April 2, 2013

Aku Belajar, Aku Menulis - Memoir

BBB, 20 Jamadil Awwal 1434 = 01 April 2013 (Isnin):

Aku minat menulis. Minat menulisku berhubung dengan kegiatan ilmu. Sejak aku bersekolah di Madrasah Thanawiah – Sekolah Menengah Ugama Sultan Zainal Abidin (SMUZA), Kuala Terengganu (1959-1962), aku mulai mengasah bakat menulis. SMUZA memang melahirkan ramai penulis seperti Misbaha (Haji Mohd. Salleh Awang), Ibrahim Fikri, Ibrahim Hilmi, Aziz Afkar, Alias Ali, Mahmud Embong, Awang Jabar, Yusof Noor dan ramai lagi. Tidak ada kursus penulisan secara langsung diajar di sekolah, tetapi hasil dari pengajian bahasa Arab, nahu, balaghah dan khutbah mencetus dan menyuburkan bakat-bakat penulisan yang ada pada pelajar.

Minatku pada peringkat permulaan ialah menulis cerita. Misalnya semasa di SMUZA ini aku pernah menghasilkan buku cerita (tulisan tangan) berjudul `Norman` dan menghantar ke penerbitan Sinaran Brother di Pulau Pinang untuk diterbitkan, tetapi buku ini dipulang dengan baik dan diminta diperbaiki. Walaupun diperbaiki sudah tentulah hasil penulisan pada peringkat permulaan ini tidak bermutu dan tidak dapat diterbitkan. Aku juga pernah menghantar cerita kanak-kanak sempena Peraduan Menulis Cerpen Kanak-Kanak yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, tetapi tidak mendapat sebarang kemenangan.

Aku menulis lebih serius sesudah menamatkan pengajian Thanawi (Darjah Sembilan) dan bekerja sebagai Guru Sekolah Arab Sementara (1962) dan dihantar berkhidmat di Sekolah Ma`arif, Kg. Raja, Besut (Sekolah Perempuan) dengan Guru Besar Ustazah Zubaidah Mohd Ali (Ketua Muslimat Pas Pertama) isteri Ustaz Ahmad Azam (Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu semasa Pas memerintah 1959-61). Kesedaran tentang pendidikan di Kg. Raja, Besut boleh dikatakan tinggi. Ramai guru-guru menyambung pengajian Kelas Malam bagi mengambil peperiksaan LCE & MCE. Aku yang semasa bersekolah di SMUZA (masih sistem lama dan tidak menawarkan pengajian LCE & MCE) mengikuti Kelas Malam di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu bagi mengambil peperiksaan LCE. Bila berkhidmat di Sekolah Arab Al-Ma`arif, Kg. Raja aku turut belajar di Kelas malam di Sekolah Menengah Tengku Mahmud beraliran Inggeris. Oleh kerana masih berseorangan kami tinggal di rumah sewa (Rumah Mak Teh Johor) beramai-ramai yang mereka kebanyakan adalah guru. Pada petang-petang kami sering bermain badminton di tepi rumah. Sekali sekala turut hadir bermain bersama ialah sdr. Yusof Nor anak jati Kg. Raja lulusan Kolej Islam yang dalam proses untuk menyambung pengajian di Mesir.
 photo 20130401_203822_zpsdbb6228e.jpg


Walau bagaimana, selepas diterima sebagai guru tetap, aku ditukarkan ke Sekolah Arab Sultan Ismail Dungun (1963-65) dan meneruskan belajar persendirian dan pada tahun 1964 mengambil peperiksaan LCE, tetapi hanya mendapat Gred 3 yang tidak layak untuk mengambil MCE dan terpaksa mengambil sekali lagi peperiksaan di Dungun (1965) kali ini SRP berbahasa Melayu dan lulus dengan Gred Satu. Ini melayakkan aku mengambil peperiksaan SPM.

Pada tahun 1965 ini aku berkahwin dengan isteriku kini Ustazah Mu`minah bt. Yusoff yang juga Guru Sekolah Arab, iaitu Sekolah Agama Khairiah Kuala Terengganu. Beliau adalah kawanku semasa bersekolah di SMUZA, Kuala Terengganu. Selepas berkahwin kami ditukar ke Sekolah Arab Al-Ma`arif, Kg. Raja, Besut tempat aku mengajar dahulu dengan Guru Besar yang baharu, iaitu Ustaz Abdul Rahman bin Haji Ibrahim lulusan Kolej Islam.

Semasa mengajar di Sekolah Arab Al-Maarif kali kedua bagiku, aku suami isteri tinggal di rumah sewa Haji Munji berdekatan Sekolah, kemudian berpindah ke rumah yang lebih selesa di rumah sewa Haji Aziz yang tidak jauh dari Sekolah – berjalan kaki. Sebagaimana disebutkan kesedaran tentang pengajian di Kg. Raja adalah tinggi aku meneruskan pelajaran untuk mengambil peperiksaan bersendirian dan menghadiri kelas Malam di Sekolah Tengku Mahmud yang pelajar kelas malam masa itu termasuklah Cikgu Zakaria (Bagi tujuan menyambung pengajian di universiti). Cikgu Zakaria ini selepas menyambung pengajian di UM kemudian bergiat dalam politik dan pernah menjadi Timbalan Menteri Boroh.

Bagi mengambil peperiksaan SPM dan juga berhasrat mengambil peperiksaan HSC aku banyak membaca bukan saja bagi mata-mata pelajaran untuk peperiksaan, tetapi buku ilmiah dan pengetahuan umum, akhbar-akhbar berbahasa Melayu seperti Utusan Melayu, Berita Harian dan New Straits Times, juga berlanggan majalah-majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Mastika, Dian bahkan Newsweek dan Reader`s Digest. Pembacaan ini bukan saja bagi peperiksaan, tetapi juga menambahkan ilmu dan maklumat yang membantu meningkatkan pengajaran di Sekolah. Pada 1966 aku mengambil peperiksaan SPM dan lulus dengan mencapai Gred Dua.


Sebagaimana disebutkan kesedaran pelajaran di Kg. Raja Besut agak tinggi, golongan remaja dan guru-guru berlumba-lumba belajar dan menambah ilmu pengetahuan. Ramai daripada mereka belajar dan berhasrat untuk menyambung pengajian di universiti – pada masa itu Pusat Pengajian menjadi idaman ialah Universiti Malaya, iaitu sesuatu yang amat sukar untuk mendapat tempat pada akhir 1960an kecuali mempunyai kelulusan yang baik pada peringkat SPM dan HSC.

Selepas lulus SPM aku mempunyai visi dan misi yang jelas, iaitu mau menyambung pengajian ke Universiti dan menjadi penulis. Sebenarnya selepas lulus Thanawi dulu aku ada hasrat untuk sambung pengajian ke Mesir. Hasrat ini pernah kuluahkan kepada bapa saudaraku yang agak sedikit senang dan tidak mempunyai anak (ambil anak angkat), tetapi beliau tidak sanggup untuk membiayai pengajian ke Mesir dan dengan hasrat ini aku cuba mencari peluang mendapat tajaan Jabatan Agama Islam Terengganu, tetapi dengan kedudukan diri yang tidak mempunyai tempat berpaut yang kukuh, hasrat tersebut terpaksa dilupakan dan hasrat untuk menyambung pengajian tertumpu kepada Pusat Pengajian Tinggi Tempatan.
 photo 20130401_210605_zpsf5cc0ca1.jpg

Perlu disebutkan bahawa pada tahun-tahun 1960an timbul gerakan agar didirikan UKM sebagai merealisasikan Dasar Pelajaran Kebangsaan dan mewujudkan saluran pengajian Menengah Melayu yang masih tidak mempunyai peringkat Pengajian Tinggi. Desakan ini datang dari misalnya Kesatuan Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KPGMS), dari Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya, kongres, seminar, forum dan desakan dari rakyat. Mereka mendesak agar Universiti Kebangsaan Malaysia ditubuhkan. Penulis pada masa itu turut terpercik dengan semangat memperkasa bahasa Melayu dan menyokong usaha mewujudkan UKM.

Dalam masa berkerja & belajar minat penulis dalam bidang penulisan terus dipertingkatkan, bagi tujuan untuk menulis, pada peringkat awal, iaitu sejak 1965 Penulis membeli sebuah type writer second hand jenis Remington bagi menulis. Tumpuan lebih kepada bidang puisi dan esei. Penulisan kali ini agak teratur dengan membuka fail bagi setiap penerbitan yang dihantar. Tulisan banyak dihantar kepada majalah-majalah.

Keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Dewan Pelajar dan Dewan Bahasa. Penulisan juga dihantar ke majalah-majalah seperti Kiblat dan Mastika, juga turut dihantar ke Akhbar-Akhbar Mingguan seperti Utusan Zaman, Berita Minggu dan kemudian Mingguan Malaysia. Walau bagaimana tulisan-tulisan berkenaan tidak diberi tempat, bahkan tidak berjawab, kecuali penerbitan-penerbitan DBP yang biasa menjawab bagi semua tulisan yang dihantar dengan ungkapan biasa, iaitu terima kasih dan dalam perhatian. Namun tulisan-tulisan yang dihantar kepada berbagai penerbitan itu tak pernah diberi tempat.

Walaupun karya-karya dihantar ke berbagai penerbitan tidak pernah diberi tempat, namun semangat belajar dan menulis terus menyala di dalam dadaku. Pada tahun 1968 aku mengambil peperiksaan HSC, tetapi lulus hanya General Paper dan satu matapelajaran, iaitu dalam matapelajaran Pengajian Islam. pada tahun 1969 aku sekali lagi mengambil HSC dan kali ini lulus dalam tiga kertas, iaitu Sejarah D, Pengajian Islam B dan bahasa Malaysia B. Pada tahun ini UKM untuk kali pertama menawarkan tempat bagi mereka yang layak. Dengan kelulusan di atas aku adalah salah seorang pemohon tempat ke UKM. Didorong oleh cita-cita untuk belajar di universiti dan aku juga terpercik dengan semangat memperjuangkan bahasa Melayu dan menuntut agar didirikan UKM, maka hasrat dan cita-cita ini antaranya kuungkapkan di dalam sajak-sajakku menandakan cinta dan harapanku untuk menyambung pengajian di UKM. Antaranya tajuk Universiti Kebangsaan:

Universiti Kebangsaan
Jiwa bumiputra
Sekian lama membara
Menyimpan hasrat terpendam
Dibedung suasana
Tiba-tiba pecah
Digegar
Tuntutan KTAR.
Suatu permintaan gagah
Keluar mencurah-curah
Universiti Kebangsaan
Mesti didirikan
Dasar Pelajaran Kebangsaan
Perlu dihormati
Bumiputra bergerak
Tegak mendesak
Dengan hasrat
Akhirnya diumum pasti
Universiti Kebangsaan
Rasmi didirikan.

Universiti Kebangsaan
Anak kandungan
Hasil cinta anak watan.


Shafie Abu Bakar,
Kg. Raja, Besut.
16 September 1968.
Dipetik dari: Kumpulan Puisi `Madu Ilmu`, 1999: Jabatan Persuratan Melayu, UKM, hlm. 168,

Sekian.

No comments:

Post a Comment