January 16, 2015

Hatim Al-Ta`i Legenda Pemurah Dan Pemulia Tamu


BBB, 24 Rabiul Awwal 1436 = 15 Januari 2015 (Khamis):


Kadang-kadang terpupuk di dalam sesebuah budaya nilai-nilai yang mengidentiti watak baik  atau sebaliknya, misalnya terdapat dalam masyarakat Melayu cerita mengenai watak Mat Jenin yang bersifat angan-angan (boleh dipositifkan), Lebai Malang (lemah berfikir) dan Pak Pandir (bodoh dan betul bendul). Tema dan watak cerita dijadikan bahan lelucon. Di dalam budaya Arab sejak zaman Jahiliyyah hingga Islam terdapat watak-watak yang dilegendakan, bahkan menjadi imej bukan setakat watak secara personal, tetapi menjadi imej dan budaya kepada masyarakat. Misalnya watak Hatim al-Ta`i ialah tokoh realiti dalam sejarah yang bersifat pemurah dan memuliakan tamu. Watak ini dilegendakan dan  imej ini dikaitkan dengan orang Arab dan menjadi identiti, bahawa orang Arab adalah bersifat pemurah dan amat memuliakan tetamu ! Begitu juga dengan watak Abu Nuwwas (watak cerdek dan kreko) pada zaman pemerintahan Sultan Harun Al-Rashid. Cerita dijadikan bahan hiburan tentang kebijaksanaan watak dan lelucon.
Hatim Al-Ta`i adalah legenda dalam budaya Arab. Nama sebenar Hatim (m.605M. sebelum Islam) ialah Hatim bin Abdullah bin Sa`ad bin al-Hashraj daripada kabilah Ta`i dan ibunya `Inabah binti Afif yang juga dari Kabilah Ta`i. Sebagaimana disebutkan Hatim ialah seorang `Pemurah dan Pemulia Tamu`. Sifat pemurah dan memulia tamunya menjadi terkenal hingga terbina sebagai `Legenda` hingga dikatakan tentangnya:
`Ke mana dia pergi orang mengenalinya, seorang berprestasi tinggi, apabila dia bertentang pendapat dia menang, apabila mendapat habuan dia membahagikan, apabila dimohon dia memberi, tangannya terbuka dan dapur masakannya sentiasa menyala.``
(Diwan Hatim al-Ta`i, Dar Sadir, Beirut: tt: 5).
Banyak cerita tentangnya dan puisi diungkapnya. Antara cerita:
Pada suatu hari dalam perjalanan Hatim di `Anazah, terdapat di situ tawanan-tawanan. Mereka meminta tolong kepada Hatim, dia menebuskan tawanan-tawanan dan membayar jumlah yang dikenakan. Berikut dari pembebasan mereka dibekalkan belanja perjalanan pulang.
Adalah dikatakan bahawa bapa kepada Hatim telah meninggalkan harta pesaka antaranya sejumlah unta. Satu rombongan dalam perjalanan untuk menemui Raja Al-Nu`man, antara di dalam rombongan ialah pimpinan seperti `Ubaidah bin al-Abras, Bish bin Abi Hazim dan penyair Al-Nabighah al-Dhibyani. Mereka singgah bertandang di kediaman Hatim yang sudah terkenal sebagai dermawan dan pemulia tetamu. Hatim menyambut mereka, walaupun tidak mengenali mereka. Bagi meraikan mereka Hatim menyembelih tiga ekor dari untanya. Sifat pemurah dan meraikan tamu Hatim ini makin terkenal diperkatakan termasuk oleh tokoh-tokoh penting yang bertamu dengannya.
(Diwan Hatim al-Ta`i, tt: 5 – 6).
Antara cerita ialah Raja Rum dengan Hatim. Diceritakan bahawa Raja Rum (Qaisar) tertarik dengan cerita sifat dermawan dan memulia tamu, Raja telah menghantar hadiah seekor kuda tunggangan yang elok kepada Hatim, berikutnya Raja menghantar perutusan bagi menemui Hatim untuk menjemputnya ke istana, tanpa mengetahui siapa rombongan yang datang menemuinya, Hatim menjamu rombongan Raja yang datang, apabila dijemput Hatim untuk mengunjungi Raja, didapati dia tiada tunggangan. Apabila ditanya di mana Kuda yang telah dihadiahkan. Dia menjawab, bahawa dia disembelih bagi meraikan mereka (tuan-tuan) yang datang. Rombongan terkejut dan tidak menyangka mereka dijamu dengan daging kuda yang dihadiahkan. Dengan itu mereka yakin tentang sifat pemurah dan memuliakan tetamu Hatim.
(Diwan Hatim al-Ta`i, tt: 24.)
Hatim berpuisi tentang:
Harta
Wahai harta seorang terus belanja didesak masa
Wahai harta terus pergi terpaksa dikejar dicari
Wahai harta hakikatnya seorang dikejar maut
Lelah sepanjang belum tentu mendapat pulangan.
(Diwan Hatim al-Ta`i, tt: 33).
Tentang berbelanja kata Hatim
Mereka berkata jangan rosakkan harta, simpanlah
Tidak bagiku sebagaimana katamu tuan
Makanlah dari rezeki Tuhan, jangan bimbang
Dia Pemurah bakal mengurniakan harta tambahan
Aku belanja hartaku di kediaman dan di perjalanan
Dia adalah pemudah cara bagi segala urusan
Memadai bagiku harta yang datang dan pergi
Inilah hakikat kehidupan yang kulalui.
(Diwan Hatim al-Ta`i, hlm. 41).
Hatim bercakap kepada isterinya Mawiah bt. Abdullah:
Aku Tidak Suka Makan Berseorang
Panggillah Anak perempuan Abdullah dan Malik
Anak Zil Burdin dan Anak al-Faras al-Wardi
Apabila sudah siap hidangan mari sama makan
Makanlah sekenyang, aku tidak suka makan berseorang !
(Diwan Hatim al-Ta`i, tt: 43.
Adatku
Katanya engkau merosakkan diri dengan berbelanja
Janganlah dengan pemurahmu menjadi celaka
Kataku, biarkan aku, kerana ini adat mesraku
Bukankah bahagia tidak dikecapi melainkan bersama ?
(Diwan Hatim al-Ta`i, tt: 44).
Demikianlah secebis dari banyak cerita dan ungkapan-ungkapan puisi Hatim al-Ta`i yang bersifat pemurah dan pemulia tamu yang mesra pembaca. Ia menjadi kemegahan dan lambang pemurah dan memulia tamu yang menjadi budaya masyarakat Arab. Kita juga perlu watak dan imej positif di dalam masyarakat kita sebagai panduan murni bagi generasi.

Sekian.


No comments:

Post a Comment