BBB, 27 Jamadil Awwal
1434 = 08 April 2013 (Isnin):
Agenda menawan kembali Selangor dari Pakatan Rakyat menjadi
agenda penting bagi BN, kononnya bagi menyelamatkan Selangor – Tapi menyelamatkan
dari apa ? Bekas Perdana Menteri
Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri Dato` Seri Najib
Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin turun ke Selangor dalam rangka misi
menyelamat yang tidak jelas apa yang mau diselamatkan. Apa yang jelas Selangor
yang kaya itu, miskin dari kepimpinan BN sehingga Dato` Seri Najib terpaksa
mengambil tugas Pengarah Barisan Nasional Selangor bagi mendepani kepimpinan
Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Ada
pemimpin peringkat negeri seperti Dato` Seri Mohd Zin Mohamad, Dato` Seri Noh
Omar, Khir Toyo dan Dato` Mohamad Satim bin Diman tetapi tidak diberi
kepercayaan menerajui kepimpinan Barisan Nasional di Selangor. Mungkin dianggap
tidak layak atau ada krisis pimpinan – elak dari perebutan.
Kelemahan pimpinan pembangkang (BN) ketara dapat dilihat di
dalam Dewan Negari Selangor 2008-2013 dalam mana 22 Adun daripada mereka tidak
dapat menandingi kewibawaan kepimpinan Pakatan. Di dalam sidang-sidang yang
berlangsung, kehadiran mereka hanya ramai pada sesi pagi dan berkurang pada
sesi petang dan ramai dari mereka tidak hadir. Ketua mereka seperti Dato`
Mohamad Satim lebih bergantung ucapan pada teks yang disediakan dan bermasalah
tanpa penyediaan teks. Pendek kata peranan utama Ahli Dewan di Dewan Negeri dari
pihak pembangkang (BN) tidak seimbang dengan ahli-ahli Dewan Pakatan.
Perjalanan Dewan Negeri Selangor adalah antara Dewan terbaik berbanding dengan
Dewan-Dewan Negeri yang lain. Penulis pernah melalui pengalaman di bawah BN
pada sesi (1999-2004) dan di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat. Pada masa Dewan di
bawah BN, sidang biasanya pendek yang memakan masa beberapa hari, tetapi semasa
di bawah Pakatan sidang biasanya lebih dari seminggu, bahkan sampai 10 hari
bagi satu-satu sidang, bahkan sering ditambah waktu sebelah petang. Pada masa
BN pernah sidang berlangsung hanya satu hari sahaja. Peluang berucap amat
terhad antara lima
hingga sepuluh minit sahaja, kecuali Ketua whip, tetapi semasa Kerajaan Pakatan
Rakyat, peluang bagi ketua whip boleh sampai berjam-jam, manakala pengucap
biasa kebiasaannya 20 minit. Tempoh menjawab soalan lisan juga dipanjangkan
sehingga satu setengah jam, dengan demikian banyak soalan yang dapat dijawab.
Bagi Dewan Negeri ada ditubuhkan jawatan-jawatankuasa yang
keahliannya terdiri dari ahli-ahli Dewan seperti jawatankuasa SELCAT (Special
Select Committee On Competence, Accountability And Tranparency), Jawatankuasa
Hak dan Kebebasan Dewan, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negeri Selangor
(PAC), Jawatakuasa Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JPK-
ABAS), Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan (JPK-PBT) dan
Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pejabat Daerah dan Tanah (JPK-PADAT).
Jawatankuasa-Jawatankuasa ini berjalan dengan baik dan lancar. SELCAT umpamanya
sebagai Badan yang digeruni, terutama bagi mereka yang terlibat dan dijemput
kepada Majlis Pendengaran. Pada masa Kerajaan BN, walaupun AJK-AJK sedemikian
ada tapi tidak dimanfaatkan penggunaannya. Jadi apakah yang nak diselamatkan ?
Pada sesi Dewan Undangan Negeri 2008-2013 pentadbiran peringkat Pejabat Daerah dan PBT berjalan
dengan baik dan teratur. Bajet tahunan yang dibawa sentiasa meningkat dari
RM1.4 billion dari 2008 meningkat kepada hampir RM1.7 bilion pada 2013. Satu perkara yang perlu disebutkan ialah
kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat mengagihkan tanah-tanah kepada penghuni
tanah-tanah yang lebih dari 30 puluh tahun mereka duduki, pada zaman kerajaan
BN dijadikan janji pilihanraya kepada penghuni-penghuni, tapi sebenarnya tidak
diberi, tetapi pada zaman Pakatan Rakyat lebih dari 6.000 lot tanah demikian
diberi pemilikan. Dari segi PBT pula pada zaman Pakatan Rakyat usaha memecahkan
monopoli Alam Flora dapat dilakukan dan mengagihkan kontrek kepada
syarikat-syarikat tempatan. Walaupun usaha ini menyebabkan pada peringkat
permulaan berlaku kekecohan, tetapi akhirnya dapat diselesaikan dan pihak PBT
dapat menyelamatkan perbelanjaan.
Dari segi pentadbiran perbadanan, barangkali isu yang paling
hangat berhubung dengan usaha Kerajaan Pakatan untuk mengambilalih pentadbiran
air terutama dari Syabas bagi memiliknegerikan. Kerajaan negeri sanggup
membelinya sehingga seharga RM 9.65 bilion. Persoalan ini masih dalam
rundingan, walaumacam mana komitmen Kerajaan Pakatan Rakyat berhubung dengan
isu air ini amat jelas dari pemberian air percuma bagi penggunaan di bawah 20
kubik meter dan terus berusaha untuk memiliknegerikan bagi kepentingan rakyat.
Agensi yang lain ialah pihak PKNS yang terus membina rumah bagi keselesaan
penduduk termasuklah rumah mampu milik dan rumah murah. Dapat juga disebut
kejayaan Pakatan Rakyat mendapat balik hutang dari Talam sebanyak RM300 juta
ringgit yang dapat digunakan bagi kepentingan rakyat.
Perkara yang penting ialah peranan Pengerusi Jawatankuasa
Tetap pelaburan, perindustrian dan Perdagangan yang dapat melonjakkan negeri
Selangor menjadi negeri yang paling tinggi mendapat pelaburan dalam dan luar
Negara berjumlah RM48 bilion mengatasi negeri kedua tertinggi, iaitu Sarawak
dengan RM40 bilion, Peranan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan pengurusan
Bangunan dan Setinggan yang dapat mendirikan rumah-rumah mampu milik, memulih
bangunan terbengkalai, Pengerusi Jawatankuasa Pemodanan Pertanian, Pengurusan
Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan yang memodankan Pertanian menjadi sumber
perusahaan, Pengerusi Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan inovasi
yang paling banyak menyediakan berbagai skim dan kemudahan bagi rakyat seperti
Skim Usia Emas, TAWAS, Tuisyen Rakyat Percuma, Skim Mikro Kredit dan berbagai
lagi, Pengerusi JK Pendidikan yang mengeluarkan peruntukan pendidikan selama 5
tahun bagi kemajuan:
1) Pendidikan
Sekolah Rakyat RM70.4 juta
2) Hadiah Pengajian
Tinggi RM32.1 juta
3) Pinjaman
Pelajaran RM38.3 juta
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang,
Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin banyak memberi tumpuan kepada masyarakat
miskin, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Melayu dan Belia dan Sukan yang
menghidup dan mengekalkan warisan dan menggerakkan berbagai kegiatan Belia,
Pengerusi Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan yang banyak menjaga
kebajikan penduduk di Bandar dan taman-taman perumahan, Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Pelancongan , Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar yang memajukan Pelancongan
dan banyak memberi kesedaran dari segi kepenggunaan dan kesedaran dari segi
Alam Sekitar dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baharu dan Penyelesaian
Kilang Haram yang banyak memberi perhatian terhadap Kampung Baru dan kebajikan
mereka dan menyelesaikan banyak masalah kilang haram. Jawatankuasa-Jawatankuasa
Tetap yang terdiri dari sepuluh Exco ini dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Tan
Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor dengan penuh
cekap hingga membawa Selangor menjadi sebuah negeri yang paling maju di Malaysia .
Dari segi keagamaan semua agama mendapat layanan yang adil
dari kerajaan negeri. Sebagai catatan bahawa di bawah Pakatan Rakyat berlaku
pertambahan masjid dan surau dan yang paling penting berlaku lonjakan dari segi
memakmurkan surau dan masjid secara menyeluruh di negeri Selangor sebagaimana
melonjaknya minat ibu bapa dan anak-anak terhadap pengajian agama dan akademik
yang pusat-pusat pengajian berkenaan berada di Selangor, Ini menambahkan
kekukuhan bagi negeri Selangor sebagai negeri maju dan juga menjadi Hub Ilmu.
Perkembangan negeri Selangor yang melibatkan semua kaum tidak menggugat dan
melemahkan kaum yang lain. Adalah salah dan satu tuduhan liar bila BN menuduh
bahawa Karajaan Pakatan melemah dan menghakiskan kedudukan orang Melayu. BN
tidak seharus membawa ciri perkauman yang ada di dalam BN ke dalam Pakatan
Rakyat melihat dan menilai sesuatu dengan mata dan neraca perkauman yang
menjadi budaya BN.
Dengan contoh-contoh yang dibawa diatas adalah merupakan
sebahagian dari kemajuan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat, Apakah sebenarnya
yang mau diselamatkan oleh BN terhadap Selangor ? Yang nyata Selangorlah yang
membantu menyelamatkan Malaysia
dengan sumbangan hampir suku (23%) pendapatan kerajaan Persekutuan adalah
merupakan sumbangan dari negeri Selangor. Jadi apa yang dimaksudkan dengan
menyelamatkan sebenarnya ialah menyelamat dan memulihkan Kerajaan BN yang
selama ini merasa tempang, kerana kehilangan Selangor. Tetapi bagi rakyat, jika
Selangor jelas membawa pembangunan dan kebaikan mengatasi apa yang pernah
dibawa oleh BN, seharusnya meningkatkan sokongan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat
agar lebih banyak lagi kemajuan akan dapat dibawa.
Sekian.
No comments:
Post a Comment