BBB, 05 Jamadil Akhir 1434 = 16 April 2013 (Selasa):
Sebelum dari awal minggu ini, calon-calon yang bertanding bagi mewakili parti-parti masih dirahsia. Setiap parti mengintai siapa calon parti lawan bagi melihat kesepadanan calon yang akan ditampil untuk berlawan dengannya. Di sebalik dari itu tuntutan segera ditampilkan calon adalah perlu bagi memperkenalkan calon kepada pengundi, terutama bagi yang baru. Akhir minggu ini adalah tarikh (20 April) pencalonan. Sebab itu dalam minggu ini pemilihan calon perlu diputuskan sebelum dari tarikh pencalonan. Episod memperkenalkan calon-calon adalah masa yang menarik. Ianya ibarat `membuka hijab` bagi sesuatu jenama yang selama ini dinanti untuk diketahui. Di dalam hal ini sesuatu jenama yang lama tentulah kurang diminati, kecuali ada keistimewaannya.
Beberapa pendekatan dari segi pengenalan dilakukan oleh
parti-parti politik. Misalnya dengan mengumumkan tokoh-tokoh utama pemimpin
dari parti-parti politik yang bertanding. Cara ini diguna oleh hampir semua
parti politik. Namun sebahagian besar dari mereka sudah dijangka dan diketahui
dan ini kurang menarik dan sedikit saja memberi kepuasan dari segi naluri ingin
tahu. Adalah dijangka bahawa selepas dari itu pengumuman bagi keseluruhan calon
akan dibuat secara serentak yang memberi jawapan puncak dan meleraikan rasa
ingin tahu. Tetapi tidak sedemikian berlaku. Pengumuman bagi calon umum juga
hanya diberitahu secara keseluruhan dan detailnya diumum pada peringkat negeri.
Ini juga dilakukan oleh kesemua parti.
Adalah diumpamakan setiap kali berlaku bah, setiap kali
pasir berubah, demikianlah dengan pencalonan di dalam parti-parti politik.
Setiap parti mempunyai perubahan. Adalah diakui perubahan paling ketara ditampilkan
oleh pihak BN dalam mana sebahagian dari pemimpin parti sengaja memilih tidak
bertanding dan memberi tumpuan pada memimpin parti, manakala 33% pada peringkat
Parlimen ditandingi oleh muka-muka baru dan pada peringkat Dun negeri-negeri
49% terdiri dari muka-muka baru. Pemilihan mereka tidak sangat dikira dari
komitmen mereka terhadap parti, tetapi yang dipentingkan mereka adalah dari
kalangan professional, professor-professor, dr.-dr. dan yang banyak pengalaman
dalam kepimpinan institusi yang dianggap mampu menang. Sudah tentu ini memberi
keyakinan pada parti itu. Manakala di dalam Pakatan, seperti Pas ada penampilan
seperti dari kalangan tokoh-tokoh bekas tentera, Polis, bahkan artis. Kedua
pihak bertanding dari segi kewibawaan dan menuntut rakyat membuat penilaian,
pemilihan dan sokongan.
Satu yang ketara dilihat, bahawa semua parti dan kepimpinan
kurang dari memberi tumpuan kepada ideologi dan memang antara parti tidak
mempunyai ideologi. Bagi yang mempunyai ideologi menjadi kurang penekanan terhadap
ideologi oleh kerana meraikan rakan-rakan dalam komponan ? Dari segi rakyat
umum apa yang mereka mau, bahawa sejauh mana parti-parti yang bertanding dan
calon-calon yang mewakilinya mampu memberi khidmat terhadap masyarakat. Di
dalam hal ini, bukan sangat parti yang memberi khidmat atau tidak terhadap
masyarakat, tetapi adalah calon-calon yang mewakili parti. Dari aspek ini
calon-calon lama lebih ketara dan menonjol dengan khidmat-khidmat yang telah
diberi sebelumnya, jika tidak mereka ini tidak dipilih bagi kali ini.
Sebaliknya calon-calon baru, walaupun ditampilkan sebagai berwibawa dari
kalangan professional, professor, Dr. Engineer dan sebagainya, dengan
title-title yang dianggap berwibawa ini tidak membantu kecemerlangan mereka
sebagai ahli politik, jika mereka tidak berjaya mendekati rakyat dan kreatif
dari segi kepimpinan.
Sebenarnya aras-ukur bagi parti-parti politik dan ahli-ahli
politik ialah janji-janji yang ditawarkan kepada rakyat yang dikenali dengan
`manifesto`. Dokumen manifesto ini penting bagi parti politik, ahli politik dan
juga rakyat sebagai janji pegangan. Kita telah mengikuti sebelum ini kedua-dua
parti politik telah mengeluarkan manifesto masing-masing. Pihak Pakatan lebih
mendahului dari BN mengeluarkan Buku Jingga dan diikuti dengan manifesto.
Apabila BN mengeluarkan manifesto mereka ada tuduhan dan bukti bahawa
sebahagian daripada manifesto Pakatan diceduk oleh pihak BN. Sudah tentulah
sebahagian daripada isu yang akan dibawa di dalam kempen-kempen pilihanraya,
ialah tentang kandungan manifesto. Kedua pihak akan tuduh menuduh antara satu
sama lain tentang realistic atau tidak di samping isu-isu peringkat negeri dan
tempatan yang akan ditimbulkan.
Dengan menggunakan manifesto adalah satu cara menarik
sokongan rakyat, tetapi penampilan, cara bercakap dan berhujah yang meyakinkan
adalah satu tahap lagi bagi menarik sokongan rakyat. Tetapi pada peringkat
sebenar rakyat akan tahu dan menilai wakil-wakil rakyat yang mereka pilih,
apabila mereka berkhidmat nanti, tentu ada pimpinan yang menyenangkan dan tentu
pula yang tidak berkenan. Buatlah pilihan betul-betul di dalam memilih wakil
rakyat anda supaya tidak menyesal.
Sekian.
No comments:
Post a Comment