BBB, 25 Jamadil Awwal 1436 = 16 Januari 2015
(Jumaat):
Satu kategori yang diberi kepada kalangan
penyair ialah, al-Mukhadram yang pluralnya ialah al-Mukhadramun, iaitu
penyair-penyair dua zaman. Bermaksud penyair atau penyair-penyair berada di
dalam dua zaman – iaitu zaman Jahiliyyah dan zaman Islam. Menurut Fuad Afram,
maksud asal Mukhadram dari segi lughah ialah satu benda yang terputus dan
bahagiannya berada di berlainan tempat. Adapun dari segi istilah sejarah
sastera (adabiyy), ialah seorang (penyair) yang sebahagian dari umurnya pada
zaman Jahiliyyah berpuisi dan berkesempatan dengan zaman Islam dan dia terus
berpuisi pada zaman Islam. Adapun dari segi gaya pengucapan, bahasa dan kaedah
perpuisian penyair dua zaman ini, menurut Fuad Afram al-Bustani tidak begitu
berbeza pada zaman Jahiliyyah dan Islam. (Fuad Afram al-Bustani, Al-Majani
al-Hadithat, Jil. II, Al-Matbaat al-Kathulikiyyah, Beirut, tt: 8).
Walau bagaimana kriteria yang meletakkan
penyair-penyair tertentu ke dalam dua zaman agak longgar. Misalnya ada penyair
yang digolongkan kepada Penyair al-Mu`allaqat juga berkesempatan dengan zaman
Islam, tetapi kerana ianya dikategorikan kepada al-Mu`allaqat, maka ianya tidak
dikira sebagai penyair al-Mukhadramun. Contoh ialah penyair Labid bin Rabi`ah
adalah penyair dua zaman (560-661M.). Ianya tidak saja berpuisi, tetapi kuat
berpegang dengan agama Islam. (Fuad al-Afram al-Bustani, Al-Majani al-Hadithat,
Jil. I, Al-Matbaat al-Kathulikiyyat, Beirut, tt: 101).
Demikian juga dengan Al-Khansa` satu-satu
penyair wanita terkenal berada pada zaman Jahiliyyah dan berkesempatan zaman
Islam (m.24H./646M.), turut berjihad bersama anak-anaknya di dalam peperangan
menegakkan Islam, tidak dikategorikan sebagai penyair dua zaman, tetapi
dikumpulkan sebagai penyair wanita bersama dengan seperti Laila
al-Akhyaliyyah (m. 708M.). Menurut
Butrus al-Bustani, tidak terdapat pebezaan nyata dilihat antara penyair
Jahiliyyah dan dua zaman terutama dari pengungkapan bahasa dari ijaz (bahasa
ringkas dan padat), kekuatan penyusunan bahasa, kaedah penyusunan tema,
kepelbagaian tajuk dan keindahan gambaran. Bahkan katanya, puisi dua zaman dari
segi asalnya Jahiliyyah, cuma ada kelihatan pada puisi-puisi penyair-penyair
yang hidup dua zaman bahawa ada perubahan pada kitaran bahasa, kelembutan dari
segi lafaz, lebih jelas dari segi makna. Membezakan bagi penyair dua zaman
ialah ada nafas-nafas keagamaan yang disedut dan mewangi dirinya selepas
kelahiran Islam dan penerimaan terhadapnya. Tidak lagi tema puisi kekeringan
dan terhad kepada alam lahir dan kekasaran hidup, sebaliknya di zaman menyentuh
Islam ada getaran keimanan, pandangan tidak terhad kepada keduniaan, tetapi
menyentuh kepercayaan kepada akhirat, syurga yang dijanjikan kepada orang
mukmin yang muttaqin. Penyair-penyair mulai terpaut dari bahasa tradisi yang
dipengaruhi zaman Jahiliyyah kepada gaya dan pengucapan baharu yang dibawa oleh
Al-Qur`an. Kalau dulu tidak ada istilah-istilah yang kini mulai digunakan syurga
dan neraka, kufur dan iman, solat dan zakat, rukuk dan wudhu` dan sebagainya.
Satu dimensi baru ialah tumbuhnya tema yang berhubung dengan politik. Misalnya
serang dan ejek berlaku di antara penyair-penyair Nabi s.a.w. dan
penyair-penyair Quraisy dan penentang-penentang Islam.
(Butrus al-Bustani, Udaba` al-`Arab fi
al-Jahiliyyah wa Sadr al-Islam, Dar Nazir `Abud, Beirut, 1989: 265).
Berhubung dengan pembahagian dan
pengkategorian longgar terhadap penyair al-Mukhadramun menurut Fuad Afram
al-Bustani, ada kesengajaan dari segi pengkategorian penyair al-Mukhadramun
kepada dua kategori bertentangan. Maka di sana ada penyair Madah (Puji)
terhadap Rasulullah iaitu Hassan bin Thabit dan
Ka`ab bin Zuhayr, penyair Berusaha (al-Takassub) seperti Al-Hutai`ah,
penyair rintih seperti Al-Khansa`, Labid dan Muttasim bi Nuwairah. Mereka
berada di dalam ikatan longgar dari segi masa, tetapi berlainan tema, persoalan
dan gaya pengucapan. Labid tidak dimasukkan ke dalam Dua Zaman, kerana terkenal
keberadaannya di zaman al-Mu`allaqat dan manakala Al-Khansa` tidak dimasukkan
ke dalam Dua zaman sebaliknya sebagai penyair wanita, lantaran terdapat penyair
wanita yang lain.
(Fuad Afram al-Bustani, Al-Majani al-Hadithat,
Jil. II, tt: 8).
Bagi Butrus al-Bustani apa yang dilihat dari
segi Dua Zaman adalah berdasarkan puisi mereka dan tidak dari segi zaman
kehidupan mereka. Dia melihat Labid dan al-Khansa` sebagai zaman Jahiliyyah,
kerana kebanyakan puisi mereka adalah pada zaman Jahiliyyah dan dia melihat
Hassan bin Thabit dan Ka`ab bin Zuhayr sebagai penyair al-Mukhdarramun kerana
lebih ketara dari tema keislaman di dalam puisi-puisi mereka berdua. (Butrus
al-Bustani, Udaba` al-`Arab fi al-Jahiliyyah wa Sadr al-Islam, Dar Nazir `Abud,
Beirut, 1989: 267).
Perkembangan puisi pada awal Islam adalah akibat
dari dakwah Rasulullah s.a.w. dan pertentangan Quraysy terhadap Rasulullah dan
Islam, pertentangan tidak setakat bersifat senjata selama lapan tahun, tetapi
juga dari segi perpuisian. Penyair-penyair Quraisy menyerang dengan mengejek
dan mempersenda terhadap Nabi s.a.w. dan juga pengikut-pengikut dari kalangan
Muhajirin dan Ansar. Penyair-penyair terkenal yang mempertahankan Nabi dan Islam tiga orang mereka ialah Hassan bin Thabit, Ka`b
bin Malik dan Abdullah bin Rawahah, manakala dari pihak Quraisy terdapat ramai
dari mereka, tetapi kemudian mereka menerima Islam, lantaran itu tidak manis
menyebut tentang mereka sebelum Islam, lagi pula karya-karya mereka tidak menjadi
warisan.
Tumpuan dari kepuisian terhadap penyair dua
zaman ini adalah lebih tertumpu kepada Ka`ab bin Zuhayr dan Hassan bin Thabit – Juga Abdullah bin Rawahah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment