BBB, 09 Jamadil Akhir 1434 = 20 April 2013 (Sabtu):
Pencalonan seluruh kerusi pada peringkat Parlimen (222) dan
Negeri (505) telah selesai dikendalikan oleh pihak SPR. Tidak ada kerusi yang
menang tidak bertanding. Calon tidak saja bertanding satu lawan satu antara
parti utama BN dan Pakatan Rakyat, tetapi ada setengah tempat sampai tujuh
penjuru. Dun Bangi melalui proses pencalonan seperti tempat lain secara aman.
Tapi pada kali ini calon yang merebut Dun Bangi adalah calon-calon muka-muka
baru yang belum pernah mendapat peluang bertanding sebelum daripada ini. Ustaz
Mohd. Shafie Ngah adalah calon dari Pas yang merupakan YDP Pas Serdang,
manakala Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain adalah dari BN. Nama beliau ini telah
beberapa kali disebut apabila tiba musim pilihanraya, tapi baru kali ini muncul
dan mendapat peluang menjadi calon. Beliau bukan memegang jawatan tinggi dalam
BN Kawasan Serdang, bahkan ada dikatakan nama beliau bukanlah nama yang
dihantar kepada peringkat atas bagi pemilihan calon. Sebab itu kenaikan beliau
menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pimpinan BN kawasan Serdang,
bahkan timbul boikot memboikot. Ada
setengah tempat menghentikan kegiatan menghadapi pilihanraya yang sebelum
namanya naik rancak bergerak. Kita tidak pasti, kekurangan pengiring semasa mendaftar
pencalonan diakibatkan oleh boikot memboikot berkenaan. Ini berbeza dengan
sokongan yang diberi kepada calon Pas tiga kali ganda banyaknya.
Persamaan-persamaan antara kedua calon, bahawa mereka adalah
anak tempatan. Bermaksud kedua-dua adalah tinggal di Bandar Baru Bangi. Ustaz
Mohd Shafie Ngah tinggal di Seksyen 7, manakala Datuk Mohd. Zaidi tinggal di
Seksyen 4, Bandar Baru Bangi (Bangi Perdana). Satu persamaan lagi bahawa mereka
berdua bekerja di dalam profesyen yang sama, iaitu sebagai peguam Syar`I di Kuala Lumpur dan mendapat
pendidikan yang sama, iaitu dari Universiti Malaya. Mereka berdua sebelum ini
pernah menjadi Ahli MPKj. Mungkin penduduk Bandar Baru Bangi dapat menilaikan
perkhidmatan yang telah dan masih diberi oleh (Ustaz Mohd. Shafie Ngah)
terhadap masyarakat di Bandar Baru Bangi yang pernah mereka wakili. Dalam
keadaan sekarang, dilihat dari segi jentera, maka Ustaz Shafie Ngah mempunyai
jentera yang mantap dan tersusun yang boleh digunakan dalam masa dua minggu
sebelum tiba tarikh mengundi (5 Mei), manakala Datuk Mohd. Zaidi mungkin
menghadapi kesukaran, jika jentera parti tidak dapat dipulihkan. Kita percaya
kedua-dua pihak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi, tetapi jika jentera
pincang banyak masalah yang terpaksa dihadapi, lagi pula sudah diketahui umum,
keaktifan pekerja-pekerja BN bergantung pada keaktifan duit, tetapi jika banyak
duit pun, pekerja-pekerja tidak komited juga bermasalah. Budaya ini berlainan
dengan budaya pekerja-pekerja dari Pas mereka terkenal bekerja kuat dan kesungguhan
mereka bukan kerana duit, tetapi kerana Allah.
Perlu diingat, bahawa kemantapan calon secara individu
adalah penting, tetapi kepentinganya perlu ada hubungan dengan keseluruhan,
maksudnya pada peringkat negeri dan Persekutuan. Bererti, jika Datuk Mohd.
Zaidi katakana menang di Dun Bangi, tetapi pada peringkat Negeri BN kalah
seperti tahun 2008-2013, maka kemenangannya juga tidak efektif kerana
pergerakannya terhad dan tersekat. Dia tidak mendapat peruntukan tahunan dan
kemudahan yang sepatutnya didapati oleh wakil-wakil yang partinya memenangi
pada peringkat negeri. Jadi dia tidak dapat memberi khidmat sebaik mungkin.
Sebaliknya jika Ustaz Mohd. Shafie Ngah menang bersama dengan kemenagan Pakatan
Rakyat pada peringkat negeri, dia dapat bergerak dengan selesa dan berkhidmat
dengan lebih efektif dengan adanya peruntukan dan kemudahan dari negeri kepada
Dun, sebaliknya jika negeri bagi kerusi Pakatan Dun Bangi kalah, maka Ustaz Mohd.
Shafie juga akan menghadapi masalah di dalam memberi khidmat kepada rakyat.
Sebab itu pengundi yang memberi sokongan, perlu juga
memikirkan sokongan pada peringkat negeri, bahkan pada peringkat Persekutuan.
Jika ketiga-tiga peringkat ini dapat dikuasai, maka pemerintahan akan dapat
dijalankan dengan licin. Dari pertanda yang dapat dilihat dijangka pihak
Pakatan Rakyat makin mendapat sokongan. Sebab itu, jika selama ini pengundi di
Dun Bangi telah membuat percubaan mengangkat wakil rakyat dari Pakatan Rakyat
selari dengan pemberian mandate pada peringkat negeri dan ternyata negeri
Selangor lebih baik di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, maka pada kali ini
wajarlah mandate diberi kepada Pakatan Rakyat memerintah, bukan saja setakat
negeri, tetapi juga pada peringkat Persekutuan. Insya Allah. Dengan kemenangan
pada semua peringkat, banyak perubahan positif dapat dibuat – Insaya Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment