April 28, 2013

Pendekatan Bagi Menuju BTwRG

-->
Pendekatan adalah penting bagi penulisan buku BTwRG. Ibarat bagi membina sebuah bangunan, maka ianya adalah plan dan struktur bagi binaan yang dihasilkan oleh arkitek yang akan diikuti oleh jurubina bagi bangunan tersebut. Di dalam bidang penulisan, contohnya bagi menulis latihan Ilmiah atau tesis pada peringkat sarjana atau doktor falsafah, pendekatan yang dikenali sebagai `proposal` amat diberi penekanan oleh penyelia atau pembimbing yang mau menulis latihan atau tesis berkenaan. Proposal memerlukan masa dan ianya tidak diterima selagi tidak benar-benar mantap dan sempurna hingga diterima oleh penyelia atau penyelia-penyelia. Adalah menjadi kebiasaan bagi pelajar-pelajar yang menulis tesis menghadiri kursus penulisan tesis dan menganjur seminar-seminar bagi membentang proposal untuk mendapat kritikan, pandangan, cadangan dan pembaikan dari peserta-peserta yang menyertai atau sengaja dijemput – pakar-pakar di dalam bidang berkenaan menyertai seminar.

Penulis akan berusaha menyempurnakan pendekatan berdasarkan pengalaman menulis tesis dan juga membimbing pelajar-pelajar menulis tesis. Proposal semasa yang berlegar di dalam minda penulis yang mungkin menjadi bab-bab bagi penulisan kelak akan diperturunkan satu persatu– tertakluk kepada perubahan dan pembaikan.

Merujuk kepada Muqaddimah Menuju Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur (BTwRG)
Maka tajuk sebagai muqaddimah bagi Penulisan `Menuju BTwRG mencermin dan mengisyaratkan kepada pendekatan yang memaparkan dua bahagian yang berlainan iaitu:

a) Tahap hamba (makhluk) dan alamiah (Baldah Tayyibah)

Sebenarnya mencerminkan manusia ciptaan Allah yang berada di dalam ruang – yang dikenali dengan tempat sebagai Negara. Mereka berjuang untuk survival secara berseorangan dan kelompok. Banyak keperluan bagi survival. Umpamanya mereka:

i )  Perlu kepada Negara yang menjadi tempat mereka berusaha dan hidup berkeluarga dan bermasyarakat
ii)  Perlu kepada kepimpinan yang dapat memandu dan memimpin mereka kepada kehidupan dan masa depan yang lebih baik
iii) Perlu kepada pendidikan yang dapat meningkatkan minda dan kreativiti mereka dalam kehidupan
iv)  Perlu kepada pekerjaan yang dengannya mereka dapat menyediakan keperluan perlindungan, makan minum, pakaian dan kehidupan kekeluargaan.
v)  Perlu kepada keselamatan agar diri, keluarga dan masyarakat berada di dalam aman dan sejahtera.

b) Tahap Pencipta Yang Uluhiyyah Dan Rububiyyah (Rabbun Ghafur)

Menjawab pertanyaan minda bagi kalangan yang berfikir tentang wujud ini yang melihat Dialah yang Berkuasa, Mencipta, Memelihara dan Membinasa. Dialah Allah Tuhan Semesta. Dari satu segi Allah dilihat sebagai Pemberi Rahmat, Maha Pengasih dan Maha Penyayang yang kepada diharap pertolongan dan kepadaNya tertumpah kecintaan. Keperluan kepada Tahap Pencipta:

i)                    Mendapat keyakinan, kepercayaan dan pegangan yang kukuh sebagai Aqidah
ii)                  Ada sandaran di dalam kehidupan, tempat harapan dan penyerahan
iii)                Sumber hukum hakam, aturan kehidupan membentuk budaya dan peradaban
iv)                Puncak dan rujukan nilai, baik buruk, pahala dosa dan ancaman dan ganjaran
v)                  Mendapat keharmonian jiwa dan minda yang juga resap mempengaruhi masyarakat

Konsep `Menuju` yang mencerminkan pergerakan secara dinamik berlaku pada tahap horizontal, yakni pergerakan tahap manusia menuju kepada peningkatan kebaikan kehidupan diri dan masyarakat. Dengan peningkatan pergerakan ini manusia bergerak misalnya dari kejahilan kepada keilmuan, dari kemunduran kepada kemajuan. Dinamika ini memupuk budaya murni, peradaban dan tamadun tinggi.

Pergerakan `Menuju` yang penting ialah pergerakan yang bersifat vertical. Pergerakan ini lebih bersifat qualitative dalam mana manusia secara berpandu mendekatkan diri dengan nilai-nilai tinggi di sisi Rabbani yang meninggikan kualiti manusia itu sendiri.

Dua bahagian di atas dilihat sebagai gerbang pendekatan permulaan yang kukuh dan jelas untuk dikembangkan huraian kepada aspek-aspek yang lain bagi Baldah Tayyibah. Begitu juga dapat dihuraikan dengan lebih luas mengenai Rabbun Ghafur. Pengluasan bagi setiap bidang adalah di dalam skop dan ruanglingkup bidang berkenaan, tetapi bergantung pula pada sumber-sumber yang releven bagi memperluaskan pembicaraan.
Pada tahap horizontal pembicaraan mencakupi misalnya apakah yang diperlukan bagi mengawal masyarakat yang dikenali dengan aturan dan undang-undang dan memerlukan pula penguatkuasa undang-undang. Kawasan yang dijalankan aturan dan undang-undang dikenali dengan negeri dan Negara, bagaimana pula undang-undang ini terhasil dan dihasilkan. Perlunya aturan kawalan kepada pihak yang mau berkuasa dan mengambil pucuk pimpinan. Perlu pula wa`dah antara yang berkuasa dan rakyat yang memberi kuasa yang mereka perlu berikrar menjaga kepentingan rakyat dan berusaha ke arah memajukan Negara dan memakmurkan rakyat jelata dan mereka diingatkan bahawa kuasa adalah bersifat sementara yang boleh dicabut sekiranya mencanggahi aturan dan perjanjian. Sepanjang mereka diberi kuasa, mata-mata penilaian sentiasa memandang dan memantau sejauhmana mereka berusaha menjaga kepentingan rakyat dan kebajikan mereka. Lebih dari itu apakah gagasan dan wawasan yang dibawa dan dilaksana sebagai motivasi dan berdaya maju bagi rakyat bergerak, melakar dan membina peradaban dan tamadun umat.

Pada tahap vertical adalah tahap khusus yang tidak dikehendaki rakyat jelata membicarakannya, tetapi ia adalah pembicaraan ulama dan intelektual yang menghurai dan mentafsir tentang hakikat tertinggi melalui saluran-saluran ilmu. Ia diperturun sebagai hukum, aturan, nilai dan kebenaran yang terakam diajar dan dipelajari rakyat dan masyarakat yang dapat mengangkat martabat mereka melalui keilmuan. Ruang bagi mereka tidak disekat bagi meningkat kepada peringkat tertinggi apabila mereka mampu menunjukkan kecemerlangan dan meningkat kepada tahap khusus dan turut mampu memberi sumbangan bagi pembinaan peradaban dan tamadun umat.

Sebenarnya inilah galaksi dan rotasi yang dilalui manusia dalam pergerakan dan penujuannya yang tidak sempurna dalam mencari sempurna.

Sekian.

No comments:

Post a Comment