May 4, 2012

Rihlah Ilmiah: Wacana Buku Di DBP

DBP, 04 Jamadil Akhir 1433 = 26 April 2012 (Khamis):

Atas anggapan bahawa wacana di atas benar-benar bersifat ilmiah dan atas hasrat menyokong pemulihan imej DBP sebagai Pusat Ilmu, khususnya di bawah pimpinan Ybhg. Ketua Pengarah DBP Tuan Haji Awang Sariyan, memang penulis sejak menerima jemputan berazam akan hadir, maka itulah pagi ini penulis berada bersama khalayak intelek di Dewan Seminar DBP. Tujuan utama majlis diadakan ialah Pelancaran buku Rihlah Ilmiah buku nukilan dari Prof. Dr. Wan Mohd. Nor bin Wan Daud yang kini selaku Pengarah Center for Advanced Studies on Islam, Science and Civilization (CASIS) UTM.

Apa yang menggembirakan, sebahagian daripada universiti di Malaysia mewujudkan Pusat-Pusat Kajian Lanjutan Mengenai Islam seperti Istac di UIA, maka demikian UTM turut mengadakan CASIS, maka CASIS sebagai Pusat Penyelidikan, turut menerbitkan buku-buku kajian dan penyelidikan termasuklah buku Rihlah Ilmiah. Kehadiran Prof. Dato` Dr. Zaini Ujang Naib Canselor UTM ialah bagi melancarkan buku yang dihasikan CASIS ini.

Menurut Prof. Dr. Zaini Ujang Penerbitan buku Rihlah Ilmiah sebagai satu kejayaan bagi UTM, kejayaan penerbitan diharap menjadi contoh bagi jabatan-jabatan dan institute yang lain. Sebelum daripada itu Diskusi Buku Rihlah Ilmiah dilangsungkan dengan ahli-ahli diskusi terdiri dari Dato` Dr. Mohd Ghazali bin Md, Noor sebagai Pengarah Perancangan Strategic Kumpulan Islamic Development (IDB), Juga Panel Prof. Dr. Mohamad Zaini bin Othman Koordinator Antarabangsa dan Penerbitan CASIS, UTM, Ybhg. Dr. Adian bin Hussain Editor Buku Rihlah Ilmiah.. Prof. Dr. Wan Mohd. Nor turut berbicara ringkas berhubung diri dan penerbitan bukunya. Wacana keilmuan dikendalikan oleh Ybhg Tuan Haji Awang bin Sariyan.

Melihat kepada judul Rihlah Ilmiah mengingatkan kita pada buku Rihlah karangan Ibn Battutah. Adakah buku Rihlah Ilmiah ini tentang pelayaran Wan Mohd Nor sebagaimana Rihlah Ibn Battutah ?

Sebagaimana kata Dr. Awang Sariyan dalam aluannya sebagai Pengerusi Diskusi Wacana Ilmiah pada pagi itu, ``Pendekatan karangan buku `Rihlah Ilmiah` adalah dalam bentuk wawancara yang tidak bersifat kronologi sifatnya.`` Kandungan buku ini tidak bersifat gambaran perjalanan fizikal dari satu tempat ke tempat yang lain sebagaimana gambaran di dalam Rihlah Ibn Battutah umpamanya, Tetapi lebih bersifat simbolak dari segi perjalanan hidup Pengarang (Wan Mohd Nor) yang menekankan pengalaman, lebih-lebih lagi dari segi pencarian ilmu pengetahuan. Misalnya dibicarakan sebagai jawapan bagi pertanyaan tentang masa kecilnya, pemergian dan pengajiannya di Northern Illinois University, bergurunya dengan Fazlur Rahman di University of Chicago, Berhubung dengan guru ini dibicarakan dengan agak panjang, tanggapan pertemuannya dengan Profesor Ismail Faruqi, Lamya Faruqi (Isteri Ismail Faruqi) dan Seyyed Hossein Nasr dan pengalamannya semasa berkhidmat dengan Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas di Istac di bawah UIAM dan lawatan-lawatannya semasa berkhidmat di situ.

Melihat kepada pembicara-pembicara, iaitu Datuk Dr. Mohd Ghazali bin Md. Noor Mantan Pengajian Perancangan Strategik Kumpulan Islamic Development Bank (IDB) dan Ketua Sekretariat Suruhanjaya Visi 1440H IDB, Profesor Dr. Mohamad Zaini bin Othman Koordinator Antarabangsa dan Penerbitan Casis Universiti Teknologi Malaysia dan Dr. Adian bin Hussain (Pelajar Wan Mohd Nor, Pewawancara dan Editor bagi Rihlah Ilmiah) mereka adalah kalangan pelajar di Istac bahkan pelajar dibawah penyeliaan Dr. Wan Mohd Nor sendiri. Dari satu segi mereka yang ada hubungan rapat, lebih-lebih lagi pelajar adalah lebih baik, kerana mereka benar-benar kenal Pengarang (Wan Mohd Nor), tetapi tidak baiknya, kerana mereka pelajar, pekerja setempat dan kenalan rapat menyebabkan penilaian mungkin tidak objektif, bias dan bersifat mengangkat. Inilah penulis rasakan semasa menghadiri wacana berkenaan, bahkan pembicaraan lebih kepada yang bersifat hubungan peribadi, bukan kepada kandungan dan pendekatan buku.

Sebenarnya dalam mendukung dan memperjuangkan Islam dapat dikategorikan kepada sekurang-kurangnya tiga kelompok hasil dari orientasi pendidikan dan perjuangan yang dilalui

1) Kelompok yang mendalami ilmu Keislaman secara turath dan agak tradisional misalnya hasil dari keluaran Universiti Azhar dan universiti tempatan yang membawa nama Islam. Mereka mendukung, mengamalkan Islam dan menyebarkannya.

2) Kelompok yang berpengajian Islam dan Am yang melibatkan diri dalam politik dan berjuang untuk menegakkan Islam melalui politik yang mementingkan kuasa dengan janji untuk melaksanakan Islam.

3) Kelompok yang mendapat pendidikan Islam dan secular yang berminat mengkaji Islam secara akademik dengan menghasilkan berbagai pendapat dan aliran serta mempunyai pengikut-pengikut yang mendukungnya.

Wan Mohd Nor adalah tergolong kepada kelompok ketiga, tetapi walaupun beliau bertemu dengan Ismail Faruqi, Seyyid Hossein Nasr, Maududi dan terutama Fazlur Rahman, mereka ini tidak mendominasi pemikiran Wan Mohd Nor. Pertemuan dan Pengajiannya dengan Fazlur Rahman tidak menjadikannya Nur Khalis Majid atau Shafie Ma`arif yang membawa pulang dari Barat faham secular dan liberal ke Indonesia. Tetapi Wan Mohd Nor nampaknya lebih terpengaruh bahkan pendukung Falsafah Pemikiran Syed Naguib Al-Attas yang penulis kira, beliau bukanlah murid utama Syed Naguib, kerana ramai lagi murid-murid yang mendukung falsafah dan pemikiran Naguib. Wan Mohd Nor nampaknya berusaha membawa Pengaruh Naguib dari ISTAC ke CASIS di UTM.

Melihat kepada judul buku Rihlah Ilmiah Dari Neomodernisme Ke Islamisasi Ilmu adalah topic dominant yang dibicara oleh Syed Naquib. Syed Naquib membicarakan konsep moden di dalam beberapa buah bukunya, mempelopori Islam membawa perubahan positif baik dari segi pendidikan, politik, budaya dan keilmuan di Alam Melayu. Ini bercanggah dengan Winstedt sebelumnya yang menegakkan pengaruh Hindu mendominasi Alam Melayu.

Kita mencari apakan inti pemikiran dan wawasan yang asli dan jitu yang dibawa oleh Wan Mohd Nor, sebenarnya dia masih melanjutkan falsafah dan pemikiran Naguib, tetapi tidak dapat mendekati keunggulan Syed Naguib. Lantas buku Rihlah Ilmiah sebenarnya pengalaman pengarang dalam kehidupan mencari ilmu. Kita menunggu inti penemuan yang mau dipersembahkan!

Sekian.

No comments:

Post a Comment