BBB, 13 Rabiul Awwal 1436 = 04
Januari 2015 (Ahad):
Bumbung, Atap dan Kubah adalah
bahagian paling tinggi dijunjung oleh tiang-tiang yang membangunkan masjid,
manakala menara mempunyai tapak dan struktur binaan tersendiri. Walau bagaimana
bumbung, atap, kubah dan menara adalah
merupakan bahagian terkeatas dan tertinggi bagi binaan masjid – Masjid Al-Umm.
Penulis beberapa kali membilang tiang-tiang yang menjunjung masjid bermula dari
aras bawah tanah ke aras utama hingga ke aras paling atas (satu). Pada umumnya
setiap tiang yang dibina dari bawah bersambung ke aras terkeatas hingga ke
puncak (roof). Penulis membuat kesimpulan, bahawa konsep tiang bagi Masjid
Al-Umm adalah bermula dan berkembang ke sekali ganda dan sekali ganda, bermula dari falsafah empat, iaitu tiang seri
bahagian tengah yang menjunjung kubah dan meluas kepada: 4, 8, 16, 32, 64, 128 hingga 256 tiang. Ianya
mencerminkan lambang bahawa 4 sahabat (Khulafa` al-Rashidin) menjunjung
Rasulullah yang menerima wahyu dari Yang Tertinggi. Daripada empat sahabat ini
Islam yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w berkembang ke seluruh penjuru alam
diperluaskan oleh pendukung-pendukung seterusnya.
Berhubung dengan bumbung dan atap ini, pada permulaan dalam pelan senibina
awal, banyak bahagian atas agak rata
seperti sutuh, maka diperingatkan kepada pihak arkitek, bahawa iklim cuaca
Negara kita tidak sama dengan iklim padang pasir yang kurang hujan, sebab itu
sesuai bahagian atas bersifat sutuh, tetapi bagi Negara kita yang sering hujan,
maka bahagian atas hendaklah bersifat condong dan curam ke bawah bagi
memudahkan larian hujan turun, lantas diubah berikutnya kepada kedudukan atap yang
lebih condong dan curam. Ada 12 bahagian ruang bumbung bagi atap yang perlu
ditutupi atap jenis (Indian tiles) yang dikira standard yang contohnya pernah
dibawa ke dalam perbincangan. Adapun warna bagi atap ini semacam cerah – merah.
Pengurusan mengenai kubah adalah
paling banyak masa diberi tumpuan bagi mendapat kontrektor pembinaan dan kubah
yang dihasratkan. Sejak September 2013 tidak kurang dari lima buah syarikat
pembinaan kubah telah dijemput dan setengahnya menawarkan kepakaran untuk
membina kubah dengan menonjolkan kepakaran dan proposal masing-masing. Syarikat
yang telah ditemuduga ialah:
1) Aktif
Aluminium Sdn. Berhad Cheras
2) Tri-Arch
Sdn. Bhd, Selangor
3) Kubah
Anum Sdn. Bhd. Setapak
4) TA
Decke Sdn. Bhd. Subang
5) Majleza
Aluminium Sdn. Bhd. Johor.
Hubungan dengan Majleza adalah
selepas setahun pencarian kontrektor Kubah dan memuaskan AJK. Selepas pertemuan
pertama pada 28.8.2014, maka sudah masuk lima bulanlah pihak Majleza
berkali-kali datang membentang proposal dan berbincang dengan AJK mencari
bentuk dan ciri kubah yang dipersetujui. Pihak Majleza juga membuat proposal bagi dekorasi dinding bahagian depan masjid
dan juga mimbar masjid sebagaimana yang telah dibincangkan.
Dari segi kubah, walaupun ada
unsur ilham dari Masjid `Sultan Qabus`, tetapi bentuk `Kubah Masjid Al-Umm`
adalah mengambil bentuk `separuh Bujur Telur` dengan mempunyai tunjuk langit
berlambangkan `Al-Umm` bertulisan Jawi. Dari atas bulatan ada garis tetulang
dari atas ke tapak bersifat geometric design dari antara garis-garis ini akan
mengeluarkan cahaya menggemerlapkan warna kuning, warna pilihan bagi kubah.
Pembinaan bagi tempat kubah ini agak kompleketed dan memakan masa yang agak
lama. Untuk meletakkan kubah ini dibina bulatan tapak konkrit yang dikukuhkan
kedudukannya di bahagian puncak dengan empat penjuru beam sendeng berada di
atas empat tiang seri. Antara setiap penjuru beam sendeng ini pula ada empat
tetulang beam yang mengukuhkan kedudukan di atas tiang-tiang supportive yang
lebih kecil. Dengan binaan sedemikian kelihatan tapak begitu kukuh bagi
menjunjung kubah yang begitu besar dan indah yang memakan ruang atas separuh dari aras utama.
Berhubung dengan kubah ini tidak
saja melibatkan pandangan luar yang kelihatan dari jauh, tetapi juga melibatkan
pandangan dalam, maksudnya dilihat dari bawah aras utama. Lengkungan kubah
dilihat dari dalam adalah mempunyai garis-garis
berbentuk spid yang geometric design. Kubah berada di atas bulatan yang
bulatan mempunyai sebagai pintu-pintu
cahaya dari luar dan tidak dimasuki air. Pada ruang kosong bagi luar bulatan
juga dihiasi dengan bentuk-bentuk empat segi geometric design. Pada asalnya ada
dicadangkan bahawa dari tengah kubah ini digantung hiasan lampu yang berciri
lampu thurayya, tetapi ini kemudian tidak disetujui. Memadai dengan ruang
kosong bergeometric design, kerana dijangkan pada tetulang bagi kubah berkenaan
akan dipasang dengan tiga buah kipas yang boleh digunakan, bila air-cod. tidak
digunakan. Tidak ada ayat Al-Qur`an digunakan bagi kawasan lengkungan kubah,
kerana kedudukannya yang tinggi dan sukar dibaca dengan kedudukan yang jauh ke
atas. Ayat Qur`an digunakan pada bahagian atas dinding hadapan kiri dan kanan
dengan secara ringkas. Kalau perlu ditambah ayat Al-Qur`an ialah pada bahagian
atas kanan dan kiri – jika bersesuaian.
Selain dari kubah, satu lagi elemen
yang sudah menjadi identiti bagi sesebuah masjid, ialah menara. Pemibinaan
menara pada asalnya sebagai tempat tinggi yang boleh melantaskan suara muazzin
ke kawasan-kawasan yang lebih jauh yang muazzin azan dari tempat tinggi
tersebut. Walaupun pada masa kini sudah ada pembesar suara yang boleh diletakkan
pada tempat tinggi, tanpa memerlukan muazzin berada pada tempat tinggi
berkenaan, tetapi fungsi menara sebagai satu elemen di masjid terus berkekalan.
Selain dari ianya menjadi sebagai identiti, menara itu sendiri mempunyai ciri
estetika murni yang memebawa elemen kudus. Binaannya yang mengecil dan memuncak
ke atas adalah perlambangan bagi peningkatan jiwa kepada peringkat tertinggi
secara rohani dan murni.
Menara Masjid Al-Umm pada asalnya
mau dibina secara moden yang telus cahaya (dalam cermin), tetapi adalah
dibimbangkan boleh pecah diakibatkan oleh ribut kuat dan membahayakan, sebab
itu ianya mengikut design biasa bersegi bulat dan bertingkat, iaitu setinggi
27.5 meter bersamaan 90 kaki tinggi. Dengan ketinggian ini, maka menara adalah
puncak tertinggi bagi binaan Masjid Al-Umm yang dijangka ketinggiannya dapat
dilihat dari tol masuk Bandar Baru Bangi dan juga dapat dilihat dari Jalan Reko
– Jalan Kajang – Bangi.
Sekian.
No comments:
Post a Comment