BBB, 04 Jamadil Akhir 1434 = 15 April 2013 (Isnin):
Akta Universiti & Universiti Kolej (AUKU) masih berkuatkuasa.
Pindaan Peruntukan Perkara (15) agak aneh dan lucu, bahawa mahasiswa tidak
dibenarkan berpolitik Nasional di kampus, tetapi dibenarkan di luar kampus,
hatta mereka boleh bertanding dalam pilihanraya umum seperti yang akan
berlangsung pada 20 April (Penamaan Calon) dan 5 Mei (Hari Mengundi). Kita
bertanya seriuskah peruntukan akta ini ? Atau sebagai untuk menunjuk-nunjuk
bahawa mahasiswa diberi kebebasan berpolitik, sedang hakikatnya tidak ! Akta
sebenarnya mempermainkan mahasiswa dan memperbodohkan masyarakat. Bagaimana
mahasiswa dibenarkan bertanding di dalam pilihanraya ke 13, tetapi calon akan
diambil tindakan tatatertib, jika nama dikenal dan dikait dengan sesebuah
universiti. Tindakan tatatertib boleh diambil bila bertanding kerana ia boleh
membawa kepada elemen memalukan universiti. Jadi ada percanggahan, bagaimana
boleh bertanding, sedangkan pada masa yang sama boleh diambil tindakan
tatatertib ?
Kita berpendapat apa yang diperuntukkan, membawa makna
terbalik, iaitu sebenarnya, larangan bagi mahasiswa melibatkan diri dengan
politik Negara, khususnya dengan pilihanraya. Hanya mereka yang berani
melangkah dengan segala kepayahan, kekurangan kewangan dan sekatan akan berani
masuk bertanding yang kelak akan menghadapi banyak risiko yang terpaksa
ditanggung.
Namun siapa yang berani melangkah sekatan dalaman dan
bertanding di luaran dia bakal sekadar mendapat paublisiti. Dari tinjauan kita
terhadap mahasiswa UKM, tiada yang berani untuk melangkah sekatan dan
bertanding diluaran, kerana tidak berani menghadapi risiko dan tindakan
tatatertib universiti. Tapi kita dapat tahu ada yang sanggup memecah tradisi
dan mau bertanding dalam pilihanraya ke 13 ini. Difahamkan seorang mahasiswa
dari Akademi Pengajian Islam, tahun 3 yang mengkhusus dalam bidang siasah dikenali
sebagai saudara Bukhari akan bertanding pada peringkat Parlimen melawan Dato`
Seri Najib di Pekan. Kita menghormati hasrat mahasiswa ini. Dia akan mendapat
publisiti yang melonjakkan namanya dan dikenali ramai. Tapi kita berpendapat
Dato` Seri Najib sebenarnya berterima kasih kepada mahasiswa berkenaan kerana
mengambil risiko untuk bertanding dengannya, kerana Dato` Seri Najib tidak akan
mendapat tentangan dan cabaran yang serius – jika tidak ada pertandingan
beberapa penjuru. Kita berharap ada kawan-kawan saudara Bukhari yang sanggup
turun sama membantunya berkempen, di samping menggunakan tenaga tempatan. Kita
berharap tidak akan diambil tindakan oleh pihak universiti terhadap kawan-kawan
saudara Bukhari – jika diketahui. Walau bagaimana kita berpendapat usaha
bertanding oleh saudara Bukhari, semacam, apa yang dilakukan oleh Tuk Mun di
Kuala Terengganu yang sudah beberapa kali masuk pertandingan, sekadar
memeriahkan suasana dan jauh dari untuk mencapai kemenangan.
Keadaan ini juga akan dihadapi oleh saudara Bukhari. Dia
akan mendapat publisiti, tapi sudah pasti dia akan kecundang nanti.
Kita masuk kepada perkara yang lebih serius, pihak Pengajian
Tinggi, pihak Universiti tidakkah malu dengan peruntukan AUKU seperti ini yang
tidak mencerminkan tahap kematangan dan pemikiran intelektual sesuai digunakan
bagi mahasiswa berpengajian tinggi ? Sebenarnya Penulis berdepan dengan seorang
Pengamal Undang-Undang sebagai Lawyer Sdr. Mohd Fikah Sanusi, berpendapat bahawa pada hakikatnya AUKU
sebenarnya tidak valid, ultra virus dan boleh dicabar dari segi undang-undang
dan boleh dikatakan ianya bukan naskhah undang-undang, kerana bercanggah dengan
Perlembagaan Negara. Ianya digunakan selama ini sebagai menaku-nakutkan
mahasiswa semata-mata.
Kita kira pihak Pengajian Tinggi, universiti-universiti dan
kerajaan perlu bersifat rasional dan pro-aktif menjadikan universiti sebagai
benar-benar tempat mendidik dan memupuk mahasiswa, antaranya khusus dari segi
kepimpinan. Jangan jadikan mahasiswa di universiti sebagai gerombolan yang digiring
mengikut kemahuan satu pihak dan mengancam bila bertentang. Ketiga-tiga pihak
perlu memikirkan mekanisme bagi melahirkan kepimpinan pelajar bermutu tinggi
yang akan menjadi asset Negara, bukan saja pada peringkat Negara, tetapi juga
pada peringkat antarabangsa. Misalnya Negara wajar mengadakan Insitut Kepimpinan
Negara Bertahap Tinggi. Mahasiswa
berpotensi dari segi kepimpinan, misalnya dari kepimpinan mahasiswa, pelajar
yang mengikuti kursus Sains Politik, Hubungan Antara bangsa dan yang
seumpamanya yang berpotensi dari segi kepimpinan diberi peluang mengkuti kursus
kepimpinan dan kegiatan luaran yang berhubung dengan kepimpinan dan masyarakat.
Bagi mahasiswa genius dari segi kepimpinan ditaja oleh kerajaan dan universiti.
Misalnya dalam musim pilihanraya mereka turun sama melibatkan diri dan mencari
pengalaman politik pilihanraya sebagai sebahagian dari kursus yang perlu
diikuti dan apabila ada dari kalangan mereka yang layak untuk menjadi calon
tajaan universiti bagi memasuki pilihanraya mereka diketengahkan. Bukan seperti
sekarang universiti menghantar spy ke mana-mana pilihanraya mencatat mahasiswa
terlibat untuk diambil tindakan. Untuk
mengelak dari berpihak kepada mana-mana politik parti, mahasiswa pada peringkat
permulaan bertanding di atas tiket wakil universiti tertentu dan kelak terpulang
kepada kecenderungan politik masing-masing. Patut difikirkan mekanisme yang
lain yang pokoknya Pengajian Tinggi dan Universiti serius dan benar-benar
bertujuan untuk melahirkan kepimpinan bertahap Negara, bukan mereka terpenjara
sebagaimana sekarang dan apabila keluar, takut dan tidak mempunyai arah dan
hala.
Namun dari satu segi kita melihat universiti sendiri miskin
dari professor-profesor politik yang berfikiran bernas. Pendapat mereka
didengari dan mempengaruhi warna dan aliran politik Negara. Yang ada mereka
yang ketakutan yang menyepi di menara gading. Berpolitik dalam kuliah dan sepi
selepasnya. Kalau pada peringkat tenaga
pengajar miskin dari pemikir-pemikir politik, bagaimana boleh diharapkan mereka
boleh melahirkan mahasiswa yang berpotensi untuk berpolitik ?
Jangan permainkan mahasiswa. Selamat dan suburkan mereka
yang berpotensi dari segi kepimpinan sebagai asset Negara, bangsa dan agama
pada masa hadapan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment