April 5, 2013

Menyampaikan Peruntukan Bagi Membaiki Surau At-Taqwa, Jalan 6 BBB

Jalan 6, BBB, 23 Jamadil Akhir 1434 = 04 April 2013 (Khamis):


Petang ini Penulis berjanji untuk datang ke Surau At-Taqwa, Jalan 6, BBB untuk menyampaikan cek sebagaimana dipohon oleh Pengerusi Surau dari Adun Bangi sebelum ini. Permohonan dibuat bagi tujuan membaiki kubah dan atap surau yang bocor serta untuk mengecat surau berkenaan. Perkara ini diadu kepada Adun, ketika datang bersolat subuh berjamaah dua bulan sebelum daripada itu, maka Adun pada masa itu meminta pihak surau mengemukakan permohonan secara bersurat.


Hasil dari permohonan itu, maka Adun yang bermesyuarat selepas itu telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3,000/=. Cek bayaran ini turun secara terus dari Pejabat Daerah, Hulu Langat. Penulis pada malam ini hadir semasa jamaah sedang membaca Yasin dan turut sama bertahlil. Kemudian secara ringkas dalam ucapan Penulis berharap agar peruntukan yang diberi dapat menampung keperluan membaiki kubah dan atap yang bocor. Adapun dinding kelihatan baru dicat. Penulis berharap dengan pembaikan dan cat baru dapat memberi keselesaan kepada para jamaah. Cek Penulis sampaikan kepada Pengerusi Surau Tuan Haji Saldin bin Abdul. Turut hadir bersama-sama jamaah yang lain ialah Tuan Haji Abdul Razak Imam Surau dan Setiausaha Tuan Haji Arifuddin.


Selepas solat Isya` berjamaah yang diimami penulis, kami bersembang sambil minum air, Penulis diberitahu, bahawa ini bukanlah surau asal bagi penduduk Jalan 6B. Surau asal sejak 1980an ialah dengan menumpang rumah kediaman. Oleh kerana rumah yang merupakan surau sementara agak sempit, pihak AJK berusaha mendapatkan sebahagian dari tanah padang untuk membuat surau. Hasil dari kerjasama dan gotong royong dan peruntukan didapati dari berbagai pihak, maka Surau At-Taqwa dapat didirikan. Surau ini mula digunakan pada tahun 2001.



Sebagaimana surau-surau yang lain, maka surau ini mengadakan banyak kegiatan terutama menjemput guru-guru mengajar, ceramah agama dan bimbingan pengajian terhadap anak-anak. Turut diadakan kem motivasi dan sambutan-sambutan perayaan. Penulis juga sebagai Adun turut datang ke surau ini dari masa ke masa.

Sekian.

No comments:

Post a Comment