MPKj, 09 Rejab 1433 = 30 Mei 2012 (Rabu):
Adun Bangi menghadiri Mesyuarat Penuh MPKj pagi ini. Dalam Laporan Mesyuarat Jawatankuasa Kemasyarakatan terdapat kenyataan bahawa Karnival 1001 Rasa Sate Kajang akan diadakan pada 7 hingga 9 September 2012 sebagai acara tahunan. Walau bagaimana tarikh ini perlu kepada semakan Tourism Selangor.
Adun Bangi memuji dan menyokong cadangan mengadakan Karnival 1001 Rasa Sate Kajang sebagai mengekal bahkan meningkatkan imej Kajang sebagai `Bandar Sate` yang dapat menarik pelancong dan pengunjung datang ke Kajang bagi menikmati Sate Kajang. Walau bagaimana Adun menyatakan kekesalan, sebagai Pengerusi PADAT Adun pernah melawat Gelari Sate Kajang, di Jalan Kelab berhampiran Dewan Orang Ramai Kajang (Dewan Perbandaran MPKj) pada 5 Mei 2012 dan dapati Gelari sunyi dari pengunjung. Dari Buku Lawatan didapati pelawat bagi (Tahun 2012) Januari 4 orang, Februari 8 orang, Mac 28 orang dan April 44 orang. Adun bertanya mengapakah tidak diadakan kegiatan mempromosi sate dan menarik kehadiran pengunjung, supaya gelari menjadi ceria dan meriah ?
Dari Laporan yang Adun baca terdapat maklumat oleh kerana Dewan Perbandaran MPKj yang tidak jauh dari Gelari Sate merupakan laluan MRT (Mass Rapid Transit) dari Sungai Buluh – Kajang bakal dibina, maka bangunan Dewan Perbandaran MPKj akan diruntuhkan bagi memberi laluan kepada MRT. Maka pampasan pengambilan tanah akan diguna bagi membina bangunan baru Dewan Perbandaran Kajang yang akan dibina kembali di atas tapak Gelari Sate Kajang sekarang. Ini bererti bangunan Gelari berkenaan akan diruntuhkan dan mungkin akan dibina kembali sekitar Dataran Kajang (Padang Sukan).
Adun menambahkan soalan dan cadangan bahawa, kita di Bandar Baru Bangi amat memerlukan sebuah Dewan Persidangan dan Serbaguna bagi Kegiatan Ilmiah dan Kemasyarakatan. Perkara ini Adun pernah timbulkan di dalam Dewan Negeri Selangor di dalam ucapan, pertanyaan lisan dan tulisan dan pihak Pegawai Daerah Hulu Langat pernah menimbulkan perkara ini kepada Yang Amat Berhormat Dato` Menteri Besar Selangor semasa lawatannya ke Pejabat Daerah pada awal 2012. Terakhir permohonan juga dibuat melalui peruntukan Selangorku, tetapi sehingga kini tiada respond positif. Adun cadangkan dengan pampasan yang diberi oleh GAMUDA – Syarikat yang membina Laluan MRT, pihak MPKj wajar mencari tapak baru bagi pembinaan Dewan Perbandaran MPKj yang boleh diguna oleh penduduk Kajang dan juga Bangi, tempatnya mungkin di Jalan Reko, Kajang atau antara Sungai Ramal Luar dan Dalam atau tempat lain yang mempunyai kawasan yang selesa, khususnya untuk parking. Adun berpendapat masalah yang dihadapi oleh Gelari Sate Kajang, bukan kerana terpencil, kerana ianya berdekatan dengan gerai-gerai Sate Kajang. Sebenarnya kemalapan Gelari oleh kerana kelemahan pentadbiran yang tidak berusaha mengadakan kegiatan dan publisiti. Jika gelari ini dimusnah dan dibina di tempat lain dan di atas tapaknya didirikan Dewan MPKj, maka berlaku pembaziran dan bangunan Dewan MPKj juga tidak dapat lari dari masalah kekurangan tempat parking. Lebih-lebih lagi tidak selesa kerana Dewan MPKj ini berada di tepi laluan MRT.
Jawapan yang diberi oleh YDP, bahawa sebuah Dewan MPKj yang baru memang akan dibina yang lokasinya sekitar Gelari Sate. Tapi kita harap tidak sampai diroboh Gelari Sate yang relatifnya baru dibina dan dapat dielak dari membazir.
Namun bagi Bandar Baru Bangi, dimaklumi akan didirikan sebuah Dewan Konvensyen dan Serbaguna bertempat di Seksyen 15 Bandar Baru Bangi, bersebelahan dengan Galaxy Futsal. Tanah bersebelahan ini adalah tanah rekreasi – Kini diguna bagi permainan `Pin Ball``. Bagi diguna untuk Dewan, maka permohonan tukar syarat perlu dilakukan. Mungkin memakan masa. Difahamkan pembinaan diswastakan dan pihak Pemaju yang menanam modal akan mengambil bayaran sewa sehingga mendapat pulangan modal yang di Tanam dalam tempoh tertentu. Kemudian setelah selesai hutang, maka bangunan yang dibina akan diserahkan kepada Kerajaan.
Sementara itu sebelum ini tuntutan bagi mendirikan Dewan Konvensyen dan Serbaguna ialah dibuat terhadap PKNS agar menggunakan sebahagian dari tanah kosong di tepi Tasik Cempaka bagi mendirikan dewan berkenaan. Tempat di sini dianggap lebih strategic. Apakah PKNS akan membina Dewan yang dituntut ini di tepi Tasik Cempaka dan MPKj membina di Seksyen 15 ataukah tuntutan-tuntutan tinggal tuntutan dan penduduk Bandar Baru Bangi menunggu tanpa kepastian?
Sekian.
No comments:
Post a Comment