BBB, 26 Rabiul Awwal 1436 = 17 Januari 2015
(Sabtu):
Rasulullah s.a.w. diutuskan mendakwah Islam. Baginda berjuang dengan pengikut-pengikutnya selama 13 tahun berdakwah di Makkah dan selama 10 tahun di Madinah. Baginda mendapat tentangan yang keras selama di Makkah, tetapi mendapat sambutan di Madinah. Mengapa semacam kontradiksi dari segi respond di Makkah bersifat tentangan, tetapi sebaliknya bersifat penerimaan di Madinah ? Pihak Quraisy merasa bahawa dengan kedatangan agama Islam, bahawa budaya dan nilai kepercayaan (Jahiliyyah) yang mereka anuti dan kekuasaan serta ekonomi yang mereka terajui tergugat, lantaran itulah pimpinan yang antaranya Abu Lahab, Abu Jahal dan Abu Sufyan berusaha menentang dan berusaha mengekalkan budaya dan kepercayaan yang mereka dukungi selama ini.
Dari satu pihak, Hijrah yang diatur sebelumnya
oleh Rasulullah s.a.w. mendapat sambutan penduduk Madinah. Antara faktor
penerimaan yang tidak berlaku seumpamanya di Makkah ialah:
1) Penerangan yang diatur secara strategik melalui pertemuan-pertemuan dan
penghantaran wakil-wakil ke Madinah.
2) Masyarakat Madinah merasa tertekan dengan masyarakat Yahudi yang
menguasai ekonomi
3) Rasa rendah diri masyarakat dengan keunggulan masyarakat Yahudi dengan
Rasul yang mereka menerima agama Yahudi. Sedang masyarakat Arab tidak
sedemikian.
4) Masyarakat Arab (Aus dan Khazraj) mudah disatukan berdepan dengan
ancaman ekonomi dan sosial masyarakat Yahudi
5) Perutusan Rasulullah yang ibunya mempunyai pertalian keturunan dari
Madinah menjadi kebanggaan masyarakat Arab bahawa Rasul yang diutuskan adalah
dari kaum Arab.
Dari antara faktor-faktor di atas memudahkan
perkembangan Islam di Madinah, khususnya selepas Hijratul Rasul s.a.w. ke
Madinah.
(Johari Yaman, Mengenal Rasulullah s.a.w.,
Nadi Minda Resources, Rawang Selangor, 2009: 206-225).
Selepas Hijrah sambutan dan kepesatan
perkembangan Islam tidak dapat ditahan, khususnya selepas pembukaan Makkah
(8H.=629M.), maka kita dapati ada pemimpin-pemimpin yang selama ini menentang
keras Islam kerana mempertahankan kedudukan tunduk dan menerima Islam seperti
Abu Sufyan, Hindun bin `Utbah, Abdullah bin Sa`ad, `Ikramah bin Abu Jahal dan
Sofwan bin Umayyah yang mereka adalah merupakan pemimpin-pemimpin Qurai sy.
(Zulkifli Mohd. Yusoff Dan Noor Naemah Abd. Rahman,
Biografi Muhammad bin Abdullah, PTS Islamika Sdn. Bhd., Batu Caves, Selangor,
2011: 338-368).
Apa yang hendak ditekankan di sini di dalam
mendepani situasi bagi mempertahankan budaya tradisi – di sini dimaksudkan
dengan Jahiliyyah dan berdepan dengan suasana baru, maka ada kalangan penyair (belum
memahami Islam) juga tersepit di dalam membuat pendirian dan pilihan –
bermaksud penyair-penyair al-Mukhadramun yang berada pada zaman Jahliyyah dan
berkesempatan dengan Islam, maka didapati antara mereka ada yang terus kekal
dengan Jahiliyyah, ada yang murtad, tetapi dari kalangan mereka terdapat
penyair-penyair yang membuat pilihan jelas dan merupakan benteng pertahanan
Islam, khususnya dari segi kepenyairan. Mereka adalah seperti Ka`ab bin Zuhayr
(m. 661M.), Hassan bin Thabit (m. 674M.), Abdullah bin Rawahah (m. 8H./670M.),
Ka`ab bin Malik (m. 670M.), Al-Khansa` (575-664M.) – Islam dengan kaumnya (Bani
Sulaim) pada tahun 630M. Dan Layla
al-Akhyaliyyah (m.707M.).
Walau apa pun, imej penyair dan puisi-puisi
terutama pada zaman Jahiliyyah dengan tema-tema peperangan, perbalahan kaum,
sindir dan ejek, berpoya-poya, mabuk, bersifat gelandangan dan berpuisi sebagai
kerjaya memuji dan meminta-minta terutama dari kalangan pemerintah dan atasan
meletakkan imej penyair dan puisi pada tahap rendah, walaupun mereka dianggap
tinggi dan disanjung kaumnya sendiri.
Di dalam hal ini Al-Qur`an menempelak kepada
golongan penyair seperti di atas (Jahiliyyah0 bermaksud:
``Dan penyair-penyair itu, diturut oleh
golongan yang sesat – tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat, bahawa
mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap jurang
lembah (khayal dan angan-angan kosong). Dan bahawa mereka memperkatakan apa
yang mereka tidak melakukannya.
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal
salih (dari kalangan penyair-penyair itu) dan mereka pula mengingati Allah
banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianianyai. Dan (ingatlah)
orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat
mana, mereka akan kembali``. (Al-Shu`ara`: 224-227).
Penempelakan adalah merujuk kepada sikap,
pembawaan dan mesej dan kandungan puisi yang dibawa oleh penyair dan bukan
puisi sebagai satu genre penulisan yang sebagaimana bidang persuratan yang lain
bersifat neutral. Baik buruk adalah terpulang kepada bagaimana ianya diisi dan
kesannya pada khalayak. Ianya dapat diisi dengan hikmat, keilmuan dan
pendidikan jika pengisinya orang yang berkemampuan dari segi hikmat, keilmuan
dan pendidikan, demikianlah sebaliknya dia boleh merosakkan jika ianya diisi
dengan nilai-nilai yang negatif dan merosakkan. Sama saja dengan genre-genre
persuratan yang lain.
Persuratan, dan sastera yang tidak tersurat baik
prosa dan puisi adalah warisan budaya bangsa dan umat yang mencerminkan
worldview dan budaya masyarakat pada zaman. Selain dari mencerminkan kesilaman,
dapat pula digaris panduan secara positif bagi panduan masyarakat akan datang.
Di dalam hal ini Al-Imam Abi Ali al-Hasan bin
Rashiq al-Qayrawani (390-456H.) adalah tokoh pengkaji puisi dan sastera antara
yang mempertahankan puisi dan sastera di dalam kitabnya berjudul Al-`Umdah yang
dibuat kajian oleh Dr. Muhammad Qarqazan (1403H./1983M.) yang kajiannya setebal
1274 hlm. (dalam dua jilid). Kita akan mendapat banyak panduan dari kajiannya
di samping kajian-kajian penulis-penulis yang lain – Insya Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment