January 30, 2015

Abu Lahab Namanya Di Dalam Al-Qur`an Turut Dikecam Oleh Hassan


BBB, 08 Rabiul Akhir 1436 = 29 Januari 2015 (Khamis):
Sama dengan Abu Jahal yang menentang dakwah Nabi Muhammad s.a.w. sejak era Makkah ialah Abu Lahab. Watak antoganis di dalam dakwah Islam ini terakam di dalam al-Qur`an khas di dalam satu surah yang dinamakan Surah Al-Masad yang juga dikenali juga sebagai Surah Al-Lahab, iaitu surah ke 111 yang diturunkan di Makkah yang mengandungi 5 ayat.
Surah ini mengecam dan kebinasaan dua tangan Abu Lahab (kinayah bagi semua diri Abu Lahab dan isterinya)


 Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Dan Pengasih
Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan binasalah dia (1)
Tidaklah memberi faedah kepadanya hartanya dan tidak apa yang diusahakannya (2)
Akan masuklah dia ke dalam api yang bernyala-nyala (3)
Dan isterinya pembawa kayu bakar (4)
Yang di lehernya ada tali dari sabut (5)
Nama sebenarnya bagi Abu Lahab ialah Abdul `Uzza bin `Abdul Muttalib, bapa saudara Nabi. Al`Uzza ialah nama berhala terletak di Ka`abah yang dipuja oleh kaum Quraisy. Ini mencerminkan betapa mendalamnya kepercayaan syirik kaum Quraisy pada masa itu yang antara misi Rasulullah s.a.w. ialah menghapuskan elemen kesyirikan tersebut. Isteri Abu Lahab yang turut disebut oleh Al-Qur`an di dalam Surah al-Masad ini ialah Arwa binti al-Harb, saudara perempuan kepada Abu Sufyan Sakhar bin al-Harb yang menjadi ibu saudara bagi Mu`awiyah bin Abu Sufyan. Abdul `Uzza dipanggil sebagai Abu Lahab, kerana wajahnya yang menyala-nyala lantaran bengis dan tampan. Manakala isterinya seorang yang rupawan hingga digelar sebagai `Ummu Jamil – Ibu Rupawan`.
Dilihat dari segi kekeluargaan sebelum Rasulullah dibangkitkan, bahkan sejak Muhammad dilahirkan Abu Lahab memberi perhatian dari segi jagaan, beliau menyerahkan pengasuh keluarganya, iaitu Thuwaibatul Aslamiah menyusu dan mengasuh Muhammad sebelum disusui oleh Halimah al-Sa`diah. Beliau menaruh harapan yang tinggi terhadap Muhammad bagi menggantikan ayahnya yang dipandang tinggi dalam masyarakat. Setelah Rasulullah berkahwin dengan Siti Khadijah, maka seorang puterinya `Ruqayyah` berkahwin dengan anak Abu Lahab.
Hanya sesudah Rasulullah menerima wahyu dan memanggil kaum kerabat terdekat untuk menyatakan dakwahnya dari Bukit Safa diiring Abu Bakar, maka orang yang terawal menyanggah terhadap dakwah Rasulullah ialah Abu Lahab. Beliau menghardik Rasulullah s.a.w. dengan berkata, ``Tabba laka ya Muhammad – Celakalah bagi engkau ya Muhammad`. Adakah ini tujuan engkau menghimpunkan kami semua.`` Sebagai respond terhadap, makian Abu Lahab terhadap Rasulullah, maka berikutnya turunlah ayat-ayat, ``Tabbat yada Abi Lahab ... dan seterusnya``. Turut sama mengejek dan mengugut terhadap Nabi ialah isteri Abu Lahab `Ummu Jamil` yang antara kerja yang dibuatnya ialah menghimpun dan mengikat kayu api. Secara elegori pembakaran kayu api itu mencerminkan bahawa dia akan dibakar dengan api neraka yang menyala-nyala.
Sejak dari itu perseteruan bermula dan berterusan antara Abu Lahab dan isteri serta kuffar Quraisy bagi menghalang dakwah Nabi. Abu Lahab dan mereka yang sealiran dengannya menghabiskan usaha dan harta benda bagi menyekat dakwah Nabi. Sebagaimana Abu Jahal, demikianlah Abu Lahab memboikot dan mengepung Rasulullah s.a.w. dan pengikut-pengkut hingga memakan masa selama tiga tahun lamanya! Dia sama menyekat usaha-usaha dakwah keluar dari Makkah dan berusaha bersama pemuda-pemuda Makkah bagi menyekat Nabi dari berhijrah, bahkan bertekad untuk membunuhnya.
Setelah Hijrah dan berlaku peperangan Badar, Abu Lahab, meskipun tidak sama turun ke medan Perang Badar, tetapi beliau antara yang berusaha membiayai perbelanjaan peperangan. Adalah dikatakan dengan kekalahan tentera musyrikin Quraisy dengan 70 orang terbunuh termasuk Abu Jahal dan 70 orang tertawan, menyebabkan Abu Lahab tertekan yang membawa kepada kematiannya. Jadi Abu Lahab termasuk yang tidak mendapat hidayah Islam ke akhir hayatnya sebagaimana juga Abu Jahal. Walau bagaimana antara anak-anaknya ada yang berkesempatan menerima Islam, tetapi anaknya yang bernama `Utaibah yang pernah menjadi menantu Nabi yang dia berkahwin dengan Ruqayyah puteri Nabi tidak menerima Islam. Abu Lahab meminta anaknya menceraikan Ruqayyah. Ruqayyah dikahwinkan dengan  Sayiduna `Uthman bin `Affan. `Utaibah mati dimakan binatang buas dalam perjalanan urusan perniagaan ke Syam.
(Hamka, Tafsir Al-Azhar, Jil. 10, Opustaka Nasional Pte Ltd, Singapura, 2001: 6139 – 8144).
Berhubung dengan Abu Lahab ini, Hassan bin Thabit turut mengecam Abu Lahab dengan puisinya yang berjudul:
Sampaikan Kepada Abu Lahab
Abu Lahab ! Aku sampaikan bahawa Muhammad akan
Berjaya dengan dakwah disampaikan disebalik kebencianmu
Meskipun kau mendusta dan menghinanya
Kau keasingan dengan tindakan sekatan
Walaupun kau berkedudukan bagi Banu Hashim
Hakikatnya engkau menyekat jalan kemuliaan
Sepatutnya engkau bergembira dengan kebangkitan
Mengunggulkan di sebalik engkau menghinakan
Tinggi kedudukan Bani Hashim mulia dihormati
Sedang engkau bergelumang dengan cacian mengancam.
(Diwan Hassan bin Thabit, 1412/1992: 402-403).
Demikian sikap Abu Lahab yang menyekat dakwah Rasulullah s.a.w. dan menyeterui Baginda terakam di dalam Al-Qur`an. Abu Lahab dan Abu Jahal lambang kekufuran yang dilaknat Tuhan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment