Kajang Sentral, 09 Jamadil Akhir 1434 = 20 April 2013
(Sabtu):
Secara bersendirian, sebelum Isya` Mantan Adun Bangi
bertolak ke Kajang Sentral kerana menyertai Majlis Kecil bagi menyerahkan cek
sebagai peruntukan bagi memperbaiki pagar Surau Al-Huda yang telah rosak.
Peruntukan ini dibuat sebelum tempoh Adun Bangi berakhir, tetapi cek berkenaan
baru turun dari Pejabat Daerah, maka Mantan Adun berjanji untuk turun pada
malam ini. Kehadiran Mantan Adun Bangi disambut oleh saudara Azizi yang terus
ke Surau dari rumahnya di Kajang Utama, tidak begitu jauh dari Kajang Sentral
(Menyeberangi Jalan SILK). Turut menyambut kehadiran Mantan Adun Bangi ialah saudara
Azemi Ahmad Bekas Pengerusi Surau Al-Huda, saudara Iqbal Ismail Pengerusi Surau
Al-Huda kini, saudara Pak Nik Ahmad selaku Setiausaha Surau dan saudara Zulfikhar
selaku AJK.
Oleh kerana waktu tiba Mantan Adun seelok waktu Isaya` masuk,
maka Mantan Adun terus ke dalam surau menunaikan sunat Isya` qabliyah dan
seterusnya memimpin solat Isya`. Sebaik selesai solat terus dijalankan Majlis
dengan saudara Azemi terus menyampaikan ucapan alu-aluan yang berterima kasih
di atas kehadiran Mantan Adun Bangi bagi menyampaikan cek sumbangan. Saudara Azemi
mengimbau sejarah pembinaan surau Al-Huda yang pada asalnya tapak surau yang
dipohon dari Syarikat Perumahan di Kajang Sentral, tapi tidak mendapat
kelulusan. Beliau menyebut Adun Bangi telah terlibat sama bagi mendapat tapak, membina
Surau, bermula dengan sokongan terhadap permohonan tapak, kepada perasmian
Tapak Surau hinggalah kepada pembinaan surau pada permulaan Adun Bangi menjadi
Adun. Beliau menyebut bahawa kos bagi pembinaan Surau ini adalah sebanyak RM70,000. Setelah terbina dan selepas penggunaan surau
ini pertengahan 2010, Mantan Adun Bangi banyak terlibat di dalam usaha
pembinaan dan sering menghadiri majlis, sambutan, kegiatan-kegiatan dan
sambutan-sambutan yang diadakan. Hingga kini walaupun tempoh perkhidmatan
Adunnya telah tamat, beliau tetap datang ke pelbagai program dan jemputan
seperti malam ini. Katanya, ``Surau ini adalah Surau Angkatnya.`` Dengan rasa sebak saudara Azemi menceritakan
permasalahan yang dihadapinya selama usaha membina dan memimpin pentadbiran
Surau Al-Huda.
Adun Bangi yang membalas ucapan berterima kasih di atas
jemputan dan merasa bergembira surau dimakmurkan oleh jamaah, orang-orang muda
dan anak-anak. Sesungguhnya Surau ini menjadi Pusat Kegiatan Penduduk Kajang
Sentral. Mantan Adun difahamkan, surau tidak saja digunakan untuk beribadat,
tetapi juga bagi pengajaran dan kegiatan kemasyarakatan. Mantan Adun menyokong
pihak Surau mau menggunakan tanah lapang di hadapan surau untuk pusat
pendidikan, tapi malangnya, menurut saudara Azemi, tapak ini terlebih dahulu ditentukan
bagi pembinaan Tadika. Walau bagaimana Adun berharap masyarakat setempat akan
tumpukan kegiatan di Surau ini. Mantan Adun difahamkan bahawa pagar bagi surau
ini telah rosak dan perlu dibaiki. Pihak Adun Bangi telah meluluskan permohonan
sebanyak RM2,000/= . Diharap dengan peruntukan ini kerosakan pagar dapat
diperbaiki.
Berhubung dengan Surau ini Mantan Adun sama mengalami suka
dan duka. Satu peristiwa yang Surau ini menjadi berita utama di dada-dada
akhbar, ialah Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Surau Al-Huda pada Jumaat 17
Ramadhan 1431 = 27 Ogos 2010 sempena Ramadhan yang Adun Bangi juga hadir pada
malam itu. Majlis juga dipengerusikan oleh saudara Azemi Ahmad selaku Pengerusi
Surau. Beliau menjemput saudari YB Teo Nie Ching selaku Ahli Parlimen Serdang menyampaikan
ucapan sempena Ramadhan di bahagian hadapan surau diikuti dengan penyampaian
cek.
Acara malam ini nampaknya sampai ke luar dan digunakan oleh
Utusan Melayu yang menjadikannya berita di muka hadapan dengan tajuk utama berjudul:
``Ahli Parlimen DAP `Tazkirah Di Surau …``
Berita ini segera menjadi berita sensasi dan terus dimainkan
oleh akhbar-akhbar, terutama Utusan Melayu bagi menaikkan sentimen dan
kemarahan orang Melayu. Perkara ini tidak terhad kepada sebagai berita sahaja,
tetapi sampai kepada pihak JAIS yang memanggil saudara Azemi berhubung dengan
membenarkan saudari YB Teo Nie Ching berucap berhampiran mimbar Surau Al-Huda.
Akibat dari berita ini saudara Azemi dan AJKnya digantung dari mentadbir Surau.
AJK sementara dilantik. Peristiwa kontroversi di Surau Al-Huda ini dibawa oleh
Adun Bangi di dalam Dewan Negeri Selangor. Exco Hal Ehwal Agama, Adat dan
Warisan Negeri Selangor terpaksa membuat penjelasan di dalam Dewan Negeri dan
memaklumkan ``Buat masa ini pihak JAIS memantau perkembangan di Surau
Al-Huda.``
Adalah menyedihkan dengan penggantungan AJK yang aktif
mengendalikan surau, maka surau yang dikendalikan oleh AJK sementara tidak
dapat berfungsi dengan baik dan selepas setengah tahun penggunaan, atas
permintaan dan desakan penduduk pentadbiran Surau Al-Huda dipulihkan .
Implikasi dengan publisiti ``Ahli Parlimen DAP tazkirah di Surau`, maka Surau Al-Huda
terkenal, bukan saja di Selangor, tapi ke seluruh dunia. Isu `Ahli Parlimen DAP tazkirah di Surau`
mempopularkan YB Teo Nie Ching sebagai Ahli Parlimen baru dan muda di Serdang``
Adun Bangi pada peringkat permulaan tidak begitu mengenali
YB. Teo Nie Ching - kekok untuk menyebut dan susah untuk mengingat nama YB Teo
Nie Ching. Tetapi setelah berlamaan menyertai majlis-majlis, mengadakan
kegiatan bersama, menyampaikan bantuan, ziarah dan sebagainya Adun Bangi merasa
serasi dan sama bergiat dengan Mantan YB. Teo Nie Ching. Beliau mudah mesra dan
menurut nasihat. Misalnya beliau dinasihati memakai pakaian sesuai di dalam
majlis-majlis tertentu, beliau mudah menurut. Misanya beliau memakai baju
kebaya, baju kurung, bahkan pernah bertudung dan tudung banyak dihadiah
kepadanya. Bila bertudung secara bergurau, kami memangginya `Ustazah Teo`. Tapi mungkin pihak partinya tidak menyenangi
beliau bertudung, berikutnya beliau tidak membiasakan dirinya memakai tudung.
Namun Mantan Adun Bangi merasa sayu, bila mendapat tahu
Mantan YB Teo Nie Ching tidak bertanding lagi di Parlimen Serdang, sebagaimana
Mantan Adun Bangi tidak bertanding di Dun Bangi, sebaliknya Mantan YB Teoh diarah
bertanding di Kulai, Johor. Bila Mantan Adun Bangi dapati tiada nama Mantan YB
Teo Nie Ching disenarai dalam akhbar sebagai Calon Ahli Parlimen Serdang,
Mantan Adun Bangi menghubungi Mantan YB
Teo Nie Ching bertanya khabar. Rupanya beliau menjawab dari Kulai. Mantan Adun
Bangi juga bertanya mengapa tak bertanding di Serdang yang Mantan YB telah begitu
popular dan dikenali dan besar kemenangan menang besar. Beliau berkata, ``Saya memang
suka bertanding di Serdang, tapi oleh kerana perintah parti saya terpaksa patuh
dan bertanding di Kulai, Johor.`` YB. Teo Nie Ching menjemput Mantan Adun Bangi
sama ke Kulai untuk membantu kempennya di sana .
Nampaknya Mantan Adun Bangi bukan saja sunyi, kerana tidak
bertanding, tetapi sepi kerana kehilangan rakan seperti Mantan YB Teo Nie Ching
dan juga sahabat lama Cikgu Lee Kim Sin Mantan Adun Kajang yang juga tidak
bertanding. Beliau penyokong kuat Mantan Adun sejak bertanding di Kajang pada
tahun 1999 lagi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment