January 23, 2015

Hassan Bin Thabit - Penyair (Pembela) Nabi


BBB, 01 Rabiul Akhir 1436 = 22 Januari 2015 (Khamis):
Mengulas berkenaan penyair di atas, Ahmad Hassan al-Zayyat pengkaji Sastera Arab menyebut tentang Hassan bahawa:
``Hassan (m.54H.) pada zaman Jahiliyyah dikenali sebagai Penyair Madani, apabila dibangkitkan Rasul s.a.w. dia dikenali sebagai Penyair Nabi dan dalam Islam dia dikenali Penyair berketurunan dari Yaman.``
(Ahmad Hassan al-Zayyat, Tarikh al-Adab al-Adabiyy. Kementerian Pendidikan Arab Saudi, Arab Saudi, tt: 152).


Hassan mnerima Islam bersama kaumnya – al-Khazraj sebagai kesan dari Hijratul Rasul dari Makkah ke Madinah. Namun begitu sesudah hijrah, tidak ada jaminan keamanan, kerana permusuhan Quraisy dan seteru-seteru menelusuri Madinah yang mengakibatkan berlakunya siri peperangan. Antara yang terkenal ialah Peperangan Badar dan Uhud beserta berpuluh peperangan yang lain. Semangat jihad umat mampu memepertahankan kedudukan, bahkan mampu mendirikan Negara Islam pertama bagi ummah `Negara Madinah`. Perseteruan dan peperangan tidak saja secara senjata dan berlaku di medan-medan perang, tetapi penyerangan juga berlaku secara lisan dan sastera. Kalangan penyair zaman Jahiliyyah dan yang berkesempatan dengan Islam lebih berpihak kepada musuh dan memusuhi Islam. Di dalam keadaan sedemikian Rasulullah s.a.w. dan Islam memerlukan jawapan secara lisan dan puisi, bahkan menyerang musuh-musuh penyair Jahiliyyah berkenaan.
Di dalam hal ini Ibn Rashiq al-Qayrawani menyatakan ayat al-Qur`an berhubung dengan penyerangan terhadap penyair, ialah penyair-penyair Jahiliyyah dan pembelaan terhadap penyair-penyair yang beramal salih (Al-Shu`ara`: 224-227), ialah merujuk kepada situasi konflik dan konfrontasi antara penyair-penyair Jahiliyyah terhadap Islam, khususnya Rasulullah dan pembela-pembela Baginda dari kalangan penyair muslim. Kata Ibn Rashiq al-Qayrawani, ``Dimaksudkan penyair-penyair beramal salih, ialah penyair-penyair Nabi s.a.w. yang mereka itu membela Nabi dan menjawab terhadap serangan-serangan penyair-penyair Jahiliyyah. Mereka yang membela Nabi ialah seperti Hassan bin Thabit, Ka`ab bin Malik dan Abdullah bin Rawahah. Dan bagi mereka ini bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Kalangan mereka ini memberi pukulan yang lebih keras kepada kalangan Quraisy laksana  busar panah.`` dan kepada Hassan bin Thabit Rasulullah s.a.w. pernah memberi galakan bermaksud:
``Perangi mereka – yakni Quraisy dengan kata, Demi Allah serangan kata ke atas mereka lebih berat dan berkesan dari melepaskan busar panah  pada pekat malam. Serang mereka, beserta engkau Jibril dan Ruhul Quds. Berjumpalah Abu Bakar yang mampu mengajar tektik berkenaan.``
(Al-Qayrawani, Ibn Rashiq, Al-`Umdah, Jil. I, 1408/1988: 91-92).
Ahmad Hassan al-Zayyat berkata:
``Tatkala bersangatan Rasul  menerima ejek-caci dari kalangan Quraisy, Baginda berkata kepada sahabat-sahabat Baginda, apakah yang dapat mencegah seperti mengguna senjata dengan kemenangan menggunakan kata (lisan) ? Maka dijawab oleh Hassan yang sama beserta, Saya akan menjawabnya, sambil dia menarik lidahnya yang panjang yang boleh sampai ke hidung sambil berkata, ``Demi Allah yang memudahku berkata dari Busra hingga ke San`aa. Demi Allah kalau engkau meletaknya di atas batu aku memecahnya atau di atas kepala nescaya aku cukurkan. Maka bersabda Nabi s.a.w.,``Bagaimana engkau menyerangkata sedangkan aku seorang daripada mereka ? Maka kata Hassan,
``Berhati-hati bagai menarik rambut dari tepung. Maka sabda Nabi,
``Seranglah mereka dengan kata bersama engkau adalah Ruh al-Qudus.``
Demikianlah berlaku penyerangan lisan sebagai busar panah mengenai sasaran, meskipun di waktu malam.``


(Ahmad Hassan al-Zayyat, Tarikh al-Adab al-Arabiyy, tt: 152).
Sebagai contoh serangan lisan terhadap Abu Sufyan yang memusuhi Islam hinggalah berlaku pembukaan Makkah:
Tidakkah sampai berita Abu Sufyan
Garang  digeruni. Tapi mula sunyi
Sesungguhnya pedang kami kautinggalkan
Pada lelaki hamba Abd al-Dar Ketua perhambaan
Engkau mengeji Rasul Nabi Muhammad aku menjawab
Di sisi Allah sebenarnya telah ada jawab.
(Ahmad Hassan al-Zayyat, Tarikh al-Adab al-`Arabiyy, tt: 153).
Tentang kesempurnan Nabi Muhamkmad s.a.w. Hassan memuji:
Indah dan tampanmu tidak pernah mata memandang
Sempurnamu tidak ada ibu melahirkan  seperti ibumu
Engkau dijadikan sempurna tiada sebarang cacat cela
Seolah engkau dijadikan sebagaimana dikehendaki.
(Diwan Hassan bin Thabit. 1412/1992: 19).   
Terdapat beberapa puisi lagi yang bertemakan kepujian terhadap Nabi:
Dia  Kandil Cahaya Dia Petunjuk
Pecahan kata bagi nama Baginda
Berkedudukan tinggi Muhammad Terpuji 
Nabi diutuskan selepas lama menunggu
Rasul diutuskan selepas mereka sembah authan
Dialah kandil memancar cahaya pertunjukan
Berkilau seperti kilaunya pedang memancar
Menakutkan kita dengan neraka menggembira dengan syurga
Mengajar kita tentang Islam, Allah dan Muhammad Utusan
Allah Tuhan Yang Benar Rabbi Pencipta Alam ini
Dengan demikian kita luaskan makluman ramai penyaksian
Panjatkan doa kepada Tuhan Pencipta Alam
Tiada selain Tuhan Dia Maha Tinggi Terpuji
Daripada Engkau makhluk menerima nikmat
Kepada Engkau makhluk pohon pertunjuk dan menyembahMu
Sesungguhnya pahala dari Allah apa yang dilaku
Syurga Firdaus balasan di atas amalan.
(Diwan Hassan bin Thabit,1412/1992: 153 – 154).
Demikianlah terdapat lagi puisi-puisi pujian terhadap Rasul seperti Pertanda Khatam al-Nubuwwah, Rasul Bersama Kita, Kita tidak Lari Dari Suruhannya dan yang lain-lain lagi.
(Diwan Hassan bin Thabit, 1412/1992: 82-86).
Dengan puisi-puisi di atas membuktikan pembelaan Hassan bin Thabit terhadap Rasul dan sanjungan dan pujian terhadap Baginda.

Sekian.

No comments:

Post a Comment