April 18, 2013

Sampaikan Cek Untuk Cat Surau & Gotong Royong


Surau Al-Muhajirin, Taman Melor, 03 Jamadil Akhir 1434 = 14 April 2013 (Ahad):

 

Pada malam ini selepas solat Maghrib Mantan Adun Bangi, berseorangan menuju ke Surau Al-Muhajirin Taman Melor dan sampai sedang elok waktu Isyak dan Mantan Adun diminta mengimamai solat Isya`. Selepas, wirid, doa dan solat sunat ba`diyyah dimulakan Majlis bagi Mantan Adun menyampaikan sumbangan. Hadir sama dalam majlis ialah Tuan Haji Abdul Aziz Abu Bakar, Mantan Pengerusi Surau Al-Muhajirin, Ustaz Zulkifli Abdul Ghani Pengerusi Surau Al-Muhajirin, saudara Othman selaku Imam Surau, saudara Hanafiah, AJK dan para jamaah yang berjumlah lebih kurang 30 orang.

Majlis bermula dengan ucapan Tuan Haji Abdul Aziz Abu Bakar bagi pihak Pengerusi yang baru berterima kasih di atas kesudian hadir Mantan Adun Bangi, yang menurutnya yang beliau mengetahui untuk menyampaikan peruntukan bagi mengecat surau dan peruntukan Majlis Gotong Royong yang telah diadakan di Seksyen 7/3 yang diminta wakilnya datang bersama ke Surau Al-Muhajirin. Menurut Tuan Haji Abdul Aziz, Mantan Adun Bangi bukan asing kepada ahli jamaah. Beliau sering hadir apabila diadakan kegiatan. Seperti Hari-Hari raya, Majlis sambutan Maulid ar-Rasul, perasmi sebarang kursus yang diadakan disurau dan Majlis-majlis Anugerah dan Penyampaian Hadiah Cemerlang.

Mantan Adun Bangi juga, banyak memberi sumbangan bagi majlis-majlis di adakan, bahkan Padang Futsal berhampiran surau adalah juga dari sumbangan Adun Bangi yang berjumlah RM7,000. Beliau juga menyebut selepas Adun Bangi menang pilihanraya 2008, dalam satu Majlis di surau yang bercadang untuk membesarkan surau, tetapi Adun Bangi pada masa itu mencadangkan agar terus dibina Masjid di pinggir tasik yang indah dan tak jauh dari sini.


Menurut Tuan Haji Abdul Aziz, Masjid yang dicadang untuk dibina itu, sedang melalui proses menggezet yang memerlukan masa sehingga 3 tahun dan menurut Tuan Haji Abdul Aziz Penderma yang menjanjikan untuk membiayai Pembinaan Masjid, masih komited dengan janjinya. Beliau berharap semua pihak berdoa agak rancangan membina Masjid di atas tasik ini menerusi urusan yang baik dan tidak sangat bersifat protokol. Bercakap tentang masjid menurut Tuan Haji Abdul Aziz, beliau baru pulang dari Pelastin bagi kali ke 6 dan akan pergi lagi dalam masa terdekat bagi kali ke 7. Menurutnya harga membina Masjid di Palestan agak murah, tak sampai RM2 juta dapat dibina sebuah masjid yang boleh memuat 12,000 jamaah. Beliau terlibat membantu membina 8 buah masjid di Pelastan dan 3 lagi sekarang dalam proses pembinaan. Tuan Haji Abdul Aziz menawarkan peluang siapa yang mau mengikutinya ke Pelastin.


Mantan Adun Bangi dalam ucapan ringkasnya, berterimakasih kerana diberi peluang bercakap. Menurut Mantan Adun, beliau datang bagi menyampaikan cek peruntukan bagi mengecat surau dan satu lagi bagi Majlis Gotong  Royong. Mantan Adun melahirkan rasa gembira surau sentiasa dihadiri para jamaah dan diisi dengan kegiatan keilmuan. Kita sentiasa sokong bagi semua kegiatan. Kita berterima kasih kepada Tuan Haji Abdul Aziz  yang lama memimpin Surau ini. Sayangnya beliau tidak mau memimpin lagi di sini,  oleh kerana beliau banyak tumpukan masa ke Pelastin. Kita berharap misi jihad yang diikutinya terus berjaya. Tuan-tuan dan puan-puan yang terus memberi derma diharap turut menderma kepada jihad Pelastin. Namun kita berharap agar  dapat menderma bagi membina masjid, di samping terus juga menderma kepada Pelastin.

Mantan Adun juga menceritakan pengalaman mencari derma bagi membina Masjid Al-Umm yang kini masih dalam mencari derma. Mantan Adun mengatakan bahawa kos bagi membina Masjid Al-Umm dijangka RM11.2 milion. Pada asalnya kami berpendapat Masjid kami agak mahal, tapi nampaknya tidaklah mahal berbanding Masjid yang bakal didirikan tepi tasik di sini yang menurut Tuan Haji Aziz sebanyak RM19.5 juta. Tentulah Masjid di sini lebih cantik lagi pula berada di tepi tasik seperti Masjid Terapung. Kita harap kita dapat berjamaah di masjid bakal didirikan di sini dengan segera – Insya Allah.
Pada majlis ini juga Mantan Adun dikalungkan dengan mafla Pelastin.


Selepas dari itu Mantan Adun sampaikan cek berharga RM2,000 bagi kos perbelanjaan mengecat surau kepada Bendahari Surau. Turut Mantan Adun sampaikan ialah cek seharga RM1,500 kepada pihak Persatuan Penduduk 7/2 yang diwakili oleh saudara Hanafiah.

Selepas daripada itu beramai-ramai minum di anjung surau.

Sekian.

No comments:

Post a Comment