April 26, 2013

Kubangkit Menentang Sayu Berlapisan

-->
Mulai 03 April 2013 bubarnya Parlimen
Diikuti 04 April di Selangor peringkat Dewan
Fungsi diri selaku Adun tiba di penghujungan
Kutunduk tafakkur menanggapi kebesaran Allah
Menaik dan menurunkan hamba dari kedudukan
Melimpah kasihku pada penduduk Bangi-Kajang
Menghembus pilu menggetar hatiku berulang
Insya Allah hubungan mesra tak terleraikan.

Namun tanpa diundang
Sayu itu datang ketika pagi
Bila hendak bersalin kepada pakaian kerja
Melihat pakaian rasmi tersusun dalam almari
Coat, no one dress, tie, seluar-baju bergantungan
Pakaian rasmi bila mesyuarat dan bersidang
Semua mulai tersimpan sebagai kenangan
Dalam muzium diri sebagai warisan
Kini untuk ke pejabat tugas sendirian
Cukup berseluar dengan t-shirt
Atau baju lengan pendek biasa
Berselipar berjalan.

Sayu itu datang lagi menyelinapi diri
Ketika datang bertugas di pejabat
Melihat kerusi-meja kekosongan
Computer, mesin pendua tidak dipasang
Shahrum-Nabilah sudah tidak datang
Walaupun kertas borang perlu diisi
Telefon masih berbunyi fax masih berfungsi
Yang kudapati pengadu makin berkurang
Bahkan teman-teman rapat makin renggang
Aku duduk dikerusi berteman sepi
Meneruskan kerja seharian.

Sayu itu datang mengulangi
Hari-hari hujung minggu yang datang
Biasanya padat program turun padang
Bersama saudara Azizi sedia mengikuti
Ke mana destinasi siang atau malam
Menumpah khidmat kepada rakyat
Bersegera dengan hilux ke tempat aduan
Merasmikan majlis sambutan-perayaan
Menyampaikan insentif-tahniah pelajar cemerlang
Menyampaikan bantuan kebajikan pada yang memerlukan
Ibu tunggal, fakir-miskin, sakit dan kemalangan
Bergotong royong membersih kawasan
Bersendiri atau bersama Ahli Parlimen
YB. Teo mudah mesra dalam pergaulan
Kini semuanya berpindah dalam kenangan
Mesra bertukar kepada kesedihan.

Namun pagi ini ku ke Pejabat dengan azam
Dengan penjelmaan baru menentang muram
Mengubah dan menyusun kembali
Ruang dan kedudukan meja-kerusi
Merapikan susunan buku dan fail
Menandakan era baru dan perubahan
Dan aku bersama dengan setia
Duduk di meja meneruskan kerja
Terlalu banyak perlu diselesaikan
Dari membangunkan Masjid bersama sahabat
Kepada projek Galeri Bangi Bandar Ilmu
Menyiapkan manuskrip penerbitan
Dari kumpulan puisi Puncak Rindu
Kepada Politik Rohani Sentuhan Puisi
Membina Gagasan Pesurat- Teori Takmilah
Ke penerbitan Memoir dalam penyusunan
Buku Menuju Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur
Dan siri penerbitan dalam penungguan
Semuanya menuntut komitmen
Masa dan kesempatan
Sebelum berpulang.

Azam dan doa
Semoga Allah kabulkan
Amin.

Shafie Abu Bakar,

Bandar Baru Bangi,
14 Jamadil Akhir 1434
25 April 2013.

No comments:

Post a Comment