April 1, 2013

Ke Stadium Melawati Shah Alam Kerana Desakan Naluri Ingin Tahu: Sejauhmanakah Canggihnya Pertahanan Negara?

-->
Shah Alam, 19 Jamadil Awwal 1434 = 31 Mac 2013 (Ahad):


Penulis salah seorang yang turut hadir ke Stadium Melawati, Shah Alam pada malam ini lantaran didesak oleh naluri ingin tahu, apa lagi judul yang diiklankan adalah;


Munajat: Selamatkan Malaysia dan Forum Lahat Datu Rakyat Berhak Tahu.

Ingin tahu - apakah situasi sebenar berhubung dengan konflik bersenjata di Lahat Datu, ingin tahu kedudukan politik Negara dan bagaimanakah dengan pilihanraya ?

Kami bertolak dari Bangi jam 7.00 petang dan solat Maghrib di Hentian Putra Height. Tiba di Stadium semasa tazkirah sedang disampaikan oleh  Brigidier General Bersara Najmi Ahmad. Pada masa itu ruang bawah masih banyak kosong. Penulis mengambil tempat di bahagian hadapan sebelah kiri dan mengikuti program bermula dengan Solat Isya` diimami Brigidier  General Bersara Najmi Ahmad diikuti Solat Hajat dan Munajat dimami oleh Ustaz Dato` Abu Bakar Chik.


Di luar maklumat Penulis, jangkaan yang akan bercakap adalah orang-orang politik sahaja, tetapi furom disampaikan oleh kalangan kepimpinan tertinggi Polis dan Tentera. Mereka ialah Dato` Mohd Fauzi Shaari Mantan Pengarah CID Polis Negara, Laksamana Imran Mantan Ketua Logistik Tentera Laut, Dato` Hadi Mantan Panglima Logistik Tentera Udara dan Dato`Abdul Ghafir Hamid General Bersara Timbalan Panglima Tentera Darat. Jadi penyertaan lengkap dengan pihak Risikan Tertinggi Polis, dari Tentera Laut, Udara dan Darat. Forum dipengerusikan oleh YB. Dato` Johari Abdul Ahli Parlimen Sungai Petani. Kalau selama ini kita ditakut-takut bercakap mengenai isu Lahat Datu sehingga Tien Chua diseret ke mahkamah, maka dengan bercakap pemimpin tertinggi Polis dan Tentera, maka tekanan akan berkurang dan kita akan lebih memahami kedudukan sebenar mengenai Isu Lahat Datu.


Pertahanan Negara amat penting, kita menyanjungi pengorbanan mereka yang terkorban, tetapi apakah yang menyebabkan tercetusnya isu ini, apakah tidak ada cara terbaik sehingga tidak perlu mengorbankan jiwa yang amat berharga ? Mengapa perkara yang sepenting ini yang didesak agar Parlimen mengadakan Persidangan khusus tidak diadakan ? Semasa forum bermula orang ramai mulai memenuhi ruang stadium.


Dato` Fauzi Shaari berpendapat, ``Ada bukti sistem pertahanan Negara yang tempang menyebabkan sempadan Negara mudah dibolosi.`` Tambahnya, ``Kita ada mekanisme cekap berhubung dengan maklumat (SB) pada peringkat Negara, negeri dan kawasan, isu Lahat Datu mengaibkan !`` Katanya, ``Mengapa meraka (musuh) dapat datang berhimpun dan tak dikesan oleh APM (Marin), ada kastam tapi tak dapat dikesan.`` Berhubung dengan pencerobohan Negara, menurut Geneva Convention, ``Pihak tentera seharusnya mengambil peranan, tetapi mengapa PDRM, seolah-olah tiada unit tentera pada permulaan di situ, tetapi bila meletup, baru kelam kabut memerlukan tentera.`` Dato` Fauzi membuat kesimpulan, ``Isu Lahat Datu mencerminkan kegagalan yang amat serius. Isu ini sepatutnya dapat dipadamkan dari awal.`` Beliau mencadangkan pihak tertinggi yang bertanggungjawab dengan keselamatan Negara perlu direhatkan.


Laksamana Imran Mantan Ketua Logistik Tentera Laut berpendapat, ``Tidak ada excuse dalam mempertahankan keselamatan Negara, kita perlu mengawal keluasan dan panjangnya perpantaian Negara. Kita menggunakan peruntukan besar bagi mempertahankan Negara,`` tapi beliau mempersoalkan dalam pembelian peralatan seharus katanya, ` value for money`, tetapi mengapa berlaku penyelewengan pembelian:


1)      Pembelian Kereta Perisau dari Turki yang berharga RM6 juta, tetapi pembelian melalu Deftek menjadi RM29.4  juta ?
2)      Pembelian Kapal Selam berharga RM4 bilion menjadi RM4.5 bilion ? (Razak Baginda mendapat komision RM500 juta dan berihat di England), sedang kapal selam ada yang tak dapat menyelam.
3)      Pembelian 27 buah Petro Vessals sebagai leteral combat harganya RM6 bilion menjadi RM9 bilion. Daripada jumlah tersebut hanya 6 saja dapat diguna, sedang yang lain diserah kepada pihak lain.

Manakala Dato` Hadi Mantan Panglima Logistik Tentera Udara berpendapat, ``Pembelian peralatan pertahanan Negara bergantung pada dasar dan kehendak orang politik.`` Beliau mengkritik tentang penggunaan asset yang tidak tepat.`` Katanya, ``Bagaimana penggunaan peralatan tentera Negara bagi menentang 200 orang musuh ?``
Katanya, ``Apakah perlu squadrom tentera udara mayor udara bagi menentang hanya 200 musuh, sedangkan pihak berkuasa menggunakan Air Asia untuk membawa tentera ke Sabah ?``


Manakala Dato` Abdul Ghafir Hamid General Bersara Timbalan Panglima Tentara Darat berkata,``Bercakap tentang moral tentera tidak selesa, kita seolah-olah mempunyai facilities seperti Negara dunia ketiga, ketinggalan zaman, incident mencemarkan angkatan tentera dan Polis.`` Seterusnya Dato` Abdul Ghafir secara bergurau menjawab tentang adanya tuduhan bahawa beliau terlibat dengan pihak Pakatan bertujuan untuk menjadi Menteri Pertahanan ! Secara bergurau beliau berkata, ``Apa salahnya, mungkin lebih baik dari Menteri yang ada !`` disambut dengan gema takbir.


Berikutnya saudara Khalid Samad yang menjadi moderator mengalihkan majlis kepada ucapan-ucapan tokoh-tokoh politik yang dimulai dengan ceramah Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim yang memaklumkan bahawa Pakatan Rakyat menguruskan pemerintahan Selangor dengan lebih baik. Banyak bukti yang dapat dibuktikan. Anthony Lock Ahli Parlimen Rasah Wakil DAP menolak anggapan bahawa orang Melayu akan kehilangan kuasa dengan kemenangan Pakatan Rakyat pada peringkat Federal, manakala Datin Sri Wan Azizah Presiden Pakatan Rakyat berkata, `Perdana Menteri Dato` Seri Najib tidak mendapat mandate menjadi Perdana Menteri, seharusnya beliau segera membubarkan Parlimen agar rakyat membuat pilihan. YB Datin Sri Wan Azizah mengucapkan tahniah kepada kerajaan Negeri Selangor yang memperuntukkan RM20,000 bagi setiap tentera dari Selangor yang terkorban akibat dari konflik di Lahat Datu.


Penceramah terakhir YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berpendapat, ``Konflik di Lahat Datu merupakan kesilapan basar dari segi politik. Banyak implikasi yang akan timbul akibat darinya.`` Katanya, ``Kita perlu meneliti dan membuat persediaan dari berbagai segi.`` Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang juga mempersoalkan bagaimana konflik di Lahat Datu boleh tercetus. Kita berharap kita dapat mengelak dari berlakunya huru hara yang mungkin dijadikan alasan bagi tindakan tertentu.``


Forum pada malam ini dapat menjelaskan konflik yang berlaku di Lahat Datu. Lebih penting keterlibatan pihak tertinggi Tentera dan Polis memberi kemenangan moral kepada Pakatan Rakyat dan mengukuhkan keyakinan rakyat pada Pakatan. Dari satu segi berlaku `Arus Balik` terhadap Najib. Kalau beberapa bulan dulu kekuatannya (BN) agak seimbang dengan Pakatan, kini penangguhan yang menampakkan ketakutannya merupakan `Arus Balik` yang menghakiskan pengaruhnya dan jika salah langkah, ianya akan bertukar kepada `Tsunami` kepada Najib dan BN.


Sekian.

No comments:

Post a Comment