May 29, 2012

Memperkasakan Muzium: Cabaran Dan Harapan

Shah Alam, 07 Rejab 1433 = 28 Mei 2012 (Isnin):

Minggu Sambutan Hari Muzium Antarabangsa peringkat Negeri Selangor 22 -26 Mei 2012 telah berlalu. Sambutan diisi dengan Perasmian, Seminar Pemerkasaan Muzium, Pelancaran Sahabat Muzium, Program Pendidikan Muzium, Forum Perdana dan Kembara Muziumku Warisanku 2012.

Photobucket

Daripada semua program di atas, maka Seminar Pemerkasaan Muzium: Cabaran & Harapan adalah paling berat. Oleh kerana beratnya, maka untuk memperkatakannya perlu kepada penelitian yang lebih mendalam.

Photobucket

Namun dilihat kepada kandungan kertaskerja-kertaskerja berkenaan seolah-olah bersetuju dengan pendapat YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor yang menyatakan pada Hari Perasmian sehari sebelumnya - 22 Mei, 2012 (selasa) bahawa,

``Permuziuman di Negara Kita belum sampai peringkat matang.``

Adun sendiri dalam ucapan alu-aluan menyebut tentang kekurangan bahan pameran di muzium kita berbanding dengan muzium yang telah established seperti di Turkey, Mesir, Cina dan sebagainya. Tetapi usaha pencarian, penyelidikan, kajian dan kreativiti dalam menampilkan artifek yang ditemui secara interaktif seharusnya berterusan.

Bagi memenuhi hasrat Memperkasakan Muzium: Cabaran Dan Harapan`` tiga tokoh telah dijemput bagi membentangkan kertas kerja masing-masing, iaitu:

1) Dunia Muziologi: Realiti Dan Impian oleh saudara Md. Redzuan Bin Tumin Ahli Lembaga PADAT

2) Transformasi Muzium oleh Dato` Paiman Bin Keromo Pengarah Muzium Diraja Abu Bakar, Johor Darul Takzim

3) Cabaran Institusi Permuziuman Pada Masa Kini oleh Prof. Dato` Dr Jayles Yeoh Pakar yang melibatkan diri dalam bidang Pendidikan Antarabangsa sejak 30 tahun. Antaranya Mantan Profesor di Lim Kok Wing University.

Saudara Ridzuan menggalurkan dalam kertas kerjanya sejarah permuziuman di Negara ini yang bermula di Taiping (1883) selepas kedatangan British ke Negara ini. Perkembangan permuziuman di Negara ini berkembang selepas kemerdekaan , terutama selepas tertubuhnya Muzium Negara yang mula beroperasi pada 31 Ogos 1963. Muzium ini dibina di atas tapak Muzium Selangor yang musnah terkena bom kapal terbang B 26 dalam perang Dunia Kedua. Antara tokoh muzium terkenal yang mengembangkan Muzium Negara ialah Tan Sri Mubin Sheppard. Hingga kini terdapat 200 muzium di negara ini dengan tenaga kerja 1,000 orang. Muzium sebagai institusi yang memulihara artifek dan segala warisan nilai dan budaya berfungsi:

  • Pengurusan berpandukan falsafah dan perjalanan muzium sebagai pusat pembelajaran dan pendidikan
  • Kuratorial dan professionalisme di muzium
  • Pengurusan koleksi
  • Rekabentuk pameran dan pameran muzium
  • Konservasi dan preservasi
  • Pemasaran, publisiti dan program pengembangan
  • Penyelidikan dan pembangunan muzium
  • Muzium dan pendidikan
  • Muzium dan teknologi komunikasi dan maklumat.

Saudara Redzuan berpendapat, ``Dunia muziology di Malaysia masih terbatas di kalangan institusi muzium sahaja dan masih dianggap asing di peringkat institusi-institusi Pengajian Tinggi tempatan.. Dalam pada itu tahap profesionalismenya juga sukar diukur kerana setiap muzium bergerak bersendirian di bawah bidang kuasa stakeholder masing-masing tanpa kawalan khusus daripada agensi-agensi pusat.``

Photobucket

Antara cabaran yang dihadapi muzium kini ialah:

  • Masalah mendapatkan dana mencukupi di dalam mentadbir dan memasyarakatkannya
  • Perubahan iklim politik yang pemerintahnya tidak berminat dan tidak peka tentang kepentingan muzium.
  • Perlu bersedia menghadapi kegawatan dengan menjana dana sendiri
  • Sekatan dan tiada insentif menyebabkan Kurator dan professional meninggalkan muzium ke peluang tawaran yang lebih baik.

