Antaranya YB Dato` Sri Anwar Ibrahim Ketua Umum PKR dan Ketua Pembangkang yang memperkatakan buku berkenaan dan melancarkannya. Turut hadir sama Tan Sri Dato` Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor, pemimpin-pemimpin parti terutama dari PKR, di samping aktivis-aktivis dan wartawan-wartawan.

Nik Nazmi Nik Ahmad adalah pemimpin muda yang versatile dan dinamik., lahir di Kuala Lumpur 1982. Belajar di Sekolah La Salle, Petaling Jaya, MCKK dan KYUEM dan menyambung pengajian di King`s College, University of London dalam bidang perundangan. Beliau terlibat dengan politik sejak berumur 19 tahun dan menjadi Ahli Dewan Negeri Selangor termuda bagi kawasan Seri Setia pada Mac 2008. Pernah dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor. Beliau adalah penulis prolific. Menghasilkan buku pertama Mendepani Zaman – Melayu untuk Abad ke 21 diterbitkan pada tahun 2009 setebal 152 hlm.– diterbitkan di dalam Edisi Melayu dan Inggeris. Buku kedua dan terbaru yang dilancarkan pada hari ini Coming of Age (2011) setebal 292 hlm. Beliau juga menulis di dalam The Edge,, The Malaysian Insider dan Sinar Harian. Beliau menulis mengenai isu-isue, terutama politik semasa. Contoh dalam Mendepani Zaman beliau memperkatakan tentang Paradigma Politik Baru, Ke Arah Merakyatkan Ekonomi yang istilah dan pendekatan ini popular di Selangor, Dinamika Pendidikan, Islam di dalam masyarakat majmuk dan Revolusi Sosial. Pandangannya segar dan kritikal.

Berhubung dengan buku keduanya yang dilancarkan oleh Dato` Seri Anwar Ibrahim:

``Coming of Age is an intellectual portrait of the writer as a young politician as he traces his journey from reformasi to 8 march 2008 and beyond Well-articulated with penetrating insights into the nation political awakening, this collection of essays is testimony to Nik Nazmi`s astuteness as an observer and more significantly his commitment to the cause for a better Malaysia.``

Menurut Dato` Seri Anwar, Nik Nazmi sungguhpun kelihatan kecil dan sederhana, tapi keras dan tegas serta berprinsip. Seorang pendukung demokrasi dan memperjuangkan keadilan.

Sebelum daripada itu Christine Chong mewakili Publisher – Marshall Cavendish yang juga menerbitkan buku pertama Nik Nazmi dan beberapa pemimpin Malaysia yang lain bahawa Coming of Age adalah buku hasil dari himpunan 40 esei Nik Nazmi yang ditulis dalam berbagai penerbitan mulai 2001 sehingga 2011. Sungguhpun menurut Christine, kajian menunjukkan kadar membaca masyarakat makin menurun dengan adanya internate, tetapi tidak menggugat pasaran buku. Tulisan yang dihimpunkan ini juga adalah koleksi hasil penulisan Nik Nazmi melalui antaranya internate.

Nik Nazmi juga berucap berterima kasih di atas kehadiran audien meraikan pelancaran buku terbaru beliau. Terima kasih khusus beliau kepada Dato` Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai kelapangan masa hari ini hadir dan melancarkan buku Coming of Age belian. Terima kasih beliau juga kepada YAB Dato` Menteri Besar yang banyak membimbing beliau dan tetamu-tetamu jemputan

Coming of Age adalah penulisan berhubung dengan isu-isu semasa menurut perspektif Nik Nazmi sebagai pendukung Parti Keadilan Rakyat yang membicarakan tentang masyarakat majmuk Malaysia, konsep keadilan yang diperjuangkan, reformai dari segi pengundian, politik baru Malaysia, penentangan terhadap ISA, Kritikan terhadap Suhakam, Menangani perubahan generasi muda, perlunya perspektif baru terhadap Bumiputra dan menuju sistem dua parti di Malaysia.

Nik Nazmi mempunyai peluang dan halaman yang panjang bagi memantapkan idea dan penulisan dan sudah tentu bidang penulisan dan politiknya menyediakan ruang yang cerah bagi masa hadapannya. Kita percaya beliau merupakan pemimpin berfikir dan kreatif dan beliau menjadi icon bagi generasi muda

Sekian.

October 2, 2011

Khalifah Ganti Superman – Muhammad Ali Hashim

Review Buku:

Di atas adalah judul buku mutakhir yang dihasilakan oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang diterbitkan pada tahun ini (2011) oleh Utusan Publications & Distributers Sdn. bhd. Buku berkenaan Adun miliki hasil dari hadiah oleh pengarang yang hadir di dalam Majlis Pelancaran Projek Rumah Berkembar Impian Mekar di Sungai Ramal, Kajang oleh Adun pada 9 September 2011 yang lepas.

Tan Sri Muhammad Ali Hashim ialah seorang tokoh terkenal di dalam bidang koporat. Beliau pernah menjadi Presiden/CEO bagi Johor Corporation (1982-2010) dan Presiden Pihak Berkuasa Tempatan, Pasir Gudang (1982-2008). Beliau memimpin kedua-dua bidang korporat. Antara pendekatan dan inovasi beliau ialah menerapkan nilai dan budaya Islam dalam bidang korporat, membina saf keusahawanan berjaya sehingga ke taraf antarabangsa. Antara cetusan ideanya ialah Konsep Jihad Bisnes, Waqaf Korporat dan Keusahawan Islam. Meneruskan kecemerlangannya, kini beliau menjadi Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia.

Idea-idea bernas Tan Sri Muhammad Ali tidak setakat lontaran pendapat dalam seminar, bengkel dan taklimat, tetapi diabadikan di dalam tulisan. Tan Sri Muhammad Ali setakat ini telah menghasilkan tiga buah buku. Selain dari buku Khalifah Ganti Superman yang dibicarakan, beliau juga telah menghasilkan buku Membujur Lalu … Satu Pengalaman Orang Melayu Dalam Pengurusan (1995) dan Bisnes Satu Cabang Jihad (2003).

Buku Khalifah Ganti Superman adalah merupakan penyusunan semula 60 rencana mingguan Minda Bistari yang diterbitkan di Harian Metro pada setiap Khamis dari 10 September 2009 hingga 21 Oktober 2010, ceramah di IPTA-IPTA di bawah Program Gerak Usahawan Siswa dan siri ceramah Halalan dan Toyyiban anjuran JCorp dengan kerjasama Dewan Perdagangan Islam Malaysia.

Sesuai dengan slogan yang dipegang oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim bahawa Bisnes adalah Jihad, maka antara misi yang dibawa di dalam bukunya ini ialah memperkasa Ekonomi Bangsa dan Umat. Bagi menjayakannya perlu kepada pembaharuan dan mempunyai pendekatan dan strategi berkesan sebagai institusi secara lslam. Beliau menganjurkan bisnes hendaklah dilakukan secara kolektif dan berjamaah dan kreatif. Menurutnya bangsa Melayu selaku umat Islam tidak berjaya di dalam bisnes selagi tidak bersifat alyadul ulya yang menguasai harta kekayaan dan berjihad dengannya ke Jalan Allah. Usahawan Muslim tidak seharusnya hanya menerima pendekatan barat, tetapi perlu kreatif dan inovatif di dalam bisnes yang seharusnya menurut acuan Islam.

Tan Sri Muhammad Ali Hashim juga melihat kaedah terbaik ialah ialah dengan memasyarakatkan usaha dan menentukan teraju kuasa ekonomi diserah kepada tangan al-yadul ulya yang menguasai harta kekayaan dan berjihad dengannya. Antara yang dicadangkan dan dulakukan ialah melalui Jihad melalui kaedah Waqaf Korporat yang menjadi milik kekal. Masyarakat.

Bagi Tan Sri Muhammad Ali Hashim peningkatan perlu di dalam berbagai bidang di atas puncaknya ialah pembentukan Insan Khalifah yang merupakan watak unggul bagi insan.
Ianya lambang bagi kesempurnaan Insan, lambang kepimpinan dan lambang bagi ilmu dan Ekonomi dan kemasyarakatan.

Apa yang dapat dikatakan buku Khalifah Ganti Superman bukan setakat teori, tetapi adalah hasil dari pengalaman dan keterlibatan Tan Sri Muhammad Ali Hashim dan sahabatnya dalam organisasi secara praktik. Kejayaan dapat dilihat terutama di dalam Johor Corporation. Penulis tinggi dari kesedaran keislaman dan jihad di dalam meningkatkatkan ekonomi dan martabat umat. Buku ini patut dibaca oleh mereka yang terlibat di dalam bidang ekonomi, khususnya ekonomi Islam dan jihad memartabatkan umat.

