April 12, 2013

Sekali Lagi Tahniah UKM, Tapi ...

BBB, 30 Jamadil Akhir 1434 = 11 April 2013 (Khamis):

Sekali lagi tahniah kepada UKM kerana disenaraikan pada ranking ke 87 daripada 100 universiti terkemuka di Asia oleh Times Higher Education Asia University Rankings. Kali ini UKM berada pada ranking lebih meningkat berbanding dengan tahun lepas di mana UKM berada pada ranking ke 98. Apa yang membanggakan bahawa UKM adalah satu-satunya universiti di Malaysia yang termasuk di bawah ranking 100. Walau bagaimana UKM berada di belakang universiti-universiti terkenal di Asia yang didahului Universiti Tokyo, Universiti Singapura dan universiti Hong Kong, iaitu dari sejumlah 655 Universiti yang menghantar data untuk penilaian. Kita berharap pada masa akan datang UKM tidak saja mempertahankan kedudukannya pada ranking yang dicapai sekarang (ke 87), tetapi akan meningkatkan kepada ranking yang lebih baik, bahkan antara yang terbaik di Asia dan layak berada di dalam kelompok 100 universiti terbaik di dunia.


Walau bagaimana sebagaimana kata Menteri Pengajian Tinggi Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, ``Adalah sesuatu yang menggembirakan mendapati ada sebuah universiti di Malaysia yang termasuk di bawah seratus universiti terbaik di Asia.`` Namun beliau percaya tenaga akademik dan semua pihak yang bekerja keras memajukan universiti bukanlah meletakkan tujuan utama dalam ingatan mereka bekerja kerana ranking universiti. Kerana yang berjaya ialah yang menepati kehendak terhad penilai, tetapi banyak lagi di sana kriteria-kriteria positif yang tak termasuk di dalam kategori penilaian. Walau bagaimana dengan penilaian yang didapati sekurang-kurangnya menjadi aras pengukuran di mana UKM berada.

Kita berbangga seusia 43 tahun UKM dapat mencapai ranking terbaik menurut penilaian  Times Higher Education Asia University Rankings, sekurang-kurangnya imej permulaan UKM yang dianggap sebagai Universiti Kampung dapat dikikis dari minda mereka yang menganggapnya sedemikian, tetapi dari satu segi melonjaknya imej UKM ke taraf antara 100 universiti terbaik di Asia adakah sebenarnya selari dengan hasrat dan aspirasi rakyat yang tangan-tangan merekalah mengangkat dan menjulang naik nama UKM ?

Kita tidak ketahui apakah bidang-bidang penyelidikan yang melonjakkan UKM ke atas, adakah bidang sains, perubatan, kemanusiaan, ekonomi atau pengajian Islam ? Apa yang dapat kita ketahui – sebagai bekas tenaga pengajar di sana, bidang kemanusiaan, khususnya berhubung dengan bahasa dan sastera, sudah ketinggalan di UKM. Kalau dahulu ada Jabatan Persuratan Melayu, kini jabatan itu sudah ditiadakan. Kalau dulu ramai tokoh-tokoh sastera lahir dari UKM, kini sudah berkurangan, bahkan kegiatan yang berhubung dengan sastera tidak kedengaran. Dulu ATMA memberi tumpuan kajian kepada bahasa, kesusateraan dan kebudayaan Melayu, kini fokusnya agak berlainan dan tidak kedengaran lagi kegiatan yang berhubung dengan bahasa, sastera dan kebudayaan Melayu. Adalah dikatakan UKM memfokuskan kegiatan penggunaan bahasa Melayu pada peringkat penyelidikan tinggi, tapi kita rasa UKM tidak seharusnya berada terasing di menara gading dengan mengabaikan perkembangan bahasa pada semua peringkat pengajian dan penggunaannya di tengah masyarakat. Di sini kita berpendapat UKM telah lari dari peranan untuk mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu pada semua peringkat dan di tengah masyarakat. Pada masa lepas dengan ramainya tenaga pengajar di dalam bidang bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu lahirnya teori-teori persuratan yang diaplikasikan di dalam bidang penulisan. Buku-buku teori, sastera dan budaya banyak dihasilkan, tetapi kini bidang ini telah ketinggalan. Adakah UKM boleh diibaratkan sebagai Si Tenggang yang melupai asal usul dan tujuan dibangunkan ?

