April 27, 2013

Menuju Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur (BTwRG)

-->
Bismillahi`r-Rahmani`r-Rahim

Pujian bagi Allah dan Salawat dan Salam kepada Rasulullah

Tajuk di atas adalah judul bagi sebuah buku yang melakarkan hasrat dan kegiatan Penulis yang pernah diberi amanah dan berusaha untuk menegakkan Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur (BTwRG) di dalam konteks Dun Bangi sebagai model bagi Mini BTwRG. Buku ini sebenarnya bukan merupakan sesuatu yang baru, tetapi lanjutan dari cita-cita Islamiyah berasaskan ILMU yang dibina sejak 1970 sebagaimana tercermin di dalam Latihan Ilmiah Penulis tentang Syeikh Abdul Malik bin Abdullah (Tuk Pulau Manis), Terengganu,  Tesis peringkat Sarjana mengenai Institusi Pengajaran Syeikh Abdul Malik bin Abdullah dan Tesis Doktor Falsafah Hikam Melayu: Kajian Falsafah Dan Etika. Puncak dari segi pendekatan keislaman terhadap bidang persuratan ialah pembinaan Teori Takmilah sejak 1994. Teori ini telah dijadikan bahan pengajaran dan penyelidikan di dalam bidang bahasa dan sastera di beberapa buah universiti tempatan. Antara pelajar-pelajar menggunakannya di dalam penulisan tesis pada peringkat Doktor Falsafah, Sarjana dan peringkat Ijazah Pertama. Kini Penulis telah meletakkan asas permulaan kerja bagi melengkapkan pendekatan penulisan berjudul Gagasan Pesurat & Teori Takmilah di dalam membina Adab dan Tamadun Ummah.

Pendidikan, Pengajian, pengajaran dan Penyelidikan selama di UKM (1970-1999) berperanan di dalam memupuk kefahaman dan  mendidik jiwa keislaman Penulis. Keterlibatan Penulis dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) mulai 1999 dan menjadi Wakil Rakyat Dun Kajang (1999-2004), Kalah di Dun Bangi (2004-2008) dan Dun Bangi (2008-2013) banyak memberi kefahaman dan Kegiatan Amali Politik berhubung dengan cita-cita Keislaman dan menegakkan pemerintahan. Rentetan bagi BTwRG sebagai hasil kerja praktikal dan wawasan dapat dihayati dari buku Madu Ilmu, Bangi Bandar Ilmu dan berpuluh artikal yang telah diterbitkan baik sebagai makalah-makalah di dalam buku-buku atau di dalam penerbitan di dalam jurnal-jurnal dan majalah-majalah.

Buku ini adalah lanjutan dari buku Bangi Bandar Ilmu yang pada dasarnya sama bertolak dari asas ILMU, namun pendekatannya adalah merupakan peningkatan dari buku Bangi Bandar Ilmu. Fokusnya juga adalah terhadap Bangi. Bahan-bahan kegiatan dan penulisan yang dilakukan di Dun Bangi sejak 2007-2013 dipilih dan dijadikan contoh-contoh bagi buku Menuju BTwRG. Dari segi bahan bertulis dalam tempoh tersebut hingga ke masa penulisan ini (27.4.2013 jam 6.45 pagi) adalah sebanyak 2,338 artikal + 1 artikal ini telah dihasilkan, manakala bulletin Bangi telah diterbitkan sebanyak 26 buah keluaran dan Buletin Serdang 7 buah keluaran.  Dalam pengolahan yang akan dibuat sebahagian daripada bahan-bahan ini akan dipilih dan dijadikan contoh bagi pembinaan buku Menuju BTwRG. Contoh sedemikian telah dilakukan bagi pembinaan buku Bangi Bandar Ilmu itu sendiri. Tetapi pendekatan bagi buku Menuju BTwRG lebih kompak dan berdfokus.

Mengapa `Menuju` BTwRG ?`
Di sini perkataan `Menuju` BTwRG adalah penting bagi wawasan dan pendekatan. Konsep BTwRG adalah berdasarkan ayat  al-Qur`ani bermaksud Negara Yang Baik dan Diampuni Tuhan (Saba`: 15) yang mencerminkan sifat Negara yang diredai Allah, di samping ayat-ayat yang lain contoh al-Balad al-Amin (at-Tin: 3), al-Balad Amina (Ibrahim: 35), Baladan Amina (al-Baqarah: 126). Ayat-ayat ini mencirikan BTwRG yang melengkapi bagi ciri sebuah Negara Islam. Istilah Negara Islam tidak disebut secara langsung di dalam al-Qur`an, tetapi ciri-ciri baginya dapat dibina dari kandungan al-Qur`an itu sendiri (dengan pengukuhan Hadith-Hadith Rasulullah). Di dalam kata lain `Pembinaan Negara Islam` adalah tujuan tertinggi bagi umat Islam yang berjuang menegakkan Islam.

Dari pembicaraan di atas dapatlah difahamkan dari segi peningkatan bahawa `Negera Islam` puncak dari segi perjuangan menegakkan Negara bagi umat Islam. Kedudukannya sebagai `Ideal` dan berada pada tingkat kesempurnaan. Negara Islam ialah `Negara Sempurna` ditadbir secara sempurna oleh orang-orang yang sempurna bagi kesempurnaan rakyat. Manakala BTwRG model yang wujud secara praktikal sebagaimana berlaku di Negara Saba` pada zaman Nabi Allah Sulaiman a.s, Makkah pada Zaman Nabi Allah Ibrahim Khalilullah dan Madinah pada zaman Rasulullah s.a.w.
Umat Islam adalah digesa bagi menegakkan Negara BTwRG, pun begitu umat Islam tentulah tidak mampu mencontohi selengkapnya model BTwRG yang semuanya ditegakkan di bawah bayangan wahyu.

Menuju BTwRG adalah memaksudkan tahap yang dituju ialah BTwRG, tetapi masih di dalam marhalah perjalanan yang mungkin masih pada marhalah permulaan. Pokoknya ada niat di dalam kegiatan bagi menuju kepada BTwRG. Usaha ini adalah merupakan kegiatan secara berjamaah, berperingkat dan bukan sekali-kali bersifat perseorangan, tetapi melibatkan masyarakat, bahkan pentadbiran pada peringkat Dun, daerah, negeri dan Negara. Pemberian judul Menuju BTwRG adalah dengan penuh kesedaran, bahawa sebenarnya banyak kelemahan-kelemahan yang dihadapi dalam usaha menuju BTwRG. Kelemahan dari segi faham ILMU, kelemahan dari segi organisasi, kelemahan dari segi pendekatan dan kelemahan dari segi implementasi.

Usaha ke arah menghasilkan buku Menuju BTwRG bukan bersifat pada tahap teori semata-mata, tetapi adalah dari pengalaman pengajian, praktikal pentadbiran dan kegiatan yang dijadikan sebahagian dari pendekatan dan pembinaan buku Menuju BTwRG.

Penulis berdoa kepada Allah semoga diberi taufik-hidayah dan keredhaan dariNya – Insya Allah -  Amin.

Sekian.

No comments:

Post a Comment