May 4, 2012

Karnival Masjid-Surau Di Masjid Al-Hasanah Dilancarkan

Masjid Al-Hasanah, 12 Jamadil Akhir 1433 = 04 Mei 2012 (Jumaat):

Masjid Al-Hasanah BBB dengan kerjasama surau-surau mengadakan Karnival selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad. Berbagai program diaturkan selama tiga hari tersebut yang melibatkan semua lapisan masyarakat.

Jam 11.00 pagi ini dilancarkan perasmian oleh Timbalan Kadhi Hulu Langat Ustaz Mohd Durabi bin Mohd Amin yang mewakili Tuan Kadhi Daerah bertempat di ruang lapang di hadapan Masjid Al-Hasanah (Adun akan merasmikan Penutup).. Turut Hadir ialah Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, Ustaz Mohd Napiah Sha`rani Nazir Masjid Al-Hasanah, pengerusi-pengerusi surau dan wakil-wakil NGO-NGO.

Tuan Nazir dalam ucapan alu-aluannya menyatakan objektif mengadakan karnival bagi memperkenal dan merapatkan hubungan antara AJK-AJK Surau. Pada hari ini sebanyak 17 surau menempah ruang pameran yang disediakan secara percuma. Kata Tuan Nazir, ``Masjid dan surau bukan saja, tempat ibadah, tetapi juga bagi tempat pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan. Menurutnya , program karnival melibatkan kanak-kanak seperti peraduan mewarna, Remaja di bawah 18 tahun seperti pertandingan berpidato, muslimat seperti mini explores, menganyam ketupat dan kupas nenas. Karnival juga mnenganjurkan pertandingan futsal terbuka dan sebanyak 49 pasukan mengambil bahagian.Manakala pada setiap malam diadakan Majlis Forum, ceramah dan tazkirah. Pihak Bank Darah Negara juga mengalu-ngalukan derma darah yang dibuka di Anjung Masjid Al-Hasanah..

Pada malam esok (Sabtu malam) diadakan Malam Kesenian Islam dalam mana dijemput pasukan nasyid terkenal.

Ustaz Mohd Durabi dalam ucapan perasmiannya menyatakan, "Satu fenomena yang baik kini masjid-masjid mengadakan karnival yang dipenuhi dengan berbagai kegiatan seperti pada hari ini. Ini adalah kegiatan yang baik. Kita berharap pihak surau-surau juga akan mencontohi kegiatan seperti yang diadakan oleh masjid-masjid". Beliau juga menyebut, pada hari ini banyak pameran berkenaan surau-surau dan setiap surau mengharapkan derma dari pengunjung bagi kegunaan surau, sebab itu kalau berkunjung jangan lupa untuk menderma. Dengan membaca Al-Fatihah bersama Karnival dirasmikan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment