Strategi menyekat jalan dagang kafilah
peniaga-peniaga Quraisy ke Syam berjaya. Ini menggusarkan pimpinan Quraisy yang
diketuai Abu Sufyan. Mereka mencari jalan alternatif, iaitu menyimpang dari
Madinah dan melalui jalan lencongan melalui Iraq baru ke Syam. Jalan ini begitu
jauh, tetapi terpaksa ditempuh. Walau bagaimana jaln ini juga tidak selamat,
kerana mereka tidak terlepas dari intipan pengintip-pengintip Islam dan mereka
kalah dan kerugian barang-barang dagangan dalam peristiwa `Sariah`. Oleh kerana
bagi kaum Quraisy dan pedagang Makkah, tidak ada cara lain bagi keselamatan
perdagangan mereka kecuali menyerang Madinah, tindakan setahun selepas
peperangan Badar (Syawal tahun ketiga Hijrah).
Mereka keluar dengan 3,000 tentera. Rasulullah
pada peringkat permulaan mau membuat pertahanan dari dalam kota Madinah, tetapi
antara sahabat mau pertahan dari luar kota Madinah. Mereka keluar ke tempat
yang bernama Uhud dengan sejumlah 1,000 tentera mengambil kedudukan menghadap
ke Madinah dan berbelakangkan Bukit Uhud. 300 munafik yang diketuai Abdullah
bin Ubay menarik diri dari berperang. Rasulullah menempatkan 50 orang pasukan
pemanah di atas puncak Bukit Uhud diketuai Abdullah bin Jubair dan memberi
ingatan, jangan meninggalkan puncak bukit sehingga peperangan benar-benar
berakhir. Dalam peperangan yang hampir dimenangi pihak tentera Islam itu,
bertukar menjadi sebaliknya apabila tentera memanah meninggalkan posisi mereka
dan turun untuk sama mendapat harta rampasan. Tempat strategik diambil oleh
tentera musuh. Ini menyebabkan tentera Islam mengalami kerugian jiwa yang besar
iaitu seramai 70 orang syahid, termasuklah Sayyiduna Hamzah yang dadanya
dibedah oleh Hindun binti Utbah isteri Abu Sufyan, manakala kerugian pada pihak
musuh 22 orang.
(Zulkifli Mohd Yusoff dan Noor Naemah Abd.
Rahman, Biografi Muhammad bin Abdullah, PTS Islamika Sdn. Bhd., Batu Caves,
Selangor, 2011: 148-193).
Peperangan Uhud ini menjadi tema perpuisian
bagi Hassan bin Thabit, bahkan dari segi tema perang Perang Uhud ini menjadi tema paling banyak
diungkapkan oleh Hassan bin Thabit, iaitu tak kurang dari 10 judul puisi Antaranya berjudul:
Panah Berbisa
Gambaran mata panah seolah-olah
Dari busar hinggap mudah bergetar
Mengejutkan mereka berjaga
Membakar dari api menyala.
(Diwan Hassan bin Thabit 1412/1992: 32)
Berhubung dengan Perang Uhud ini diungkap
secara panjang oleh Hassan dengan judul puisinya:
Mereka Itu Kaumku
...
Di hadapan Rasulullah mereka turut patuh
Pertolongan
dari Tuhan mendapat shafaat Junjungan
Yang kufur itu terasing terpenjara
Tidak sama hamba yang derhaka dan setia.
Dengan iman mereka yang putih mendapat
lindungan
Tidak dapat tidak dia mendapat pembelaan
(Dewan Hassan bin Thabit, 1412/1992: 243).
Dalam peperangan Uhud terdapat maklumat
pembawa bendera yang bertukar ganti lantaran pembawanya terkorban seorang demi
seorang:
Sembilan Pembawa Bendera
...
Sembilan pembawa bendera berkitar
Menjaga dari kena tujahan panah
Terarah secara awas oleh semua
Agar tidak terpanah mengalir darah
Berdiri dengan bendera lambang mulia
...
(Diwan Hassan bin Thabit, 1412/1992: 366).
Hassan juga mencatat penyair yang memusuhi
Islam, iaitu Abdullah a-Zuba`ri secara catatan dan jawaban:
Hassan Dan Ibn Al-Zubari
Wahai gagak
(Ibn al-Zuba`ri) dengarkan kataku
Engkau bercakap perkara yang sudah dibuat
Sesungguhnya kebaikan dan kejahatan berterusan
Tiap satu mewakili wajah pelakunya
Pemberian pelbagai di kalangan mereka
Antara yang miskin dan kaya
Tiap kehidupan susah senang hilang
Anak-anak zaman merentas laluan.
...
Betapa terbunuh kalangan mulia dan ketua
Tinggi sanjungan mereka adalah pahlawan
Menegak keunggulan dan kebenaran
Tanpa bimbang di mana terarahnya panah
Mereka bertanya penjaga sumber air
Kering dahaga
dalam perang menyala.
(Diwan Hassan bin Thabit, 1412/1992: 283-284).
Demikian antara ungkapan Hassan bin Thabit
tentang peristiwa Perang Uhud yang getir dan banyak memberi pengajaran kepada
umat sepanjang zaman.
Sekian.
No comments:
Post a Comment