BBB, 22 Rabiul Awwal 1436 = 13 Januari 2015
(Selasa):
Nama penuh penyair ini ialah Maimun bin Qays bin Jandal bin Bakr bin Wa`il
bin Rabi`ah. Dipanggil Al-A`sha kerana lemah penglihatannya dan `al-Akbar` -
Yang Besar, untuk membezakannya dari penyair-penyair lain yang juga lemah
penglihatan. Dibesar dan dididik di sebuah perkampungan `Manfuhah` di Yamamah.
Pada peringkat permulaan Al-A`sha berkehidupan
sebagai masyarakat badui dengan menternak unta dan kambing, tetapi dia tidak
berminat bercucuk tanam. Ini terungkap dalam puisinya:
Kami bukan dari kalangan setia menunggu
Tumbuhnya benih menghijau untuk dituai
Tuhan menentukan rezeki kami kembara
Berdagang bertukar barang mendapat laba.
(Dr. Shauqi Dayf, Tarikh al-Adab al-`Arabiyy –
Al-`Asr al-Jahiliyy, Dar al-Ma`arif, al-Qahirah: tt: 334).
Alam badui meyubur bakatnya di dalam berpuisi.
Dengan bakatnya ia kembara ke ceruk rantau Jazirah al-`Arabiyyah bermula dari
menemui Amir Bani Hanifah, kemudian ke Yamamah, Yaman, menziarah `Adan dan
Najran ke Hijaz termasuk Pasar Ukkaz sampai ke Tayma` ke Aylaq. Ke Iraq.
Khususnya Herah dan berpeluang mengungkapkan puisi terhadap Aswad bin Mundhir
dan Al-Nu`man, bahkn sampai ke Teluk Parsi hingga ke Omman bahkan sampai ke
Juruselim dan Hims. (Fuad Afram al-Bustani, Al-Majani al-Hadithat, Jil. 1,
Al-Matba`at al-Kathulikiyyah, Beirut, tt: 225).
Menurut Dr. Shauqi Dayf, Al-A`sha terdedah
kepada banyak peristiwa termasuk peperangan Basus yang memakan masa selama 40
thun, peperangan Kulaib dan menyaksikan peperangan antara Rum dan Parsi. Apa
yang dialami di dalam kehidupan dan perjalanannya tercurah dalam puisinya.
Antaranya ia mengungkapkan:
Ku berkeliling mencari sumber kurniaan
Ke Omman, Hims dan sampai ke Juruselim
Kukunjungi Najashi di persada buminya
Ke Bumi al-Nabid dan negeri-negeri Ajam.
(Dr. Shauqi Dayf, Tarikh al-Adab al-`Arabiyy,
`Asr al-Jahiliyyah, 1,: 336).
Periwayat-periwayat meletakkan Al-A`sha pada
susunan keempat selepas Imriul Qays, Zuhair dan Al-Nabighah dikuti oleh
Al-A`sha, bahkan setiap penyair berkenaan mempunyai ciri dan identiti
masing-nasing hingga dikatakan:
Keistimewaan Imriul Qays berpuisi sambil
menunggang
Keistimewaan Zuhair apabila dia digerak kemahuan
Keistimewaan Al-Nabigah apabila dia kegerunan
Keistimewaan Al-A`sha apabila puisi
dinyanyikan.
Lantaran itu puisi Al-A`sha antaranya
dilagukan dan antaranya berbentuk qasidah. Menurut Ahmad Hassan al-Zayyat pada
puisinya terdapat apa yang tidak didapati pada puisi-puisi penyair lain dari
keindahan gambaran, kemanisan susunan bahasa, kecemerlangan dari segi gambaran
dan meninggalkan kesan yang mendalam bagi yang menghayatinya.
(Ahmad Hassan al-Zayyat, Tarikh al-Adab
al-`Arabiyy, tt: 56).
Dari segi pegangan keagamaan ada yang
berpendapat antaranya kalangan orientalis mengatakan Al-A`sha pernah mengikut
pegangan Kristian.Sebagai penyair yang berkesempatan dengan zaman Islam,namun
begitu dikatakan dia tidak menerima Islam. Menurut Butrus al-Bustani, Al-A`sha
bergelumang dengan kehidupan wathaniyyah (berhala) dan minum. Antara
ungkapannya:
Kuangkat gelas meminum dengan lazat
Dan terkadang mengambil faedah sebagai ubat.
(Butrus al-Bustani, Udaba` al-`Arab, hlm; 221).
Walau bagaimanapun ada ungkapan-ungkapan
Al-A`sha yang memuji Rasulullah s.a.w., bahkan terdapat cerita yang mengatakan
bahawa, apabila Al-A`sha mengetahui tentang perutusan Rasulullah s.a.w. dia
berusaha untuk menemui Rasulullah s.a.w. (semasa di Makkah), tetapi
pembesar-pembesar Quraisy tidak menyetujuinya, mereka cuba menyekatnya, antara
yang melencongkan jalannya ialah Abu Sufyan bin Harb. Dia juga menakut-nakutkan
Al-A`sha dengan hukum-hukum yang akan dikenakan oleh Islam terhadapnya. Bahkan
bagi menyekatnya, Al-A`sha yang dalam hidupnya sering menerima hadiah dan
habuan, maka bagi menyekat Al-A`sha dari menerima Islam Abu Sufyan bin Harb dan
pemuka-pemuka Quraisy merasuahkan Al-A`sha dengan menghadiahkannya 100 ekor
unta. Tawaran ini diterima oleh Al-A`sha, tetapi dikatakan apabila dia pulang
ke rumahnya dia dipanah petir dan meninggal.
Walau bagaimana cerita wujudnya puisi-puisi
Al-A`sha yang memuji Nabi s.a.w. adalah diragui, begitu juga dengan cerita dia
dirasuahkan dengan 100 ekor unta agar tidak menerima Islam juga diragui.
(Butrus al-Bustani, Udaba` al-`Arab, 1989:
217).
Demikianlah kehidupan Al-A`sha dengan
kemampuan berpuisinya dia menggunakan bakat dan kebolehannya untuk mendapat
kurniaan, tetapi tidak mendapat hidayah, walaupun berkesempatan dengan Islam
pada peringkat awal.
Sekian.
No comments:
Post a Comment