April 8, 2013

Ibu Dari Segala Peperangan, Mencapai Puncak Tujuan

BBB, 26 Jamadil Awwal 1434 = 07 April 2013 (Ahad):

Berikut dari pembubaran Parlimen dan diikuti pembubaran Dewan-Dewan kerajaan negeri, maka pintu gerbang bagi medan peperangan terbuka luas. Perang politik pilihanraya kali ini amat menarik, bahkan disifatkan sebagai `Ibu Dari Segala Peperangan`. Mengapa menarik? Mengapa disifatkan sebagai Ibu Dari Segala Peperangan? Menariknya ada hubungan dengan episode lalu dan harapan di masa hadapan. Kedua-dua pihak sebenarnya dalam gencatan senjata. Peperangan yang asalnya diberi harapan tinggi terhadap pimpinan Pak Lah sebagai General Pimpinan, ternyata mengeciwakan dan kepimpinan terpaksa diserahkan kepada Dato` Seri Najib sebagai General Pengganti. Kelemahan Pak Lah menyebabkan lima medan perang yang strategik terlepas kepada Tentera Pakatan!


Menarik lagi dan menjadi Ibu Bagi Segala Peperangan, kerana tiada dalam sejarah politik Negara, pihak tentera musuh yang bernama Pakatan dapat mencapai kemenangan terhad dalam lima medan perang ! Dari segi psikologi ini memberi keyakinan bahawa Pakatan mempunyai peluang yang lebih cerah bagi menawan lebih banyak lagi medan perang, bahkan menawan puncak kekuasaan yang menjadi puncak tujuan. Kelebihan bagi Pihak Pakatan adalah berkedudukan sebagai underdog mempunyai peluang untuk maju dan ruang-ruang untuk ditawan. Sedang bagi pihak yang menguasai Puncak Pemerintahan bersifat defensive dan terpaksa bertahan dengan medan-medan perang yang masih dalam kawalan, di samping menyimpan hasrat mau menawan kembali medan-medan perang yang terlepas ke tangan musuh yang bernama Pakatan. Bagi pimpinan yang menguasai Pusat pemerintahan – Najib, ia memikul beban yang besar, iaitu menawan kembali medan-medan perang yang terlepas kepada musuh Pakatan ! Kejayaan bagi Najib adalah pengesahan terhadap pimpinan yang diterima sebelum ini secara bukan pertandingan. Ia akan dinobatkan sebagai general yang mengalahkan musuh secara anak jantan di medan perang. Tetapi seandainya Najib kalah teruk hingga terlepasnya puncak kekuasaan, maka tiada tempat baginya, melainkan berundur dan mengisytiharkan melepaskan jawatan ! Andainya dia masih berjaya mempertahankan saki baki medan perang, tetapi makin berkurang medan yang dapat dipertahankan, maka moralnya juga Najib seharusnya berundur untuk menyerahkan pucuk kepimpinan kepada pemimpin yang dianggap lebih berwibawa.

Lima tahun berlalu, sejak tembakan terakhir dihentikan, kedua pihak berada di dalam suasana gencatan senjata. Kedua pihak sedar mereka akan kembali berperang dan bertembak-tembakan bagi menawan dan menguasai seberapa banyak medan perang yang seboleh-bolehnya bagi menguasai Puncak Pemerintahan. Dalam masa Gencatan Senjata, kedua pihak mengatur strategi, memperuntuk kewangan, mengadakan berbagai kegiatan bagi membuktikan kemampuan mereka memimpin dan yang lebih penting menguasai Puncak Pemerintahan.

Masa 5 tahun adalah penting. Sebenarnya ia adalah masa perang psikologi bagi menawan hati rakyat bagi menyokong kepada pihak masing-masing, Masing-masing merangka janji yang dikenali dengan manifesto sebagai blueprint bagi tindakan kerja. Kekurangan bagi pihak Pakatan, ialah merupakan pertama kali penguasaan medan-medan yang ditawan yang mungkin berlaku trail & error dalam tindakan sebelum mencapai kemantapan. Namun begitu banyak kelainan yang dapat dibawa yang selama ini tidak dibawa oleh pihak yang menguasai Pusat seperti contoh di negeri Selangor dengan `Merakyatkan Ekonomi`, Pinjaman Pendidikan Tanpa Faedah, Skim Warga Emas, Jom Shopping dan berbagai lagi. Manakala reserve negeri bertambah dari RM300 juta kepada RM2.6 bilion dan sejak memerintah penanaman modal melonjak ke hadapan dengan jumlah RM48 bilion mengatasi negeri-negeri yang lain. Namun kreativiti, inovasi dan pencapaian masih bersifat masing-masing bagi negeri. Tidak berlaku penyelarasan bagi semua negeri di bawah Pakatan. Kewibawaan kepimpinan mungkin terserlah bagi negeri tertentu seperti Selangor. Manakala bagi pimpinan yang menguasai peringkat Pusat, sebenarnya mempunyai peluang lebih besar dari segi menguasai sumber dan pendekatan-pendekatan yang dapat ditawarkan. Namun selama Najib menguasai tampuk pemerintahan, beliau kelihatan tidak mencapai kemantapan dan sering berubah dari segi slogan dan pendekatan dari Rakyat Didahulukan Pencapaian diutamakan kepada Satu Malaysia, Wasatiyyah dan Janji Ditepati. Sebenarnya apa yang dihasilkan sebagai realiti dari slogan-slogan tersebut lebih bersifat retorik dan hasilnya tidak begitu nyata ketara. Oleh kerana tidak yakin dengan pendekatan dan kejayaan yang telah dibuat Najib mengambil pendekatan yang tidak pernah diambil oleh pemimpin-pemimpin sebelum darinya, iaitu melalui pendekatan `Menghambur dan Menabur Wang` melalui Skim yang dikenali dengan BRIM dan pecahan-pecahan daripadanya. Ianya merupakan `Gaji Tanpa Kerja` yang boleh melemahkan semangat, daya kreativiti, inovasi dan insentif bagi rakyat yang seharusnya terhasil dari berusaha dan bekerja.

Cara yang dibuat adalah salah dari segi pendekatan. Ianya boleh diibaratkan memberi ikan kepada seseorang yang sepatutnya dibekalkan kepadanya ialah jorang dan peralatan yang menggerakkan ikhtiar dan daya usaha untuk mendapatkan ikan. Najib selama diberi kepercayaan memimpin seharusnya makin memperlihat kemantapan daya kepimpinan yang seharusnya menuju kepada pembinaan imej seorang Nagarawan. Tetapi keadaan memperlihatkan sebaliknya. Sebagaimana pengambilan kuasa dari Pak Lah dari recommand Mahathir dan sepatutnya selepas itu ia seharusnya melepaskan diri dari berlindung di bawah image Mahathir, tetapi apa yang dapat dilihat ianya terus dibawah bayangan Mahathir, bahkan makin mutakhir wajah dan pengaruh Mahathir makin mendepani dirinya. Apakah ini menunjukkan kelemahan Najib, sehingga pihak media sendiri masih merasa fikiran Mahathir lebih tajam dari Najib? Atau Mahathir bimbang jika berlaku peralihan kekuasaan bakal memudaratkan dirinya. Sebab itu ia berusaha agar implikasi sebarang kekalahan akan menimpa dirinya tak terjadi. Pokoknya Najib seharusnya melepaskan diri dari kongkongan pengaruh dan imej Mahathir. Mahathir lebih baik disenyapkan dari terus bercakap yang kadang-kadang lebih memudaratkan dari memanfaat.

Dari imej Pakatan yang baru berusia setengah dekad pemerintahan dan telah berexperiment dari segi pemerintahan dan banyak kejayaan-kejayaan dari hasil kesegaran idea dan pendekatan berbanding dengan imej pemerintahan pada peringkat Pusat yang masih tercari-cari pendekatan dan sentiasa berubah dari slogan dan kini kepada membina imej `Menghambur dan Menabur Wang Tanpa Wawasan`, maka dua imej ini sudah lekat dalam minda rakyat bahkan mereka diajar seharusnya mengharap kepada pemberian yang bersifat `Hamburan dan Taburan` berterusan sebagaimana janji-janji dalam manifesto yang disifat bahkan diangkatkan sebagai aku janji.

Kini sudah tiba masa terbukanya kembali Gerbang medan perang bagi menawan Minda dan Hati Rakyat. Pihak Pakatan lebih awal dengan berani dan berkeyakinan memaparkan Manifesto Pakatan Harapan Rakyat dengan menawarkan pendidikan berkualiti, Negara berkebajikan, peluang saksama, dan pentadbiran beramanah. Manifesto dipecahkan kepada empat kategori, iaitu Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat, dan Kerajaan Rakyat yang dari kesemua dari empat pecahan diberi pecahan kecil yang semuanya berjumlah 24 perkara. Antaranya Bonus RM1,000 setiap tahun kepada semua warga emas, Gaji Minima RM1,100, Harga minyak petrol dan diesel diturun, caj elektrik dan air lebih rendah, hapuskan tol secara berperingkat, turunkan harga kenderaan serendah RM25,000, banteras rasuah, kebebasan media dan sebagainya. Manakala pihak Pemerintah yang dikenali dengan BN baru menampilkan Manifestonya semalam 6 April 2013 dengan sebanyak 17 perkara yang ditawarkan kepada rakyat antaranya (banyak bersifat Hamburan &Taburan Kewangan) seperti Menaikkan BRIM dari RM500 sehingga RM1,200, Baucer Buku dari RM250 kepada RM300, Bantuan Orang Bujang dinaikkan dari RM250 sehingga RM600 dan sebagainya. Setengahnya merupakan peniruan dari Pakatan seperti penurunan harga kereta. Tiada disebut tentang penurunan minyak, penghapusan tol dan pengajian secara percuma sebagaimana ditawarkan oleh Pakatan.

Di dalam menilai dan untuk berpihak kepada dua pihak yang berperang bagi mendapat pengaruh, penilaian seharusnya dilihat kepada rekod yang lepas. Kedua pihak menawarkan sesuatu yang baik, tetapi jangan lupa kepada aspek amanah, telus, adil, hak asasi dan kemanusiaan, kebebasan media, bersih dari rasuah, kebebasan kehakiman dan pilihanraya telus lebih ketara diperjuangkan oleh pihak Pakatan.


Kita melihat kelebihan bukan saja dilihat dari manifesto yang ditawarkan, tetapi dari perjalanan 5 tahun atau lebih (bagi BN). Ada kelebihan dari segi Pakatan dan ada pembaharuan yang memihak kepada kehendak rakyat. Dalam hal ini tidak salah bagi rakyat memilih bagi pembaharuan yang dapat menampilkan imej diri dalam masa 5 tahun, sedang pihak BN telah terlalu lama (lebin 50 tahun), sehingga apa yang mau dilihat baru sebenarnya tidaklah sangat baru. Rakyat diberi peluang bagi mengamalkan sistem demokrasi dua parti. Oleh kerana pihak Pakatan sudah memperlihatkan kematangan dari segi politik dan pendekatan, maka kali ini rakyat benar-benar berpeluang menukar kerajaan kepada yang lebih cergas dan berwawasan yang sekaligus mendorong kepada pemerintahan sistem dua parti. Jangan bimbang jika pencabar diberi ruang dan tidak berkemampuan, maka tidak bermasalah untuk ditukarkan kembali. Ruang dan peluang sudah ada, sekaranglah masanya untuk ubah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment