April 29, 2013

Insentif Pelajar Cemerlang & Anugerah Kampung Keceriaan

-->
Bandar Baru Bangi, 17 Jamadil Akhir 1434 = 28 April 2013 (Ahad):


Insentif Pelajar Cemerlang SPM  2012 – juga STPM & STUM adalah program tahunan Adun Bangi, manakala Anugerah Kampung Ceria adalah pertama kali diadakan oleh Pejabat Khidmat Masyarakat Adun Bangi pada tahun ini. Kedua-dua program di atas adalah disatukan dan berlangsung di Kompleks Pendidikan Islam Bangi mulai jam 9.00 pagi ini. Pada tahun-tahun yang lepas Insentif Pelajar Cemerlang yang mendapat kesemua A dalam matapelajaran diberi kepada semua pelajar di Dun Bangi sama ada mereka belajar di Sekolah Menengah di Dun Bangi atau di luar Bangi, tahun ini oleh kerana mereka yang lulus terlampau ramai, maka dihadkan kepada pelajar yang lulus semua A dan bersekolah di sekolah-sekolah menengah di Dun Bangi dan tinggal di Dun Bangi. Seramai 91 orang dapat dikenalpasti dan dijumput hadir untuk menerima Insentif Pelajar Cemerlang, namun oleh kerana sebahagian daripada mereka sudah mendapat tawaran belajar dan setengah pula menghadiri interview untuk kemasukan ke universiti-universiti, Asasi dan matrikulasi, maka seramai 58 orang sahaja yang dapat hadir – setengahnya diwakili oleh ibu atau bapa.





Hadir ke Majlis ialah Dr. Shafie Abu Bakar Mantan Adun Bangi, Pengarah Anugerah Pelajar Cemerlang Dun Bangi 2013 Datin Siti Muhibah Hj. Nor, Pengarah Hadiah Keceriaan Kampung saudara Amir Hamzah bin Udin, Ketua-Ketua Kampung, Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir, Ketua Kampung Sungai Ramal Luar, En. Azlan Nordin, Ketua Kampung Bahagia Bangi, Encik Shukor bin Jantan, Ketua Kampung Teras Jernang, Tuan Haji Abdul Hadi bin Husin Ketua Kampung Sungai Tangkas dan En. Lau Swee Chew Ketua Kampung Aman/ Kampung Baru Bangi – Dua Ketua Kampung tak dapat hadir, iaitu Tuan Haji Zakaria bin Bujang Ketua Kampung Bangi dan En Latib Manan Ketua Kampung Sungai Ramal Dalam. Turut hadir ibu bapa dan pelajar-pelajar.




Selepas pendaftaran ibu bapa dan pelajar-pelajar mengikuti Ceramah Motivasi yang disampaikan oleh Motivator Puan Sharifah Fazliah diikuti dengan Majlis Perasmian.
Dr. Shafie Abu Bakar sebagai Adun semasa kedua-dua program ini dijalankan  mengucap terima kasih kepada AJK-AJK kedua program yang berjaya mengadakan kedua-dua majlis secara serentak. Mantan Adun juga mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar cemerlang dan juga terhadap ibu bapa yang tentu sama berusaha bagi kejayaan anak-anak dan juga guru-guru. Insentif ini selari dengan objektif Bangi Bandar Ilmu yang memang turut sama bergembira di atas kejayaan pelajar-pelajar. Mantan Adun Bangi berharap kejayaan yang dicapai oleh pelajar-pelajar menjadi dorongan bagi pelajar-pelajar untuk berjaya pada peringkat yang lebih tinggi kelak. Mantan Adun Bangi percaya kebanyakan pelajar-pelajar sudah menerima tawaran belajar sama ada di Matrikulasi, Asasi atau di mana-mana universiti. Mantan Adun berdoa pelajar-pelajar terus mencapai kejayaan cemerlang dan menjadi Duta Bangi di dalam berbagai bidang, sector dan kerjaya yang akan diceburi oleh pelajar-pelajar nanti. Mantan Adun Bangi berharap pada masa akan datang akan lahir pemimpin-pemimpin dari warga Bangi sama ada pemimpin dalam bidang politik, ekonomi, koperat, pensyarah dan berbagai-bagai bidang lagi.


Berhubung dengan Anugerah Keceriaan Kampung, menurut Mantan Adun Bangi, hasrat ini telah lama untuk diadakan – pada asalnya termasuk pertandingan antara taman-taman di seluruh Dun Bangi, tetapi kemudian dihadkan kepada kampung-kampung sahaja, iaitu tujuh buah kampong - Kampung Sungai Ramal Luar, Kampung Sungai Ramal Dalam, Kampung Teras Jernang, Kampung Sungai Tangkas, Kampung Bahagia Bangi, Kampung Bangi dan Kampung Aman Bangi. Pertandingan dihadkan kepada kampung oleh kerana kampung ketinggalan dari mendapat kemudahan, khususnya dari segi infra-struktur. Kampung-kampung kini juga terkepung dengan pembangunan yang makin mara ke sempadan-sempadan kampong yang membezakan antara kedua sempadan, ibarat Antara Dua Darjat. Menyedari hal ini pihak kerajaan Negeri Selangor sejak dua tahun kebelakangan membenarkan peruntukan Maris digunakan untuk membaiki jalan-jalan dan perparitan di kampung-kampung, lantaran itu kita dapati semua kampung mendapat peruntukan bagi memperbaiki jalan dan juga infra-struktur. Kalau kita lawati contoh di Kampung Sungai Ramal Dalam, 12 batang jalan utama dan kecil-kecil diturap sepenuhnya, demikian juga kampung-kampung yang lain turut diturap. Peraduan Anugerah Kampung Ceria pada hari ini sungguhpun kecil diharap mencetuskan hasrat ketua-ketua kampung berusaha bagi memperbaiki infra-struktur, perparitan dan kebersihan di kampung masing-masing.

Menurut Mantan Adun Bangi sebanyak RM12,000 disediakan untuk hadiah-hadiah bagi Kampong Ceria. Penilaian dibuat oleh AJK penilaian antaranya adanya signboard bagi nama kampong, mementingkan aspek kebersihan, landscaping, suasana kampong dan kejiranan, pentadbiran dan aktiviti JKKK. Saudara Amir Hamzah Udin selaku Pengarah Kampung Ceria bercakap tentang criteria penilaian. Selepas Majlis Perasmian Mantan Adun Bangi menyampaikan Hadiah-Hadiah Insentif kepada pelajar-pelajar cemerlang yang terdiri dari sebuah Sijil Pengiktirafan dari Adun Bangi dan sampul berwang sebanyak RM100/=. Berikut dari penyampaian hadiah insentif diumum dan disampaikan Anugerah Kampung Ceria oleh Mantan Adun kepada:

Bil.       Hadiah             Kampung                      Jumlah Hadiah

1,       Pertama           Kg. Teras Jernang                RM5,000.00
2.       Kedua              Kg. Sungai Ramal Luar       RM3,000.00
3.       Ketiga              Kg. Aman Bangi                 RM2,000.00
4.       Saguhati           Kg. Sungai Ramal Dalam   RM   500.00
5.      Saguhati            Sungai Tangkas                  RM   500.00
6.      Saguhati            Kampung Bangi                  RM   500.00
7.      Saguhati            Kampung Bahagia, Bangi   RM   500.00

Hadiah-hadiah juga disampaikan oleh Mantan Adun Bangi dan diterima oleh Ketua-Ketua Kampung masing-masing yang hadir.

Majlis diakhiri dengan jamuan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment