April 18, 2013

Belum Tentu Menang Pilihanraya, BN Sudah Cakap Tentang Siapa Menteri Besar Selangor

BBB, 06 Jamadil Akhir 1434 = 17 April 2013 (Rabu):


Betullah BN amat kemarut ingin menguasai Selangor. Belum apa-apa, baru pengumuman bakal calon BN di Selangor dan belum pun tahu kalah, menang mereka sudah bercakap tentang siapa yang akan dilantik menjadi Menteri Besar. Jawatan Menteri Besar, khususnya di Selangor adalah jawatan yang dipandang tinggi, bahkan lebih dari seorang Menteri Pusat, lantaran Menteri Besar di Selangor adalah Menteri bagi sebuah negeri yang maju dan menjadi negeri yang menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Lantaran itu menjadi Besar Selangor, bukan saja mengurus pentadbiran pada peringkat negeri, tetapi hubungannya dengan kerajaan Persekutuan dari segi pentadbiran dan hubungan dengan luar dari segi pelaburan dan perdagangan. Namun keunggulan kerusi Menteri Besar Selangor ada risikonya, kerusi Menteri Besar adalah kerusi panas ! Sebagai negeri maju, banyak timbul isu, kalau tidak bijak kendali boleh membawa risiko kepada Menteri Besar yang memperjudikan kedudukan pada kerusi Menteri Besar itu sendiri. Beberapa orang Menteri Besar BN secera seturut sebelum Kerajaan Pakatan turun dari Kerusi Menteri Besar sebelum tempoh, bahkan bahananya membawa keluar dari tempoh jawatan Menteri Besar. Namun walau apa jua cabaran dan kemungkinan, jawatan Menteri Besar Selangor tetap menjadi idaman.

Melihat kepada prestasi Kerajaan Pakatan Rakyat yang lepas, Selangor dapat ditadbir dengan baik oleh YAB. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim bersama pasukan Exconya. Ekonominya berkembang maju dengan jumlah reserve negeri bertambah dari RM300 juta pada zaman BN kepada RM2.6 bilion pada zaman Pakatan Rakyat. Bajet tahunan negeri Selangor senantiasa meningkat dari setahun ke setahun dari jumlah RM1.3 bilion hingga kepada RM1.7 bilion. Banyak program hasil dari cetusan idea yang baru dan segar dapat di adakan. Contoh program merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor dan bantuan-bantuan kebajikan dapat diadakan. Kekukuhan ekonomi negeri Selangor dapat membantu 23% kepada hasil kerajaan Pusat. Ia adalah merupakan sumbangan dari Kerajaan negeri Selangor. Di atas prestasi cemerlang Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim seorang Ahli Koporat yang pernah mengendalikan PNB dan Gurthry, kita percaya rakyat akan memberi sekali lagi mandate kepada Pakatan Rakyat di negeri Selangor.  Kita juga tidak ragu-ragu bahawa kepimpinan Tan Sri Dato` Seri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar perlu diteruskan. Tidak ada masalah yang timbul pada masanya, sebagaimana dialami Menteri-Menteri Besar sebelumnya. Jika peluang diberi sekali lagi, kita percaya prestasi dan index kemajuan negeri Selangor akan lebih meningkat.  Jika pun ada perubahan di atas kehendak parti dan pentadbiran, maka bukanlah dari segi kelemahannya. Jika berlaku kita anggap sebagai sesuatu yang tidak wajar dan merugikan negeri Selangor.

Adapun atas hasrat BN ingin menguasai Kerusi Menteri Besar itu, maka tidaklah salah,  Cuma untuk menguasai pemerintahan negeri, berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh kerajaan Pakatan dan prestasi Adun-Adun BN di Dewan yang kurang respon di dalam perbahasan dan sering tuang dari menghadiri Dewan atau hadir setakat sebahagian, mungkin budaya seperti ini juga dari segi perkhidmatan berlaku di luar Dewan atau lebih khusus terhadap masyarakat, mungkin mereka masih belum layak memerintah negeri Selangor.

Pihak BN, walaupun mendakwa membawa perubahan calon BN di Selangor hingga 70% nampaknya BN tidak mampu mengemukakan calon-calon baru yang dispekulai untuk menjadi Menteri Besar. Empat calon lama yang dikatakan berpotensi, namun dari pengalaman kita bersama dalam Dewan Negeri kita berpendapat Mantan YB. Dato` Shamsuddin bin Lias Bekas Adun Sungai Burung adalah seorang yang berpengalaman, Bekas Pegawai Daerah. Percakapannya tersusun dan berfakta, berperaturan dan antara yang terbaik dari kalangan BN yang kerap menghadiri sidang. Pihak Pakatan Rakyat mempunyai keyakinan terhadap kepakarannya dari segi pentadbiran. Beliau walaupun dari kalangan pembangkang pernah dilantik sebagai Pengerusi PAC, tetapi kerana tekanan dari pihak BN agar beliau tidak menerima jawatan itu, beliau terpaksa menarik balik penerimaan jawatan tersebut. Walau bagaimana kelayakan untuk menjadi Menteri Besar ini bergantung kepada kejayaan beliau dalam pilihanraya. Selain dari beliau yang kita nampak berwibawa dan bercakap berfakta dan mampu berhujah di dalam Dewan Negeri ialah Tuan Sulaiman bin Abdul Razak Mantan Adun Permatang. Beliau nampaknya mahir mengenai koporat dan kontrektor. Selain dari beliau adalah Mantan YB. Dato` Subahan bin Kamal Mantan Adun Taman Templer. Keistimewaan beliau mampu memimpin pasukan bola sepak negeri Selangor dan mampu berhujah di Dewan, tetapi kadang-kadang kurang jitu dari segi hujah.


Walau bagaimana Politik Negeri Selangor paling menarik dalam pilihanraya ke 13 ini. Pihak Pakatan Rakyat akan berusaha mengekal dan menambahkan kekuasaannya di negeri Selangor, manakala pihak BN juga akan juga berusaha bagi mengambil alih pemerintahan Negeri Selangor. Berdasarkan prestasi yang telah ditunjukkan pada sesi pemerintahan 2008-2013, kita percaya pengundi negeri Selangor sekali lagi akan memberi mandate, kali ini lebih kukuh kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah, tetapi sekiranya keadaan yang berlaku sebaliknya, maka ianya merupakan satu kemalapan bagi Pakatan Rakyat yang peluang untuk kembali pada masa akan datang akan lebih sukar.

Sekian.

1 comment:

  1. alhamdulillah...
    selangor masih ditadbir PR...

    ReplyDelete