Dato` Paiman menimbulkan dalam permulaan kertas kerjanya menyatakan, ``Meskipun sejarah permuziuman di Malaysia telah tua (1886), namun masih belum mencapai kematangan.Masih konvensional, kaku dan tidak dapat menarik ramai pengunjung.`` Tambahnya, ``Koleksinya masih bersifat umum, bahkan Muzium Negara sendiri tidak banyak koleksi yang mencerminkan sejarah dan budaya Negara ini.``

Photobucket

Tambah Dato` Paiman, ``Muzium mempunyai banyak produk, tetapi tidak diberi huraian dan tafsiran oleh penyelidik-penyelidik dan bahan-bahan tidak banyak memberi manfaat.` Menurutnya, ``Pemuliharaan bahan-bahan tidak dilakukan dengan betul, menyebabkan berlaku kerosakan dan pencemaran.`` Pihak muzium menurutnya, ``Gagal mentransformkan bahan-bahan sebagai wadah ilmu dan gagal memenuhi hasrat menjadikan sejarah sebagai mata pelajaran wajib.``

Yang Berbahagia Prof. Dato` Dr. Jayles Yeoh dalam membicarakan tentang, ``Cabaran Institusi Permuziuman Pada Masa Kini, menyarankan agar menjadikan orang ramai berminat dan bercakap tentang muzium, hendaklah berusaha menjadikan muzium sebagai satu institusi yang menarik minat masyarakat dan muzium menjadi destinasi kunjungan. Mereka sengaja memperuntukkan masa bagi mengunjungi muzium. Dengan koleksi, persembahan dan daya tarikan di muzium menjadikannya sebagai institusi yang lazim dikunjungi dan mengunjunginya dianggap sebagai kegiatan intelektual yang mencerminkan peradaban dan tamadun kemanusiaan.

Profesor Dr. Jayles juga mencadangkan, muzium perlu diwar-warkan sebagai milik masyarakat. Sebagai milik bersama, maka setiap orang berhak, bahkan dialu-alukan memberi pandangan, bahkan menjadi sebahagian dari tenaga yang sanggup memberi khidmat sukarela.

Menurut Profesor Dr. Jayles, sekatan terhadap orang ramai selama ini daripada mengambil gambar-gambar artifek adalah kurang tepat. Mereka patut dibenarkan mengambil gambar. Dengan penyebaran gambar, sebagai penyebaran maklumat yang dapat menarik pengunjung-pengunjung datang ke muzium.

Cadanga terakhir dari Profesor Dr. Jayles, bahawa Muzium hendaklah menganjurkan pertandingan dan peraduan yang dapat menarik pengunjung datang ke Muzium.

Jadi masih banyak ruang, cabaran dan usaha bagi meningkatkan kualiti dan prestasi muzium. Bagi memperkasakan Muzium hendaklah:

  • Melengkapkan modal insan dengan keilmuan dan kepakaran yang berhubung dengan permuziuman, termasuk membuat ijazah lanjutan dan pendedahan dengan kursus-kursus dan wacana-wacana ilmiah.
  • Melengkapkan muzium dengan koleksi artifak dan bahan-bahan yang memprojekkan imej positif muzium dan mempunyai identiti tersendiri..
  • Memberi insentif dan pulangan yang sesuai, terutama bagi pekerja-pekerja yang dedikasi, inovasi dan kreatif yang menaikkan imej muzium.
  • Memberi keutamaan kepada penyelidikan dan memperuntukkan dana khas bagi penyelidikan.
  • Mengadakan kerjasama seperti dengan universiti-universiti yang menganjurkan kursus permuziuman agar dapat bertukar-tukar kepakaran dan kerjasama dalam penyelidikan.
  • Mengadakan pameran dengan tema-tema menarik dan menghebahkan melalui media letronak dan media cetak.
  • Mengadakan seminar dan wacana ilmiah yang berhubung dengan permuziuman.
  • Mengeluarkan buku dan jurnal yang memuatkan maklumat berhubung dengan research yang dilakukan
  • Memberi penghargaan kepada tokoh-tokoh dan mereka yang berjasa di dalam bidang peradaban dan kemanusiaan.
  • Menyediakan dana yang mencukupi bagi perkembangan muzium.

Sekian.

No comments:

Post a Comment