January 15, 2015

Al-Khunsa` Penyair Wanita Menerima Islam Bersama Kaumnya Dan Turut Ke Medan Perang Bersama Empat Anaknya


BBB, 23 Jamadil Awwal 1436 = 14 Januari 2015 (Rabu):


Daripada sekian ramai penyair zaman Jahiliyyah yang diletakkan di bawah berbagai-bagai kategori, tiada kita ketemui penyair wanita, Al-Khunsa` sebenarnya hanyalah beberapa penyair wanita yang muncul pada akhir zaman Jahyiliyyah dan berkesempatan pada zaman Islam. Ketiadaan penyair wanita muncul bukan tidak ada yang lahir, tetapi mungkin budaya masyarakat Arab Jahiliyyah memandang rendah taraf kaum wanita dan menganggap mereka tidak sesuai untuk kedepan.
Al-Khunsa` (m. 24H./646M.) ialah gelaran bagi Tumadir bt. Amrin bin al-Harth bin al-Sharid yang berketurunan dari Bani Sulaim yang memuncak keturunannya kepada Mudar. Dia dikenal sebagai Ummu Amrin dan digelar sebagai Al-Khunsa`, iaitu panggilan yang lebih dikenali baginya. Al-Khunsa` bermaksud `Lembu betina liar yang mempunyai keindahan mata yang menawan``.
(Diwan al-Khunsa`, Dar Sadir Beirut, tt: 5).
Menurut Butrus al-Bustani, Al-Khunsa` pada masa mudanya adalah merupakan seorang perempuan tercantik pada zamannya. Duraid bin al-Simah, seorang peria kenamaan pada masa itu berkenan kepadanya dan telah meminangnya. Ayah Al-Khunsa` bersetuju jika disetujui oleh Al-Khunsa` dan hal ini dijawab oleh Al-Khunsa` secara berpuisi:
Adakah cubaan memaksa diriku oleh Duraid ?
Sedangkan sebelumnya kutolak Ahli Badri
Dijauhi Allah mengahwini yang berkaki pincang
Pendek ukuran dari Bani Bakri.
Penolakan membangkit kemarahan oleh Duraid dan menyindir dengan jawapan balasan dengan puisi:
Allah memelihara engkau wahai anak perempuan Ibn Amrin
Daripada berkahwin orang seperti aku atau miripku
Engkau tak akan beranak dan tidak mengahwinimu orang sepertiku
Kecuali satu malam menimpamu nahas kemalangan.
(Butrus al-Bustani, Udaba` al-`Arab fi al-Jahiliyyah wa Sadr al-Islam, Dar Nazir `Abud, Beirut, 1989: 225-226).
Al-Khunsa` berkahwin peringkat awal dengan Rawahah bin Abdul Aziz al-Sulami dan beroleh anak bernama Abdullah, kemudian berkahwin dengan Mirdas bin Abi Amir al-Sulami dan mendapat anak –Yazid, Muawiyah, Amran dan Amrah. Apabila Islam lahir Al-Khunsa` masuk Islam bersama kaumnya – Bani Sulaim. Dia menyertai pasukan tentera membuka negara Parsi yang turut sama keempat-empat anaknya. Anak-anaknya gugur syahid di dalam peperangan Al-Qadisiyyah tahun 16H./638M. Dia menerima kematian keempat-empat anaknya dengan kata-kata:
``Al-hamdulillah yang memuliakan daku dengan syahidnya mereka. Kuharap Tuhanku memuliakandaku dengan kematian mereka dan menghimpunkandaku bersama mereka dengan berkekalan rahmat.``
(Diwan al-Khunsa`, Dar Sadir, Beirut, tt: 5).
Bersepakat pengkaji, bahawa Al-Khunsa` penyair Arab diiktiraf kedudukannya di dalam perpuisian Arab juga bersepakat bahawa dia adalah penyair wanita terawal yang tidak ada terawal seumpamanya dan tiada tandingan selepas dari itu dari segi ratapan.
Adalah dikatakan pada peringkat awal Al-Khunsa` tidaklah begitu lumrah berpuisi, tetapi selepas kematian dua saudara lelakinya, iaitu Mu`awiyah dan Sakhr yang dia sangat kasih kepada mereka berdua kerana lemah lembut, tampan dan berani, maka lebih banyak Al-Khunsa` menghasilkan puisi-puisi yang bertemakan duka dan ratapan. Puisi-puisinya diwarisi dan terkumpul di dalam sebuah kumpulan puisi – Diwan Al-Khunsa` setebal 155 halaman. Puisi:
Tangisi Kematian Saudara
Wahai mata mengapa kau tak tangisi bercucuran
Sesungguhnya masa membawa duka dan ragu
Tangisilah saudaramu menyebabkan keyatiman dan janda
Tangisilah saudaramu, khususnya bila dia di perantauan.
(Diwan Al-Khunsa` hlm. 7)
Tiada Yang Kekal Melainkan Allah
(Diungkapkan selepas kematian Muawiyah sebagai memberi semangat kepada Bani Sulaim dan Amir dalam peperangan Ghatafan)
Tiada sesuatu yang kekal selain Wajah Tuhan
Ku tidak lihat sesuatu masa yang kekal
Ingatlah pada hari Ibn Sharid dan kumpulan
Isyarat kematian oleh sayu suasana kelilingan
Mereka memberi perhatian dan jagaan yang yatim
Sama bertanggungjawab kawan teman membantu
Sampaikan berita kepada Bani Sulaim dan `Amira
Dan siapa yang di Ulya dan Hawazin sama mengingatkan.
(Diwan Al-Khunsa`, hlm. 32).
Melalui puisi-puisi Al-Khunsa` kita menemui kelembutan jiwa wanita. Tema-tema puisinya lebih bersifat ratapan di atas kematian saudara-saudaranya dan mereka yang dikasihi. Melalui puisi-puisinya kita mengesani nafas-nafas keislaman.

Sekian.


No comments:

Post a Comment