January 7, 2015

Tarfah Bin Al-`Abd Salah Seorang Penyair Al-Mu`allaqat


BBB, 15 Jamadil Awwal 1436 = 06 Januari 2015 (Selasa):


Sebagaimana Imriul- Qays demikianlah Tarfah bin al`Abd (543 -569M.) adalah salah seorang dari tujuh  penyair al-Mu`allaqat yang dikira elit kerana mutu kepuisiannya sehingga diberi penghormatan disangkut di dinding Ka`bah. Nama sebenarnya ialah Amru bin al-`Abd bin Sufyan al-Bakri yang digelar sebagai Tarfah. Dia dilahirkan di Bahrain yang  memberi  banyak menajamkan bakatnya di kawasan dua pinggir laut berkenaan yang membawa kepada gelarannya `Tarfah` yang bakatnya berkembang subur.. Ayahnya meninggal dia masih kecil, lantas dipelihara oleh ibunya Wardah dan bapa-bapa saudaranya. Kehidupan selaku yatim member kesan pada kehidupan dan puisinya, tetapi dia hidup secara berpoya-poya yang menghabiskan harta tinggalan dan dalam dia berkelana membawanya bertemu dengan Amr bin Hindin Raja Negeri Hirah (554-575M.). Dia dan bapa saudaranya  Al-Mutalammis menggubah puisi memuju-muji raja berkenaan.  Mereka berdua juga rapat dengan Qabus ibn al-Mundhir saudara raja. Berlaku fitnah di kalangan istana yang menyebabkan Al-Mutalammis lari ke Syam. Adapun Tarfah dijail dan kemudian dibunuh.. Demikian dalam hidup pendeknya, dia mengungkap puisi walaupun tidak banyak, tetapi mempunyai nilai yang baik.
Menurut Al-Asmai, Tarfah mewariskan beberapa qasidah. Dengan puisi-puisinya yang lain dikumpulkan puisinya sehingga dikenali sebagai Dewan Tarfah bin al-`Abd. Antara yang terkenal ialah puisi-puisi al-Mu`allaqah, kemudian puisi Ra`iyyah `Huruf Ra`. Tema-tema puisinya mengenai unta, peperangan dan gambaran alam. (Fuad Afram al-Bustani, Al-Majani al-Hadithat, Jil !, al-Maktabat al-Kathulikiyyah, Beirut, tt: 56), tetapi perkara yang tidakdapat dipisah darinya dan menjadi identity puisi-puisi Jahiliyyah ialah arak, cinta nafsu dan kemegahan. Kata Tarfah bin al`Abd:
Tanpa tiga perkara  hilang seri kehidupan pemuda
Kau tak tahu bila umurmu akan berakhir
Dengannya engkau asyik meneguknya
Ambil peluang selagi ada kesempatan
(Ahmad Hassan al-Zayyat, Tarikh al-Adab al-Arabi, , Wizarah al-Thaqafah li Hukumah al-Arab al-Su`udiyah,  Arab Saudi, tt:63).
Dalam puisi lain Tarfah mendendami menuntut hak  terhadap ibunya Wardah
Mengapa dibiarkan hak bagi Wardah di kalangan kamu
Anak-anak diperkecil dan keturunan Wardah diaibkan
Telah bangkit perkara besar dari asalnya kecil
Sehingga mengalir darah membuak-buak
Zalim membezakan antara yang nyata
Terseret sama Bani Bakr untuk bertindak
Nyata zalim membawa kepada balas dendam.
(Al-Majani alHadithat, Jil 1, tt: 74).
Menurut Butrus al Bustani, Tarfah dengan kehidupannya adalah sebagai sepotong music yang menyentuh anasir rasa, khayal dan fikiran yang semuanya bersatu membawa imej dan identity Tarfah
 Butrus al-Bustani berpendapat bahawa penilaian yang dapat dibuat terhadap puisi-puisi Tarfah ialah dari sejumlah puisi  Mu`allaqatnya, sedangkan yang lain hilang dan tidak dapat diwarisi oleh kelamaan zaman. Puisi-puisi Mu`allaqatnya adalah sesuatu yang tidak diragui.
Dari segi kedudukannya Ibn Salam pengkaji puisi, khususnya Tarfah, beliau meletakkan  Tarfah pada lapisan keempat, lantaran sedikitnya puisinya di tangan-tangan perawi. Manakala Qutaibah  `Tarfah sebaik-baikn penyair dari segi kepanjangan ungkapan. Berkata Ibn Rashiq, ``Tarfah sebaik-baik  penyair al-Mu`allaqat. Berkata Shaykh Abu `Aqil, ``Sesungguhnya keistimewaan Tarfah ialah dengan puisi-puisi Mu`allaqatnya berbanding dengan yang lain, iaitu dari segi gambarannya yang jujur dengan kehidupan kaum Badui dan apa yang dicetuskan dari segi fikiran dan kata-kata hikmah dan kehalusan gambarannya tentang sesuatu dengan keindahan susunan ayat, kuat gambaran, meskipun kehidupannya tidak lama dan meninggal dalam umur dua puluhan
(Butrus al-Bustani,Udaba` al-`Arab fi al-Jahiliyyah wa Sadr al-Islam, Dar Nazir Abud, Beirut, tt: 126-127).
Sesungguhnya budaya berniaga terutama di Pasar Ukkaz dan beberapa pasar yang lain dan perhatian sampingan diberi oleh pemuka-pemuka Arab dengan mempertandingkan puisi-puisi adalah merupakan budaya murni yang dapat dihafal, dingati dan diwarisi, maka dengan itu ciri-ciri puisi dan sastera Arab Jahiliyyah dapat diperturunkan kepada generasi seterusnya. Banyak significant dari hasil yang diwarisi ini, tidak saja dari segi bahasa dan sastera, tetapi juga dari segi budaya dan kemasyarakatan pada masa itu yang disifatkan sebagai zaman Jahiliyyah.


Sekian.

No comments:

Post a Comment