April 20, 2013

Dr. Shafie Abu Bakar Bukan Lagi Calon Di Dun Bangi


BBB, 08 Jamadil Akhir 1434 = 19 April 2013 (Jumaat):

Sejak hangat pilihanraya diperkatakan, bila bersua dengan kenalan, soalan normal yang diajukan kepadaku. ``Pilihanraya ni bertanding lagi ke atau tidak ?`` Aku teragak-agak hendak menjawab, tetapi jawapan standardku, ``Belum pasti, tunggu dulu.``
Namun ada antara kenalan bila bertemu terus bertanya, ``Apa macam, persiapan pilihanraya ?`` Dia seolah-olah percaya aku akan bertanding lagi dalam pilihanraya ke 13, jawapanku yang juga standard, ``Ok, semua berjalan dengan baik !``
Sebenarnya aku tidak pernah membincangkan kedudukanku dalam pilihanraya dengan sesiapa. Kawan-kawan termasuk yang sama sesurau. Merekalah dulu yang terawal menarikku ke politik. Umumnya mereka menganggap aku akan bertanding. Mereka faham dengan kedudukan. Tapi aku tidak pernah cuba membawa persoalan atau bercakap hal-hal politik dengan kawan-kawan sesurau yang tidak sama aliran politik.  Jika surau perlu peruntukan, maka pihak surau perlu membuat permohonan secara bertulis. Jika diluluskan, maka Setiausaha diminta datang mengambil cek di Pejabat.

Sebenarnya bukan aku saja yang menghadapi pertanyaan pilihanraya, termasuk isteriuku ditanya mengenai soalan yang sama semasa mengajar di rumah, di kelas-kelas sama ada di surau atau di rumah-rumah yang dia dijemput mengajar. Tapi jawapan standard dari isteriku, ``Saya tidak tahu hal.``
Namun kemudiannya soalan makin rancak dikemukakan, barangkali orang ramai merasa keliru atau dikelirukan dengan anggapan mereka selama ini, apabila milihat dengan tiba-tiba gambar-gambar individu bergantungan disegala tiang hampir seluruh Bangi sejak awal Mac lagi – bagai kempen pilihanraya.

Dengan suasana itu, aku lebih diaju dengan soalan, ``Mengapa gambar orang lain, YB tidak bertanding ?`` Aku sebenarnya menjadi sukar untuk menjawab dan biasanya aku menjawab, ``Tidak tahu ! Yalah agaknya.``  Isteriku juga menerima pertanyaan dan rungutan. Suasana begini lama berterusan, hingga sebahagian gambar hilang, tetapi sebahagian lagi masih kekal di tiang. Sebenarnya aku bekerja dan berkhidmat seperti biasa tanpa menghirau soalan siapa calon. Soal ini aku benar-benar tidak buka mulut atau cuba bertanya, baik kepada peringkat negeri, lebih-lebih lagi tidak mungkin untukku bertanya pada peringkat kawasan dan apa lagi pada peringkat Dun. Untuk mendapat maklumat aku sebenarnya lebih suka menghadiri mesyuarat MB/Exco/PR SEL/BBC/AP SEL di Bilik Mesyuarat Menteri Besar Tingkat 22, Bangunan SSAAS, Shah Alam yang kadang-kadang hampir setiap minggu diadakan, kerana ingin mengikuti perkembangan semasa, terutama dari segi politik kepartaian. Perkara yang biasa dibincangkan ialah mengenai isu-isu semasa, masalah-masalah yang dihadapi oleh Adun dan Ahli Palimen di tempat masing-masing, manifesto dan persediaan pilihanraya.

Sekitar bulan Mac, boleh dikatakan dalam keadaan suasana menunggu, oleh kerana ada Dewan Negeri yang telah terbubar dan negeri Selangor juga dalam persediaan untuk dibubar. Hasrat untuk membubar Dewan Negeri Selangor ini sudah lama dibincangkan  terutama dalam Mesyuarat MB/Exco/PR SEL/BBC/AP SEL. Tetapi ahli-ahli mengingatkan mesyuarat terutama terhadap YAB Dato` Menteri Besar supaya berhati-hati agar tidak terperangkap dengan permainan BN dan Selangor menjadi mangsa. Dalam masa tertunggu-tunggu dan suasana agak sedikit tegang, tiba-tiba meletus berita, jam 11.32 tengahari, 3 April diumumkan bahawa Parlimen dibubarkan. Dengan pengumuman ini seolah-olah terlerai beban menunggu yang ditanggung selama ini. Dengan berita ini diikuti dengan pembubaran Dewan-Dewan Negeri yang belum terbubar, termasuklah pembubaran Dewan Negeri Selangor keesokannya (4 April), maka suasana hangat pilihanraya mulai terasa. Masyarakat umum yang selama ini tidak sangat hirau tentang politik mulai minat dan turut memperkatakan tentang politik. Berita-berita politik mulai menjadi tontonan dan ikutan di media letronak. Jualan akhbar-akhbar yang selama ini malap menjadi laris. Isu politik seolah segandingan dengan berita bola. Spekulasi mengenai calon-claon mulai diperkatakan. Bahkan setengah calon pada peringkat atasan parti diumumkan. Ini meningkatkan rasa ingin tahu masyarakat siapa calon-calon lain, khususnya di tempat sendiri. Adapun Dr. Shafie yang sudah tidak lagi dipanggil Adun selepas bubarnya Dewan Negeri Selangor (Tapi orang ramai terus memanggil dengan YB. juga), tetap tidak kisah dengan kawasan pencalonan.

Pada hakikatnya selepas Adun Bangi dijatuhkan oleh kawan-kawan pada Mesyuarat Agung Pas Serdang 17 April 2011 di KUIS, Adun Bangi sudah menjangkakan kejatuhannya dari parti dan kedudukan pada masa mendatang. Adun juga tidak mempunyai jawatan dalam parti, kecuali Ketua Cawangan di tempat sendiri. Maklumat juga disampaikan bahawa nama Adun tidak pernah dicalonkan ke atas. Sememangnya Adun tidak menaruh harapan untuk dicalon. Apa yang menjadi tumpuan utama Adun adalah menunaikan amanah dan berkhidmat untuk rakyat semampu dan semaksimum yang mungkin (termasuk berperanan di Dewan Negeri sebaik mungkin dan diagensi diamanahkan pada peringkat negeri). Dalam minda Adun terakam ingatan inilah peluang terakhir di penghujung hayat untuk mencurah khidmat. Terima kasih kepada teman-teman yang simpati dan memberi kerja sama di dalam menunaikan khidmat pada rakyat. Walaupun bukan atas permintaan kami, berita dan gambar khidmat kami hampir setiap minggu keluar dalam  Selangor Kini.

Untuk mengelak dari kekeliruan yang Mantan Adun bukan lagi Adun, berikut dari kunjungan seorang AJK Parti menawarkan kepada Mantan Adun untuk mengadakan `Majlis Ucap Terima Kasih Terhadap Khidmat Mantan Adun` (walaupun pengumuman calon belum dibuat), maka pada petang 14.4.2013 (Ahad) Mantan Adun mengikis dari kereta Hilux lambang negeri, parti dan Adun, agar tidak timbul kekeliruan bahawa Mantan Adun masih sebagai Adun.

Namun dalam suasana kosong minda dari kemungkinan menjadi calon, berita-berita mulai keluar dalam akhbar-akhbar nama-nama calon. Misalnya dalam akhbar Sinar Harian pada Isnin 15 April 2013, hlm. 42 tertera namaku sebagai calon N26 Bangi Pas – Dr Shafie Abu Bakar  & BN- Datuk Zaidi Mohd Zain.
Aku tidak tahu menahu, tiba-tiba menerima maklumat dari jiran yang membaca akhbar itu dan sebenarnya akhbar itu juga sedang kubaca, tetapi tidak beri perhatian tentang nama calon diberitahu oleh isteriku yang menerima telefon dari jiran pagi itu, terus merujuk ke halaman yang diberitahu jiran (hlm. 42). Aku sebenarnya tidak percaya dan menganggapnya sebagai satu kesilapan. Tapi kawan-kawanku termasuk ahli-ahli surau bertanya dan percaya tentang pencalonanku. Berita pencalonanku keluar lagi dalam Sinar Harian pada 17 April 2013, tapi kali ini bertanda bintang yang bermaksud calon adalah penyandang dan belum muktamad. Berlainan dari Akhbar Sinar Harian, akhbar-akhbar lain tidak menspekulasi diriku sebagai calon. Aku sebenarnya malu nak tanya berkenaan isu ini pada sesiapa. Pihak Pas Negeri pula langsung tidak menghubungi Adun tentang pencalonan atau pengguguran. Tapi untuk mendapat maklumat jelas dan tidak meragukan, maka pada malamnya aku telefon saudara Khasim Abdul Aziz Mantan Adun Lembah Jaya, beliau memaklumkan, sebagaimana dia hadir dalam mesyuarat peringkat negeri, katanya, ``Memang tak ada namaku sebagai calon di Bangi !``. Dengan demikian aku mendapat maklumat secara sahih.

Bila kawan-kawanku di surau bertanya, aku menyatakan, ``Nama saya yang ada dalam  akhbar itu sebenarnya satu kesilapan.``

Kenyataan ini diperkukuhkan dengan pengumuman nama-nama calon parlimen dan negeri bagi negeri Selangor di Selangor pada malam tadi 18 April 2013 di Padang Merdeka, Shah Alam. Berita ini juga keluar di dalam Akhbar – termasuklah di dalam Sinar Harian 19.4.2013 hlaman 20, tiada nama calon bernama Dr. Shafie Abu Bakar. Dengan ini ketahuilah bahawa:

``Dr. Shafie Abu Bakar Bukan Lagi Calon Di Dun Bangi !``

Sekian.

6 comments:

  1. Inilah POLITIK.....

    ReplyDelete
  2. sy sekeluarga pasti merindui dr shafie, teruskan bersama2 menyokong pimpinan..semoga suatu hari nnt akan kembali semula berkhidmat dlm dun/parlimen. terima kasih atas jasa baik yang diberikan.

    ReplyDelete
  3. takpe DR., asalkan amanah yg dipertanggungjawabkan dah dlaksanakan. insyaAllah masjid di bangi kekal meriah.

    ReplyDelete
  4. xjadi adun pon masih boleh berbakti dr

    ReplyDelete
  5. Terima Kasih YB. Kami Penduduk Bangi Berterima kasih atas bantuan dari YB. Moga Allah Balas Jasa Tuan YB.

    ReplyDelete
  6. Assalamu'alaikum warahmatullah.
    Hari ini baru baru tahu duduk kisahnya Ybhg Dr tidaklah YB Dun Bangi.
    Tahniah dari saya kerana telah melunaskan tugas sebagai WR kawasan itu dengan jayanya. Dr telah menjalankan amanah dengan baik dan nyata Dr lebih tahu tentang tanggungjawab. Semoga sumbangan Dr sewaktu jadi YB diberkati Allah Ta'ala; Dr akan beroleh rahmat dan balasan baik dari Allah.
    Mendapat amanah dan dapat menjalankannya dengan baik adalah suatu ibadah dan rezeki buat Dr. Saya faham tentang sabda Rasulullah s.a.w " Kun aaliman....(hingga akhir hadisth) dan "Idza maatabnu Aadam fanqaTa'a 'amaluhu....(hingga akhir hadith)" itu, Dr telah lunasi sekadar kemampuan Dr. Detik-detik Dr menjadi WR telah dicatat baik di bawah qadha qadar Dia Yang Maha Berkuasa, Maha Bijaksana, Maha 'Adil. Selebihnya, semoga Allah Ta'ala mengampuni kesilapan dan ketelanjuran kita dalam apa jua kelakuan dan bicara. Semoga kita diberi masa untuk sentiasa DzikrulLah sokmo. Tahniah dan salam hormat. ABDULHADI MUHAMAD

    ReplyDelete