Selari dengan pendapat bahawa UKM ibarat Si Tenggang yang lupa diri dan daratan, satu yang ketara kita rasa, bahawa UKM menjauhkan dirinya dari masyarakat yang mendukungnya. Misalnya Bandar Baru Bangi diwujudkan sebagai pemangkin bagi kemajuan UKM, tetapi UKM nampaknya tidak menyapa dan tidak memberi perhatian kepada Bandar Baru Bangi. Misalnya sepatutnya UKM memberi idea bagi kemajuan dan keindahan Bangi, mengaplikasi kepada penduduk Bangi teori ekonomi yang dikaji, berinteraksi dengan masyarakatnya dengan mengadakan dialog dan kegiatan kemasyarakatan dan berbagai lagi. Mungkin UKM tidak mau mendekati Bangi, oleh kerana faktor politik yang kita berpendapat tidak sepatutnya menjadi alasan, sedang pihak mahasiswa sering datang meminta bantuan bagi kegiatan mereka. Memikirkan sikap UKM terhadap pemerintah semasa peringkat negeri di mana UKM berada, kita terpaksa memikirkan dari segi bantuan, kerana ianya tidak memberi pulangan apa-apa kepada yang membantu. Tetapi untuk mengatakan tidak rapatnya UKM dengan Bangi oleh kerana faktor politik, tidak pula kedengaran UKM mempunyai pertalian yang baik dengan masyarakat yang menjunjung kerajaan yang sama dijunjung oleh UKM.

Kita akur bahawa peningkatan UKM sebagai sebuah universiti terbaik dalam kelompok seratus di Asia paling utama adalah dilonjakkan oleh kegiatan penyelidikan. Sememangnya bidang penyelidikan seharusnya diberi tumpuan, tetapi dalam masa kita berbangga dengan pencapaian UKM, kita bertanya, apakah identiti UKM yang terserlah dalam bidang keilmuan ? Kita tidak mendengar, misalnya Fakulti Islam menghasilkan penyelidikan di dalam bidang keislaman dan menghasilkan penulisan buku Ilmiah yang dibangga, diguna dan menjadi panduan masyarakat di Malaysia. Kita tidak lagi mendengar adanya tokoh-tokoh sasterawan di UKM yang menghasilkan karya kreatif yang bermutu dan menjadi sebutan masyarakat. Kita tidak lagi dengar pembicaraan tentang teori-teori termasuk teori oleh tenaga akademik di dalam bahasa, sastera dan budaya di UKM. Lantas apakah identiti menonjol di dalam bidang akademik yang identik dengan UKM dan dikenali masyarakat luar. Teori Ekonomi ? Ekonomi Islam ? Penemuan di dalam bidang perubatan bagi mencegah kencing manis, serangan angin ahmar, kaedah pembedahan jantung ? dan sebagainya. Tapi tidak diketahui dan tiada yang menonjol. Lantas apa yang memberi kedudukan UKM pada ranking ke 87 sebagai universiti terbaik di Asia ?

Apa yang diketahui UKM bukan saja tidak mempunyai hubungan yang mesra dengan masyarakat di Bangi, tetapi dengan mahasiswanya sendiri. Mahasiswa tidak diberi kebebasan berfikir dan berpersatuan sebaliknya mau dikongkong agar selari dengan pihak pemerintah Pusat dan juga dengan kemahuan pihak pentadbiran dan perhubungan pelajar. Perwakilan pelajar yang memenangi pilihanraya umum bagai tahun 2012 tidak diiktiraf, Kerajaan Mahasiswa yang sepatutnya berdaulat yang dikenali dengan PMUKM sepatutnya mentadbir pentadbiran kemahasiswaan, tetapi tidak diberi haknya yang sebenar, bahkan nama PMUKM yang telah berusia lebih dari 40 tahun mau dihapuskan dan papan tandanya dicabut dan dibiarkan. Banyak keistimewaan dan Hak PMUKM tidak dilaksanakan. Misalnya hak mentadbir Bangunan Mahasiswa yang dikenali dengan Pusanika, Hak menguruskan kehadiran mahasiswa sebagai keluarga baru, mengadakan Perayaan Konvokesyen sebagai meraikan kawan-kawan yang berjaya dan hak mendapat peruntukan bagi mengadakan berbagai-bagai kegiatan kemasyarakatan. Pendek kata mahasiswa dikawal seperti bukan sebagai mahasiswa, tetapi sebagai anak-anak sekolah menengah.


Kemajuan sesebuah universiti seharusnya bersifat bersepadu yang melibatkan semua aspek. Kejayaan mencapai ranking Times Higher Education Asia University Rankings bukanlah susuatu yang boleh amat dibanggakan – bukanlah pula dilarang, lagi pula apakah reward yang diberi selain dari mensenaraikan dalam ranking yang universiti terkejar-kejar kerananya ? sedangkan universiti lupa peranannya terhadap visi dan misi masyarakat yang mengangkatnya.

(Tulisan ini adalah dari seorang Alumni Alternatif UKM (ALA UKM) yang bukan bertujuan untuk merendah-rendahkan UKM, tetapi sebagai ALA UKM yang mau melihat UKM maju menurut landasan – siratal mustaqim, yang dihasratkan).

Sekian.

No comments:

Post a Comment