Sekian.

October 1, 2011

Melengkapkan Raya Ke Hujung Minggu - Mesyuarat Agung Di Masjid Al-Hasanah

BBB, 26-27 Syawal = 24-25 September (Sabtu-Ahad):

Hari Sabtu dan Ahad ini adalah hari-hari hujung minggu terakhir bagi bulan Syawal 1432, maka sebagai hujung minggu terakhir. Bagi yang menangguhkan sambutan, maka tarikh-tarikh bagi kedua-dua hari tersebut menjadi tarikh pilihan.

Berbagai-bagai cara sambutan yang dibuat dan antaranya mempunyai kelainan-kelainan bagi menarik kehadiran dan juga bagi menggembirakan anak-anak. Antara sambutan yang dihadiri Adun ialah Sambutan Raya di Surau Bangi Perdana yang diadakan pada 24 September mulai jam 10.00 hingga 1.00 tengahari. Di sini selain dari menyediakan jamuan raya termasuk sate, diadakan pertunjukan silat mata atau magic bagi menarik anak-anak. Di samping itu pembahagian duit raya diadakan. Adun turut hadir dan berucap ringkas. Pada tengahari ini juga Adun menghadiri sambutan raya yang diadakan oleh Persatuan Penduduk dan Surau Ittifaqiyyah, di Kajang Impian, Bandar Baru Bangi. Di sini di samping menikmati jamuan dan berucap Adun juga menyampaikan sedikit buah tangan kepada 4 ahli jamaah yang bakal menunaikan Haji (2 keluarga suami isteri).

Manakala pada Ahad 25 Adun menghadiri jemputan raya di Surau An-Naim yang diadakan secara gotong-royong. Berbagai jenis makanan disediakan. Selain dari Adun Bangi, turut hadir YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang. Turut mengadakan sambutan Hariraya ialah Bangi Valley, di Dataran Penyayang, Jalan 3/5 Bandar Baru Bangi, Adun turut hadir sekejap pada penghujung sambutan di sini dan beramah mesra dengan mereka yang masih berada di Bangi Valley berkenaan.
Sementara itu pada hari ini juga diadakan sambutan hariraya di Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi sempena Mesyuarat Agung Kali Kedua. Difahamkan semua masjid dan surau dikehendaki mengadakan mesyuarat Agung tahunan dalam masa terdekat. Mesyuarat Agung adalah bersifat muhasabah dan tidak ada pemilihan. Adun hadir bagi penutupan mesyuarat Agung dan sama menikmati jamuan hari raya.

Adun sebenarnya tidaklah mengetahui apa yang dibincangkan dan tidak mendapat sebarang bahan laporan mesyuarat berkenaan. Lantaran itu apabila diminta berucap bagi penutupan mesyuarat Agung Adun hanya menyentuh perkara yang releven secara umum bahawa,

``Kita bergembira bahawa sejak pemilihan AJK Masjid dan surau pada zaman Pakatan Rakyat, maka masjid dan surau bertambah makmur. Majlis-majlis keilmuan banyak diadakan dan kehadiran para jamaah makin bertambah. Keadaan yang sedemikian berlaku termasuklah di Masjid Al-Hasanah. Peningkatan prestasi Masjid ini adalah hasil dari dinamika AJK yang dilantik dan kita berharap, prestasi sedemikian akan terus meningkat. Adun juga berharap prestasi yang ditunjukkan oleh seperti Masjid Al-Hasanah menjadi contoh yang baik dan ikutan bagi semua masjid dan surau di Dun Bangi. Adun berpendapat apa yang dibincang pada hari ini yang antaranya diwakili oleh surau-surau ialah bagi memikirkan cara terbaik bagi kebaikan perjalanan masjid dan surau di bawah Masjid Al-Hasanah dan juga bagi seluruh masjid dan Surau di Dun Bangi’ Jika semua masjid dan surau di Dun Bangi bergerak cergas mengadakan kelas-kelas pengajian, mengadakan berbagai-bagai kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan, maka semaraklah Bangi dengan kegiatan keilmuan dan keislaman sesuai dengan Bangi sebagai Bandar Ilmu.

Sekian.