May 10, 2012

Rumusan Bengkel Pembangunan `Islamic City`, Seksyen 5, Shah Alam

Shah Alam, 16 Jamadil Akhir 1433 = 08 Mei 2012 (Selasa):

Lima pembentangan dilakukan oleh:

1) Puan Juwairiyah Ho Abdullah
Tetuan Ikhtisas Planners Sdn. Bhd,

2) Puan Haryati Abdul Halim
Tetuan AJC Planning Consultants Sdn. Bhd.

3) Tuan Haji Ihsan Zainal Mokhtar
Tetuan IZM Planning Consult

4) Pembangunan Semula Mekah Oleh:
Profesor Emeritus Dr. Ismawi Hj. Zen,
Kuliah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar,
Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia.

5) Y. Bhg. Dato` Kamal Ariffin Dato` Seri Zaharin,
Tetuan DPZ Asia Sdn. Bhd.

Dan daripada bengkel yang dipecahkan kepada lima kelompok dapat dicapai rumusan sebagaimana berikut:

Masjid Sultan Salahuddin (Masjid Negeri):

  1. Semua bersetuju Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi Induk dan Paksi bagi Islamic City Shah Alam.
  2. Masjid dimaksudkan bukan atas sifat fizikal semata-mata, tetapi lebih pada roh dan pengisian, bahkan pencetus kepada kesedaran kelilingan. Ada flow dan hubungan kelilingan ke Masjid. Masjidil Haram di Makkah (Juga Masjid Nabawi di Madinah) adalah aspirasi dan contoh terbaik.
  3. Bangunan-bangunan yang lain sebaiknya sama mempunyai ciri-ciri keislaman yang diterima dalam tradisi keislaman seperti Bangunan MAIS, JAIS, Mahkamah Syariyyah dan Yayasan Restu. Ini tidak bererti bangunan-bangunan yang lain tidak Islamik, tetapi hendaklah dilihat berada di dalam keadaan harmoni dan integrated contoh bangunan Dewan Negeri berseni bina Greeko-Roman, Bangunan Pentadbiran SSAAS bersifat moden dan Bangunan Muzium yang bersifat tradisional. Bangunan-bangunan yang bakal didirikan seperti Pusat Zakat, Waqaf, Pusat Pentadbiran Pendididikan Negeri, Geleri Buku, Pusat Seni (Sanggar Kreatif) dan Pusat Pameran Keislaman, Bangunan Kuliah dan Seminar, Hospital Swasta Islamik, Islamic Bank, Bangunan Ar-Rahn, Hostel Bajet, Bazar Halal, dan sebagainya hendaklah bercirikan Islam dan berada di dalam keadaan harmoni.
  4. Ada cadangan meluaskan Islamic City keluar dari Seksyen 5.
  5. Di dalam kawasan Islamic City tidak digalakkan dibina perumahan kediaman
Photobucket

Mengutamakan Pendidikan Dan Pengajian

Pendidikan, Pengajian, madrasah dan Ma`had hendaklah menjadi roh dan jiwa bagi Islamic City. Pengajian di Masjid hendaklah diterus dan dipertingkatkan. Bagi kepelbagaian aktiviti keilmuan wajar didirikan Dewan Kuliah yang terus menerus mengendalikan kuliah, seminar, bengkel, kolokium, Pembicaraan Buku dan pembicaraan topic-topik tertentu dan semasa di dalam berbagai lapangan. Pensyarah-pensyarah dari berbagai universiti dan pengajian hendaklah dijemput menyampaikan maklumat dan keilmuan di dalam bidang masing-masing. Medan Ilmu wajar diadakan dalam mana maklumat terbuka dapat dimanfaatkan melalui alat-alat teknologi terkini.

Photobucket

Aspek Ekonomi

Dimaksudkan aspek ekonomi di sini bukanlah bersifat multi-nasional, tetapi penyediaan keperluan setempat seperti bank-bank Islam, instutusi Ar-Rahn, bazaar halal, kedai kraf – tukang emas, tenunan, anyaman mengkuang, buluh, rotan, Pertukangan Emas, Perak, Tembikar, kedai pakaian, kios-kios jualan majalah, akhbar dan kedai makan bagi menampung pengunjung yang datang, para jamaah dan mereka yang beriadah.

Sosial
Sebagaimana Masjid adalah bersifat terbuka dan tidak membedakan status sosial seseorang, demikianlah Islamic City hendaklah bersifat terbuka dan tidak membedakan status sosial masyarakat. Semua pihak mendapat hak dan peluang yang sama. Misalnya menggunakan kemudahan awam, sukan dan riadah yang ada disediakan. Kemudahan warga emas, orang kurang upaya dan cacat wajar juga disediakan.

Keselamatan
Merupakan aspek penting. Jadikan Islamic City kawasan aman. Sifat aman, tenang dan tenteram di dalam masjid hendaklah dibawa keluar. Elak kawasan Islamic City dari kesebokan kenderaan. Utamakan pejalan kaki atau berbasikal. Didik masyarakat dengan kesedaran iman, amanah dan sivik yang tinggi. Ia adalah merupakan benteng dalaman yang tinggi. Elak kawasan Islamic City dari vandalizam. Pengawal dan penguatkuasa perlu ada yang lebih bersifat nasihat dan larangan sebelum mengambil tindakan.

Kawasan Rekreasi yang menarik
Islamic City hendaklah merupakan Bandar Dalam Taman yang menghijau dan mempunyai landscape yang menarik. Kawasan bersih, semua tempat termasuk bilik air dan tandas terjaga. Hendaklah diperbanyak dengan hiasan-hiasan taman bunga yang menarik dan berbagai-bagai warna. Ianya bukan saja menjadi daya tarikan kepada manusia untuk datang, tetapi burung dan unggas juga turut datang bebas bernyanyi dan bersiul. Sebagai kawasan rekreasi benarkan mereka yang sengaja datang dari luar atau yang datang ke Majlis Ilmu berkelah dan beriadah di taman rekreasi. Di Taman Rekreasi di bawah pohon-pohon rimbun menjadi tempat perbincangan, membaca puisi atau menggubah hasil-hasil kreatif. Ianya seolah-seolah menjadi Taman Ilham bagi seniman dan penggubah.

Islamic City For All
Menyebut Islamic City mungkin menakutkan orang bukan Islam dan menjauhi diri mereka dari Islamic City. Jika ini berlaku adalah tidak betul. Islamic City hendaklah membawa character Islam itu sendiri yang menawarkan keselamatan dan kesejahteraan kepada semua. Demikianlah Islamic City hendaklah mesra kaum, bahkan mesra kepada Alam. Ianya tidak seharusnya disekat semua pihak yang datang ke Islamic City, bahkan harus digalakkan kepada mereka dan tunjukkan kepada mereka ciri-ciri Islam dan Islamic City dan buktikan bahawa dalam sejarah, masyarakat bukan Islam boleh tinggal di Negara atau masyarakat Islam dengan aman damai.

Photobucket

Meningkatkan Kesihatan

Islamic City , khususnya pada bahagian taman menjadi tempat terapi minda, tempat pejalan kaki, jogging, berbasikal. Track pejalan kaki hendaklah diperbanyakkan terutama keliling tasik. Ianya seharusnya menjadi tumpuan bagi masyarakat berbagai umur datang beriadah untuk kesihatan dan kesegaran. Sekali sekala patut diadakan Hari Keluarga atau Hari Mesra Masyarakat dalam mana disusun pendekatan dan melibatkan mereka yang datang menyertai bersama secara spontan dan disediakan hadiah-hadiah yang lebih bertujuan kemesraan dan kemasyarakatan.

Kreativiti Dan Identiti
Islamic City hendaklah mempunyai daya tarikannya sendiri yang menarik pelancung berkunjung. Shah Alam mempunyai Masjid Terbesar Kubah. Shah Alam juga perlu mewujudkan bangunan-bangunan bercirikan Islam yang lain sebagai monument yang unggul dikagumi dan dihayati yang mencerminkan Kebesaran Ilahi.. Di samping itu perlulah para seniman, karyawan dan juru senibina Islam mempertingkatkan daya kreativiti misalnya dengan mengambil unsur-unsur tempatan dan mengemukakan secara hasil seni kreatif. Boleh juga ditampilkan secara assimilasi antara elemen Islam, tradisi, moden dan tempatan dan diangkatkan sebagai hasil kreatif yang tinggi mutunya. Antara elemen kreativiti dan menarik menggunakan unsur air yang menyejukkan mata dan diri seperti adanya tasik, kolam dan air pancutan. Selain dari penggunan air ialah penggunaan cahaya, terutama dari segi lampu jalan yang menarik – bukannya sering padam dan rosak. Lampu-lampu diberbagai tempat sebagai latar dan hiasan dan sebagainya.

Pengurus Yang Kreatif & Cekap
Bandar Islam hendaklah Bandar Terancang dan dipenuhi dengan berbagai kegiatan kreatif yang berterusan. Bagi menjadikan Islamic City menarik perlu ada Pengurusan yang berwibawa dan kreatif yang dapat menghidupkan Islamic City. Kemampuan mewujudkan hasil yang menarik mampu menarik kedatangan pelancung-pelancung dari dalam dan luar Negara.. Daya tarikan Al-Hamra` dan Taj Mahal kerana keindahan seni binanya yang termasyhur dan bersejarah. Perlu ada di Shah Alam hasil kreatif dan estetik yang tinggi mutunya yang menarik para pengunjung tempatan dan luar Negara,. Pendeknya Islamic City yang berpaksikan Masjid ini seluruhnya sebagai Bandar berdaya estetik dan monument yang menarik yang memancarkan Kebesaran Ilahi yang bersifat Jamal dan Kamal.

Sekian.

No comments:

Post a Comment