April 14, 2013

Menyampaikan Peruntukan Kepada Persatuan Penduduk Alam Sari, Sungai Tangkas Dan Bukit Mewah

BBB, 26 Jamadil Awwal 1434 = 07 April 2013 (Ahad):

Pagi ini Mantan Adun Bangi turun ke dua lokasi gotong royong, iaitu di Taman Perumahan Alam Sari, Sungai Tangkas, Kajang dan Gotong royong bertempat dalam kawasan Rumah Pangsa, Blok D, Bukit Mewah, Kajang.


Bagi gotong royong di Taman Perumahan Alam Sari, tempat perhimpunan pagi ialah di Surau Alam Sari. Mantan Adun Bangi bersama saudara Azizi berpagi-pagi tiba di sini jam 8.30pagi. Pada masa kesampaian peserta-peserta yang hendak mengambil bahagian  gotong royong belum ramai. Mantan Adun disambut oleh Pengerusi Persatuan Penduduk Dato` Dr. Mohd. Johari, Timbalan I Encik Nawal, Timbalan 2 En. Zafar, Setiausaha Saudara Pian, Pengerusi Surau Haji Hasrin, Tun Imam Ustaz Othman dan peserta-peserta gotong royong. Mereka adalah dari Taman Alam Sari yang dipecah kepada Zon Ilmiah I, Ilmiah II dan Ilmiah III (semacam Taman Akademik). Kawasan Taman bagi semua zon mempunyai sebanyak 170 buah rumah yang 80% daripadanya sudah dihuni. Perumahan yang lain yang sedang dalam pembinaan ialah Perumahan Taman Ilham dan Iltizam serta perumahan Semi D yang jangka siap dalam masa terdekat. Perumahan di sini di bawah Syarikat Island dan Peninsula dengan Pemaju I & P.


Sebelum gotong royong dimulakan diadakan sedikit Majlis dimulai dengan ucapan oleh Dato` Dr. Mohd. Johari yang mengalu-ngalukan kehadiran Mantan Adun Bangi yang datang untuk menyampaikan peruntukan bagi gotong royong pada hari ini. Peruntukan ini diluluskan sebelum pembubaran Dewan Negeri Selangor. Beliau menyatakan ini bukan pertama kali Mantan Adun Bangi datang, kerana pada Majlis Dialog yang pernah diadakan dengan pihak Pejabat Agama Daerah Hulu Langat, MPKj dan Adun dua bulan dahulu YB Bangi pada masa itu turut hadir. Dato` Dr. Mohd. Johari memaklumkan bahawa, gotong royong pada hari ini, tidaklah dibuat di kawasan Surau ini, tetapi dibahagikan kepada zon-zon dalam mana peserta-peserta akan dibahagi dan pergi kepada zon-zon berkenaan. Beliau berterima kasih pada pagi ini, pihak MPKj juga menghantar lori bagi memungut sampah-sampah yang akan dibersihkan nanti.


Mantan Adun Bangi mengucapkan terima kasih di atas jemputan yang dibuat dan Mantan Adun merasa sukacita dapat sama ke Majlis Pelancaran pada pagi ini. Kata Mantan Adun, ``Saya lebih sukacita melihat penduduk di sini bersatu padu dan Surau dijadikan Pusat kegiatan bukan saja bagi Ibadat, tetapi kegiatan keilmuan dan kemasyarakatan. Adun juga menyebutkan, bahawa Persatuan Penduduk hendaklah memberi perhatian bukan saja terhadap keselamatan, tetapi juga ekonomi masa depan.
Mantan Adun mencadangkan supaya mencontohi Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi yang menubuhkan koperasi dan dapat membeli asset-asset kedai dan hartanah bagi penduduk dan generasi akan datang. Mantan Adun juga berharap Persatuan dan AJK Surau mengambil bahagian dari segi perkembangan fizikal dan imej Alam Sari dan mencorakkan dengan warna dan nilai yang kita mahu. Adun melancarkan Gotong Royong Persatuan Penduduk Taman Alam Sari dan berikutnya menyampaikan peruntukan bagi gotong royong pada hari ini yang jumlah agak kecil, iaitu sebanyak RM500/=. Selepas itu semua yang hadir bergambar diikuti dengan minum pagi dan bergerak ke tempat gotong royong.


Selepas melancarkan gotong royong di Taman Alam Sari, Mantan Adun bersama saudara Azizi bergerak ke prumahan Rumah Pangsa Blok D, Bukit Mewah. Di sana juga diadakan gotong royong sebagai lanjutan dari usaha Adun pada masa menjalankan operasi pembersihan dengan menyewa lori dan backho mengangkat sampah-sampah di kawasan Rumah Pangsa D di sini. Pada hari operasi itu, ada bahagian yang tertinggal dari bersih pada bahagian sampah tidak diangkat. Mantan Adun tiba bagi memastikan sampah-sampah yang tertinggal dikehendaki diangkat. Sebuah row-row ditinggalkan di sini agar dijadikan tempat  membuang sampah. Pada masa Mantan Adun tiba, penduduk sedang giat melakukan pembersihan di kawasan membuang sampah. Manakala sampah yang ada diangkut ke row-row. Mantan Adun juga berkesempatan mengangkat sampat dan menyorong sampah-sampah ke row-row yang sengaja ditinggalkan oleh MPKj bagi memudahkan pekerja membuang sampah.  Saudara Mohd. Taib Ketua Persatuan Penduduk Rumah Pangsa D, tidak ramai yang turun, cuma sekadar 10 orang sahaja. Selepas mengangkat sampah tiba kepada urusan utama Mantan Adun Bangi datang, iaitu untuk menyampaikan cek bagi menampung keperluan untuk membaiki pintu bagi petak sampah rumah pangsa di sini yang telah rosak, agar sampah tidak dibuang atau ditinggal merata-rata. Kos bagi pintu ruang sampah di Rumah Pangsa D dijangka sebanyak RM2,000. Maka selepas gotong royong Mantan Adun menyerahkan cek kepada saudara Mohd. Taib selaku Pengerusi Persatuan Penduduk dan diharap pembaikan pintu dilakukan segera.

Sekian.

1 comment:

  1. Terbaikkk....dan mohon untuk di kongsi dalam blog alam sari http://alamsarian.blogspot.com...

    ReplyDelete