April 4, 2013

PMUKM Adalah Kerajaan Mahasiswa: Dialog Dengan TNC Hal Ehwal Pelajar UKM Di Pejabat Adun Bangi



Pejabat Adun Bangi, 22 Jamadil Awwal 1434 = 03 April 2013 (Rabu):

PMUKM adalah Kerajaan Mahasiswa UKM. Analoginya tidak susah. PMUKM adalah diibaratkan Kerajaan Malaysia, Parlimen adalah diwakili oleh parti-parti dan yang mempunyai majoriti berkuasa di Parlimen dan memerintah Malaysia. Demikian PMUKM adalah Kerajaan Mahasiswa dan milik mahasiswa di UKM. Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) diwakili oleh berbagai Persatuan, Fakulti dan Kolej yang mempunyai majoriti adalah memerintah Kerajaan PMUKM - mahasiswa. Adanya PMUKM tidak bercanggah dengan wujudnya MPP sebagai Parlimen bagi Kerajaan PMUKM. Mengapa mau batalkan PMUKM yang telah ditubuhkan sejak 13.9.1970 sebaik UKM ditubuhkan ? Peranannya begitu menyerlah sejak lebih dari 4 dekad dan masih berfungsi sebagai baik dan teratur itu ?

Sebenarnya tindakan UKM membatalkan PMUKM menimbulkan rasa tidak puas hati mahasiswa, menyebabkan mereka membuat aduan kepada Adun Bangi. Bagi memahami masalah Adun mengatur pertemuan dengan PMUKM pada 10.3.2013 (malam Ahad) di Pejabat Adun. Seramai 24 kepimpinan Mahasiswa diketuai Presidentnya saudara Ahmad Shukran bin Shaharudin datang menemui Adun. Turut hadir Dr. Tajul Ariffin Noordin Mantan YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi yang juga pernah menjadi Timbalan Presiden PMUKM dan Pengetua bagi beberapa Kolej di UKM.


Dalam pertemuan Kepimpinan PMUKM menyebut pihak UKM mau menghapuskan PMUKM kerana kononnya tidak menurut Subseksyen 57 Perlembagaan  UKM. Mesyuarat Pengurusan Universiti Bil. 22/2/2012 bertarikh 16 Oktober 2012 mencatat PMUKM perlu dihapus dan nama PMUKM digantikan dengan Majlis Perwakilan Pelajar yang boleh dianggap satu kekeliruan dari apa yang telah dianalogikan di atas (Tak perlu dihapuskan). Berikutan dari itu nama PMUKM tidak disebutkan. Mithalnya dalam majlis penyampaian wathikah perlantikan MPP 17.10.2012. Begitu juga tiada penggunaan dalam surat menyurat, mesyuarat dan sebagainya. Bahkan papantanda bagi PMUKM dicabut dan dibiarkan.


Rasa tidak puashati Mahasiswa itu Adun luahkan dalam blog Adun. Sebagai salah seorang pengasas PMUKM tindakan universiti terhadap PMUKM yang menjadi sebahagian dari sejarah UKM dan mencabut papan tanda PMUKM secara tidak hormat sebagai melukai hati Adun dan rasa terhina. Ungkapan di dalam blog Adun menggerak pihak Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar membuat temu janji dengan Adun untuk menerangkan tentang kedudukan PMUKM kepada Adun. Kehadiran Prof. Ir. Dr. Othman Abdul Karim TNC Hal Ehwal Pelajar ke Pejabat Adun jam 12.00 tengahari setengah jam selepas Parlimen Malaysia dibubarkan hari ini disambut oleh Adun. Beliau disertai pegawai-pegawainya, iaitu En. Musa dan En. Hisham, manakala menunggu mereka ialah lapan orang. Antaranya Y.bhg. Dr. Tajul Ariffin Noordin Mantan YDP Persatuan Penduduk BBB dan saudara Ahmad Shukran bin Shaharudin Presiden PMUKM beserta dengan 5 AJK beliau.


Adun Bangi mengalu-ngalukan semua hadirin terutama Prof. Ir. Dr. Othman Abdul Karim yang pertama kali dalam sejarah memecah tradisi dan protokol sudi turun ke Pejabat Adun Bangi bagi menjelaskan kedudukan PMUKM. Sebelumnya Adun menyatakan sebagai pengasas PMUKM, dan UKM tempat berkhidmat lebih dari suku abad, Adun prihatin terhadap PMUKM dan UKM. Adun berpendapat kehadiran TNC Hal Ehwal Pelajar amat tepat bagi menyelesai atau menjawab kemusykilan pelajar. Tujuan pertemuan tidak lain dari menjaga keunggulan PMUKM dan mempertahan dan meningkatkan imej dan prestasi UKM.


Dalam ucapannya selepas alu-aluan dari Adun, Prof. Ir. Dr. Othman nampaknya berpegang pada dua point utama, bahawa beliau sebagai orang yang dipertanggungjawabkan mengenai Hal Ehwal Pelajar berpegang pada prinsip bahawa Majlis Perwakilan Pelajar sebagai peringkat tertinggi Badan Pelajar. Beliau nampaknya menafikan tentang penghapusan PMUKM, walaupun dikemukakan beberapa bukti jelas. Beliau masih mengulangi perlu bukti tentang perlantikan AJK PMUKM, beliau nampaknya tidak lagi menghujah adakah PMUKM ditubuh secara sah, lantaran Adun telah menjawabnya dengan bukti-bukti dalam tulisan-tulisan Adun yang lepas. Adapun perlantikan anggota Dewan Kerajaan PMUKM yang lepas adalah disahkan oleh Dewan Mahasiswa yang mewakili berbagai perwakilan. Ini adalah pengesahan pertama kali dibuat terhadap Kerajaan (Mahasiswa) PMUKM oleh Dewan Mahasiswa PMUKM pada 28 September 1971.


Menurut Dr. Tajul Ariffin Noordin yang pernah berjawatan Profesor Madya di UKM, menjadi Pengetua Beberapa Kolej UKM, pernah menjadi Timbalan Presiden PMUKM dan memimpin selama 22 tahun Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi berpendapat.  Hal Ehwal Pelajar nampaknya bukan memupuk kepimpinan pelajar, tetapi amat mengganggu dan memasalahkan perjalanan PMUKM. Soal pemilihan dan perlantikan sesama pelajar hendaklah dikendalikan oleh pelajar. Begitu juga mau mengubah, menggantikan adalah hak pelajar, bukan hak Hal Ehwal Pelajar. Hal Ehwal Pelajar sepatutnya berperanan sebagai pemudah cara sahaja. Beliau mengimbau pada peringkat awal UKM, tidak ada Hal Ehwal Pelajar. Yang ada hanya TNC Akademik dan Pembangunan. PMUKM bebas bergiat. Suaranya didengar, bahkan menentukan siapa Naib Canselor yang mau dilantik, bahkan membantah yang tidak disetujui dan pendapat PMUKM diikuti. Bebas menjemput pihak luar termasuk penceramah, bahkan membantah secara demonstrasi terhadap pemimpin luar datang ke sini yang menekan rakyatnya sendiri. Suara Pelajar didengar dalam senet dan Majlis. Pihak pentadbiran terlampau dikuasai politik untuk menjaga kedudukan dan menekan pelajar yang tidak sehaluan. Pada hal mereka mau kebebasan.


Prof. Ir. Dr Othman mengulangi kesetiaannya sambil membilik-bilik teks AUKU yang dibawanya, bahawa pelajar berdaftar menurut 48(1) hendaklah berada di bawah satu kesatuan dan memilih MPP. Beliau melihat dari angle yang rigid dan bukannya mentafsir secara kreatif dan inovatif bagi menyuburkan kegiatan kemahasiswaan, lantaran itu kegiatan mahasiswa dimana-mana adalah kaku dan lesu. Dr. Tajul mengingatkan bahawa PMUKM wujud sebelum ada akta dan bergiat aktif, sebaliknya persatuan-persatuan mahasiswa yang wujud selepas AUKU adalah terbelenggu dan layu. Adun Bangi menambah bahawa dalam MPP boleh berlaku perubahan ahli yang diwakili, tetapi kesetiaan pada PMUKM sebagai Kerajaan (seperti Kerajaan Malaysia yang tak berubah). Tapi MPP sebagai yang dikehendaki oleh Perhubungan Pelajar adalah bertanggungjawab hanya bagi bidang yang diwakili sahaja dan yang mengawal ialah Bahagian Perhubungan Pelajar yang mengambil kuasa secara tidak sah. MPP sebagai koloni Perhubungan Pelajar. Kita mau mahasiswa bebas. MPP sebagai parlimen yang dikuasai perwakilan majoriti memerintah dan kerajaan tetap adalah PMUKM. Mahasiswa bebas di bawah Kerajaan PMUKM, Pihak Perhubungan seharusnya tidak campur tangan. Keberadaannya sebagai memberi khidmat dan pemudah cara.

Presiden PMUKM saudara Ahmad Shukran bin Shaharudin mempersoalkan adanya  duplikasi tentang Persatuan Alumni UKM:
Satu entiti menisbahkan diri sebagai Alumni Badan Perhubungan Pelajar, (Alumni UKM) yang diurus oleh pihak pentadbiran Universiti – bukan sebenarnya oleh Alumni, manakala yang lain dikatakan ada lagi Persatuan Siswazah UKM (Persis UKM) yang telah tidak berfungsi. Oleh kerana dilihat kedua-dua badan tidak menepati hasrat dan fungsi, maka pertemuan hari ini dan sebelumnya diurus oleh Aalumni Alternatif (ALA UKM.). Menurut saudara Shukran bahawa tujuan penubuhan sesuatu badan ialah untuk menegak kebenaran. Dr. Tajul menambah, bahawa, UKM atau PMUKM hendaklah mendukung kebenaran. Misalnya menjunjung hasrat dan aspirasi bangsa. Umpamanya untuk mendirikan UKM yang menjadi hasrat rakyat bagi menegakkan bahasa, rakyat walaupun miskin sanggup menderma, walaupun sebanyak RM1.00 seorang. Moralnya sebagai sesuatu yang benar, adakah UKM masih mempertahan dan memperjuangkan bagi meningkatkan bahasa Melayu. Yang nyata makin terabai dan makin tidak ketara dari segi mendukung perjuangan suci ini. Dr. Tajul melihat, PMUKM dengan perjuangannya selama ini telah membuktikan keunggulan dan keluhurannya, mengapa mau diubahkan ?


Beliau berpesan pada penghujung dialog, beliau mau PMUKM dikekalkan. Mereka yang tidak berkenaan dengan mahasiswa tidak berhak merubah apa lagi membuang, pihak Perhubungan Mahasiswa seharusnya bersifat amanah meneruskan kehendak mahasiswa. Mahasiswa yang berhak merubah atau mengekal dan mereka mau dikekalkan PMUKM. Mereka yang diberi amanah jangan sekali-kali meletakkan diri di bawah tekanan politik.


PMUKM adalah Kerajaan Mahasiswa dan jangan meletakkannya sebagai Naungan bagi sesuatu Kekuasaan Luar !

Oleh kerana Profesor Dr. Ir. Othman mempunyai tugas di tempat lain, maka perkara-perkara dari agenda disebut secara ringkas dan diharap diberi perhatian dan tindakan, iaitu:

  • Otonomi Universiti
  • Pemupukan daya intelektual pelajar
  • Gaya hidup sihat
  • Kerjasama dengan pelajar-pelajar universiti lain
  • Infra-struktur
  • Entiti bebas, neutral dan telus
  • Kebajikan
  • Kegiatan kemasyarakatan
  • Pemupukan daya kreativiti dan inovasi
  • Penerbitan mahasiswa
  • Penyuburan seni, budaya, bahasa dan sastera
  • Kesedaran kemanusiaan dan Alam Sekitar
  • Nilai agama dan tatasusila.

Majlis dialog berakhir dengan ingatan, bahawa pertemuan ini bukan pertama kali dan terakhir, tetapi akan disusuli dengan pertemuan, dialog, diskusi, seminar dan wacana. Semua ini tidak lain dari kecintaan terhadap UKM dan PMUKM yang sama didukung dan ditatang agar imejnya terus meningkat dan cemerlang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment