April 24, 2013

Gagasan Persuratan Islam & Teori: Kelahiran Tulisan

-->
Tahap Pengenalan Huruf

Ilmu adalah elemen penting di dalam mentransformasikan insan dari gelap kejahilan kepada terang keilmuan. Ilmu adalah sesuatu yang wujud bersama wujudnya kewujudan yang memerlukan kepada pengenalan dan pengolahan. Bagi menguasai ilmu perlukan kaedah pembelajaran. Ilmu yang kita warisi dan pelajari kini adalah melalui proses evolusi pertumbuhan ilmu dan perkembangan yang panjang.


Yang mau menguasai ilmu ialah insan yang disedia dengan salah satu alat pengenalan penting ialah akal. Objektif pengenalan yang menjadi ilmu, ialah alam dan kewujudan.
Bayangkan sewujud alam yang berusia ribuan juta tahun dan kewujudan Insan seusia 10 juta tahun, maka insan awal ini telah berdepan dengan alam yang menuntut survival mereka. Mereka perlu makan, perlu pakai dan perlu perlindungan dan berlaku pengenalan kepada keperluan alat-alat ini.

Merujuk kepada maksud ayat al-Qur`an:

Dan Dia ajar kepada Adam nama-nama keseluruhannya (Maksud al-Baqarah: 31    )

Proses ilmu adalah mengenalinya melalui nama-nama. Bayangkan betapa manusia awal berjuang mengenali benda-benda sekeliling. Berikut dari pengenalan, mereka berusaha untuk mengekalkan pengenalan berkenaan. Paling utama menandakannya dengan nama-nama terutama yang paling dekat dengan mereka seperti padi, ubi, api, air dan sebagainya, maka dengan demikian melahirkan bahasa. Kata-kata di atas adalah bagi orang Melayu. Demikianlah bagi manusia awal di tempat-tempat lain yang melahirkan bahasa seperti Cina, Arab, Sanskrit dan sebagainya.

Pengekalan maklumat secara melalui nama adalah merupakan satu proses pengenalan, tetapi tidak semua benda berada di hadapan mata. Apa yang dikenali dan dinamai banyak dan tidak berada pada setempat. Bagaimana khazanah maklumat ini mau disimpan dan diingati ?

Sesungguhnya proses mengenali dan menyimpan maklumat ini mengambil masa yang panjang, iaitu menggunakan tanda-tanda. Mengenai hakikat tanda-tanda ini, pada dasarnya setiap benda itu sendiri adalah tanda-tanda yang memberi makna. Begitu banyak di dalam al-Qur`an mengenai ayat-ayat, antaranya:

Sesungguhnya pada yang sedemikian sebagai tanda (ayat) bagi kaum yang berfikir (Al-Nahl: 11)

Bertukar malam dan siang menjadi tanda-tanda bagi mereka yang mempunyai  fikiran (Ali Imran: 190).

 Pertandaan alam begitu banyak dan tidak mungkin dapat dikenal dan diingati semuanya. Sebab itu perlu ada mekanisme bagi mengingatinya.

Dalam sejarah purba manusia begitu lama mengambil masa bagi mendapat mekanisme pengenalan yang peringkat awal timbul dalam tamadun manusia, ialah bagaimana terhasilnya tulisan sebagai tanda bagi ayat-ayat. Tulisan terawal misalnya dikenali sejak 6,000 tahun dulu seperti penulisan Mesir  kuno yang menulis pada papyrus. Begitu juga orang-orang Sumeria di Mesopotamia telah mencipta tulisan di atas tablet juga orang-orang Cina dari kalangan terawal mencipta tulisan. Adapun Huruf Roman yang digunakan dalam bahasa Inggeris berasal dari Rom yang digunakan sejak 2,500 tahun dahulu. Huruf ini berasal dari Greek yang mengambil dari orang Finiq, iaitu bangsa pelayar  di Mediterranean. Orang-orang Mesir, Sumeria dan Cina mencipta tulisan awal ialah berdasarkan lambang gambar bagi sesuatu.  Namun keperluan catatan tidak saja terhad kepada yang bersifat benda yang diberi nama, ia juga melibatkan perbuatan, lain dari benda dan perbuatan pada peringkat yang lebih tinggi memerlukan kepada catatan terhadap konsep-konsep yang lebih abstrak. Keperluan sedemikian memerlukan huruf-huruf. Misalnya bagi menggambarkan sesuatu yang bersifat subjektif yang bersifat perasaan seperti indah, baik, rindu, kasih, cinta dan sebagainya. Atau yang bersifat rasional seperti nombor-nombor, ukuran dan sebagainya. Ini melahirkan tulisan-tulisan sebagaimana diperbincangkan di atas.


Keperluan sedemikian melahirkan huruf-huruf dan tulisan. Misalnya bagi Tulisan Arab berasaskan pengaruh huruf-huruf Siryani. Ada yang mengaitkannya dengan tulisan Feniqi yang menjadi asal usul bagi tulisan Mesir Purba, ada yang mengatakannya berasal dari Anbar ke Hirah darinya tiba ke Hijaz melalui Daumatul Jandal. Menurut Ibn Khaldun pula Khat atau tulisan Arab berasal dari Khat Musnad orang-orang Humair yang mendiami negeri Yaman yang dikenali dengan khat Jazam.

Menurut Dr. Salahuddin al-Munjid di dalam bukunya berjudul,  Tarikh al-Khat al-Arabiyy, bahawa asal usul tulisan khat Arab ialah dari pecahan khat Nabti. Menurut orang-orang Anbat (plural bagi Nabt) adalah dari golongan yang pada zaman Helen mendiami negeri Aram di Pelastin dan Selatan Sham – Kemudian mereka memasuki Sharqul Ardun. Tamadun mereka meningkat. Mereka menjalankan kegiatan di Semenanjung Arab dan pernah menguasai Damascus, mereka dikatakan terpengaruh dengan Tamadun Aram, tetapi bersifat kreatif dan membangun tamadunnya tersendiri dan meninggalkan kesan-kesan yang menunjukkan ketinggian pencapaiannya di dalam seni bina. Ini diisyaratkan oleh al-Qur`an di dalam Surah Asy-Syu`ara bermaksud:

Dan kamu memahat sebahagian dari gunung ganang sebagai tempat tinggal – dengan bijak dan bersungguh-sungguh. (Asy-Syu`ara: 149).

                           Gambar Tulisan Arab Nabtiyah


Kerajaan Nabtiyah ini terus berkembang dari zaman Helinistik sehingga ke tahun 106 selepas Masihi. Kerajaan ini telah dihancurkan oleh Kerajaan Rom dengan menakluki sebahagian daripada kerajaannya, namun begitu kesan tamaduan Nabti tidak dapat dihapuskan. Tulisan Nabti pada permulaannya  menggunakan huruf-huruf Aram, tetapi mereka telah memanipulasinya sehingga lahirnya tulisan Nabti sebagaimana kesannya terdapat hingga kurun pertama Masihi. Tulisan Nabti terus mengalami perubahan dan membedakannya daripada tulisan Aram dan menyerupai tulisan Arab Jahiliyyah sebagaimana buktinya terdapat di Ummul Jamal di Huran bertarikh 106 selepas Masihi. Ianya juga menyerupai tulisan Nimarah di Bangunan Istana Putih di Sham bertarikh 328M.

Dari tulisan Nabti dilanjutkan oleh tulisan Arab Jahiliyah seperti terdapat pada duit Zubad bertarikh 512M. dan duit Hurran bertarikh 536M.

Menurut Ibn Khaldun Khat Arab ada hubungannya dengan Khat Humair yang berasal dari Yaman. Kelahiran khat ini berhubung dengan keperluan penduduknya yang suka berdagang. Antaranya Yahudi yang menjadi sebahagian daripada penduduknya. Khat ini kemudian dikenali dengan Khat Saba` atau Khat Musnad. Pengaruh penggunaannya  hingga sampai ke Bandar Anbar di Iraq. Daripadanya juga melahirkan Khat Jazam.

Pengaruh Khat Humair sampai ke Anbar, ke Hirah pada zaman al-Manadhirah (195M.). Kemudian berpindah ke Taif. Berikutnya digunakan oleh orang-orang Quraisy dan digunakan di Kupah seterusnya digunakan pada zaman Khalifah Umar Ibn al-Khattab dengan bentuknya yang rasmi dan tulisan ini dikenali dengan Tulisan Kufi (nisbah kepada Kufah). Pada masa ini sudah dikenali nama-nama hurufnya yang berjumlah dua puluh lapan (dihimpun nama bagi lapan orang bagi memudahkan ingatan).

Jika dilihat dari segi pensejarahan kesedaran kepada kepentingan huruf bagi merakamkan maklumat lahir secara berdekatan dan berturut dari kawasan-kawasan tamadun awal manusia seperti dari Mesir, Sumeria di Mesopotamia, Cina, Finiq, Greek membawalah kepada negeri Rom. Kesedaran inilah menggerakkan tamadun dan peradaban manusia.  Dari kawasan ini, selain dari Cina, melahirkan Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi yang antara mereka datang dengan kitab-kitab seperti Nabi Musa dengan Taurat, Nabi Daud dengan Zabur, Nabi Isa dengan Injil dan Nabi Muhammad dengan al-Qur`an. Dari kawasan ini juga melahirkan tokoh-tokoh pemikir seperti Socrates, Plato dan Aristotle. Evolusi kesedaran pada pentingnya tulisan dan melahirkan tokoh dan keilmuan ini mengambil masa yang panjang. Tapi itulah marhalah yang dilalui manusia di dalam membina tamadun dan peradaban.

Sekian.

No comments:

Post a Comment