BBB, 13 Jamadil Akhir
1434 = 24 Jun 2013 (Rabu):
Pada usia 2 tahun UKM dan penghujung tempoh AJK PMUKM pertama
yang mentadbir mahasiswa UKM (1970-1972), pihak PMUKM berjaya menerbitkan
akhbar mahasiswa sendiri yang diberi judul Gemasiswa. Penerbitan pertama akhbar
mahasiswa UKM ialah keluaran Jilid 1 Bil. 1 bertarikh 22 Mei 1972 dengan no.
KDN 5900 berharga 20 sen. Penerbitan Gemasiswa UKM ini adalah mencontohi
Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya yang telah menerbitkan akhbarnya sendiri
yang berjudul Mahasiswa Negara yang pada masa itu sudah masuk kepada bilangan
Jil. 11 Bil. 1 Januari 1972. Format Gemasiswa adalah sama dengan Mahasiswa
Negara, iaitu 15` x 10.5`. Untuk keluaran pertama ini adalah setebal 12
halaman. Perlu diingat bahawa selain dari kedua kampus – UKM dan UM, berdekatan
kedua persatuan UKM dan UM mempunyai hubungan dan kerjasama yang rapat.
Gemasiswa sulung PMUKM ini dikendalikan oleh satu badan
Redaksi yang diketuai Ketua Pengarangnya ialah saudara Chamhuri Siwar dengan 6
orang Penolong Pengarang, iaitu Meriah Suhaimi, Timah Md. Zain, Suarnor
Takiban, Quek Ah Yong, Auni Hj. Abdullah dan Anwar Md. Zain. Pengurus Kewangan
ialah Noriah Mohamad, Pengurus Edaran Marwan Saliman, Pelukis Zulkifli Ismail
dan Juru Gambar Abdul Rahman Mansor. Sebagaimana Mahasiswa Negara demikian
Gemasiswa yang mendapat permit penerbitan dijual bukan sahaja di dalam kampus,
tetapi di dalam pasaran terbuka – di dalam dan di luar kampus.
Untuk keluaran pertama ini, Naib Canselor UKM pada masa itu,
iaitu Datuk Dr. Ariffin Ngah Marzuki menyampaikan perutusannya:
``Amatlah menarik sekali usaha Persatuan Mahasiswa
Universiti Kebangsaan Malaysia
mengeluarkan sebuah akhbar ``Gemasiswa`` yang akan melaporkan kegiatan2
mahasiswa serta hal2 mengenai perkembangan Universiti dari masa ke semasa.
Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan kini juga mengeluarkan risalah
``Suaritasiswa`` yang hanya memberikan butir2 dan maklumat2 untuk tatapan
mahasiswa2 dalam kampus sahaja.
Dari sudut mahasiswa, ``GEMASISWA`` merupakan satu chara
perhubungan dengan masharakat diluar.`` Kata Naib Canselor, menurutnya,
terdapat beberapa penerbitan lagi di universiti yang dapat menyampaikan
maklumat. Misalnya kini jumlah mahasiswa seramai 570, pada tahun 1975 dijangka
meningkat kepada 2,850. Pertambahan juga berlaku dari segi jumlah pensyarah
selaras dengan kemajuan UKM. Naib Canselor juga berharap makalah yang akan
diterbitkan bukan saja bersifat ringan, tetapi juga yang serius. Seterusnya
Naib Canselor berharap dengan terbitnya Gemasiswa diharap ramai mahasiswa akan menceburkan diri dalam bidang kewartawanan,
satu bidang yang baru bagi mahasiswa.
Berita Utama dan muka depan bagi keluaran sulung Gemasiswa
ialah:
UKM AMBIL 451 SISWA BARU
Iaitu bagi kemasukan tahun ketiga. Mereka adalah 262 bagi
Fakulti Sastera, 101 Pengajian Islam dan 88 Fakulti Sains. Daripada mereka
terdapat 9 orang bukan Melayu, 7 bagi Fakulti Sastera dan 2 Fakulti Sains.
Sebelum daripada itu PMUKM menghantar memorandum kepada UKM agar menggandakan
jumlah pengambilan mahasiswa, tetapi terpaksa ditolak kerana ramai yang memohon
kemasukan tidak mencapai kelayakan minima dan memikirkan dari segi tempat yang
terhad dan juga tenaga pengajar yang masih kurang.
Untuk penerbitan pertama ini Sidang Reduksi membicarakan
tajuk. Siswa - Golongan Terpilihkan Anda
? Memang tanggapan biasa pada masa itu, apabila seseorang berjaya ke universiti
dan lulus banyak peluang pekerjaan dan bakal hidup lumayan. Pada masa itu kerja
mengejar mahasiswa, bukan mahasiswa mencari kerja seperti sekarang. Walau macam
mana Reduksi mengingatkan agar mahasiswa tidak lupa pada harapan masyarakat,
terutama terhadap mahasiswa UKM agar mereka membalas budi masyarakat dan
bersama-bersama mereka bagi mengangkatkan martabat masyarakat.
Gemasiswa sulung ini memuatkan – selain dari iklan sebanyak
25 artikal – panjang dan pendek. Antara artikal yang menarik ditulis oleh Ketua
Reduksi sendiri berjudul:
``Dua Tahun Usia Universiti Kebangsaan Kemajuannya Amat
Menggalakkan``
Menurut saudara Chamhuri, Sungguhpun UKM baru lahir, tapi
hasrat mewujudkannya sejak dua dekad yang lalu. Kelahirannya dipetik saudara
Chamhuri dari kata-kata Tun Abdul Razak Canselor UKM, ``Lahir ke pangkuan
bangsa pada saat yang amat penting, iaitu ketika sedang diuji oleh politik
perkauman dan emosi yang berlebihan dan ketidakseimbangan ekonomi rakyat.``
Tugas UKM besar, perlu laksanakan cita-cita bangsa dan negera.
Pengarang menggalurkan sejarah yang membawa kepada tertubuhnya UKM. Walaubagaimana
beliau melahirkan kekeciwaan ada yang masih ragu terhadap kemampuan UKM. Namun
penulis positif melihat kepada perkembangan pesat UKM mempunyai masa depan yang
cerah.
Sebuah artikal menyangkal tanggapan masyarakat bahawa UKM
sebagai Universiti Kampung ditulis oleh Ben Josey. Penulis berdepan dengan
banyak tanggapan sedemikian termasuk dari perbualan-perbualan dari orang-orang
yang ragu, tapi Penulis berkeyakinan dari pembangunan dan unjuran bagi masa
depan UKM akan menggapai kecemerlangan. Demikian harapan penulis. Topik yang
lain turut ditulis oleh saudara Nordin Bin Awal tentang Dilema Tapak UKM yang
pada masa itu belum pasti dan masih di dalam perbincangan. Cadangan tapak
antaranya di Kuala Kubu Baharu, Ada cadangan didirikan di
Kuantan, manakala cadangan yang lain agar didirikan di Melaka. Laporan dari
Jawatankuasa Penaja UKM, maukan UKM didirikan di Kuala Lumpur . Persatuan Mahasiswa UM
bersetuju agar tapak UKM hendaklah berada di Kuala Lumpur agar tidak terasing dari arus
pembangunan dan kemajuan. Nampaknya nama Bangi belum timbul dan PMUKM nampaknya tidak menyuarakan pendapat tentang
tapak bagi UKM yang menjadi kampus mereka kelak.
Artikal-artikal lain yang turut dimuat ialah, Benarkah
Orientasi 1971/2 Gagal ? oleh Haron Haji Said, yang sebenarnya disangkal oleh
penulis tentang kegagalannya. Anjuran Penyatuan Sukatan Pelajaran Ugama Perlu,
sebagai rumusan dari Seminar Pendidikan Islam oleh Reduksi, Unsur-Unsur
Kejadian Sebuah Ciptaan Sastra oleh Chew Hock Tong, Selesaikan Masalah Ilmiah chara
``Jebat`` oleh Profesor Zainal, iaitu sempena penerbitan Jurnal Sejarah yang
berjudul ``Jebat``. Beliau mau tindakan hendaklah dilakukan secara agresif yang
menelurkan hasil yang positif. Fakulti Sains Ikuti Sukutahun – tiada penulis,
Lencana Untok Pemain2 Bermutu oleh Meriah Suhaimi, BHEW Asas Pergerakan Siswi,
Pertumbuhan Seimbang Untuk Kejayaan oleh Ben Josey, Suara Siswa Perlu Didengar
oleh Marwan Saliman, Tawaran Biasiswa dan Kursus Pimpinan oleh PMUKM. Kursus
bertujuan mencungkil bakat-bakat kepimpinan
mahasiswa PMUKM. Kursus diadakan di UKM dari 15 – 22 Mei 1972. 40 orang
mahasiswa menyertainya. Penceramah-penceramah ialah, En. Kasim Ahmad, Profesor
Zainal Abidin, Puan Rafidah Aziz, Saudara Anuar Ibrahim, saudara Kamaludin
Mohd. Nor, Ustaz Ghazali Nawawi, Turut
memberi ceramah ialah Encik A. Rahim Jalal Pendaftar UKM dan Profesor Syed
Naguib al-Attas. Terdapat juga satu ruangan Lukisan Karton. Gemasiswa menjadi
wadah yang ampuh bagi mahasiswa UKM mengasah bakat penulisan mereka sihingga
tahun-tahun 1980an).
Sebagai Akhbar Sulung PMUKM, Gemasiswa dapat memenuhi
aspirasi PMUKM dan menjadikannya sebagai wadah mengutarakan pendapat PMUKM dan
saluran komunikasi kepimpinan mahasiswa dengan mahasiswa dan masyarakat.
Standard pemberitaan agak sederhana. Sebahagian dari penampilan bahasa kurang
kemas. Satu kelemahan yang nyata akhbar setebal 12 halaman ini, hanya
disertakan satu gambar sahaja – iaitu gambar Naib Canselor Dato` Dr. Ariffin
Ngah Marzuki. Banyak tempat-tempat yang sepatutnya disertai gambar tidak
disertakan gambar. Walau bagaimana sebagai pengeluaran permulaan dapat dipuji
ianya sebagai kejayaan bagi PMUKM.
Sekian.
No comments:
Post a Comment