January 8, 2015

Zuhayr Bin Abi Salma Penyair Al-Mu`allaqat Yang Berwibawa


BBB, 16 Rabiul Awwal 1436 = 07 Januari 2015 (Rabu):


Dari latar belakangnya, maka Zuhayr bin Abi Salma (530-627M) adalah Penyair al-Mu`allaqat yang terhormat dan berwibawa. Nama penuhnya ialah Zuhayr bin Abi Salma bin Rabi`ah bin Rabah al-Mazani dari Bani Ghatafan. Terdidik dalam keluarga yang mendalami dan melibatkan diri dalam berpuisi. Dia adalah lelaki yang mempunyai kedudukan yang kukuh dan bijaksana dan terkenal dengan pendapat-pendapat yang bernas, lumrah  dengan puisi sebagaimana dia kaya dengan harta. Puisinya diiktiraf dan memberi  kesan keilmuan dan kebijaksanaannya pada masyarakat pada zamannya.. Dia merupakan seorang pemikir, lantas kesannya kelihatan pada ungkapan-ungkapannya yang berciri mutiara-mutiara hikmah.
Zuhayr bin Abi Salma perunding bijaksana yang memadamkan perseteruan antara   pimpinan Al-Harith bin `Auf dan Haram bin Sinan al-Marriyan dari Kabilah Abas dan Dhibyan dan terpadamnya api persengkitaan yang melibatkan pampas an sejumlah 3,000 ekor unta. Peristiwa ini menjadi tema dan ilham kepuisiannya yang istimewa dan menjadi antara puisi al-Mu`allaqat yang penting. Dengan puisi-puisinya ia memuji Haram Ibn Sinan sebagaimana dia juga memuji Al-Harith bin Auf. Dia banyak mendapat kurniaan hasil dari puisi-puisi pujiannya yang indah.
Menurut Muhammad Hassan al-Zayyat, ``Keindahan dan kehalusan puisi Zuhayr mempengaruhi Sayyiduna Umar bin al-Khattab yang pernah meminta orang mengungkapkan puisi  Zuhayr dengan mengatakan, ``Ungkapkan kepadaku sebahagian daripada puji-pijian Zuhayr, maka diungkapkan kepadanya.`` lalu katanya:
``Dia adalah seindah ungkapan kata bagi kamu.`` sambil dia menambah,
``Demi Allah, sesungguhnya kita menerima sebaik-baik kurniaan. Sesungguhnya  telah hilang apa yang diberi kepadanya dan yang kekal apa yang diberi kepada kamu.``
Adalah Zuhayr dikatakan dengan ketajaman fikiran, tepat jangkaan adalah seorang yang warak, menyerah kepada ketentuan Allah beriman dengan Allah dan Hari kiamat. Ini bererti dengan umurnya yang panjang lebih dari 90 tahun, Zuhayr adalah berkesempatan dari zaman Jahiliyyah hingga ke zaman Islam. Ini terbukti dari puisi Mu`allaqatnya dia mengungkapkan:
Kamu tidak dapat menyembunyikan dari Allah apa di dalam dada kamu
Walau bagaimana disembunyi Allah mengetahui apa yang kamu cuba sembunyikan
Tidak lari dari dicatat di dalam kitab dan tersimpan
Hingga hari hisab pembalasan atau lebih awal terima pembalasan.
(Ahmad Hassan al-Zayyat, Tarikh al-Adab al-`Arabiyy, tt: 52).
Tentang umurnya yang lanjut kata Zuhayr:
Nyata bagi usiaku menjangkau Sembilan puluhan
Mengikut tambahan sepuluh dari lapan puluhan.
(Ahmad Hassan al-Zayyat, tt: 52)
Zuhayr meninggal sebelum tahun Hijrah 11 tahun. Dia dan dua anaknya  Ka`b dan Bujayr menerima Islam. Zuhayr adalah benar-benar dari turunan yang meminati dan menghasilkan puisi, iaitu bapa Abu Salma dan bapa saudara sebelah perempuan, dua adik perempuannya, iaitu Salma dan Al-Khansa dan saudaranya Bujayr adalah dari kalangan penyair-penyair terkenal. Puisinya mengandungi  hadap yang jelas, tidak bersifat  liar dari segi bahasa dan tidak pelik dari peristilahan. Dia adalah salah seorang penyair yang begitu indah dari segi pujian, membuat contoh bandingan dan menyisip dengan hikmat.
Tajuk puisi Mu`allaqatnya ialah mengenai pujian terhadap Al-Harith bin Auf dan Haram bin Sinan dalam usaha mendamaikan antara `Abbas dan Dhibyan
Kata Zuhayr:
Bila kuketahui rumah kataku kepada berempat
Adakah tidak mencakupi subuh dan keselamatan ?
Tambah Zuhayr,
Terlihat temanku, adakah engkau lihat sebarang tipu daya
Mendukung kemuliaan dari rendahnya kekejian
Diwarnai kata-kata melepaskan beban dan semuanya
Hanyut ke belakang dari tuntutan darah keji dendam
(Ahmad Hassan al-Zayyat, tt: 53-54).
Antara puisi nasihatnya dan kemegahan, kata Zuhayr:
Aku lihat Bani Imriil Qays mendabit dada kepada kami
Kata mereka itu kami lebih ramai golongan penyair
Sulaim bin Mansur dan turunan Amir dan
Sa`ad bin Bakr dan Nusur dan A`sar
Ambillah peluang kamu wahai keluarga `Ikram ingatlah
Atau perlihatkan kami kasih sayang secara ghaib diingati
Ambillah peluang dari kemesraan kita mengiratkan hubungan
Kenangkan peperangan lampau  hendarkan nyala persengkitaan.
(Fuad Afram al-Bustani, Al-Majani al-Hadithat, Jl. 1, al-Matbaat al-Kathulikiyyah, Beirut, tt:  100).
Sesungguhnya dari puisi-puisi Zuhayr tercermin bukan saja kehalusan rasa dari segi kepuisian, tetapi kehalusan adab dan akhlak berbanding dengan penyair-penyair yang lain sebagaimana telah diperkatakan sebelum ini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment