May 16, 2012

Hari Keluarga Di Taman Putera Kajang, Hadir Masyarakat Berbagai Lapisan

BBB, 21 Jamadil Akhir 1433 = 13 Mei 2012 (Ahad):

Photobucket

Kriteria utama untuk dipilih bagi mengadakan `Hari Keluarga` ialah kawasan di bawah Dun Bangi yang kurang diadakan kegiatan. Tujuan diadakan Hari Keluarga itu sendiri ialah untuk merapatkan hubungan masyarakat setempat dengan pimpinan-pimpinan dan warga kerja. Cadangan mengadakan Hari Keluarga di Taman Putera, Kajang – setelah cadangan di beberapa tempat, adalah tepat. Ini memandang Taman Putera adalah taman baru yang bersentuhan dengan Taman Impian Kajang yang lebih baharu dihuni dan dikira berada di bawah Seksyen 7, Bandar Baru Bangi.

Kejayaan hari Keluarga anjuran Adun Bangi ini mendapat kerjasama dari pihak Ahli MPKj, Sekretariat Bangi Bandar Ilmu ARC dan Nisa` Serdang. Kemeriahan sambutan diperkukuhkan lagi dengan sokongan Pihak Rukun Tetangga, Pemuda Taman Putera dan penduduk setempat dari berbagai kaum. Hadir pada Hari Keluarga ini selain dari Adun Bangi ialah YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj yang juga YDP Pas Serdang, saudara Adram Musa Ahli MPKj, Puan Zuryati Yassin Ketua Muslimat, Saudara Lee Learn Eng Penasihat dan Ahli MPKj bagi kawasan sambutan, Tuan Haji Sukaimi Rasmi Penasihat, Saudara Amir Othman Pengarah Sambutan, saudara Dahari Embong Timbalan Pengarah, saudara Nizar Abd. Manan Setiausaha, En Mohd Raini Ketua Rukun Tetangga, saudara Zul Azlin Setiausaha, En Nik Zainuddin Nik Khairi Bendahari, dan Ustaz Nasir dan AJK Kecil yang lain.

Photobucket

Dapat dikatakan program yang diaturkan pada Hari Keluarga ini melibatkan semua lapisan golongan dari peringkat anak-anak, murid-murid, pelajar, orang muda, dewasa – lelaki dan perempuan. Antara acara dipertandingkan ialah mewarna dan sukaneka kategori bawah 12 tahun, sukaneka kategori terbuka & bawah 7 tahun, bola sepak bawah 12 tahun yang disertai oleh 24 pasukan, acara tarik tali terbuka, gubahan dan anyaman.

Photobucket

Adun Bangi tiba hampir serentak dengan kehadiran YB Teo Nie Ching bagi menyertai Acara Perasmian. Jam 10.00 pagi. Pada masa ketibaan Adun melihat padang bola penuh dengan peserta-peserta yang mengambil bahagian - termasuk orang ramai yang datang dan tenaga-tenaga yang menguruskan Hari Keluarga Acara Perasmian berjalan secara ringkas dengan ucapan dari YB Teo Nie Ching yang mengucapkan terima kasih di atas jemputan dan bergembira dengan kehadiran begitu ramai peserta-peserta dan penduduk. Beliau berharap melalui Hari Keluarga dapat mempereratkan hubungan di kalangan masyarakat setempat.

Photobucket

Adun Bangi di dalam ucapan peramiannya memaklumkan pihak AJK sengaja memilih Taman Putera bagi diadakan Hari Keluarga kerana di tempat ini sebahagiannya tempat baru dihuni dan perumahan yang dibina Syarikat Orchid Circle baru siap dan baru dihuni, dengan keadaan sedemikian amat sesuai diadakan Hari Keluarga agar penduduk yang baru menghuni di sini dapat berkenalan dengan penduduk yang perumahan telah lama dihuni. Adun memaklumkan berkesempatan bermesra dengan penduduk yang lama dan baru menghuni di sini, Adun berharap semua penduduk bergembira dan diharap melalui Hari Keluarga ini kegembiraan dan kebahagiaan makin bertambah. Adun juga mengambil kesempatan menerangkan kepada hadirin berbagai-bagai projek dan skim yang dijalankan oleh Kerajaan negeri Selangor seperti polisi merakyatkan ekonomi negeri Selangor, Skim Warga Emas, bantuan Pelajar Masuk Universiti, SkimSel, Mimbar dan berbagai lagi. Buat akhirnya Adun mengucap tahniah kepada penghuni-penghuni baru yang memilih Bangi sebagai tempat kediaman dan sama hidup serta menghayati suasana Bangi Bandar Ilmu. Adun juga berpesan sebagai penghuni baru sewajarnya mengambil peluang menentukan kepimpinan di Bangi, iaitu dengan mendaftar sebagai pengundi di Bangi. Maklumat pendaftaran mengundi dan maklumat berbagai skim dan tawaran ada disediakan di kaunter-kaunter disediakan pada hari ini. Sila berkunjung dan mendapat maklumat.

Photobucket

Selepas Ucapan Perasmian penyampaian hadiah dilakukan oleh YB Teo Nie Ching, Adun Bangi, Ahli-ahli MPKj, Ketua Muslimat dan sebagainya. Hadiah-hadiah berkenaan hanya sebahagian dari acara yang berlangsung, manakala acara-acara yang lain terus berjalan hingga jam 1.00 tengahari.

Photobucket

Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Hari Keluarga Taman Putera.

Sekian.

No comments:

Post a Comment