May 6, 2012

Ke Kem Herba Sungai Congkak Hulu Langat & Berkejar Ke Kelab Golf Bangi

BBB, 12 Jamadil Awal 1433 = 04 Mei 2012 (Jumaat):

Oleh kerana janji telah dibuat dan permohonan peruntukan oleh Kafa Integrasi, Cheras Jaya telah diluluskan, untuk tidak menghampakan guru-guru dan pelajar-pelajar, walaupun tempat agak jauh di Kem Herba, Batu 14, Sungai Congkak, Hulu Langat dan pergi pula malam hari, Adun membuat keputusan untuk hadir, masalahnya pada malam ini juga ada jemputan meraikan warga emas Sungai Ramal Luar yang dihoskan oleh Ketua Kampong, Tuan Haji Mohd. Yusof bin Abdul Kadir bertempat di Golf Resort, Bandar Baru Bangi. Program ini juga patut dan wajar dihadiri Adun.

Kami bertolak (bersama saudara Azizi) selepas solat maghrib ke Hulu Langat. Perjalanan licin, tiada jammned. Masalahnya tiba ke Hulu Langat, Adun ingat-ingat lupa tempat yang dituju dan terpaksa dua kali berhenti bertanya di kedai-kedai tepi jalan dan tiba ke Kem Herba yang sebenarnya kami pernah datang beberapa kali sebelumnya. Sebaik tiba Adun terus diiring ke Dewan Terbuka Kem. Kami diberitahu oleh Ustaz Radhi Pengarah Program Motivasi, bahawa Kem bertujuan untuk memotivasi pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan pada bulan Julai nanti. Sebab itu mereka dibawa ke Kem Herba, Sungai Congkak di sini mengikuti program selama tiga hari dua malam. Pelajar sebenarnya bukan saja dari Kafa Integrasi Manba`il-Ulum (100 orang), tetapi juga diikuti pelajar dari Kafa Bukit Belimbing di Cheras (30 orang). Bagi pengendalian motivasi pihak penganjur menggunakan khidmat Isra` Trading And Cunsultancy Turut hadir sama dihadapan majlis ialah Ustaz Fitri sebagai Ketua guru.

Selepas pengenalan oleh Ustaz Radhi Adun diminta menyampaikan perutusan kepada pelajar.

Dalam percakapan Adun mengambil pendekatan, bahawa segala yang hidup termasuk cakrawala, planet bumi dan isinya adalah sentiasa bergerak dan dinamik menandakan ianya hidup dan maju. Diri, minda dan rohani kita juga seharusnya bergerak dan maju. Untuk memajukan semuanya ini seharusnya bergerak. Pergerakan yang paling utama melalui ilmu dan pengajian. Pelajar-pelajar belajar ialah untuk bergerak dan maju. Tetapi pergerakan dan kemajuan ini hendaklah disusun secara teratur dan dipelajari secara teratur. Dengan demikian anak-anak maju dan mencapai kejayaan. Ingat mereka yang malas, bahkan tidak bergerak, ketinggalan dan boleh mati. Jangan jadi mereka yang ketinggalan, apa lagi yang mati minda, hati dan jiwa.

Selepas menyampaikan motivasi lebihkurang 45 minit Adun memmohon diri kepada panitia AJK dengan menolak jemputan minum,kerana mau mengejar masa untuk ke pertemuan golongan warga emas di Golf Resort berhampiran Hotel Equatorial Bandar Baru Bangi. Perjalanan kembali ke Bangi agak cepat, iaitu mengambil masa lebih kurang setengah jam dan Adun tiba ke Golf Resort jam 10.30. Adun bersalaman dengan kalangan warga mas yang berjumlah lebih kurang 30 orang yang 10 orang daripada mereka ialah wanita.

Adun dimaklumkan oleh Tuan Haji Yusof, ``Majlis keraian warga mas sebenarnya adalah sebagai majlis ramah mesra yang Ketua Kampong menggunakan sebahagian dari peruntukan baginya.`` Adun berkata, ``Idea yang bagus, menghormati warga mas sekampong dan dapat mengeratkan hubungan.``

Tidak ada ucapan, tetapi tujuan bertemu muka dan beramah mesra dapat dicapai. Sebagai kenang-kenangan kami bergambar beramai-ramai sebelum bersurau jam 11.00 malam – tempoh waktu ditempah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment