Sudah dikenal pasti ada dua bahagian penting bagi penujuan
dan pergerakan kepada BTwRG. Bagi Baldah Tayyibah melibatkan keinsaniahan (kealaman)
yang berhubung dengan kualiti dan fizikal, manakala Rabbun Ghafur dihuraikan sebagai
bidang metafizik yang didekati dengan akidah dan kerohanian. Peningkatan
kualiti keinsaniahanlah sebenarnya yang membawa kepada perubahan dan
peningkatan fizikal kealaman. Dalam hal ini dapat dilihat pada pentahapan dan
peningkatann kualiti manusia yang paling utama digerakkan oleh kemajuan ilmu
pengetahuan yang dicapai oleh manusia
itu sendiri. Dalam sejarahnya pada permulaannya pergerakan kualiti manusia mengambil
masa yang lama yang walaupun pada hakikatnya manusia hidup di dunia dan alam
yang sama, tetapi tidak terbetiknya akal menyebabkan mereka misalnya berada
pada tahap primitif sebelum lima
ribu tahun yang lalu. Pada pokoknya elemen alamiah adalah fana dan rosak binasa
dan tak diberi perhatian, kecuali yang ada padanya nilai-nilai yang berharga dihasilkan
dan berguna dikekalkan, misalnya tulisan-tulisan awal bersifat gambar sebagaimana
dihasilkan oleh orang Mesir dan orang-orang Sumeria di Mesopotamia sejak 5,000
tahun dahulu. Tamadun Cina (2,500 S.M.) yang
mengambil manfaat dari pemikir-pemikir seperti Gautama Budha (563-483 S.M.), Confusius dan Lao Tze dari Cina (Abad ke 6
S.M.) dan di India
muncul Upanishad (1,500 S.M.) tidak
diketahui pengarangnya. Semuanya menghasilkan kitab dan memberi kesan yang
besar kepada penduduk terutama di dunia Timur (Asia ).
Begitu juga Greek (1,000 S.M.) yang melahirkan Socrates, Palto dan Aristotle dan
lain-lain yang mempengaruhi Greek, Rum dan dunia Barat.
Adapun Islam yang dianuti sebahagian besar dari penduduk di
dunia kini adalah merupakan lanjutan dari pegangan agama samawi berasaskan
wahyu sudah berterusan selama 4,000 tahun yang lepas dari Nabi Allah Ibrahim
yang diikuti sebagai satu pegangan yang Hanif berlanjut kepada Yahudi, Kristian
dan Islam yang melewati berbagai-bagai fasa sejarah hingga ke abad 21 dan
seterusnya kepada masa-masa mendatang- Insya Allah. Adapaun Islam sebagai agama
monotheis (Tauhid) mempunyai jalur sejarahnya tersendiri (Karen Armstrong,
Sejarah Tuhan, 2001/1422, Bandung ,
Penerbit Mizan, 17- 25).
Jalur Sejarah Islam dipilih oleh Allah dengan perutusan
Rasulnya Muhammad s.a.w. dari kawasan Jazirah al-Arab menyentuh Utara Afrika dan laut Mediterraniam yang
disifatkan sebagai Negara Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi. Di kawasan ini lahir
peradaban berketurunan dari Sam bin Nuh, iaitu Ashuria, Babilon, Ibrani, Finiq , Aram ,
Habashah dan Arab. Dikatakan semua ini
berasal dari satu tempat yang antara berpendapat di Furat (Iraq), atau Tanah
Arami dan ada yang berpendapat di tanah Habashah, tetapi apabila keturunan
berkembang, maka mereka berpecah ke kawasan-kawasan berlainan, melahirkan lahjah
bahasa yang berlainan menurut Negara dan kawasan yang mereka diam.
Puak Arab mengambil tempat kediaman secara Badwi di bahagian
utara dengan mendirikan kediaman secara khemah, sebahagian mendiami kawasan lebih
subur memakmurkan kehidupan di Bandar dan kampung di Selatan – Antaranya di
Sham dan Iraq .
Keturunan Arab ini terbahagi pula kepada tiga, iaitu:
Baidah (contoh Aad dan Thamud) yang tersebut dalam al-Qur`an
tentang sejarahnya, kedua Uraba` yang dikenali dengan Qahtaniyyah di bahagian
selatan seperti Yaman. Termasuk Saba` yang subur tanahnya. Arab Yaman mendapat
sumber kehidupan dari Laut Merah sebagai nelayan dan membuat hubungan
perdagangan secara kafilah dari Hadramaut ke India , Makkah, Pelastin dan Mesir.
Ketiga Musta`rabah yang dikenali dengan Adnaniah. Ada pun nasab Arab Adnani
bertali dengan Ismail bin Ibrahim dari Jariah Ibrahim, iaitu Hajar yang
kemudian mengambil tempat di Makkah. Turut sama menetap kemudiannya dua kabilah
dari Yaman, iaitu Jurhum dan Qatura`. Ismail berkahwin dengan anak perempuan
dari Jurhum. Daripada zuriatnya dikenali sebagai Arab Musta`rabah yang mendiami
bahagian utara Tanah Arab. Antara terkenal ialah Kaum Quraisy di Makkah dan
Bani Thaqif di Taif. sebagaimana di bahagian
Selatan didiami Arab Qahtaniyyah.
Adalah menjadi budaya bagi masyarakat Arab bahawa bagi setiap
Kabilah mempunyai pemimpin yang mempertahankan kabilahnya dan lahir daripadanya
episode-episod perlawanan, peperangan, pemujaan terhadap pimpinan baik dari segi
kegagahan, suka menderma, muliakan tamu
dan sebagainya. Lahir dari mereka ungkapan-ungkapan bahasa dan puisi yang
mencerminkan ketinggian bahasa, budaya dan sastera di dalam konteks zamannya.
Dalam zaman Jahiliyyah, bahasa terbahagi kepada dua iaitu
al-Humairi di bahagian Selatan dan Adnani di bahagian utara. Keduanya ada
perbezaan disamping percampuran. Menurut Ibn Khaldun, ``Bahasa Humair adalah
bahasa yang berlainan dari bahasa Mudar baik dari segi dasar, tasrif, baris dan
i`rabnya``, manakala Nicholson berpendapat ``Huruf Hija`iyyah menurut bahasa
penduduk di Selatan lebih hampir kepada Habasyah dari bahasa penduduk di
utara.``
Namun bahasa dari kalangan Adnani adalah bahasa dan
penulisan yang digunakan secara luas. Darinya tumbuh adab (sastera) Jahiliyyah.
Tetapi tidak sedemikian berkembang dari Humair, kerana bahasa dari Selatan
telah pupus, selepas kurang berkembangnya perniagaan di sana dan pecahnya Takungan Air Ma`rab
menyebabkan mereka berpindah ke utara. Mereka juga terdesak oleh sering
berlakunya serangan dari Habasyah dan Parsi.
Pada masa itu, Makkah berkembang sebagai pusat
pertemuan, perniagaan, keagamaan dan
perhimpunan kabilah-kabilah Arab yang berlainan lughat bahasa Arabnya, meraka
hadir pada musim-musim tertentu, mereka menunaikan Haji dengan cara pada zaman
Jahiliyyah, mereka menggubah syair-syair yang memuji kabilah-kabilah, tokoh dan
peristiwa penting. Mereka mengadakan pertandingan menggubah puisi dan tempat
terkenal ialah Pasar Ukaz. Puisi-puisi terbaik digantung di Ka`bah sebagai
penghormatan. Secara tidak langsung Makkah sebagai tempat pertemuan
kabilah-kabilah menyatukan bahasa Arab
(Butrus al-Bustani, Udaba` al-`Arab fi al-Jahiliyyah wa Sadr . 1989,
Beirut: Dar Nazir `Abud, 8 – 34)
Pada dasarnya pada peringkat awal masyarakat Arab tidak
mengenali huruf-huruf, terutama Arab Badiah, kerana mereka terpisah dari
masyarakat yang teratur. Mereka lebih mementingkan hafalan. Maklumat-maklumat
disimpan dalam gubahan syair dan ungkapan-ungkapan pujian pada pemimpin dan
sebagainya. Namun dari kegiatan perniagaan mendorong mereka mengenali huruf dan
tulisan. Ini terbukti dari penggantungan syair di Ka`bah, menunjukkan
syair-syair telah dirakam dalam tulisan. Sudah tentu kepentingan tulisan bagi
urusan perniagaan di Makkah itu sendiri.
Berhubung dengan tarikh bila berlaku penggunaan tulisan, ada
yang berpendapat sejak abad ke 8 S.M. di kalangan Arab Yaman lantaran mereka
terkehadapan dari segi kemajuan. Tulisan mereka dikenali dengan Khat Musnad
Humairi yang huruf-hurufnya berasingan menyerupai tulisan Habasyah yang darinya
melahirkan Khat Kufi. Tulisan ini
terakam pada batu. Ianya menjadi bahan kajian pengkaji-pengkaji Eropah
dari Inggeris, German, Franchis sejak pertengahan abad ke 19. Juga dijadikan
asas bagi mengkaji peradaban Saba ` dan Humair.
Namun Arab Utara juga mempelajari tulisan, kerana orang-orang Nasara di Iraq
dan di Al-Jazirah mengajar jiran-jiran mereka tulisan dikenali Khat Jazam.
Iaitu terpisah dari penggunaan tulisan Aram yang dikenali dengan Nabti
yang tumbuh dari peradaban di Mediterranian terutama dari golongan Finiq dan ada
hubungan dengan tulisan lama di Mesir. Tulisan Jazam ini lahir di Anbar dan
Hirah dan jiran-jiran. Turut belajar menggunakan Khat Jazam ialah Arab Sham mengenai
khat nasakh yang menjadi cabang bagi Khat Jazam. Juga sama belajar ialah
peniaga-peniaga Quraisy mengenai Khat Jazam dari kalangan Nasrani di Hirah
dalam rangka perniagaan mereka di Iraq dan dibawa balik ke Makkah dan digunakan
sejak sebelum Islam dan turut digunakan di Yathrib (Madinah). Namun penguasaan
terhadap tulisan bukan bersifat meluas, tetapi khusus di kalangan mereka berkepentingan,
misalnya dari segi ekonomi dan sastera.
Adapun bagi Arab Utara Adnani ada ukiran terdapat pada batu
dengan bahasa Adnani yang murni sebagaimana terdapat di bahagian Selatan dengan
bahasa Qahtaniyyah, kecuali yang terdapat di Huran tulisan dengan bahasa
Nabtiyah yang berlainan dari lidah Arab dari segi lafaz dan susunan bahasanya. Huruf-huruf
Arab adalah berjumlah 28 abjad, iaitu:
Qrashat sa`faz Kalman
Huta hawaz Abjad
Pada permulaan pembelajaran tentang tulisan ternyata banyak
berlaku kesilapan. Namun dengan berkembangnya pemerintahan, maka keperluan
kepada tulisan sebagai kemestian, lantaran itu pembelajaran tulisan makin
meningkat dan berkembang terutama tulisan berbentuk nasakh dan kufi.
Perkembangannya meluas hingga ke Arika, Andalus dan berbagai tempat meluasnya
Islam (Butrus Bustani, 1989: 34 – 36).
Dari keterangan di atas dapat dilihat lapis-lapis perjalanan
nilai dan kualiti masyarakat misalnya perjalanan bertolak dari pra sejarah, jahiliyyah,
pra tulisan, budaya tulisan, peningkatan dari Pengenalan Tulisan Ke Gerbang
Budaya Ilmu.
Pembahagian untuk pembicaraan mungkin bermula dengan
Iqra` Dan Significantnya, Cetusan Ilmu Dan Perkembangan,
Transformasi Budaya, Pengukuhan Budaya Ilmu Dengan Institusi-Institusi,
peningkatan Status Masyarakat dengan Ilmu, Politik Dan Pemerintahan, Ilmu Dan
Pekerjaan, Pembaikan Infra-Struktur dan Kualiti Penghidupan, Pementingan
Kebajikan dan sebagainya. – Aspek-aspek di atas dibicarakan berasaskan sumber
asal dan diaplikasikan dengan Bangi. Ianya merupakan infra-struktur bagi Baldah
Tayyibah dan persediaan dalam perjalanan Menuju Rabbun Ghafur yang diberi
pembicaraan tersendiri.
Adapun bahan-bahan panduan ialah Al-Qur`an dan Hadith, Berbagai Kitab Tafsir dan aspek-aspek
keislaman. Buku-buku kenegaraan klasik sama menjadi bahan panduan seperti Sirah
Ibn Ishak, Mukhtasar Sirah Ibn Hisham, al-Ahkam al-Sultaniyyah wa al-Wilayat
al-Diniyyah oleh al-Mawardi, al-Muqaddimah oleh Ibn Khaldun, al-Milal wa
Al-Nihal oleh Al-Shahrastani, Tarikh al-Adab al-Arabiyy oleh Ahmad Hassan
Al-Zayyat, Udaba` al-Arab oleh Butrus al-Bustani dan berbagai kitab dan buku
moden yang berhubung dengan Ilmu dan Kenegaraan dan aspek-aspek bantuan.
Penulisan adalah berasaskan fakta, tetapi pada tempat-tempat digunakan unsur-unsur
sastera yang bersifat imaginatif dan kreatif.
Sekian.
No comments:
Post a Comment