April 22, 2013

Kejutan, Penyimpangan Dan Perlanggaran Dalam Pencalonan PRU Ke 13 Lantaran Hak, Layak Dan Peluang ?

-->
BBB, 10 Jamadil Akhir 1434 = 21 April 2013 (Ahad):

Mencari makna tentang politik di dalam Kamus, antaranya Kamus Dewan (2007: 1223) Politik:

1) Ilmu (siasah) berhubung dengan pemerintahan,
2) Segala sesuatu berkenaan pemerintahan sesebuah Negara atau hubungannya dengan dasar luar dan
3) Kelicikan, muslihat, tipu muslihat (bagi mendapat kekuasaan).
Dari Concise Oxford Dictionary (1989: 793) Science and art of government, political affairs and political principles.
Dalam kata lain berpolitik ialah usaha mendapat kuasa oleh individu melalui kelompok dan organisasi (politik) berdasarkan peraturan dan syarat-syarat yang kadangkala dicapai melalui muslihat dan kelicikan.

Dalam sistem pemerintahan yang dikatakan demokrasi mekanisme berpersatuan, bermesyuarat dan pilihan melalui pilihanraya adalah cara dan peluang bagi pemilihan dan peningkatan kedudukan dalam politik. Pilihanraya 2013 dan mana-mana pilihanraya seumpamanya dilihat peluang peningkatan bagi individu dan organisasi melalui pertandingan dengan harapan mendapat kemenangan bagi diri dan organisasi. Kadang-kadang bagi mencapai peluang aturan itu sendiri dilihat sebagai penghalang bagi mendapat peluang, lantaran itu berlaku penyimpangan. Peluang untuk mendapat kekuasaan ini juga direbut oleh individu melalui peluang mudah `Bebas` yang dibenarkan, miskipun banyak risiko yang mendepani.

Adakah semua individu parti dan organisasi patuh pada kehendak parti dan organisasi ? Pada dasar dan keseluruhan semua dikawal oleh aturan. Namun merujuk kepada proses pilihanraya 2013 semua parti nampaknya tidak boleh membendung dan menyekat ahli-ahli dari melanggar aturan. Lantaran individu mempunyai perkiraan antara ada peluang dengan tiada peluang lagi, untung rugi kini dan masa akan datang. Sebab itu ada yang membuat pehitungan di luar dari kotak kebiasaan, lantaran itu berlakulah penyimpangan-penyimpangan dan kejutan-kejutan diluar dari kawalan organisasi dan gagal untuk mengadakan sekatan. Apa yang diharapkan selepas itu mereka akan dihadapkan kepada Lembaga Tatatertib dan mungkin dipecat. Penyimpangan bahkan pertentangan disebabkan:


1)      Protes Kerana Berpendapat Tidak Diberi Hak

Kes Ketara ialah Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Kuala Kangsar. Hujahnya agak kuat, Ketua Wanita (Shahrizat) tidak bertanding dan Rafidah Aziz tidak bertanding (Kuala Kangsar), tiada peringkat tertinggi bertanding, sewajar beliau sebagai Naib Ketua Wanita Umno diberi peluang bertanding pada peringkat Parlimen di tempatnya (Kuala Kangsar). Tawaran kerusi Dun tidak sesuai dengan kedudukan dirinya. Kamilia rela bertanding bebas, yang katanya bagi menjaga integriti Wanita yang kini dikesampingkan.



2)      Penyimpangan

Sesuatu yang anih dan diluar dari jangkaan. Kes ini dapat dicontohi dari Kes Che Johan Che Pa yang sengaja/gagal mengemukakan kertas pencalonannya yang menyebabkan berlaku pertandingan satu lawan satu antara Nik Mohd Abduh bin Nik Abdul Aziz (Pas), di Pasir Mas dengan Datuk Ibrahim Ali (Bebas). Hujah beliau, iaitu agar calon Pas mudah dapat dikalahkan tanpa penyertaannya. Keputusan persendiriannya dan hujahnya sukar diterima.


3)      Mendapat Peluang Kembali, kerana menganggap disekat

Calon adalah pernah bertanding, bahkan penyandang kerusi, tetapi disekat, maka tindakan diambil sendiri untuk bertanding atas tiket Bebas. Contoh Dato` Mohd Shariff Omar (BN) Parlimen Tasek Gelugor dan Dun Sungai Dua, Pulau Pinang, juga contoh Fadzil Hanafi (BN) Dun Alor Mengkudu, Kedah dan pernah menang sebelumnya. Contoh bagi penyandang ialah Jenice Lee (DAP) Penyandang Dun Teratai, disekat dari bertanding atas tiket DAP dan bertanding atas tiket Bebas,

4. Cuba Mendapat Peluang Pertama Kali

Tidak mendapat peluang mewakili parti secara rasmi. Tindakan diambil untuk bertanding
seperti dilakukan  oleh Young Tham Fook (MCA) bertanding Bebas di Dun Kuala Kubu Bharu & Datuk Suhaimi Ghazali (BN) yang bertanding atas tiket Bebas di Parlimen Sepang.
(Ada lagi 25 Ahli Dalam Komponan BN bertanding Bebas).


5. Tamak Sanggup Langgar Peraturan

Contoh Sim Tong Him calon DAP di Parlimen Kota Melaka, tapi atas rasa tamak sanggup mengambil keputusan bertanding Dun Kota Laksamana Melaka atas tiket Bebas

6. Melibatkan Parti Sesama Parti Dalam Pakatan

PKR bertanding menentang Pas satu kawasan di Parlimen Labuan dan 6 Dun, iaitu Sungai Aceh, Kota Damansara, Bukit Besi, Kota Putera, Seberang Takir dan Panti.

Kesalahan nampaknya melibatkan semua parti utama seperti BN, Keadilan, DAP dan Pas. Jika dibiarkan keputusan dibuat individu melibatkan parti, maka ianya akan menjadi budaya yang diikuti akan datang yang boleh merosakkan parti. Walau macam mana no. 1 – 5 pesalah-pesalah dijangka dihadapkan kepada Lembaga Tatatertib yang kemungkinan dipecat dari parti.

Pertandingan antara parti dalam Pakatan, boleh disifatkan sebagai serius. Jika budaya ini dibiarkan, apa lagi jika ianya merupakan arahan, maka ianya boleh merosakkan perpaduan di dalam Pakatan itu sendiri. Tindakan perlu diambil bagi menjaga perpaduan dan integriti agar perkara sedemikian tidak menjadi ikutan yang terus berulang,

Wujudnya ramai Bebas, jika pun menang dalam pilihanraya, tidaklah banyak faedah yang diharapkan, mereka dianggap Wakil Pinggiran, kerana tiada ideologi, falsafah dan matlamat yang jelas. Jika pemerintah mempunyai jumlah kerusi yang lumayan, kewujudan mereka begitu saja – tidak dipeduli sangat. Wujud mereka barangkali berfaedah, apabila kedua pihak Pakatan dan BN kekurangan suara . Mereka menjadi rebutan bagi mendapat sokongan. Dalam hal ini Wakil Bebas sedemikian boleh jual mahal dan membuat tuntutan-tuntutan yang mungkin diikuti.

Demikianlah politik boleh turun naik, aturan dalam organisasi diwujudkan bagi pengawalan, tapi sering dilanggar bagi kepentingan, kawan menjadi lawan dan sebaliknya dan boleh berubah mengikut keadaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment