April 18, 2013

Manifesto BN Untuk Selangor Tidak Lebih Dari Tiruan, Retorik Dan Ulangan

BBB, 07 Jamadil Akhir 1434 = 18 April 2013 (Khamis):

Serangan BN terhadap Selangor yang diketuai Datuk Seri Najib yang juga Pengerusi BN semakin meningkat. Antara langkah maranya ialah semalam (17 April) dalam perhimpunan dengan calon-calon BN di Shah Alam Najib membuat janji dengan manifesto khusus bagi negeri Selangor. Apa janji-janjinya ?


Seperti ciri budaya biasanya ialah meniru ! BN meniru kandungan Buku Jingga Pakatan Rakyat, meniru Manifesto Pakatan Rakyat dan terakhir meniru bagi manifesto BN negeri Selangor dari apa yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat di Negeri Selangor.
Peniruan ketara bahawa BN akan memberi air percuma yang digunakan dibawah 20 kubik meter yang bagi Pakatan Rakyat, ialah pemberian yang telah dilakukan yang setakat ini sudah lebih dari RM700 juta ditanggung Kerajaan Pakatan Rakyat. Kita bertanya mengapa BN menurut apa yang dibuat oleh Pakatan ? Mengapa pengecualian tidak ditingkatkan misalnya kepada 30 kubik meter ? Kita bertanya mengapakah tidak ditawarkan rate kenaikan air misalnya turun kepada 10 % dan tidak sampai 37%. Apakah usaha BN untuk membawa air dari Pahang akan diteruskan, apakah ada jaminan bahawa harga air akan dikurangkan?

Kita melihat apa yang dijanjikan seperti memperbaiki hubungan sosial, keharmonian masyarakat dan keselamatan adalah sebagai satu yang rhetoric dan subjektif, iaitu situasi yang sedang berlaku di dalam masyarakat di Selangor yang memang dilihat pendekatan Pakatan Rakyat selama ini yang bukan melihatnya sebagai masyarakat dari segi pecahan kaum adalah semakin lebih baik dari segi perpaduan dan keharmonian kaum. Memperbaiki hubungan kaum secara interaksi dan membela mereka tanpa memecahkan kepada kaum adalah lebih baik dari mengawalnya secara mechanical dan peralatan.

Janji untuk meningkatkan Selangor dari segi zon ekonomik adalah sesuatu yang bersifat ulangan, lantaran Selangor lebih dari zon Ekonomik dan bergerak maju tanpa perlu dizon ekonomik. Sebenarnya tempat-tempat lain yang memerlukan penzonan perlu menyelaras diri dengan kelajuan dan keaktifan yang dicapai oleh Selangor. Sebagaimana dimaklum Selangor jauh mendahului negeri dan zon lain dari segi dapat menarik penanaman modal yang sejak Pakatan Rakyat memerintah Selangor hingga kini berjumlah RM48 bilion, mengatasi negeri kedua tertinggi, iaitu Sarawak berjumlah RM40 bilion. Najib sendiri mengakui Kerajaan Persekutuan bergantung 60% kepada Selangor dari pendapatan dan kemasukan modal.

Dari segi pendidikan, sememangnya Selangor negeri maju dengan pendidikan. Hampir keseluruhan pengajian tinggi dari IPTA dan IPTS (Selain dari Pengajian Tinggi Negeri) dan pengajian-pengajian tinggi yang lain berada di Selangor. Kerajaan negeri Selangor sendiri memberi tumpuan kepada mewujudkan pengajian pada peringkat tinggi, menengah dan pada peringkat rendah dan pra-serkolah yang semua terdapat dan maju di Selangor. Mekanisme dan perkembangan pendidikan dan pertambahan pelajar memang berlaku dengan pesatnya di Selangor. Sebenarnya Kerajaan Persekutuan perlu memberi tumpuan peningkatan pelajaran di negeri-negeri yang masih lemah dari pencapaian pelajaran agar berkembang setara dengan Selangor.


Satu janji yang dialu-alukan, tetapi boleh dipersoalkan, bahawa pihak BN berjanji hendak memperbanyakkan Rumah mampu milik, tetapi kita persoalkan, Rumah Mampu Milik yang bagaimana ? Rumah Mampu Milik yang dibina dan ditawarkan oleh Kerajaan Negeri di bawah Kerajaan Pakatan bagi satu unit adalah dari RM90,000 hingga ke RM120,000 bergantung kepada saiz, ini seperti yang dibina di Bandar Baru Bangi dan beberapa tempat yang lain di negeri Selangor, tetapi Rumah Mampu Milik yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan adalah bermula dari RM250,000 hingga ke atas seperti Rumah Milik Kerajaan Persekutuan di Sungai Besi. Apakah sebenarnya ia Rumah mampu Milik ? Nampaknya lebih mahal dari rumah biasa. Sebenarnya ianya adalah rumah yang tidak mampu dimilik oleh rakyat biasa.

Kesimpulannya apa yang ditawarkan oleh BN sebagai manifesto kepada rakyat negeri Selangor, tidak lebih dari peniruan, rhetoric dan perulangan. Tiada sesuatu yang baru, tidak menarik dan lebih bersifat ulangan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment