January 20, 2015

Ka`ab Bin Zuhayr, Bagaimana Dia Terbawa Menemui Rasulullah s.a.w.


BBB, 28 Rabiul Awwal 1436 = 19 Januari 2015 (Isnin):
Ka`ab Bin Zuhayr adalah penyair dua zaman yang banyak diperkatakan dalam konteks pertembungan zaman Jahiliyyah dengan Islam. Pertembungan di sini bukan setakat pengaruh Islam mengubah zaman dari Jahiliyyah ke zaman baru – Islam yang Ka`ab terbawa oleh arus perubahan. Tapi Ka`ab mengalami peristiwa dari perpuisian lebih dari itu.
Nama lengkap bagi penyair ialah Ka`ab bin Zuhayr bin Abi Sulma al-Muzani. Hidup di dalam suasana kepuisian. Lantaran ayahnya Zuhayr adalah salah seorang penyair Al-Mu`allaqat terkenal. Lantaran itu baik secara langsung atau tidak langsung dia dipupuk dan diasuh dengan didikan kepuisian. Tetapi dari satu segi ada kebimbangan dari bapanya, bahawa dia tidak mampu menyerlahkan bakat dan kemampuannya, lantaran itu ada semacam sekatan dari bapanya untuk dia terus berpuisi. Dari satu segi ianya merupakan satu ujian bagi melihat bakat dan ketabahan Ka`ab di dalam berpuisi. Ternyata kelihatan ada kemahuan yang tinggi dan sekaligus ia mewarisi bakat yang dapat diserlahkannya. Ada yang melihat Ka`ab dari segi perpuisian mirip kepada gaya perpuisian ayahnya di samping mempunyai ciri kepenyairannya sendiri.


(Butrus al-Bustani, Udaba` al-`Arab fi al-Jahiliyyah wa Sadr al-Islam, Dar Nazir `Abud, Beirut, 1089: 267).
Walau bagaimana sungguhpun Ka`ab adalah dari kalangan penyair dua zaman, tidak banyak puisi yang diwariskan di dalam dua zaman tersebut untuk gambaran dan perbandingan. Antara puisinya:
Muda Dan Beruban Mula
Nyata muda, tapi uban mulai ketara
Aku tidak melihat muda benar hilang
Kembali hitam mengganti putih pergi
Tidak diucap selamat pada dewasa datang
Setiap hari kulihat padanya kejelikan
Hampir jatuh padanya diriku keciwa
Moga muda mendekati tidak lari
Sekurang separuh darinya berbaki.
(Fuad Afram al-Bustani, Al-Majani al-Hadithah, Jil. 2, Al-Matbaat al-Kathulikiyyat, Beirut, tt: 17).
Dalam sebuah puisi yang lain kata Ka`ab:
Menentang Kejahilan
Kiranya engkau tidak merasa hina kejahilan
Kau lihat betapa jahilnya diriku
Takutlah dengan diamku membisu
Padamu bagai mendengar kata itu
Pendengar pencela samalah dengannya
Dia makan dari mangkuk yang sama
Umpat kejahatan pada pelakunya
Lebih cepat condong menimpa diri
Siapa mengajak manusia berbuat dosa
Celakannya walau benar apa lagi berdosa
Janganlah mengecam jika engkaulah punca
Engkau keciwa berdepan orang berakal.
(Fuad Afram al-Bustani, Al-Majani al-Hadithat, Jil. II, tt: 18.).
Melihat kepada kedua-dua contoh puisi di atas, ternyata adalah lebih bersih dari puisi-puisi Jahiliyyah yang biasanya membawa tema kecam. Keji, rintihan, perbalahan, peperangan, kemegahan dan sebagainya daripada unsur-unsur jahiliyyah yang negatif sifatnya. Ada dorongan positif.
Peristiwa yang membawa Ka`ab berdepan dengan Nabi Muhammad s.a.w. bahawa saudara lelaki Ka`ab yang bernama Bujair bersama rombongan menemui Nabi Muhammad s.a.w. pada akhir tahun ke 7H. di Madinah dan masuk Islam. Ini mengeciwakan Ka`ab dan dia mengungkapkan puisi mengecam Bujair dan menggesanya agar murtad. Kecaman ini sampai kepada Nabi yang menghalalkan darah Ka`ab, sedang masa itu Bujair sama menyaksikan Pembukaan Makkah yang menandakan kejayaan Nabi Muhammad s.a.w. Maka Bujair menghantar ingatan kepada Ka`ab ancaman dan ingatan dengan hina dan kalahnya kaum Quraisy, larinya penyair Abdullah al-Zuba`ri dan terbunuh. Bujair mengingatkan Ka`ab:


``Demi Allah Dia juga menghalalkan engkau dibunuh, kecuali engkau datang memeluk Islam !``
Menerima maklumat itu Ka`ab merasa gentar dan menyedari tiada bumi untuknya lari. Lantaran itu dia buat keputusan untuk mengunjungi Madinah bagi menemui Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. Iaitu tindakan yang tepat bagi masa depannya.

Sekian. 

No comments:

Post a Comment